Suatu ketika dulu, jenama kecantikan DE’WAJAH pernah mencetus fenomena tersendiri. Pengasasnya, Datuk Junaidah Kitting merupakan pioneer syarikat kosmetik Bumiputera terawal di Malaysia. Walau kini berusia 63 tahun, ibu anak 4 ini masih meletakkan komitmen yang tinggi terhadap empayar bisnesnya agar terus relevan dengan situasi semasa.
Jenama kecantikan De’Wajah yang masih bertahan lebih 30 tahun.
“Bisnes De’Wajah sudah bertahan lebih 30 tahun. Kami mempunyai pelanggan setia sejak dulu sampai kini. Dari muda sampailah sekarang saya masih bekerja. Orang berniaga ni memang tiada pencennya. Sebagai pengasas saya sudah melalui pelbagai cabaran jatuh bangun dalam perniagaan.
Bezanya dahulu cabarannya tidak terlalu terasa, tiada saingan yang banyak dalam bidang kecantikan. Ketika itu saya rasa boleh dikira dengan jari usahawan-usahawan wanita yang terbabit dalam spa, salun rambut dan pembuatan produk. Saya antara wanita Melayu terawal yang menceburkan diri dalam bidang kecantikan di Malaysia.
Pengasas De’Wajah, Datuk Junaidah Kitting yang masih cantik di usia 63 tahun.
Kita jangan cepat menganggap bahawa perniagaan kitalah yang paling hebat dan berjaya, manakala perniagaan orang lain pula gagal.
Sudah menjadi lumrah kadang-kadang bila kita lihat orang itu ada rumah besar, kereta mewah, kerap makan angin ke luar negara, beli barang-barang berjenama kita sudah anggap dia sangat berjaya.
Kemudian bila lihat usahawan yang nampak ‘biasa-biasa’ itu gagal atau kurang berjaya.
Apa yang boleh saya katakan ialah bagi yang berniaga dan berjaya dia sememangnya mampu memiliki apa yang diinginkan. Hak masing-masing, tetapi kita tidak boleh melihat usahawan-usahawan yang tidak seperti itu dianggap gagal. Dalam perniagaan tidak ada yang gagal sebenarnya.
Sokongan dan kerjasama dari staf antara faktor kejayaan De’Wajah.
Bagi saya, gagal itu totally tiada apa-apa. Kadang-kadang mereka berjimat. Tiada kereta mewah, tinggal di rumah biasa, pergi makan tempat-tempat biasa. Kita tidak seharusnya ada persepsi seperti itu. Mungkin dia sudah ada simpanan dan mahu berjimat cermat demi masa hadapan termasuklah tidak mahu menunjuk-nunjuk kemewahan.
Ads
Kesimpulannya, pada pendapat saya tiada usahawan yang dianggap gagal melainkan usahawan itu mengalami bankruptcy. Setiap usahawan ada cara masing-masing, ada yang low profile dan hidup dalam bersederhana.”
CABARAN BERNIAGA DULU & SEKARANG
Kalau dulu kita beriklan melalui suratkhabar dan majalah contohnya Karangkraf. Selama lebih 20 tahun saya bekerjasama dengan syarikat tersebut dan boleh dikatakan hampir semua majalah di Karangkraf saya beli iklannya. Jatuh bangun bersama Karangkraf, dalam masa yang sama ia telah banyak menaikkan nama saya sebagai usahawan.
Ads
Datuk Junaidah Kitting bersama artis tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Maka, sangat berlainan dengan sekarang lebih-lebih lagi dengan berlakunya pandemik COVID-19. Oleh itu, kita perlu bertukar contohnya bertukar dari segi cara kerja, periklanan, cara mengendalikan perniagaan dan sebagainya. Sekarang ini kita tidak boleh lagi bergantung kepada perniagaan sedia ada.
Saya ada spa tetapi dulu setahun tidak boleh buka termasuklah salun rambut. Jadi income langsung tiada tetapi saya ada pekerja dan kedai yang perlu dibayar sewa. Maka kita perlu berfikir apa lagi yang boleh kita buat untuk survive dan supaya bisnes tidak tutup sementara pandemik ini tamat.
Ads
Fokus saya sekarang lebih kepada produk sebab saya tahu kebanyakan wanita tetap nak nampak cantik, nak pakai skincare, haircare dan kosmetik maka kita kuatkan periklanan melalui online dan apa saja platform mengikut trend sekarang. Alhamdulillah sambutan di luar jangkaan walaupun pada mulanya agak keluh kesah juga.
Tetapi apabila kita sudah melaluinya kita tahu apa yang kita nak buat. Kalau tak lalui, kita tidak akan tahu apa tindakan yang boleh kita buat. Bila dah lalui kita akan berfikir lebih cergas tentang apa yang kita akan lakukan ke depan.
Bergelar usahawan ini sentiasa ada cabarannya. Macam-macam kena lalui. Jiwa orang berniaga ni kena kuat, kental dan tak boleh lemah semangat walau apa pun yang kita lalui. Kita kena berfikir dan kuat untuk menangani permasalahan itu.
Kredit Foto: Facebook Junaidah Kiting Dewajah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Industri penerbangan hambar sejak wabak COVID-19 menular. Namun tatkala meninjau angkasa, ingatan serta-merta tertumpu pada aktiviti Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun yang juga penerima Nona Men’s Corporate Award.
Kebetulan sewaktu sesi temu bual ini berlangsung, Datuk Kamarudin dan isteri, Datin Siti Munajat Md Ghazali baru sahaja berlepas ke London. Sekadar mampu berutusan melalui e-mel, wakil dari unit Komunikasi Kumpulan AirAsia ringan tulang membantu.
Syukur, segalanya lancar sebelum tiba-tiba gempar berita Pengasas Bersama AirAsia itu disahkan positif COVID-19 dan terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.
‘Datuk Kamarudin stabil tapi Datin terpaksa bertahan dengan bantuan mesin pernafasan.’ Petik laporan dari sebuah portal terkemuka dari bumi Inggeris.
Seperti dapat merasai kebimbangan warga AirAsia Allstars terhadap keadaan ‘ibu bapa’ mereka, penulis berusaha mengintai khabar lelaki asal Kuala Lumpur itu dari kejauhan, melihat perkembangan kesihatannya yang kian pulih dari semasa ke semasa.
Berpegang kepada prinsip hidup iaitu mementingkan keseimbangan fizikal dan spiritual juga menjaga hubungan silaturrahim yang baik dengan semua orang, lelaki yang diiktiraf Nona Men’s Corporate Award di acara Nona Superhero Award ini menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasinya.
“Bagi saya kerja dan keluarga perlulah seimbang. Dalam kesibukan bekerja, kita perlu juga mencari waktu untuk bersama keluarga.
Contohnya apabila terpaksa ke luar negara atas urusan kerja dan apabila berpeluang, saya akan cuba untuk membawa keluarga saya bersama kerana masa yang dapat diluangkan bersama keluarga dalam apa jua keadaan adalah suatu nikmat yang tidak ternilai.” Datuk Kamarudin
LELAKI PINTAR
Datuk Kamarudin berkelulusan Diploma Sains Aktuari (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tinggi (Magna Cum Laude) dalam jurusan Kewangan (1986) serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (1987) dari Central Michigan University.
“Sebelum menyertai AirAsia, saya bertugas di Arab-Malaysian Merchant Bank dari 1988 hingga 1993 sebagai Pengurus Portfolio, menguruskan kedua-dua institusi dan dana pelaburan pelanggan individu bernilai tinggi.
Pada tahun 1994, saya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Innosabah Capital Management Sdn Bhd (anak syarikat Innosabah Securities) yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Intrinsic Capital Management.”
Mudah mesra, senang diajak berbual dan meminati muzik, Datuk Kamarudin juga amat dikenali dengan sifatnya yang merendah diri. Orangnya warak dan senang menghadiri majlis-majlis ilmu kerana kecintaannya terhadap agama.
Tokoh korporat dan keusahawanan hebat ini merupakan teman karib dan rakan niaga Tan Sri Tony Fernandes, yang sama-sama mengambil alih pengurusan AirAsia pada Disember 2001.
Misi dua sahabat itu jelas. Mereka sama-sama mahu menubuhkan sebuah syarikat penerbangan tambang rendah sekaligus merintis tagline ‘Now Everyone Can Fly’.
Dan dari cita-cita polos itu, berkembang menjadi sebuah syarikat disegani di seluruh rantau Asia Pasifik!
“Pada awal permulaan AirAsia, ramai yang beranggapan bahawa model perniagaan kami tidak akan berjaya dan hanya mampu bertahan selama 3 bulan sahaja. Namun kami berjaya membuktikan kami masih bertahan hingga ke hari ini.
Saya percaya when there’s an opportunity and if you strongly believe in it, you should grab it. Ambil peluang dan cuba lakukannya sebaik mungkin kerana you don’t want to live a life with regret!” Datuk Kamarudin
Kini Datuk Kamarudin merupakan Pengasas bersama dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, yang bertanggungjawab membangunkan strategi menyeluruh bagi syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, ahli lembaga pengarah penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X Berhad, selain memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah bagi pasukan bolasepak Red Giants Selangor dan Yayasan Anugerah Sains Mahathir.
PANDEMIK
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia terpaksa berdepan cabaran paling besar dalam sejarah. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan negara melaksanakan sekatan perjalanan serta menutup pintu masuk antarabangsa, industri pelancongan dan penerbangan lumpuh sama sekali.
Saat itu, ramai bertanya… Mampukah Kumpulan AirAsia terus bertahan dengan pendapatan yang menjunam, prestasi merosot dan keuntungan menyusut?
“Pandemik COVID-19 adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana ia mengejutkan industri penerbangan di seluruh dunia dan merupakan cabaran yang tidak pernah dilalui oleh siapapun.
Namun setiap cabaran ada hikmah disebaliknya kerana ia akan membuka mata kita untuk belajar menjadi lebih kreatif dan kritis untuk mengatasi apa jua masalah yang dihadapi dengan usaha, tawakal dan izin Allah SWT.
Sebagai contoh, walaupun strategi pendigitalan perniagaan AirAsia sebenarnya telah bermula sejak 2018 iaitu lama sebelum pandemik melanda lagi, AirAsia telah menggunakan tempoh PKP untuk menggandakan usaha dan menggerakkan seluruh tenaga kakitangan kami untuk menjayakan projek pendigitalan ini sehingga lahirnya AirAsia Super App.
Pada masa yang sama kami juga telah menubuhkan sebuah aplikasi yang dinamakan IKHLAS. Aplikasi IKHLAS ini adalah satu cabang platform lifestyle patuh shariah dibawah AirAsia yang menawarkan kemudahan untuk masyarakat melaksanakan ibadah zakat, sedekah, infaq jumaat, qurban dan aqiqah.
Disamping itu, IKHLAS juga menawarkan pakej haji dan umrah serta platform jual beli atas talian untuk pelbagai produk yang bukan sahaja sesuai untuk masyarakat Muslim tetapi juga untuk semua.
Seterusnya IKHLAS juga bergiat aktif bersama badan-badan NGO, peniaga kecil dan sederhana dengan menjalankan aktiviti bantuan kemanusian bagi mereka yang memerlukan. Aplikasi IKHLAS ini bergerak seiring dan saling melengkapkan dengan AirAsia Super App.
Kejayaan Gelembung Perjalanan Langkawi juga mengajar kami mengenai beberapa perkara, antaranya semua tetamu telah biasa dengan pematuhan SOP dan sedia memberikan kerjasama untuk semua inisiatif kami seperti self check-in dan baggage drop.
Walaupun pandemik ini merupakan episod yang sangat perit sebenarnya, bukan sahaja bagi AirAsia tetapi keseluruhan industri penerbangan, namun kami percaya industri penerbangan dan pelancongan secara amnya akan kembali pulih secara berperingkat, bermula dengan pembukaan sektor domestik dan diikuti penerbangan antarabangsa tidak lama lagi.” Datuk Kamarudin
NORMA BAHARU
Bekerja dalam suasana norma baharu turut memudahkan Datuk Kamarudin menguruskan pelbagai tugasan di mana-mana sahaja.
“Sudah tentu fleksibiliti ini memberikan kelebihan kepada semua terutamanya kepada saya dan kakitangan kami yang sudah berkeluarga.
Sebagai contoh, saya dapat menjalankan tanggungjawab saya untuk mempengerusikan mesyuarat syarikat secara dalam talian walau dimanapun saya berada.
Walau bagaimanapun, jika berkesempatan sudah tentu saya akan ke pejabat untuk bertemu dengan kakitangan kami khususnya yang bekerja didalam bidang operasi di lapangan terbang.
Di samping itu, kita tidak harus melihat bencana COVID-19 ini sebagai suatu penamat. Sebaliknya lebih kepada peluang yang ada hikmah disampingnya. Oleh itu, penjanaan idea baru adalah sesuatu yang penting dalam usaha kita untuk mengharungi cabaran COVID-19 ini.
Sentiasa bersyukur dalam apa jua yang berlaku dan insyaAllah kita akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi sebarang cabaran.”
Di akhir perbualan, Datuk Kamarudin sempat menitipkan nasihat bahawa ilmu dan keikhlasan adalah sesuatu yang penting untuk berjaya di dalam kehidupan dan kerjaya.
“The more you seek knowledge, the more you will find something that you don’t know. Carilah ilmu dan beri ilmu secara ikhlas.”
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Foto: AirAsia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Victoria Beckham sekali lagi membuktikan bahawa dedikasi, disiplin dan visi jangka panjang seorang wanita mampu diangkat ke pentas tertinggi dunia. Pada 26 Januari 2026 lalu, pereka fesyen tersohor Britain itu secara rasmi dianugerahkan The Knight of the Order of Arts & Letters oleh Kementerian Kebudayaan Perancis, satu penghormatan berprestij yang mengiktiraf sumbangan luar biasa dalam bidang seni dan budaya.
Majlis yang berlangsung di Paris itu disempurnakan sendiri oleh Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati. Beliau memuji Victoria sebagai ikon yang telah mengubah cara wanita melihat diri mereka melalui fesyen. Penghargaan The Knight of the Order of Arts & Letters (atau Chevalière de l’Ordre des Arts et des Lettres) ini meletakkan Victoria sebaris dengan tokoh dunia lain yang pernah menerima anugerah sama seperti Zoe Saldaña, Selena Gomez, Jude Law dan Denis Villeneuve.
Pada usia 51 tahun, Victoria hadir ditemani suaminya, bekas bintang bola sepak dunia Sir David Beckham serta anak-anak mereka Romeo, Cruz dan Harper. Turut hadir memberikan sokongan ialah rakan-rakan rapat serta figura besar dunia fesyen antarabangsa termasuk Anna Wintour, Edward Enninful dan model Perancis, Cindy Bruna.
Pun begitu, ketidakhadiran anak sulung mereka, Brooklyn Beckham serta isterinya, Nicola Peltz, tidak menjejaskan makna hari bersejarah itu.
Dalam ucapannya, Rachida Dati menyifatkan Victoria sebagai simbol keberanian dan kebebasan wanita moden. Menurut beliau, Victoria telah menawarkan jutaan wanita muda satu representasi baharu tentang keyakinan diri, keanggunan dan kekuatan feminin melalui rekaan fesyennya yang tegas tetapi sofistikated.
Pengiktirafan The Knight of the Order of Arts & Letters yang diterima Victoria Beckham ini bukan anugerah biasa. Ordre des Arts et des Lettres merupakan anugerah penghormatan yang diilhamkan pada tahun 1957 oleh Kementerian Kebudayaan Perancis bagi mengiktiraf individu yang memberi sumbangan signifikan dalam memperkaya dunia seni dan kesusasteraan. Anugerah ini terbuka kepada tokoh Perancis dan antarabangsa yang hasil kerjanya memberi impak besar terhadap landskap budaya global.
Pingat berprestij ini mempunyai tiga peringkat, dengan Chevalier (Knight) sebagai tahap pengiktirafan awal, dianugerahkan kepada individu yang karya dan visinya meninggalkan pengaruh ketara dalam bidang seni, budaya dan kreativiti. Selama ini, penerima The Knight of the Order of Arts & Letters terdiri daripada pengarah filem, penulis, pereka dan seniman tersohor dunia yang karyanya menjadi sebahagian daripada warisan budaya Perancis.
Pelantikan Victoria Beckham sebagai Chevalière meletakkan namanya sebaris dengan tokoh kreatif antarabangsa yang diiktiraf bukan sekadar kerana populariti, tetapi kerana keupayaan mengangkat bidang masing-masing ke tahap seni yang dihormati di peringkat global. Ia mengukuhkan kedudukan Victoria sebagai seorang pereka yang bukan sahaja membina jenama, tetapi turut menyumbang kepada perbualan budaya dunia melalui fesyen.
Victoria sendiri menyampaikan ucapan penuh emosi dan rendah hati. Beliau menzahirkan rasa bangga sebagai wanita British, namun mengakui Perancis sebagai antara negara yang benar-benar menghormati fesyen sebagai satu bentuk seni. Bagi Victoria, pengiktirafan The Knight of the Order of Arts & Letters ini bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi hasil kerja kolektif pasukan yang setia membina jenama Victoria Beckham sejak bertahun-tahun lamanya.
“Ini bukan pencapaian seorang individu,” ujar beliau. “Dari studio rekaan hingga ke pasukan produksi dan komunikasi, terlalu ramai tangan dan minda yang bekerja bersama. Anugerah ini milik kami semua.”
Victoria turut merakamkan penghargaan istimewa kepada suaminya, David Beckham, yang disifatkannya sebagai individu pertama yang mempercayai impian dan visinya dalam dunia perniagaan fesyen. Pasangan ini telah berkongsi perjalanan hidup selama 26 tahun, dan sokongan David kekal menjadi tunjang kekuatan Victoria.
Paling menyentuh hati, Victoria mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa serta anak-anaknya yang sentiasa mempercayai visinya, walaupun berdepan pelbagai cabaran peribadi dan tekanan awam. Saat pingat penghormatan disematkan pada busananya, dewan bergema dengan tepukan gemuruh, simbol pengiktirafan dunia terhadap seorang wanita yang tidak pernah berhenti membina namanya dengan kerja keras.
Selepas majlis, Victoria berkongsi momen bermakna itu di Instagram, menyifatkan penghargaan tersebut sebagai satu keistimewaan besar dan refleksi kepada komitmen serta dedikasi puluhan tahun dalam industri fesyen. Beliau turut menyebut David sebagai ‘segalanya’ dalam hidupnya, manakala David membalas dengan kata-kata penuh bangga terhadap pencapaian isterinya.
Bagi dunia, Victoria Beckham bukan lagi sekadar bekas anggota Spice Girls. Dia adalah bukti bahawa wanita mampu mencipta legasi baharu, membina empayar sendiri dan diiktiraf sebagai seniman bukan kerana sensasi, tetapi kerana konsistensi, keberanian dan visi yang tidak pernah pudar.
Sheila Rusly memang layak diangkat sebagai ikon dalam dunia masakan. Mana tidaknya, setiap kali dia muat naik video berkaitan masakan dan makanan pasti raih tontonan tinggi dan viral di media sosial.
Ternyata isteri Azman Yahya ini memiliki aura dan pengaruh tersendiri yang mampu ‘memancing’ perhatian khalayak.
Kalau dah Sheila Rusly yang masak memang terliur dibuatnya! Sinonim dengan bidang masakan, pelakon dan pengarah terkenal ini pernah menjadi tumpuan peminat setiap kali ketibaan bulan Ramadan.
Ia rentetan rancangan masakan popular ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’ yang dikendalikannya selama beberapa tahun lalu.
Tidak lagi menyambung program berkenaan, rindu peminat melihat Sheila beraksi di dapur seakan terubat apabila dia berkongsi video masakan harian di media sosial.
Lebih meriah, menantu perempuan kesayangan iaitu pelakon Elisya Sandha dan Beatrice Valeria Chitra turut tidak ketinggalan tampil memasak bersamanya.
Atas minat mendalam terhadap bidang ini, Sheila melakar pencapaian membanggakan apabila dia menerima pengiktirafan dari ASEAN Food & Travel Awards (AFTA) 2026 baru-baru ini.
Figura berusia 54 tahun berkenaan tampil anggun dalam persalinan Baju Kurung Pahang ketika menaiki pentas untuk menerima Outstanding F&B Celebrity Award 2026.
Ujar Sheila, “Alhamdulillah rezeki Ramadan. My sincere thanks to AFTA for believing in my journey.”
Kejayaan terbaharu Sheila Rusly ini turut mendapat tumpuan ahli keluarga dan rakan-rakan artis.
Sheila merupakan isteri Azman Haji Yahaya atau lebih dikenali sebagai Jinggo. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Uzair Haqimy dan Luth Mikhail.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan sekadar cantik, Joheirry Mola merupakan guru, wartawan dan aktivis pendidikan. Pada usia 24 tahun, beliau mencipta sejarah apabila dinobatkan Miss World 2026.