
Tahu-tahu saja dah jadi ibu! Kali terakhir posting mengenai perkembangan dirinya di media sosial ialah pada Oktober tahun lepas dan hantaran Najwa Mahiaddin baru-baru ini nyata mengejutkan followers dan peminat anak bekas Perdana Menteri ini.
Mana tidaknya, wanita berusia 37 tahun berkenaan rupa-rupanya sudah pun mempunyai anak. Patutlah sepi daripada industri seni dan media sosial hampir setahun yang lepas.
Najwa yang juga penyanyi berkongsi sisi kehidupannya hari ini kepada warga maya dengan memuat naik foto memaparkan dirinya sedang mendukung seorang anak kecil. Yang pasti, figura ini melalui fasa seorang ibu.
Dedahnya, “In my motherhood era.”



Walau sekadar berkongsi foto hitam putih bersama anak tersayang namun ia mendapat reaksi daripada peminat, kenalan dan rakan artis.
Rata-rata mereka mengucapkan tahniah dan bersyukur dengan kehidupan Najwa hari ini. Lebih mengujakan, dia turut meletakkan hashtag mom, motherhood dan lifelately.
Pelantun lagu Got To Go ini turut mengemas kini hantaran seterusnya dengan menggayakan persalinan baju rona biru dan hitam yang menyerlahkan pesona anak Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut.



Bertahun menjadi anak seni, Najwa dikatakan mempunyai hubungan baik dengan rakan artis dan salah seorang daripadanya ialah penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna. Kedua-dua mereka pernah berpadu suara dalam sebuah konsert.
Tanggal 26 Mac lepas genap lapan tahun figura ini bergelar isteri kepada Idris Koh yang merupakan salah seorang ahli muzik yang sering mengiringi Najwa dalam setiap persembahannya.
Najwa pada Januari 2021 melancarkan lagu hasil kerjasama dengan pemuzik Cee dan Gangsapura berjudul ‘Togok’ berunsurkan muzik klasik gamelan.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/berseri-seri-nampak-baby-bump-yana-najib-aktif-dekati-rakyat-sambung-legasi-bapa/
Harga Sebuah Kemarahan; Sayang, Boleh Kita MAAF DAN LUPAKAN? – Inilah Kata-Kata Pemenang Yang Sebenar

Kecewa dan marah adalah dua perasaan yang kerap datang beriringan dan tidak pernah dirancang. Pada hal-hal yang tertentu, amarah yang dirasakan begitu dahsyat hingga anda yakin tidak mungkin akan memaafkan kesalahan pasangan anda.
Biasanya, ini terjadi kerana yang melakukan kesalahan adalah si dia yang anda anggap tidak seharusnya melukai perasaan anda.
Rudy dan Julia adalah sahabat yang kemudiannya menjadi sepasang kekasih. Menjalinkan persahabatan yang cukup lama, membuatkan mereka yakin mampu menjadi pasangan yang paling bahagia.
Ditambah dengan rentetan sejarah lalu, apabila mereka sama-sama pernah dikecewakan oleh kekasih terdahulu, Julia dan Rudy mengimpikan masing-masing tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan mantan kekasih mereka.
Tapi nyata yang terjadi tidak seindah impian. Rudy telah melakukan sesuatu yang telah mengecewakan hati Julia menjelang saat mereka melangkah ke alam pertunangan. Luka di hati Julia menyebabkan dia hanya berfikir untuk melakukan pembalasan yang setimpal sehingga lupa bahawa mereka pernah memiliki persahabatan yang indah.
Ibarat kata pepatah, mereka yang membalas kejahatan dan tidak memaafkan kesalahan sama seperti sebongkah bara panas. Ia memungut bara itu dan melemparkan kepada pihak yang ia benci. Hakikatnya, dialah yang terbakar paling parah.
Frederic Luskin serta Carl Thoresen dari Stanford University mengatakan bahawa dendam adalah pemberian atau hadiah yang membuatkan anda tidak henti-henti merasakan pedih hati sehingga menyebabkan ketegangan dan kegelisahan. Tapi tahukah anda, dengan memaafkan si pelaku kesalahan, anda akan menjalani kehidupan dengan lebih tenteram dan tenang.
(a) Sedar Tentang Kelemahan Memaafkan
Banyak orang enggan memberi maaf kepada pasangannya kerana mereka berfikir memaafkan si pelaku kesalahan sama dengan menunjukkan kelemahan. Memaafkan bererti anda mengakui si dia tidak melakukan kesilapan. Sebenarnya tidak. Bukan seperti itu. Anda masih boleh menghukumnya biarpun tanpa menyimpan dendam di dalam hati.
Memaafkan kesalahan pasangan anda bererti anda sudah melepaskan kemarahan yang menguasai anda. Memaafkan adalah tindakan untuk menemukan kembali harga diri anda kerana proses ini dapat menanam sifat yang lebih murni untuk kehidupan yang lebih mencabar di kemudian hari.
(b) Bersedih Atas Kehilangan
Tidak mahu meneruskan adegan pergaduhan anda bersama pasangan, langkah terbaik anda maafkan sahaja kesalahannya tanpa menyelesaikan masalah yang terjadi. Maafkan dengan lapang hati, ambil sedikit masa untuk berbincang dan temukan solusi agar tak berulang lagi pada kemudian hari.
Namun, sesekali anda akan masih tetap merasakan kemarahan apabila anda keseorangan. Ambil waktu, cuba kenangkan detik-detik manis bersama pasangan anda. Pasti rasa marah anda akan berkurangan.
(c) Usah Tunggu Ungkapan Maaf
‘Maaf’ memang mampu menyembuhkan luka di hati. Tidak perlu mendengar kata maaf darinya tetapi anda terlebih dahulu memutuskan untuk memaafkan pasangan anda. Pasti satu kata sederhana dengan makna yang luar biasa akan singgah dalam hari anda apabila pasangan anda sudah bersedia untuk berbicara tentang kesilapannya apabila melihat tingkah anda tetap tenang dan bersahaja.
(d) Fahami Tingkah Lakunya
Sikap yang buruk adalah hasil daripada ketidakdewasaan emosi. Kajian membuktikan bahawa sebahagian besar pelaku kejahatan adalah korban daripada mangsa keganasan pada zaman kanak-kanak yang dilaluinya. Jika pasangan anda mengaku tidak mudah percayakan anda, bukankah lebih baik anda menyelami peristiwa yang pernah membuatnya seperti itu.
Jika si dia bersikap terlalu emosional, lapangkan waktu anda untuk mencungkil rahsia dari zaman kecilnya dalam keluarga. Bantu pasangan anda untuk ekspresikan kegembiraan kepada anda dan seluruh hidupnya.
(e) Raikan Kejayaan
Menurut Michael McCullogh dari University of Miami, mereka yang pernah berada dalam bayangan dendam dan amarah lebih cenderung untuk menjadi lebih kuat, sabar dan matang. Bagaimana peristiwa lalu mematangkan mereka yang pernah disakiti, mereka menyifatkan peristiwa pahit itu sebagai pembelajaran untuk tidak diulangi lagi.
Tidak semua sesuatu pembelajaran itu datang dalam keadaan yang menyenangkan. Apa yang perlu anda lakukan ialah tidak membiarkan luka membayangi hidup anda. Memilih untuk memaafkan dan melupakan tidak akan membuatkan hidup anda kembali sama. Kesedihan yang menyakitkan akan membuatkan diri anda menjadi lebih dewasa. KR
Hari Alam Sekitar Sedunia: Wanita, Lakukan Rutin Kegemaran Anda Dengan Cara Lebih Lestari!

Dalam usaha kita untuk mencetuskan kesan positif terhadap alam sekitar, setiap tindakan kecil yang diambil dapat menyumbang kepada perubahan yang bermakna. Menjalani kehidupan yang lebih lestari tidak semestinya menuntut tindakan besar-besaran. Sebaliknya, ia boleh bermula dengan hal-hal kecil yang kita lakukan di rumah setiap hari.
Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia ini, IKEA ingin memperkenalkan beberapa cara yang mudah lagi bermakna untuk mengamalkan kelestarian dalam kehidupan harian kita serta melalui minat dan hobi kita terutama sekali bagi para wanita!
Mengurangkan sisa di dapur dan rumah
Bagi yang suka memasak, perubahan mudah dalam cara kita menyediakan atau membuang makanan, boleh membantu menjadikan dapur kita satu ruang yang lebih lestari. Memulakan taman rumah atau “home garden” anda sendiri merupakan satu permulaan yang baik. Daripada membeli herba dan sayur-sayuran dari kedai runcit, anda boleh mengurangkan sisa sambil menjimat masa dengan menanamnya sendiri di rumah.
Pada kebiasaan kita akan membuang sisa dan bahan makanan yang lazimnya akan dihantar ke tapak pelupusan sampah. Namun, mengitar semula sisa makanan menjadi kompos, atau menyimpan makanan berlebihan dalam peti sejuk dengan menggunakan bekas kedap udara dan kalis bocor untuk dinikmati kemudian merupakan pilihan yang lebih lestari.
Gunakan perabot anda untuk lebih lama
Kita suka memperbaharui ruang kediaman kita dari masa ke masa – termasuklah peminat DIY dan hiasan rumah. Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan secara lestari dengan sedikit kos atau usaha, bagi memberikan nafas baharu kepada ruang kita. Perhatikan ruang anda, dan cuba lihat apa yang boleh anda baiki, guna semula atau kitar semula. Kadangkala, perabot anda hanya perlu lapisan cat yang baharu.
Tidak semestinya anda perlu menggantikan seluruh sofa anda – cuba lihat sama ada menukar perabot lembut seperti kusyen dan sarung sofa dapat mencapai kesan dan rupa yang anda inginkan. Kerusi telah goyah? Mungkin ia boleh diperbaiki!
Sediakan stesen kitar semula anda sendiri di rumah
Suka menyusun atur ruang anda? Tiba masanya untuk membawa minat anda ke peringkat seterusnya! Sistem pengisihan sisa dapat membantu anda menguruskan sisa isi rumah anda seperti pembungkus, kertas, kaca dan sebagainya. Malah, ia akan menjadikan rumah anda lebih kemas dan memudahkan lagi aktiviti kitar semula setiap hari. Jadikanlah ia satu projek peribadi yang menyeronokkan – sediakan bekas khusus untuk setiap bahan kitar semula, dan susunkannya di suatu ruang rumah anda, bagi membina satu stesen kitar semula anda yang tersendiri.
Amalkan diet yang lebih lestari
Tahukah anda, terdapat cara pemakanan yang lebih lestari? Memilih produk yang diperakui bermaksud anda faham ia diperoleh dan dihasilkan secara lestari – daripada kopi yang anda minum, sehinggalah makanan laut yang anda makan. Selain itu, pilihan protein kita turut memberi kesan terhadap alam sekitar. Makanan berasaskan tumbuhan kurang memerlukan sumber, air dan tanah untuk menghasilkan jumlah makanan yang sama. Contohnya, Bebola Tumbuhan IKEA yang baru dilancarkan mengandungi hanya 4% daripada jejak iklim berbanding bebola daging klasiknya.
Jimat tenaga
Terdapat pelbagai cara untuk menjimat tenaga di rumah. Jika anda seorang yang sering tidur lewat atau cenderung menghidupkan lampu anda untuk tempoh yang lama – baik untuk bekerja, belajar ataupun membaca buku kegemaran anda – penukaran kepada mentol LED dapat membantu anda menjimatkan elektrik di rumah. Ia bukan sahaja menggunakan kurang tenaga daripada mentol pijar tradisional, tetapi bertahan lebih lama.
IKEA ingin menginspirasikan orang ramai untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan lestari di rumah. Untuk lebih inspirasi tentang kehidupan lestari, layari ikea.my.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Setengah Tahun Gugur Sampai 3 Kali, Kini DATIN ZAI Syukur Rasa Nikmat Ibu 2 Anak!

Rezeki Allah Taala pasti ada apabila sampai waktunya. Walau berdepan pelbagai cabaran besar untuk menimang cahaya mata kira-kira dua tahun lalu, kini Datin Zai Izatti merupakan ibu kepada dua orang anak. Empunya badan sendiri pun tidak menyangka, aturan Allah untuk mengurniakan zuriat kepadanya adalah secepat ini. Hanya ungkapan alhamdulillah yang terpacul di bibir ratu hati Datuk Jamal Abdillah ini setiap kali berkongsi cerita mengenai perjalanannya menjadi seorang ibu.
Selamat menerima kehadiran ‘orang baru’ pada tanggal 11 November 2020 yang juga seorang bayi lelaki, ibu berusia 27 tahun ini berkata kehamilan anak kedua disifatkan lebih mudah berbanding anak sulungnya, Nur Azura Yamani. Menamakan bayi lelaki mereka, El Issac Yamani… Datin Zai yang kini dalam proses berpantang meluahkan rasa syukur kerana diberi rezeki menikmati pengalaman bergelar ibu dua anak.
Mesra menyambut panggilan penulis, Datin Zai terbuka berkongsi momen kelahiran El Issac Yamani secara pembedahan sekitar dua bulan lalu. “Kenangan bersalin kali ini, lepas bayi keluar je dan selesai pembedahan saya terus diserang gastrik. Mungkin sebab semalaman berpuasa jadi masuk angin. Bahagian dari pusat ke bawah memang tak rasa apa waktu tu. Tapi perut memulas.
Lepas doktor bagi ubat alhamdulillah, baik. Ikutkan due date El Issac 17 November tapi sebab kena operate, doktor bagi kami pilih sendiri tarikh untuk bersalin. Jadi 11 November jadi pilihan. Jantina anak pula dari usia dia 4 bulan kami dah tahu dan masa El Issac lahir berat dia 3.05 kg.”

Berhasrat untuk mempunyai sekurang-kurangnya empat orang anak, Datin Zai mendedahkan perjalanan untuk menimang cahaya mata tidak semudah yang disangka. Beliau pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali sebelum melahirkan Azura. “Awal kahwin dulu kami suami isteri tak rancang tapi direzekikan hamil. Bila dapat tahu gugur, sedih sangat. Saya rasa mungkin waktu tu saya terlalu excited dan kandungan awal lagi tapi tak beritahu sesiapa pun.
Bayangkan, saya pernah gugur 4 kali baru dapat Azura. Sebelum itu memang saya ada cuba ambil suntikan dan supplement untuk hamil. Bila banyak kali gugur, saya jumpa doktor sebab risau ada masalah berkaitan rahim atau sebagainya. Alhamdulillah, tak ada masalah.
Ketika dalam proses nak buat IVF, setengah tahun juga… tiga kali saya gugur. Sampai diri dah pasrah dan reda kalau ditakdirkan tak ada rezeki anak. Tapi waktu itulah, Allah ‘bagi’ Azura. Walaupun masa mengandungkan Azura saya alami banyak pendarahan tapi syukur semuanya dipermudahkan. El Issac pun saya hamil secara semula jadi.”
Nampaknya sekarang Datuk Jamal dan Datin Zai sudah pun mempunyai sepasang cahaya mata. Kalau anak sulung dulu diberi nama Nur Azura Yamani, uniknya nama anak kedua mereka El Issac Yamani atau singkatannya Zeck ini diambil sempena filem Azura! Terus terbayang lakonan Datuk Jamal sebagai Zeck dalam filem popular era 1984 tu.
“Sejak anak pertama lagi memang bapa dia yang pilih nama. Mula dulu Datuk nak nama Azura sebab memori kenangan filem tu. Anak kedua ni pun sama juga. Kalau tanya saya, saya memang tak pandai sangat nak bagi nama anak. Saya serahkan dekat Datuk. Issac tu diambil daripada nama Inggeris Ishak, Yamani pula sebab keturunan Yaman. Jadilah El Issac Yamani atau singkatan Zeck,” jelas Datin Zai yang mengaku tidak cerewet dalam bab pemberian nama anak. Untung Datuk Jamal!
Mengimbas kembali kehamilan kedua Datin Zai Izzati, beliau nyata tidak menyangka diberi rezeki timang cahaya mata sekali lagi ketika anak sulung baru berusia tujuh bulan. Memandangkan kurniaan terindah dari ilahi ini diterima dalam bulan Ramadan, pasangan romantis berkenaan menganggap ia satu rahmat buat rumah tangga mereka.
Ujarnya, beliau tidak mengalami alahan teruk sepanjang mengandungkan El Issac. “Mengandungkan El Issac ni tak teruk macam Azura dulu. Ada alahan dan rasa tak lalu makan sampai 4 bulan. Cuma yang saya perasan bila mengandung anak kedua, Azura jadi kuat meragam dan manja sangat. Sampai mandi dan makan pun menangis. Azura ni hyperactive, jenis tak boleh duduk diam. Ada je yang dia nak buat. Buat masa sekarang, saya dah mula hantar Azura ke playschool dari hari Isnin sampai Jumaat.”

Memandangkan Azura sudah bersekolah, mudah untuk Datin Zai menguruskan rumah dan bayi. Malah beliau sendiri yang memasak menu berpantang di rumah. “InshaAllah saya berpantang 100 hari tapi sekarang ini tidaklah seketat amalan pantang awal bersalin dulu. Makanan yang ‘tajam’ saya elakkan dulu untuk 6 bulan.
Lagipun saya bersalin czer, tak boleh urut sangat. 10 hari pertama lepas bersalin dulu ada ambil confinement service. Mak saya pun ada jaga awal dulu. Tapi sekarang semua jaga sendiri termasuk lauk pantang. Sepanjang berpantang ni saya suka makan sayur kalian dan sawi juga ikan rebus.”
Diaju sama ada beliau ada perancangan untuk mengusahakan perniagaan, Datin Zai mengakui beliau pernah terlintas untuk memiliki bisnes sendiri namun semuanya masih di peringkat awal. “Buat masa ini tak tahu lagi hendak buat bisnes apa. Mungkin kedai makan sebab keluarga saya ada mengusahakan perniagaan tersebut. Tengoklah macam mana nanti,” ungkap Datin Zai sambil ketawa.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berharap kedatangan tahun baharu yang diuji dengan situasi pandemik Covid-19 dan keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil dapat kembali pulih seperti sebelum ini. “Harapan tahun baharu, semoga semuanya berada dalam keadaan baik dan anak-anak saya dapat membesar dengan sempurna.”
Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti