Jangan Ambil Ringan Bila SAKIT KEPALA Menyerang, Boleh Jadi Penyakit Serius!

Jangan Ambil Ringan Bila SAKIT KEPALA Menyerang, Boleh Jadi Penyakit Serius!

Usah pandang remeh masalah sakit kepala. Terdapat lebih daripada satu jenis sakit kepala dan pada masa yang sama ia mungkin petanda penyakit yang lebih teruk daripada sekadar sakit kepala. Kira-kira 99% daripada masyarakat mengalami sakit kepala yang kerap atau sesekali dalam kehidupan mereka. Jadi, untuk mendapatkan rawatan sewajarnya, ia adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang betul.

Jenis-jenis sakit kepala yang paling biasa dihidapi adalah migrain dan sakit kepala ketegangan atau stres. Ia biasanya datang dan pergi mengikut cara perawatannya tersendiri.

1. Sakit kepala Migrain

  • Lazimnya sakit kepala ini agak memeritkan. Kepala akan berasa berdenyut-denyut dan berlarutan dalam beberapa jam atau hari. Ia lebih kerap dialami oleh wanita dan di kalangan keluarga. Gejala-gejala yang digambarkan bagi penghidap migrain ialah penglihatan yang kabur, lampu atau cahaya kelihatan berkelip-kelip diikuti sakit kepala berdenyut-denyut, biasanya di sebelah kepala.
  • Kebanyakan penghidap juga akan mengalami muntah-muntah, atau sesekali gangguan emosi dan memerlukan rehat seperti berbaring untuk mengurangkan rasa sakit.

 

2. Sakit Kepala Ketegangan

  • Ia dikaitkan dengan pengaruh persekitaran dan gaya hidup. Keadaan ini walaupun tidak spesifik di mana-mana bahagian kepala, tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan pada diri penghidap.
  • Lazimnya gejala yang dialami berpanjangan (berlarutan), gangguan tidur di samping menyebabkan sakit-sakit pada bahagian leher serta kurang semangat. Penghidap juga akan cepat marah dan tidak hanya perlu ubat tetapi juga rawatan kaunseling dan psikoterapi.

3. Sakit kepala Kluster (berkelompok)

  • Ia jarang berlaku tetapi lebih biasa di kalangan lelaki. Biasanya berlaku sesekali atau jika lebih kerap pun, setiap hari dan setiap hari selama 12 minggu sehingga tempoh kluster berakhir.
  • Kesakitan yang dialami biasanya di bahagian salah satu mata. Bahagian mata dan hidung yang sama sakit, boleh menjadi merah, bengkak dan berair. Sakit kepala kluster ini juga boleh menyebabkan kegelisahan. Biasanya kesakitan dialami untuk beberapa minit atau jam, tetapi biasanya ia berlangsung selama 45 hingga 90 minit.

 

4. Sakit kepala Rebound (berbalik)

  • Ia juga dikenali sebagai sakit kepala ‘ubat berlebihan’ dan boleh muncul setiap hari. Ia boleh jadi disebabkan penggunaan ubat penahan sakit secara berulang. Sakit kepala Rebound biasanya bermula seawal pagi. Kesakitan juga boleh berbeza-beza setiap hari.
  • Mereka yang menghidapi masalah ini mungkin mengalami loya, kebimbangan, cepat marah, kemurungan atau tidak dapat tidur. Pengambilan sebarang ubatan pain killer secara berterusan lebih daripada 10 hari dalam sebulan dan ini boleh meletakkan anda pada risiko untuk pulih daripada sakit hanya beberapa bulan.

5. Sakit kepala Sekunder (pertengahan)

  • Sakit kepala ini mungkin jarang berlaku tetapi ia adalah lebih serius dan boleh mengancam nyawa berbanding sakit kepala prima. Ini kerana ia boleh dikaitkan dengan ciri-ciri klinikal seperti sawan atau kelemahan pada anggota badan (lumpuh), ketidakstabilan semasa berjalan kaki, demam, kekakuan leher dan sebagainya.
  • Sakit kepala seperti ini perlu dipandang serius kerana ia kerap dikaitkan dengan masalah keabnormalan saluran darah (aneurisme) atau tumor otak, jangkitan atau penyakit radang.

Ada beberapa cara rawatan yang biasanya disyorkan pakar kepada pesakit.

  • Rawatan profilaktik migrain sama ada topiramate atau Jika kedua-dua rawatan ini tidak sesuai atau berkesan, pesakit boleh mencuba sesi akupuntur selama 10 sesi selama tempoh 5-8 minggu atau gabapentin.
  • Rawatan akut yang menawarkan kombinasi terapi dengan triptan lisan dan NSAID atau satu triptan lisan dan parac Bagi mereka yang berusia 12-17 tahun, disyorkan triptan hidung berbanding triptan lisan.
  • Bagi pesakit kluster, biasanya disyorkan menggunakan rawatan oksigen atau triptan subcutaneous atau triptan hidung.
  • Bagi pesakit Rebound, dinasihatkan berhenti mengambil ubat-ubatan secara berlebihan.
Body KURUS Nampak Cantik & Sihat, Tidak Terkecuali Ada KOLESTROL TINGGI!

Body KURUS Nampak Cantik & Sihat, Tidak Terkecuali Ada KOLESTROL TINGGI!

Kurus itu cantik! Tidak dinafikan, ramai wanita yang akan menjadikan salah satu syarat untuk cantik adalah memiliki tubuh badan yang kurus. Namun, tahukah anda orang kurus tidak semestinya 100% sihat. Ini kerana, kita dapat melihat dengan mata kasar lemak yang mengelilingi organ penting dalam badan seperti jantung dan hati. Bahkan, ada kajian mendapati mereka yang mengawal berat badan melalui proses diet memiliki lebih tinggi bacaan kolestrol dalam badan walaupun pada mata kasar mereka kelihatan kurus.

Diet yang tepat untuk penghidap kolestrol tinggi yang ingin menurunkan kadar bacaan kolestrol dalam badan adalah dengan mengurangkan pengambilan daging merah dan produk tenusu seperti telur, keju, mentega, krim dan susu. Pilihlah daging yang tidak berlemak dan susu rendah lemak untuk mengawal kadar kolestrol.

Selain itu, anda harus lebihkan pengambilan makanan berikut bukan sahaja untuk membantu menurunkan kadar kolestrol yang tinggi bahkan mengelak daripada disering penyakit seperti diabetes dan sakit jantung.

 

1. OATMEAL

Oatmeal merupakan menu popular untuk penghidap kolestrol tinggi. Selain dapat mengenyangkan dengan cepat, oatmeal juga mengandungi serat tinggi yang mampu menyerap kolestrol jahat dalam saluran darah.

 

2. KACANG ALMOND

Pengambilan badam yang kaya dengan vitamin dan nutrisi setiap hari dikatakan mampu menyerap kolestrol jahat dan meningkatkan kadar kolestrol baik dalam badan pada waktu yang sama.

3. IKAN SALMON

Ikan salmon mengandungi kandungan Omega 3 sangat baik untuk kesihatan jantung dan membantu mengurangkan pembekuan darah dan risiko kematian mengejut akibat serangan jantung.

4. BAWANG PUTIH

Bawang putih memberi kesan positif kepada tubuh badan terutamanya kesihatan jantung selain menurunkan kolestrol tinggi. Bahkan, pengambilan bawang putih dalam menu makanan anda juga mampu untuk menurunkan tekanan darah.

 

5. TEH HIJAU

Teh hijau merupakan antioksidan yang sangat bagus. Kajuian juga mendapat teh hijau boleh membakar lemak dan meningkatkan kadar penggunaan tenaga.

Semoga sedikit sebanyak perkongsian NONA ini boleh membantu anda untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan memastikan bacaan kolestrol dalam badan anda berada pada paras normal.

Avokado & Tomato Antara 10 Jenis SAYURAN Berstatus VIP, Memang Kaya Dengan Vitamin!

Avokado & Tomato Antara 10 Jenis SAYURAN Berstatus VIP, Memang Kaya Dengan Vitamin!

Semua sayuran adalah berkhasiat. Setiap satunya tinggi dengan antioksidan, mineral, serat dan vitamin yang penting untuk mencegah penyakit serta memelihara kesihatan secara menyeluruh. Kerana sifatnya yang rendah kalori, maka tidak ada sesiapa yang akan gemuk jika makan brokoli atau lobak secara berlebihan. Nona mengenal pasti 10 jenis sayuran V.I.P atau Very Important Plant yang sesuai dijadikan diet harian serta berkhasiat untuk mencegah penyakit secara semula jadi.

ASPARAGUS

Sangat kaya dengan vitamin A, C, E dan K, termasuklah kromium, iaitu mineral baik yang menentang diabetes. Ia membantu menyingkirkan gula agar keluar daripada saluran darah dan ke luar sel. Asparagus juga mengandungi antioksidan seperti glutathione yang membantu mencegah kanser, bersifat diuretik dan boleh mengurangkan risiko batu karang dalam buah pinggang.

 

AVOKADO

Sejenis buah yang kaya dengan asid oleic iaitu lemak mono tak tepu yang merendahkan paras kolesterol jahat, mencegah diabetes, sindrom metabolik, strok dan penyakit jantung. Ia juga membantu mengekalkan BMI tubuh yang sihat.

BAYAM

Popeye memilih bayam kerana manfaat berkembarnya; zat besi dan magnesium untuk memaksimumkan tenaga, mengekalkan fungsi otot dan saraf serta merangsang imuniti. Ia turut membantu merendahkan tekanan darah dan menormalkan degupan jantung.

 

BROKOLI

Kaya dengan vitamin A, C, K dan B-kompleks, serat, kalsium, zat besi, zink dan fosforus untuk menjaga kesihatan mata, kulit, merangsang imuniti serta mencegah osteoartritis. Brokoli juga dikatakan baik untuk menghalang kanser melalui khasiat enzim myrosinase serta antioksidan pekat sulforophane.

 

BOK CHOY

Kubis Cina ini mendaki tangga sayuran paling bernutrisi menurut kajian yang disiarkan oleh US Centers for Disease Control and Prevention pada tahun 2014. Bok Choy menawarkan kalsium untuk tulang dan potassium untuk merendahkan paras tekanan darah, selain membekalkan vitamin A dan C, asid folik dan besi.

 

CENDAWAN

Ini merupakan satu-satunya tumbuhan semula jadi yang membekalkan vitamin D, yang berfungsi untuk mencegah sel kanser merebak dan mengatur selia pertumbuhan sel. Cendawan juga mengandungi folat untuk menentang kanser serta selenium untuk detoksifikasi dan meningkatkan pertahanan tubuh terhadap tumor atau infeksi.

 

KALE

Secawan sayuran hijau ini dapat membekalkan 1,180% daripada nilai vitamin K yang disarankan, sekali gus merangsang kesihatan tulang dan mencegah masalah serangan jantung. Ia juga padat dengan vitamin A, C dan manganese, iaitu antioksidan penting bagi menentang radikal bebas untuk melawan kanser, menguatkan imuniti dan merendahkan tekanan darah. Ia juga memiliki agen anti-inflamasi yang meredakan asma dan artritis. Kandungan seratnya pula dapat mengawal gula darah dan membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

LADA KUNING

Dengan kandungan dua kali ganda lebih vitamin C daripada oren biasa, pengambilan lada kuning ini amat baik untuk meningkatkan sistem imun anda. Ia juga kaya dengan vitamin A untuk memberi penglihatan yang tajam, vitamin B untuk membantu otak menghasilkan neurotransmitter serta manganese untuk menyihatkan tulang dan mencegah osteoporosis.

 

TOMATO

Buah berwarna merah ini membekalkan kebaikan serat, potassium, vitamin C dan choline yang saling bekerjasama untuk merendahkan tekanan darah serta meningkatkan fungsi pengaliran darah. Ia juga merangsang penghasilan kulit yang sihat dengan membantu menjana kolagen untuk mengurangkan kerosakan suria, memudarkan kedutan dan mencerahkan kompleksi kulit.

 

ZUCHINI

Sayuran ini membekalkan asid lemak Omega-3 yang dikenali sebagai alpha-linolenic acid (ALA) yang baik untuk mengurangkan inflamasi. Ia juga sarat dengan antioksidan, manganese, karatenoid, lutein dan zeaxanthin. Disebabkan kandungan nutrien VIP di dalamnya seperti choline, zink dan magnesium, zuchini mampu merendahkan tekanan darah, mengawal gula darah serta mencegah radikal bebas.

Gara-Gara Wajah MUDA & CANTIK, Ibu Ini Sering Disangka ‘Girlfriend’ Anak Lelakinya!

Gara-Gara Wajah MUDA & CANTIK, Ibu Ini Sering Disangka ‘Girlfriend’ Anak Lelakinya!

Raut wajah dan gaya Yasmi Abdul Hamid tidak ubah seperti gadis cantik yang baru meniti usia awal 20 tahun. Sudahlah berkulit cerah dan bersusuk tubuh kecil, anak jati Perak ini juga memiliki darah kacukan Pakistan – Jawa. Patutlah cantik, ditambah pula dengan rambutnya yang panjang mengurai. Memang mengancam!

Pertama kali menyapa Yasmi dan mengetahui usia sebenarnya ternyata membuatkan penulis terkedu. Selain menghampiri usia 40 tahun, dia juga merupakan ibu kepada tiga orang anak. Terus terdetik di benak hati, bagaimanalah wanita ini menjaga kesihatan dan kecantikan diri.

“Rahsianya, i dont act like my age! Hati kena selalu ‘muda’,” ungkap Yasmi sambil berseloroh.

“Setiap pagi rutin harian saya takkan lengkap tanpa menikmati khasiat sarang burung. Ia adalah produk premium sarang burung walit dari Gua Gomantong, Sabah hasil R&D Jepun yang dikenali sebagai Bi-Su atau dalam bahasa Jepun, beautiful nest. Selain bagus untuk kesihatan dalaman terutamanya bagi wanita berusia, produk ini juga sebahagian perniagaan yang saya usahakan bersama rakan kongsi dari Jepun. Alhamdulillah, ia dah dipasarkan di Malaysia.”

Terpikat dengan keberkesanan sarang burung untuk kesihatan dan juga kecantikan, Yasmi nekad menggunakan produk import ini khusus untuk para pelanggan di spa kecantikan miliknya dan rakan kongsi iaitu Bijyo Beauty Spa. Terletak di Dataran Palma Ampang, spa ini memulakan operasi sejak April lalu. “Uniknya spa ini sebab kami gunakan produk buatan Jepun, Bi-Su. Selain ada face mask, produk ini juga dihasilkan dalam bentuk krim tangan, pencuci wajah dan sebagainya. Tidak ketinggalan, kami turut menyediakan servis eyelash extension dan serum eyelash.

Menariknya, pelanggan sasaran kami adalah dari orang kebanyakan sebab saya sendiri pun tak mampu nak bayar spa yang mahal. So as my idea dan agreed by my invester serta founder produk.. kami bersetuju untuk pasaran sederhana. Terbaru, kami ada promosi rawatan muka ‘Makcik Bawang’ yang hanya bernilai RM99. I want the best for every woman yang inginkan kecantikan so I buat harga yang berpatutan.”

Berkongsi rutin kecantikan lain yang diamalkan, tambahnya lagi “Saya turut mengambil vitamin dan suplemen tambahan. Sebagai wanita lebih-lebih lagi bila sudah bergelar ibu, kena pentingkan kesihatan, selalu senyum dan gembira serta kekal berfikiran positif. Itu motto hidup yang saya pegang selama ini. Baru muka akan tampak glowing,” ceritanya dalam nada ceria.

Merupakan ibu kepada finalis Hero Remaja 2017, Nabil Aqil yang kini berusia 20 tahun, Yasmi mengakui dia mendirikan rumah tangga pada usia yang sangat muda iaitu selepas tamat pengajian sekolah menengah. Tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut, pengusaha bakeri Mama I Love Food (MILF) ini berkata berkahwin muda ada banyak untungnya. Salah satu kebaikan yang diperoleh, apabila dia dapat melihat anak-anak membesar dan menjaga serta mendidik mereka ketika diri masih kuat dan muda.

Menyentuh tentang kesihatan dan kekuatan stamina, Yasmi yang meminati bidang tarian sejak remaja lagi kerap menghadiri kelas tarian setiap kali punya masa terluang. “Saya memang suka keluarkan peluh dengan menari sebab masa zaman remaja dulu saya merupakan bekas penari. Jadi memang sampai sekarang pun saya akan tetap menari sebagai salah satu senaman untuk stay fit. Kadang-kadang sampai ‘heret’ anak-anak untuk menari bersama. Dan mangsanya sudah tentu Nabil dan dialah yang akan jadi my dance partner.

Bersyukur dengan kurniaan kesihatan dan kecantikan yang ada pada diri, Yasmi yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha percaya hati yang bersih dan bebas hasad dengki menyerlahkan lagi kecantikan sebenar seseorang wanita.

Tatkala ditanya reaksi dirinya apabila ramai yang menganggap dia teman wanita kepada Nabil setiap kali keluar bersama-sama, Yasmi hanya mampu tersenyum lebar. “Bila keluar bersama ramai yang ingat saya kekasih anak-anak saya. It was so funny tapi bagi saya itu satu penghargaan. Terima kasih. Mungkin cara saya besarkan anak-anak agak berbeza daripada ibu-ibu yang mengenakan cara didikan berprotokol.

Secara jujur, saya lebih suka menjadi kawan baik pada anak-anak, bergurau, kongsi masalah dan cara perbualan pun bersahaja termasuk apabila berada bersama anak perempuan bongsu. Apa yang penting, ketiga-tiga mereka tahu menghormati saya sebagai ibu dan i am a proud mother for how they grow,” akhirinya.

Sampai Baju Pun Boleh Kongsi… Memang BFF Betul NOURUL DEPP & Anak Perempuannya!

Sampai Baju Pun Boleh Kongsi… Memang BFF Betul NOURUL DEPP & Anak Perempuannya!

Sekali imbas, memang tidak dinafikan kedua-duanya mempunyai rupa paras yang tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Malah, kedua-duanya mudah memberikan kerjasama dalam memberi pose menarik untuk pembaca NONA. Keakraban dua beranak ini terserlah dengan usikan manja Nourul Depp yang memuji kejelitaan yang dimiliki oleh anak gadisnya.

Membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda tidak pernah dikesalinya malah dia amat bersyukur kerana diberi peluang untuk bergelar ibu pada usia yang masih muda. Walaupun jodoh bersama bekas suami tidak panjang, bagi Nourul kehadiran cahaya mata tunggal bersama bekas suami adalah anugerah terindah yang dimiliki olehnya. Walaupun telah berpisah, baik Nourul mahupun bekas suami memberikan komitmen tanpa berbelah bahagi mendidik permata hati mereka.

“Bergelar ibu pada usia yang masih muda pastinya memberi pelbagai cabaran buat diri saya. Tetapi saya anggap ia sebagai pengalaman berharga buat diri kerana dari usia muda saya berpeluang menjaga anak sendiri dan kini apabila Ayu sudah meningkat remaja, saya boleh berkongsi segalanya bersama Ayu.

Saya juga sudah boleh enjoy bila melihat Ayu boleh membantu saya menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Kadang-kadang, garang si Ayu mengalahkan ibu tiri,” ujar Nourul berseloroh mengenai anak gadisnya sambil disertai gelak tawa kedua beranak ini.

Malah, kisah kejayaan Ayu Nazirah Mohd Faizal memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun yang lalu membuktikan bahawa perpisahan kedua ibu bapa bukanlah halangan untuk membuktikan kecemerlangan akademik. Ayu merupakan seorang yang perfectionist.

 Sejak kecil, jika dia mahukan sesuatu, dia akan melakukannya sehabis baik. Dia juga merupakan seorang individu yang fokus terhadap perkara yang ingin dilakukannya serta konsisten dalam apa yang diingini. Saya selalu melihat Ayu amalkan bangun awal pagi untuk belajar. Ada ketikanya Ayu akan berjaga malam untuk menelaah. Jika dia stress, muzik sering menjadi penemannya. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” ujar Nourul lagi.

Penyanyi kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini turut berkongsi minat yang sama dengan anak gadis kesayangannya. Memang bertuah memiliki anak perempuan, jadi Nourul dan Ayu sering berkongsi pengetahuan tentang fesyen, muzik dan alat solekan si ibu turut menjadi ‘pilihan’ buat Ayu Nazirah.

“Seronok bila Ayu sudah meningkat remaja ni kerana kami bagaikan bff!. Kami berkongsi cerita mengenai kehidupan seharian Ayu dan lebih seronok apabila kebanyakan pakaian saya sudah boleh digayakan oleh Ayu. Alat solekan saya juga sering menjadi pilihan Ayu. Ayu juga sudah pandai bergaya seperti mamanya,” ujar Nourul yang memberi kebebasan untuk anaknya membuat pilihan namun tetap memberi garis panduan dan nasihat buat puteri kesayangannya itu.

Menyentuh soal kecantikan di usia 41 tahun, Nourul percaya kulit yang cantik harus bermula dari pemakanan seseorang.

“Saya percaya untuk mendapatkan kulit yang cantik pemakanan perlu diberi perhatian. Saya amat prihatin soal pemakanan selain wajah perlu dibersihkan dengan sebaik mungkin apabila kerap mengenakan solekan yang tebal.

Malah saya dan Ayu amat gemar mengenakan masker wajah di waktu malam. Ia merupakan saat bonding sambil bercerita mengenai pelbagai perkara.” ujar Nourul lagi.

Mendirikan rumahtangga dengan Eric Daniel Depp, memberikan Nourul lebih menghargai faktor pemakanan seimbang  agar tubuh dapat berfungsi pada tahap terbaik.

“Saya amat mementingkan pengambilan pemakanan kesihatan serta pengambilan air yang secukupnya untuk kesihatan tubuh badan. Saya kekal aktif kerana mempunyai tenaga dari pemakanan kesihatan yang diamalkan. Selain itu, saya juga kerap bersenam supaya badan sentiasa kekal cergas dan aktif. Apabila usia semakin meningkat, tubuh badan perlu cergas dan aktif,” ujar Nourul yang sememangnya gemar menjalani gaya hidup aktif.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: