
Seperti yang kita ketahui, Shila Amzah telah selamat diijab kabul bersama pasangannya Haris Idraki. Majlis akad nikah telah berlangsung di kediaman keluarganya selepas waktu solat Asar pada hari Khamis bersamaan 19 April 2018. Dengan sekali lafaz, Shila telah sah menjadi isteri kepada Haris Idraki.
Tampil berseri dengan persalinan serba putih, busana ‘air tangan’ pereka fesyen terkenal, Nurita Harith benar-benar ‘menaikkan’ seri ratu sehari. Istimewanya busana indah yang dipakai oleh Shila mempunyai tema khas yang telah diilhamkan oleh dirinya sendiri.
Selain busana antara yang mencuri pandangan ialah dekorasi pelaminan yang menjadi saksi penyatuan dua jiwa Shila dan imamnya. Bertemakan “Pure Forest Garden featuring Bohemian Wood” tema ini diangkat untuk majlis ijab kabul Shila dan pasangannya.
Adiputra_decor bertanggungjawab merealisasikan impian konsep pelaminan yang diidamkan oleh Shila dan pasangannya. Adiputra_deco sangat teruja kerana telah diberi kepercayaan penuh untuk mendekorasikan pelamin mengikut permintaan raja dan ratu sehari.
Malah ketika hari pertama perbincangan bersama Shila, Shila sendiri nyatakan yang dia memang suka dengan konsep clean/less flower/ada kayu-kayu dan daun. Semuanya direalisasikan dengan menempah khas palet-palet kayu/kerusi.
Kayu yang digunakan adalah kayu berkualiti tinggi dan real wood (bukan pakai playwood atau getah). Pengunaan daun-daun fresh juga memberi impak maksima untuk pelamin ini.
Tiada bunga yang digunakan untuk menampakkan pelamin ini less dari yang lain. Daun juga tidak banyak digunakan bimbang lari daripada konsep yang dikehendaki. Hasilnya raja dan ratu sehari tampil memukau saat bergandingan di pentas pelaminan impian.

Kredit: Adiputra_decor
Biskut Raya Gergasi Cornflakes 15 Kg Tarik Perhatian Pengunjung FIESTA HOMEBAKERS USHA USHA BISKUT RAYA

Fiesta Homebakers Usha-usha Biskut Raya anjuran Mingguan Wanita bersama penaja utama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd (Gula CSR) serta penaja bersama marjerin Adela dan rakan kerjasama lain Fruttose, Ever Miracle Solutions (barangan Tupperware Brand, Cadbury dan penaja belon dekorasi, Omeiluth Party Expert berlangsung penuh meriah di Setia City Mall semalam.
Biarpun hanya sehari sahaja, namun fiesta yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hadir bersama CEO NU Ideaktif, Syamil Fahim dan CFO Gula CSR iaitu Mohd Azahar Mohd Salleh bersama isteri memberi kenangan manis buat semua peserta.
Menghimpunkan 40 vendor usahawan biskut raya dengan hampir 10 ribu kupon sampel biskut raya diberikan secara percuma kepada pengunjung, dalam ucapan perasmian YB Hajah Aiman Athirah berkata, usaha dilakukan Mingguan Wanita ini sangat disokong kerana membantu golongan wanita menerusi kempen Bangkit Wanita.
“Golongan B40 dan M40 antara yang terkesan dengan pandemik sebelum ini. Jadi usaha menghimpunkan golongan wanita dalam fiesta begini dengan bermula dari rumah menghasilkan biskut, ternyata ia satu usaha sangat baik kerana ia selari dengan usaha KPWKM yang turut mempunyai kempen Wanita Bangkit.
Negara kita menyediakan banyak dana dalam membantu golongan wanita berpotensi untuk mencapai kejayaan dari segi ekonomi dan golongan wanita boleh merebut peluang memajukan diri dalam perniagaan menerusi dana disediakan,” katanya yang turut mengalu-alukan Mingguan Wanita datang ke Kementerian berbincang untuk program Bangkit Wanita.
Sementara itu, CEO Nu Ideaktiv, Syamil Fahim memaklumkan, selama lebih 40 tahun Mingguan Wanita berada di pasaran dengan jualan majalah dahulunya mencecah 160 ribu seminggu serta lebih 4 juta pembaca setia untuk media sosialnya terkini berjaya membawa suara wanita ke persada gemilang.
“Kempen Bangkit Wanita yang kita usahakan sejak 3 tahun lalu, dijayakan dengan pelbagai aktiviti menghimpunkan 40 pengusaha biskut raya dan moga usaha begini berterusan,” katanya semasa ucapan alu-aluan.
Dalam fiesta sehari semalam, selain promosi jualan dan tempahan biskut raya, banyak aktiviti pentas interaktif bersama pengunjung telah diadakan.
Menampilkan Hanif sebagai pengacara yang penuh lincah, penaja utama CSR turut memberikan pelbagai hadiah menarik di booth mereka. Dengan hanya follow laman sosial mereka, pengunjung menerima beg hadiah menarik di mana pelbagai produk Gula CSR diberikan secara percuma buat pengunjung bertuah.
Persembahan fiesta semalam dihangatkan dengan persembahan bertenaga dari Marsha Milan Londoh yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Girls On Fire selain lagu popularnya, Kembali Terang.
Selain persembahan pentas dari Marsha, ada banyak aktiviti pentas berlangsung seperti demo bancuhan topping dekorasi biskut bersama pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena, pertandingan tekan-tekan semperit biskut raya, demo biskut raya kurang manis oleh pengasas Easy Bake Lab iaitu Cik Dayang, pertandingan susun-susun biskut raya, pertandingan tekan biskut semperit raya bersama Puan Hanani yang datang jauh dari Terengganu, happy hour dan banyak lagi di mana pengunjung selain membeli kuih raya dan membuat tempahan, mereka juga membawa pulang hadiah lumayan dan banyak disediakan pihak penganjur.
Turut diadakan, acara biskut raya terbesar oleh para pelajar kulinari dalam Pertandingan Biskut Raya Gergasi.
Sebanyak tiga universiti / kolej memasuki pertandingan ini terdiri dari Food Institute Of Malaysia (FIM), Saito University dan Institut Kemahiran Belia Negara Kemasek Kemaman Terengganu. 9 kumpulan telah bertanding melibatkan 36 penyertaan pelajar.
Kumpulan juri yang diketuai oleh Puan Norhayati dari Taylor Universiti, Puan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery dan Marsha sepakat memilih kumpulan Zucchero dari IKBN yang menghasilkan biskut Giant Golden Flakes seberat 15 kg.
Kumpulan Zucchero memenangi hadiah utama sebanyak RM700 serta nilaian RM10,000 bagi artikel mengenai sekolah masakan terbaik, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Pemenang kedua dan ketiga dimenangi oleh pelajar dari Food Institute Of Malaysia yang menerima wang tunai RM500 dan RM300. Bagi saguhati, hadiah sampingan dan sijil disediakan buat kesemua pelajar yang bertanding.
Fiesta diteruskan dengan pelbagai aktiviti bermula seawal jam 10 pagi dan menghampiri kemuncak acara pada jam 9 malam bila mana penganjur utama Gula CSR menawarkan hadiah lumayan sebanyak 36 kg gula Better Brown kepada vendor yang memenangi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu vendor Paling Aktif Promosi Di Sosial Media, vendor Sampel Biskut Paling Laris dan vendor Booth Tercantik.
Yums Delicacies telah memenangi vendor paling aktif promosi di media sosial, diikuti Ayu Bakery bagi kategori sampel biskut paling laris sementara pemenang vendor booth tercantik jatuh kepada The Kelopak Bakes. Masing-masing teruja membawa 36 kg gula Better Brown yang sememangnya digunakan dalam pembuatan biskut raya untuk menambah rasa enak pada biskut.
Fiesta yang penuh kemeriahan dan warna-warni ini dijangka akan dianjurkan sekali lagi dengan tema yang berbeza pula. Hingga jumpa lagi di fiesta akan datang.
Pertama Kali Dianjurkan, Faztival Fazura Dapat Pengiktirafan Malaysia Book Of Records!

Hebatnya penangan Fazura!. Mana tidaknya, konsert sulung, Faztival Fazura yang berlangsung pada Ahad lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil telah mencipta bukan satu, tetapi dua rekod baharu meskipun ia merupakan penganjuran kali pertama diadakan.
Festival yang dianjurkan oleh pelakon, penyanyi dan usahawan Fazura itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebagai Perhimpunan Terbesar Tudung Fazura dalam sebuah acara dan Perhimpunan Tudung Bawal Terbesar di Malaysia!

Menurut isteri kepada Fattah Amin ini, sebagai penganjur dia sememangnya berharap acara tersebut dapat menjadi program tahunan anjuran syarikatnya selepas ini.
“Saya amat bersyukur kerana konsert tersebut mendapat sambutan luar biasa dan siapa sangka ia mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records,” kata Fazura melahirkan rasa syukur di atas sambutan yang diberikan.

Faztival Fazura telah memperlihatkan beberapa gabungan artis tempatan dan antarabangsa di mana persembahan pembukaan oleh Datuk M. Nasir diiringi penampilan khas Fattah Amin dengan langkah gerakan silat mengiringi lagu Mentera Semerah Padi. Kira-kira 8,000 penonton terpukau dengan persembahan tersebut.

Antara selebriti lain yang turut menjayakan Faztival ini termasuklah Datuk Awie, Ella Aminuddin, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.


Lebih istimewa, Faztival turut menampilkan Ahmad Dhani dan Mulan Jameela sebagai selebriti undangan khas untuk memeriahkan lagi konsert berkenaan.
Untuk menghargai para peminat jenamanya, Fazura turut mengambil kesempatan melancarkan produk terbarunya iaitu Fazura BeautyWater yang merupakan minuman tanpa gula yang diperkaya dengan lycopene bagi mencantikkan kulit secara semulajadi.

Pada Julai lalu, Fazura turut menerima pengiktirafan sebagai Malaysia Most Outstanding Excellence Celebrity of the Year (Female) di 3rd World Excellence Entrepreneur Brand Celebrity Awards.
Nampaknya Fazura semakin serius dalam bidang perniagaan dan memperkukuhkan jenamanya dalam pelbagai produk untuk memenuhi permintaan para peminatnya.
Untuk rekod, antara cabang perniagaan yang diusahakan oleh Fazura termasuklah Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty dan Tudung Fazura, Syabas Fazura!
Cegah Maksiat Dari Usia Kanak-Kanak, Ini Sebabnya Ibu Bapa MESTI SOKONG Program Kesihatan Reproduktif

Laporan media tentang kes pembuangan bayi dengan kejam begitu mencengkam jiwa. Bagaimana sanggup seorang ibu membiarkan anaknya dibuang begitu sahaja?
Kebanyakan kes pembuangan bayi ini datangnya daripada hubungan yang tidak halal sehingga hilang punca untuk menimbangkan kewarasan tanggungjawab terhadap bayi yang tidak berdosa tersebut.
Rentetan daripada peristiwa ini menyedarkan betapa pendidikan seks di awal usia sangat penting diterapkan terutama kepada jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba sesuatu.
Namun, sebagai orang dewasa terutama ibu dan bapa sukar untuk membicarakan topik seks dengan anak-anak. Mungkin ibu bapa masih skeptikal atau kurang pengetahuan untuk membicarakan isu yang semakin membimbangkan ini.
Perkataan seks masih menjadi tabu kepada ramai orang di Malaysia terutama di kalangan pihak-pihak berwajib. Walaupun istilah sexual and reproductive health (SRH) sudah diterima pakai oleh komuniti antarabangsa namun, kita masih mempunyai stigma dengan penggunaannya.
Dasar Kesihatan Reproduktif dan Sosial Negara telah diluluskan oleh Kabinet pada November 2009, namun masih banyak lagi yang perlu dijalankan oleh semua pihak termasuklah para ibu bapa.
Tahukah anda?
Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan
Merupakan dasar mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang terpakai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial merupakan asas kukuh kepada perkembangan serta pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat-menghormati.
Pelaksanaan dasar ini turut mengambil kira kepelbagaian agama, budaya serta nilai hidup masyarakat di Malaysia.
Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan bertujuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.
Pengetahuan dan tanggapan yang betul dalam bidang ini akan membawa kepada perlakuan yang bertanggungjawab oleh individu dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan sosial yang positif di Malaysia.
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) atau Pendidikan Seks amat diperlukan di negara kita kerana:
- Peningkatan golongan muda di kalangan penduduk negara (lebih kurang 30 peratus penduduk Malaysia berumur di antara 10 hingga 24 tahun) jadi semestinya kita memberi tumpuan yang lebih pada masalah kesihatan mereka.
- Lebih kurang 40 peratus daripada pesakit HIV berumur bawah dari 29 tahun (Kementerian Kesihatan 2007).
- Peningkatan kes-kes pembuangan bayi.
- Peningkatan kes-kes Penyakit Kelamin (STD) dan kehamilan tidak dirancang yang disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang pendidikan SRH (sexual and reproductive health).
- Peningkatan kadar hubungan seks sebelum berkahwin (2.2 peratus – laporan Malaysian Population and Family Survey (MPFS) 2004).
- Pornografi senang didapati di Internet, telefon bimbit dan cakera padat.
- Pengetahuan SRH amat rendah. Daripada laporan MPFS 2004 ,di kalangan remaja berumur 13 hingga 24 tahun, hanya 50 peratus mengetahui mengenai anatomi badan mereka sendiri. Hanya 60 hingga 70 peratus mengetahui mengenai penyakit-penyakit kelamin dan kurang dari 50 peratus mengetahui mengenai perancangan keluarga.
- Umur akil baligh yang bertambah awal dan umur perkahwinan yang kian bertambah lewat.
Pendidikan seks ini perlu dimulakan lebih awal daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Pelajaran yang diberikan perlu mengikut umur dan perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak (according to age or development of the adolescent).
Sebenarnya Pendidikan Kesihatan Reproduktif telah pun diserapkan dalam kurikulum Kementerian Pelajaran (Family Health Education) semenjak tahun 1989 di sekolah-sekolah menengah dan seterus pada tahun 1994 di sekolah rendah. Ia telah ditambah baik pula beberapa tahun yang lalu. Namun itu berbagai-bagai masalah dalaman menyebabkan implementasinya terbantut.
Peranan ibu bapa
Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi nasihat kesihatan reproduktif anak-anak mereka. Anak-anak akan berasa lebih selamat dengan ibu bapa mereka sendiri berbanding dengan orang lain.
Namun, ramai ibu bapa yang kurang berpengetahuan tentang kesihatan reproduktif dan tidak kurang pula yang berasa malu untuk membincangkan isu ini.
Ibu bapa perlu meningkatkan pengetahuan dengan lebih banyak membaca atau mengikuti kursus-kursus terutamanya yang dianjurkan oleh NGO (Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia – FRHAM), Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Malaysia – LPPKN) dan lain-lain agensi.
Ibu bapa perlu lebih rapat dengan anak-anak mereka terutamanya semasa zaman pergolakan jiwa remaja mereka. Sebagai ibu bapa kita perlu berkorban masa bagi membimbing mereka pada saat-saat mereka memerlukan kita.
Ibu bapa jangan sentiasa menganggap bahawa anak-anak mereka itu begitu innocent kerana sekarang ini zaman dunia tanpa sempadan dan Internet membawa kebaikan dan juga keburukannya. Hamizatul Maizan Mohamed