
Laman Instagram Selangor Royal Family dibanjiri komen memuji gaya santai DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menaiki keretapi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Stesen KL Sentral menuju ke Stesen Butterworth, Pulau Pinang.

Pasangan diraja merasai sendiri pengalaman menaiki koc kelas perniagaan yang ditawarkan oleh perkhidmatan tren berkenaan. Sepanjang perjalanan lebih empat jam itu, Baginda juga dibawa ke kokpit pemandu dan diberi taklimat ringkas serta berpeluang menikmati pemandangan menarik di landasan yang merentangi Tasik Bukit Merah, Perak.


Menerusi satu perkongsian di Instagram @selangorroyalofficial, baginda berdua amat teruja dibawa melalui beberapa kawasan tumpuan pelancongan di sana.

Ketika berada di Pulau Pinang, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menaiki perkhidmatan beca sambil bersiar-siar di sekitar bandaraya Georgetown.

Baginda berdua amat teruja dibawa melalui beberapa kawasan tumpuan pelancongan termasuk di Lebuh Armenian, sekitar Penang Street Art, Little India, Jalan Masjid Kapitan Keling, Jalan Buckingham, Lebuh Pasar dan Love Lane.

Posting berkenaan meraih perhatian ramai, rata-rata antara mereka mengatakan pasangan diraja itu humble selain memuji kecantikan Tengku Permasuri. Gaya santai pasangan diraja ini menikmati percutian dalam negara sememangnya mendapat pujian ramai apatah lagi Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai syurga makanan!
Selain itu, baginda dilaporkan berangkat ke Pulau Pinang pada 13 Januari lalu itu menaiki keretapi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Stesen KL Sentral menuju ke Stesen Butterworth.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Suami Jadi Peneman & Pelindung Saat Diri Ini Diuji Kanser” – DR SITI ZAINAB

Usahawan kewangan, Dr Siti Zainab Mohd Zain yang mesra digelar Bochi ini amat bertuah kerana dikurniakan seorang suami penyayang, matang dan bertanggungjawab biarpun jarak usia mereka 19 tahun.

Lebih mengharukan, hadirnya jodoh kedua ini adalah pada waktu yang sangat tepat. Ibu 2 anak ini mengakui, kehadiran suami adalah sebagai peneman dan pelindung di saat dirinya diuji dengan kanser.
Usahawan berusia 47 ini bertemu jodoh kali kedua dengan seorang kontraktor, Muhammad Majidee Rajhan berusia 28 tahun.
Betapa indahnya perjalanan hidup yang Allah SWT aturkan buat wanita ini biarpun pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan terdahulu. Banyak yang beliau pelajari daripada kegagalan itu sekaligus memperbaiki diri menjadi seorang yang lebih baik.
PERTEMUAN PERTAMA
“Saya mengenali suami pada March 2018. Ketika itu suami datang ke kelas saya untuk belajar bagaimana untuk menguruskan kewangan.

Tak sangka pula dalam dia datang training tu tiba-tiba suatu hari dia ajak saya solat sama-sama, dia pula menjadi imam. Saya terkedu sebab sebelum ini tiada seorang pun yang ‘berani’ datang ketuk pintu bilik pejabat saya untuk ajak solat sama-sama. Bermula saat itulah saya rasa dia istimewa.
Dalam masa 4 bulan perkenalan suami sudah melamar. Memang sangat cepat dan berani. Tapi sebab jarak umur kami yang jauh, saya minta dia beri masa untuk kami saling mengenali hati budi masing-masing.

DIDUGA KANSER
Allah sebaik-baik Perancang. Bulan Oktober 2018 saya didiagnos kanser payudara tahap awal (early stage). Waktu itu memang sukar untuk membuat keputusan tentang perhubungan kami. Saya ada memintanya agar tak meneruskan perhubungan sebab saya tidak mahu susahkannya.
Saya tahu saya akan menerima pelbagai prosedur rawatan. Tetapi suami sangat penyayang, dia tetap berkeras untuk terus berada di sisi. Begitulah perancangan Allah, bersama dugaan yang Dia beri. Satu hikmah yang sangat besar. Saya percaya kepada qada’ dan qadar. Akhirnya saya terima lamaran suami.

Terdetik di hati, bila Allah duga dengan perpisahan dahulu kemudian ‘dijodohkan’ dengan lelaki lebih muda, Allah nak saya merasai perjalanan usia dengan minda dan semangat muda. Sangat dahsyat ketentuanNya!

Saya juga bersyukur kerana keluarga dan anak-anak sangat sayangkan suami. Mereka mulanya terkejut juga kerana beza usia kami. Tapi suami bersungguh-sungguh ambil hati anak-anak sebagai kawan. Akhirnya mereka dapat menerima suami dan melihat kesungguhannya menjaga saya ketika sakit.

SUAMI SENTIASA DI SISI
Kami diijab kabul pada April 2019 iaitu setelah saya selesai menjalani rawatan kimoterapi yang ke-6 dan sebelum pembedahan. Sepanjang kimoterapi memang saya lemah. Saya banyak berehat di rumah. Kadang-kadang alahan seperti muntah yang agak teruk.

Suami seorang yang sangat caring. Sebelum berkahwin, suami sanggup mencari rumah yang berdekatan dengan rumah saya yang jaraknya dalam beberapa minit saja agar dapat menjenguk saya pada waktu pagi sebelum dia pergi kerja. Dan memastikan saya sudah makan dan saya OK.
Dia juga pernah tak tidur 3 hari ketika pergi tengok site di Pantai Timur, Kedah kemudian balik semula ke Kuala Lumpur. Sampai Kuala Lumpur dia sempat jenguk saya dulu.
Dia jugalah yang sering menghantar saya untuk ke setiap rawatan termasuk menunggu dan berurusan dengan doktor serta pihak hospital. Suami banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.

Antara kata-kata semangat dari suami ialah “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat. Doktor saya pernah kata, kalau dia stay sampai selesai treatment memang jodoh.”
Berkat semangat yang tinggi kini Dr Siti Zainab mampu tersenyum apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara.
PESANAN BUAT WANITA
“Kena work life balance. Curahkan masa dan kasih sayang di rumah. Itu paling utama. Perlu bijak mengurus diri termasuk menyayangi diri dan keluarga. Bila Allah duga, Allah nak naikkan martabat kita dengan cara mencari ilmu untuk menangani dugaan. Kemudia ajar dan didik orang lain pula untuk kongsi manfaat.”

Semoga Dr Siti Zainab dan suami kekal bahagia sampai ke syurga. Dr Siti Zainab merupakan pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors. Beliau juga salah seorang finalis Anugerah Wanita Cemerlang Nona.
Kredit Foto: Instagram Dr Siti Zainab
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Hidup Mewah & Disayangi Mentua, ERIN MALEK Sentiasa Bersyukur “Jangan Mudah Menilai”

Aktres cantik berbakat besar yang namanya mula dikenali menerusi filem ‘Tentang Bulan’ ini sentiasa menjadi perhatian ramai. Erin Malek kini bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu.


Hasil perkahwinan selama lapan tahun dengan anak usahawan automotif ternama, Farriz Fauzy, mereka dikurniakan dua cahaya mata comel iaitu Mohamed Faliq Mohamed Farriz dan Nur Aisha Mohamed Farriz.
Untuk info, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek sah bergelar isteri kepada Farriz pada 10 Oktober 2014. Pada majlis itu, Farriz menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,000 manakala wang hantaran RM30,000. Mereka berbulan madu di Los Angeles, Amerika Syarikat.


NONA kongsikan temu bual eksklusif bersama Erin Malek ketika bertemu dengannya di sebuah majlis baru-baru ini. Bagaimana Erin mengambil hati ibu mentuanya, rahsia kebahagiaan rumahtangga dan persediaan Erin sebelum menempuh usia 30 tahun.
DISAYANGI MENTUA
“Mak mentua saya seorang yang mudah. Kalau menegur, selalunya ibu mentua akan cakap terus je, macam suami saya juga. Sebagai orang yang lebih muda, kita kena hormat. Bila mereka bercakap kita dengar saja.
“Walaupun ada sesetengah perkara yang mungkin kita rasa tak setuju, kita kena dengar. Kita ini menantu, kena jaga hatinya dan layan mereka seperti ibu bapa kita sendiri.


“Sejujurnya bagi saya ibu mentua seorang yang penyayang, suka ambil berat tentang diri saya serta hormat keluarga dan rumahtangga kami. Walaupun sering beri teguran dan nasihat, ibu mentua tetap akan hormat segala keputusan saya dan suami.”
RAHSIA BAHAGIA
“Tiada rahsia..kami juga seperti pasangan-pasangan yang lain. Beza usia kami 10 tahun di mana suami lebih tua daripada saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang lebih matang serta dapat mendidik saya dan anak-anak dengan baik demi kebahagiaan bersama. Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala nikmat yang diberi.

“Selain matang, suami juga seorang yang straightforward. Kalau sesuatu perkara tu salah dia akan cakap salah. Selalunya saya akan terima teguran itu demi kebaikan.
“Satu lagi, kami saling percaya dan paling penting sentiasa bersyukur. Kalau tak bersyukur, benda kecil pun akan jadi masalah besar. Maka, jalani kehidupan dengan tenang. Sentiasa berdoa agar esok lebih baik daripada hari ini.


MENANTU USAHAWAN TERNAMA
Bergelar menantu kepada usahawan ternama di Malaysia merupakan rezeki buat Erin. Bertuahnya, dalam usia 28 tahun dia memiliki segalanya. Biarpun menjalani gaya hidup mewah namun Erin tidak pernah meninggi diri. Malah, Erin sentiasa bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang.
“Bahagia bukan dinilai dengan siapa kita berkahwin. Bila sentiasa bersyukur, kita akan sentiasa rasa cukup. Itulah erti kebahagiaan sebenar dalam perkahwinan.

“Kadang-kadang apa yang orang tengok di media sosial tak sama dengan yang di belakang kita (realiti), apa yang berlaku dalam rumah. Jadi, jangan mudah menilai orang lain. Ada yang hidupnya biasa-biasa saja tetapi kekal bahagia kerana sentiasa bersyukur. Jadi, saya bersyukur sangat dengan apa yang dimiliki sekarang, alhamdulillah.”
UMUR HAMPIR 30 TAHUN
“Sekarang umur saya dah 28 tahun. Bila hujung-hujung 20an ni dan bakal memasuki usia matang saya lebih banyak fokus kepada diri sendiri, keluarga, anak-anak serta orang-orang yang terdekat di sekeliling saya.

“Saya juga lebih fokus kepada perkara-perkara yang membuatkan kita rasa gembira dan bahagia. Secara tak langsung dapat elakkan diri daripada risiko masalah kesihatan mental seperti depression dan anxiety.
“Sekarang ini golongan wanita khususnya ibu-ibu banyak terdedah dengan risiko ini kerana tekanan. Maka, fokus kepada yang baik-baik saja. Jaga kesihatan, pemakanan dan kekal cergas. Bersenamlah setiap hari, bukan untuk kurus tetapi demi kesihatan.

“Saya bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang suka bersenam. Jadi, saya ada gang untuk workout sama-sama. Selain itu, saya amalkan makanan berkhasiat dan buat aktiviti-aktiviti yang keluarkan berpeluh. Bila kita sihat secara tak langsung ia menyerlahkan kecantikan sebenar dari dalam.”
PERKEMBANGAN TERKINI
“Sudah lapan tahun saya tidak berlakon. Bukan berhenti terus sebaliknya saya terima offer yang kecil-kecil saja. Kalau yang besar-besar belum sempat lagi sebab saya nak fokus keluarga dulu buat masa ni. Anak sulung dah mula sekolah, jadi sibuk sikit. Berlakon tu InshaAllah soon..”

NONA mendoakan agar segala urusan Erin dipermudahkan dan kekal bahagia bersama keluarga tersayang.
Kredit Foto: Instagram Erin Malek
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
10 Tahun Bergiat Aktif Dalam Fesyen Muslimah, Kini MONA DIN Beralih Arah Ke D’TAHTA!

Siapa yang tidak kenal dengan jenama produk kecantikan Leesa Formula yang amat popular suatu ketika dahulu. Begitu juga dengan Serenity Spa, butik Umrah Hajj, Hajaba serta Women of Jannah yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri.
Seiring perubahan trend semasa ditambah dengan keadaan ekonomi negara yang kian ‘sakit’ mendorong wanita berusia 51 tahun ini memperlahankan segala aktiviti perniagaannya demi memberi perhatian kepada ibadah dan keluarga.
“Target saya apabila usia mencecah 50 tahun saya mahu bersara dan ingin menebus semula apa yang tidak sempat dilakukan dahulu kerana terlalu sibuk menguruskan perniagaan contohnya bercuti bersama keluarga dan memberi perhatian terhadap anak-anak yang kini sedang melalui fasa remaja.

Kini saya juga gemar menulis di Facebook. Ia umpama diari peribadi untuk saya berkongsi nasihat, tip dan kaunseling kekeluargaan secara percuma. Ramai rupanya yang mahu berkomunikasi dengan saya di Facebook. Saya gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu dengan cara sendiri.
Salah satunya, berkongsi cara saya mendidik anak-anak agar memiliki keperibadian yang mulia. Jauh di sudut hati untuk riak kerana apa yang dikongsi itu memberi mesej yang baik dan positif. Percaturan saya dan suami untuk keluar dari zon selesa dengan meninggalkan jawatan tinggi di syarikat terdahulu nyata berbaloi.
Saya yakin bahawa Allah SWT sudah menetapkan rezeki buat saya sehingga suatu tahap dan apabila ia menjadi terlalu padat, saya tidak boleh menjadi tamak. Lebih 10 tahun saya menjadi perintis kepada fesyen Muslimah.
Saya banyak habiskan masa di rumah bersama suami dan anak-anak. Alhamdulillah jadual saya kini penuh dengan aktiviti keluarga selain banyak memenuhi undangan majlis saudara mara. Kami cuba meluangkan masa bersama anak-anak khususnya pada waktu malam dan hujung minggu,” ungkap Mona Din.
BERKAT TAHAJUD
“Alhamdulillah kini saya menjadi Mona Din yang baru. Mudah lembut hati dan emosi juga lebih tenang. Jika dulu mudah hendak marah dan mahu semuanya sempurna. Ia bertitik tolak daripada solat tahajud yang saya amalkan. Masa untuk memperbaiki diri.
Saya disiplinkan diri dan berkongsi di Facebook bagaimana rutin bangun awal pagi setiap hari untuk bertahajud. Bukan niat untuk riak tetapi memberi inspirasi buat rakan-rakan bagi meraih pahala. Sama ada berada di Malaysia mahupun luar negara saya tetap konsisten melakukan rutin amalan tahajud ini.
Allah SWT permudahkan segala urusan saya, apa yang dipinta Dia akan makbulkan. Inilah yang ingin saya kongsi bersama pengikut-pengikut di sosial media. Alhamdulillah setiap hari jumlah pengikut kian bertambah.
Paling mengharukan tiada langsung kata-kata kecaman sebaliknya yang positif saja. Sebaik-baiknya semakin berusia kita semakin disayangi. Bukannya dibenci dan dikecam dengan perkara-perkara negatif,” kongsi Mona Din.

D’TAHTA
Mona Din kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan berteraskan perkahwinan yang menawarkan khidmat dewan untuk disewa bagi sebarang acara yang terletak di i-City Shah Alam.
“D’Tahta bermula secara kebetulan saja iaitu ketika saya sedang mencari tempat yang sesuai untuk perkahwinan anak lelaki saya. Saya tulis di Facebook untuk mendapatkan pandangan. Kebetulan rakan saya mengajak untuk bekerjasama maka tercetuslah D’Tahta. Anak lelaki saya menjadi pengantin pertama yang melangsungkan perkahwinannya di dewan D’Tahta. Kami juga mendapat hak eksklusif. Saya dilantik sebagai Ikon i-City dan bertanggungjawab mempromosikan i-City secara terperinci. Sesungguhnya aturan Allah SWT itu sangat cantik. Dia tutup satu pintu dan membuka pintu baru melalui orang lain.
D’Tahta terdiri daripada dua jenis dewan iaitu White Hall bertemakan Inggeris. Dewan kedua ialah Green Hall bertemakan taman. Saya merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan D’Tahta bukan hanya di kalangan orang Melayu bahkan untuk kaum lain juga. D’Tahta tidak terhad kepada majlis perkahwinan saja malah sesuai untuk apa jua acara.
Harapan saya semoga Allah SWT terus mengatur yang terbaik buat saya dan keluarga. Diharapkan anak-anak dapat meneruskan legasi perniagaan. Jika tidak, sekurang-kurangnya mereka dapat belajar tentang ikhtiar untuk hidup demi masa depan yang lebih baik,” akhiri Mona Din. AMY MOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


