Hebatnya Air Tangan DATIN SURINA, Buat Ramai Kecur Dengan Resipi Tradisinya!

Hebatnya Air Tangan DATIN SURINA, Buat Ramai Kecur Dengan Resipi Tradisinya!

APA PETUA-PETUA MASAKAN YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SEHINGGA KINI?

Memasak perlu berada dalam keadaan yang tenang di samping ikhlas. Kalau mood ketika memasak sedang dalam keadaan baik secara tidak langsung hasilnya cukup memuaskan hati. Ahli keluarga juga pasti akan gembira serta berpuas hati dengan masakan kita.

KONGSIKAN MENU TRADISI KELUARGA SETIAP KALI MENJELANG SYAWAL?

Selalunya juadah tradisi yang mesti ada setiap kali menjelang lebaran ialah sambal kacang ayam yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Tanpanya maka tidak lengkaplah juadah Hari Raya kami.

KUIH TIRAM

Bahan-bahan:

  • 500gm tepung
  • 1 biji telur
  • 2 sudu marjerin
  • Sedikit garam
  • 160ml air
  • 6 sudu tepung jagung
  • 6 sudu minyak

 

Cara Membuat:

Satukan tepung jagung dan minyak sehingga menjadi pes lembut, ketepikan seketika. Satukan semua bahan lain sehingga menjadi doh yang licin dan mudah diuli. Uli doh supaya menjadi nipis. Bahagikan doh kepada 4 bulatan kecil kemudian baru dicanai. Sapu doh yang telah dicanai dengan pes tepung jagung, sapu rata. Gulung kemas kemudian potong kecil lebih kurang sebesar ibu jari. Canai leper lalu digoreng sehingga kekuningan. Sira dengan gula halus. Simpan ke dalam bekas kedap udara.

MARUKU

Bahan-bahan:

  • 1 bungkus tepung muruku (digoreng tanpa minyak)
  • 2 sudu besar bijan (digoreng tanpa minyak)
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 2 sudu besar serbuk rempah kari daging
  • 1/2 sudu teh soda bikarbonat
  • Garam secukup rasa
  • 3 sudu besar marjerin atau minyak sapi (dicairkan)
  • Santan secukupnya

 

Cara Membuat:

Masukkan tepung muruku, bijan, jintan manis, rempah kari daging, soda bikarbonat dan garam dalam mangkuk besar, gaul sebati. Kemudian masukkan marjerin. Gaul adunan sehingga sebati. Buatkan lubang di tengah adunan dan masukkan santan sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh lembut. Masukkan doh ke dalam acuan maruku, tekan acuan dan keluarkan doh secara lingkaran. Ulang sampai doh habis. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan maruku dan goreng sehingga keperangan. Angkat dan toskan.

 

Kenali Dulu ‘Mood’ Ketuhar Anda, Baru Kek Dan Biskut Menjadi

Kenali Dulu ‘Mood’ Ketuhar Anda, Baru Kek Dan Biskut Menjadi

Pastinya pada waktu ini kaum wanita bukan hanya sibuk menguruskan biskut raya sendiri. Tidak dinafikan ramai di antara suri rumah hari ini lebih selesa membeli biskut dan kek daripada pengusaha pastri. Namun jika anda mahukan sesuatu yang menepati cita rasa dan mementingkan kualiti, boleh lakukan sahaja dari rumah.

Untuk menyediakan kek dan biskut yang rangup dan enak, beberapa aspek perlu dititikberatkan. Antaranya termasuk bahan yang digunakan, suhu ketuhar dan teknik mengadun yang betul.

  • Sebelum membakar biskut atau kek, pastikan anda memanaskan dahulu ketukar selama 10 hingga 15 minit.
  • Gunakan api bawah sahaja untuk membakar biskut. Suhu yang paling sesuai adalah di antara 175 darjah Celsius hingga 180 darjah Celsius. Jika menggunakan api atas dan bawah, turunkan suhu 20 darjah Celsius.
  • Jika adunan terlembik tambahkan sedikit tepung gandum. Manakala jika ia terlalu keras dan berderai hingga sukar menjadi doh, tambahkan sedikit marjerin atau mentega.
  • Tutup adunan yang telah diuli seketika sebelum proses mencanai.
  • Pastikan anda menggunakan marjerin untuk disapu pada dulang pembakar. Elak menggunakan mentega kerana ia mudah hangus dan boleh membuatkan bahagian bawah biskut pahit jika hangus.
  • Apabila menyapu kuning telur di atas biskut pastikan tiada yang tertumpah di atas dulang pembakar kerana ia akan mudah hangus dan biskut melekat di dulang.
  • Letakkan sedikit gula di dalam balang biskut supaya ia kekal rangup.
  • Biskut yang telah masak harus disejukkan di atas redai terlebih dahulu. Jika dibiarkan, wap akan terkumpul di bahagian bawah biskut. Akibatnya biskut tidak tahan lama dan cepat berkulat.

 

 

RAHSIA BISKUT ENAK DAN RANGGUP

1) Gunakan Acuan

Ketika ingin membentuk biskut, jangan terus digunakan kerana ia akan membuatkan doh melekat di dalam acuan berkenaan. Basuh acuan dan pastikan ia dilap kering. Bagi memastikan doh tidak melekat di dulang pembakar, sapukan marjerin di sekeliling acuan. Bakar di dalam ketuhar selama 15 minit dan keluarkan sementara menunggu ia sejuk sebelum digunakan. Hasilnya, doh akan terbentuk cantik tanpa lekat.

2) Doh Biskut Lebih Ranggup

Bungkuskan doh yang telah siap dengan plastik dan diletakkan di dalam peti sejuk atau bekas kedap udara. Biarkan selama 1 ke 2 jam. Keluarkan dan bentukkan doh mengikut cita rasa masing-masing. Bakar seperti  biasa dan hasilnya biskut anda akan lebih rangup dan enak. Antara petua lain khususnya untuk merangupkan biskut tart adalah dengan meletakkan sedikit minyak sapi di dalam adunan tart dan digaul bersama mentega.

 

3 )Biskut Tampil Cantik

Ada ketika biskut yang dibuat tidak kelihatan cantik dan sempurna disebabkan beberapa faktor. Jika anda menghadapi situasi ini, usah risau. Bagi mencantikkan kembali permukaan biskut, campurkan sedikit esen vanila ke dalam putih atau kuning telur. Sapukan ia di atas biskut dan kemudian dibakar seperti biasa. Biskut akan lebih licin dan menarik apabila siap dibakar.

 PANDUAN MEMBAKAR KEK

Kek yang telah masak akan mudah melekat di permukaan loyang dan sukar untuk dikeluarkan apabila ia telah sejuk. Terutamanya apabila kek yang dibuat adalah kek keju. Justeru untuk mengelakkan kek terhakis dan terkoyak di sebelah tepi loyang, panaskan pisau di atas api seketika dan dilalukan ia ditepi loyang berkenaan.

Pastri yang mempunyai crust sememangnya sukar untuk dikeluarkan. Namun, terdapat cara yang boleh dipraktikkan untuk mengeluarkan ia dengan mudah iaitu dengan membiarkan crust benar-benar sejuk pada suhu bilik setelah siap dibakar. Seterusnya, terbalikkan acuan tanpa perlu mengetuk acuan tersebut. Crust akan keluar dengan sendirinya tanpa pecah

Bukan Je Kanak-Kanak, Orang Dewasa Pun Confirm Suka 4 Resipi KEK & BISKUT RAYA Ni!

Bukan Je Kanak-Kanak, Orang Dewasa Pun Confirm Suka 4 Resipi KEK & BISKUT RAYA Ni!

Sebagai tuan rumah pasti anda mahukan yang terbaik buat tetamu khususnya dalam penyediaan hidangan. Berikut Nona kongsikan ilham rasa istimewa daripada Hotel Concorde Shah Alam buat rujukan anda. Terima kasih kepada Cef Mohd Irwan Bani Ismail kerana sudi berkongsi resipi.

BISKUT LAPIS SAMBAL

Bahan-bahan:

  • 375 gm mentega
  • 250 gm gula
  • 4gm garam
  • 125 gm kuning telur
  • 500 gm tepung

Bahan-bahan pes sambal bilis:

  • 60 gm cili kisar
  • 10 gm bawang merah
  • 5 gm bawang putih
  • 3 gm asam keping
  • 70 gm ikan bilis

Cara Membuat:

Pukul mentega dan gula segingga sebati. Masukkan garam dan kuning telur. Seterusnya masukkan tepung. Gulung doh dan letakkan dalam peti sejuk selama 1 jam. Kemudian, asingkan doh kepada dua bahagian (25gm dan 25gm). Gulung kedua-dua doh. 1 bahagian disapu dengan pes sambal ikan bilis dan di bahagian atasnya disapu dengan kuning telur. Akhir sekali taburkan ikan bilis. Bakar pada suhu 160C selama 25 minit.

KEK COKLAT BERLAPIS

Bahan-bahan:

  • 200 gm mentega
  • 150 gm gula
  • 6 biji telur ayam
  • 100 gm tepung
  • 10 gm serbuk penaik
  • 100 gm coklat
  • 50 gm serbuk koko
  • 100 gm susu segar
  • 100 gm whip cream
  • 5 gm serbuk gelatin
  • 50 gm croquantine

Cara Membuat:

Pukul mentega bersama gula sehingga kembang. Masukkan telur dan kacau sebati. Kemudian masukkan semua bahan lalu dipukul sehingga sebati. Bakar pada suhu 180C selama 50 minit.

BISKUT DELIMA MADU

Bahan-bahan:

  • 340 gm mentega
  • 250 gm gula perang
  • 5 gm serbuk soda bikarbonat
  • 4 gm garam
  • 5 gm madu
  • 2 gm serbuk kayu manis
  • 60 gm telur
  • 750 gm tepung gandum
  • 1 biji buah delima

Cara Membuat:

Pukul mentega dan gula perang sehingga sebati. Masukkan garam dan madu. Kemudian masukkan serbuk kayu manis dan tepung gandum. Tambahkan telur diikuti dengan buah delima. Bakar di dalam ketuhar pada suhu 160C selama 25 minit.

BEBOLA COKLAT

Bahan-bahan:

  • 750 gm coklat
  • 250 gm mentega
  • 125 gm gula
  • 60 gm telur
  • 5 gm garam
  • 375 gm tepung gandum
  • 30 gm serbuk koko
  • 10 gm serbuk soda bikarbonat
  • 250 gm coklat putih
  • 150 gm kacang tumbuk (kacang tanah)

Cara Membuat:

Cairkan coklat, pukul mentega dan gula sehingga sebati. Masukkan telur satu persatu diikuti tepung gandum, serbuk koko, kacang tumbuk dan serbuk penaik. Seterusnya, masukkan pula coklat yang telah dicairkan tadi ke dalam separuh daripada adunan tadi. Uli sehingga menjadi dua doh. Gulung kedua-dua doh dan masukkan ke dalam peti sejuk. Lapiskan sehingga menjadi tiga bahagian. Kemudian tekap acuan bulat mengikut saiz yang disukai. Susun di atas loyang kemudian bakar pada suhu 160C selama 25 minit. Untuk hiasan, sadurkan bersama coklat cair sehingga menjadi bebola.

 

 

 

2 Juadah Wajib DATIN BELINA Tiap Kali Hari Raya, Sedap & Mudah Disediakan!

2 Juadah Wajib DATIN BELINA Tiap Kali Hari Raya, Sedap & Mudah Disediakan!

Sudahlah cantik, pandai memasak pula tu. Yang tak reti memasak, boleh cuba resipi yang dikongsikan Datin Belina ini. Bahan-bahan yang digunakan senang hendak dapat dan cara penyediaan pun mudah. Selamat mencuba!

APA PETUA MASAKAN YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SEHINGGA KINI?

Hati mesti tenang dan fokus. Memasak juga memerlukan ketelitian. Jika dilakukan dalam tergopoh gapah kita akan kecewa dengan hasilnya. Memasaklah dengan ikhlas, kasih sayang dan sepenuh hati. Saya juga amalkan selawat agar lebih berkat.

BAGAIMANA DATIN MENDAPAT ILHAM SETIAP KALI HENDAK MEMASAK?

Mood dan keadaan mempengaruhi ilham untuk memasak. Kalau datangnya ilham, saya akan mencuba resipi baru atau menyediakan menu istimewa. Kalau buntu hendak masak apa, selalunya saya akan hubungi ibu dan tanya pendapatnya. Ibulah sumber inspirasi saya kerana beliau pandai memasak.

KONGSIKAN MENU TRADISI KELUARGA SETIAP KALI MENJELANG SYAWAL?

Semestinya Rendang Hitam Negeri Sembilan yang merupakan menu tradisi arwah ibu mertua. Setiap kali Hari Raya menu ini mesti ada.

RENDANG HITAM NEGERI SEMBILAN

Bahan-bahan:

  • 3kg santan
  • 1kg daging
  • 1 mangkuk (saiz sedang) bawang merah (dihiris)
  • 1 mangkuk (saiz sedang) bawang putih (dihiris)
  • Cili kering (jika hendak pedas tambahkan sedikit cili padi) (dikisar)
  • Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih

Bahan-bahan sanggang:

  • 6 sudu besar biji ketumbar*
  • 1 sudu besar jintan manis*
  • 2 sudu kecil jintan putih*
  • 4 sudu besar lada hitam*
  • (*)semua bahan dikisar kering

Cara Membuat:

Masukkan santan dalam kuali, kacau bersama cili yang dikisar sehingga menjadi separuh daripada sukatan. Masukkan daging dan kacau rata. Masukkan bawang yang dihiris, teruskan mengacau dengan api perlahan. Kacau sehingga dua jam kemudian masukkan pula bahan-bahan rempah sanggang bersama kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Perasa dengan garam dan teruskan mengacau sehingga ia bertukar warna kehitaman dan kering

LONTONG

Bahan-bahan A:

  • 1 batang lobak merah (dipotong memanjang)
  • 1 biji kentang (dipotong 4)
  • 2 biji terung panjang
  • ¼ biji kobis
  • 6 batang kacang panjang
  • 2 keping fucuk (rendam, potong kecil)
  • 2 keping tauhu (dipotong kecil & digoreng)
  • 1 ikat soo hoon (rendam, potong kecil)
  • 2 batang cili merah (dihiris)
  • ¼ biji sengkuang (dipotong memanjang)
  • 1 keping tempe (dipotong dadu besar & digoreng)
  • 1 cawan udang (dibuang kulit)
  • 2 santan kotak
  • 2 batang serai (diketuk)
  • Garam secukupnya

Bahan-bahan B (dikisar):

  • 1 inci kunyit hidup
  • 8 ulas bawang merah
  • 2 sudu besar udang kering (direndam & ditoskan)

Cara Membuat:

Masukkan bahan kisar bersama santan cair dan serai ke dalam periuk lalu panaskan sehingga hampir mendidih. Kemudian masukkan udang diikuti sayur-sayuran. Masukkan pula santan pekat dan tauhu kering diikuti cili merah. Perasa dengan garam, sesuaikan rasa dan kepekatannya. Hidangkan bersama nasi impit, sambal tumis atau kuah kacang serta telur rebus.

Rugi Kalau Tak Cuba Resipi Biskut Raya Ni, Tak Tahan Tengok OREO TRUFFLES Tu!

Rugi Kalau Tak Cuba Resipi Biskut Raya Ni, Tak Tahan Tengok OREO TRUFFLES Tu!

Kemeriahan Syawal tak akan lengkap tanpa biskut dan kek. Lengkapi sambutan lebaran anda dengan mencuba resipi istimewa daripada As Savoury Baking Studio ini. Terima kasih buat pengasasnya, Puan Asmah yang sudi berkongsi resipi. Jom cuba!

STRAWBERRY PRETZEL PARFAIT

Bahan-bahan:

  • 12 biji strawberi (dipotong dadu)
  • 2 sudu teh gula kastor
  • 1 cawan pretzel mini (dikisar sederhana halus)
  • 2 sudu makan mentega tanpa garam (cairkan)
  • Secubit serbuk kayu manis
  • 3/4 cawan krim masam
  • 2 sudu makan gula perang

Cara Membuat:

Tabur gula kastor ke atas strawberi. Gaul sehingga sebati, rehatkan selama 30 minit. Ketepikan. Kisar pretzel sehingga sederhana halus. Masukkan mentega cair dan serbuk kayu manis, kisar sehingga sebati. Ketepikan. Dalam mangkuk lain, gaul sebati krim masam dan gula perang menggunakan whisk. Sediakan mangkuk atau gelas lalu masukkan setiap adunan mengikut susunan. Bermula dengan krim masam, strawberi dan pretzel. Ulangi sehingga bekas penuh.

CHOC CHIP CHEESE COOKIES

Bahan-bahan:

  • 1/4 cawan mentega tanpa garam (suhu bilik)
  • 125gm krim keju (suhu bilik)
  • 1 biji telur gred A
  • 1/2 sudu teh esen vanila
  • 1 sudu makan susu segar
  • 1 1/4 cawan gula aising (diayak)
  • 1 1/4 cawan tepung gandum (diayak)
  • 1/4 cawan tepung jagung (diayak)
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik (diayak)
  • 6 sudu makan coklat cip

Cara Membuat:

Pukul mentega dan krim keju sehingga halus dan berkrim. Masukkan telur, esen vanila dan susu segar, gaul sebati. Masukkan gula aising dan pukul lagi sehingga kembang. Masukkan tepung gandum, tepung jagung, serbuk penaik dan coklat cip, rehatkan doh selama sejam di dalam peti sejuk. Panaskan ketuhar pada suhu 160c selama 10 minit dan alas loyang dengan kertas minyak. Bentukkan doh seperti bebola (anggaran 25 biji bebola) dan susun ke atas kertas minyak. Jarakkan dan tekan doh agar sedikit leper. Tabur coklat cip ke atasnya, bakar pada suhu 160c selama 15-20 minit atau sehingga bahagian bawah sedikit perang.

OREO TRUFFLES

Bahan-bahan:

  • 3 1/2 paket biskut Oreo
  • 250gm krim keju (suhu bilik)
  • 375 gm white chocolate compound (cairkan)
  • 185 gm dark chocolate compound (cairkan)

Cara Membuat:

Kisar biskut Oreo bersama intinya sehingga halus. Pukul krim keju sehingga licin, satukan serbuk biskut Oreo dan krim keju sehingga terbentuk doh. Sukat doh menggunakan sudu penyukat (1 sudu makan). Bulatkan menjadi bebola dan susun ke dalam bekas. Bekukan di dalam freezer selama 30 minit. Cairkan coklat dengan kaedah double-boil. Celup bebola tadi ke dalam coklat putih dan letak di atas wax paper sehingga coklat mengeras. Sejukkan di dalam peti sejuk selama 10 minit dan hias. Enak dinikmati sejuk dan boleh dibekukan di dalam freezer.

BUTTERSCOTCH BLONDIES

Bahan-bahan:

  • 226 gm mentega tanpa garam (cairkan)
  • 350 gm gula perang
  • 2 biji telur gred A + 1 biji kuning telur (suhu bilik)
  • 1 1/2 sudu teh esen vanila
  • 285 gm tepung gandum
  • 2 sudu teh tepung jagung
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 1 sudu teh garam halus
  • 250 gm butterscotch chip

Cara Membuat:

Cairkan mentega dan satukan gula perang ke dalam mangkuk. Kacau sebati. Masukkan telur satu persatu. Gaul sehingga sebati. Masukkan esen vanila diikuti tepung gandum, tepung jagung, serbuk penaik, garam halus dan butterscotch cip. Sebatikan. Tuang dan ratakan adunan ke dalam loyang bersaiz 8”. Bakar pada suhu 170c selama 35-40 minit. Biarkan sejuk sebelum dipotong.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: