
Terus melangkah dan menjadi inspirasi generasi muda. Inilah misi ratu skuasy negara, Datuk (Dr.) Nicol Ann David yang menerima penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat yang membawa gelaran Doktor.
Berumur 39 tahun, Nicol yang juga merupakan Duta Pelancongan Pulau Pinang 2022 itu telah dianugerahkan gelaran tersebut oleh Heriot-Watt University Malaysia.
Selain faktor sumbangannya dalam sukan Malaysia, sokongan beliau terhadap bidang pendidikan turut memberi impak yang besar terhadap golongan pelajar.
“Sepanjang penglibatan saya dalam sukan skuasy, banyak perkara hebat yang telah saya pelajari. Antara pelajaran yang bermakna adalah hidup ini bukanlah sesuatu yang mudah, banyak rintangan dan halangan.
Tapi di sebalik liku-liku itu, carilah kekuatan diri untuk menempuhinya. Kerja keras akan terbayar dan impian akan selalu tercapai jika kita percaya kepada usaha yang konsisten.
Sentiasa kelilingi hidup kita dengan perkara positif. Jadilah orang yang baik dan bermanfaat kepada orang lain, tak kira seberapa hebatnya kejayaan yang dikecap.” Datuk Dr. Nicol Ann David

Datuk Dr. Nicol Ann David turut merakamkan penghargaan terhadap Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Prof Mushtak Al-Atabi di atas penganugerahan tersebut.
TERUS BERBAKTI
Jaguh sukan kebanggaan yang kini telah bersara itu merupakan wanita Asia pertama menduduki tangga #1 dunia dalam sukan skuasy wanita selama enam tahun berturut-turut dari tahun 2005 hingga 2010.
Paling membanggakan apabila bekas juara dunia sebanyak lapan kali itu merangkul gelaran berprestij iaitu Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia menewaskan 23 atlet hebat lain dari seluruh dunia.

Dalam perkembangan terbaharu, Datuk Dr. Nicol Ann David kini fokus terhadap yayasan yang ditubuhkan iaitu The Nicol David Organisation.
Menyasarkan golongan kanak-kanak, beliau komited untuk memperkasakan si cilik menerusi sukan serta pendidikan. Di bawah program kokurikulum, mereka dapat mengikuti kelas skuasy, Bahasa Inggeris dan kemahiran hidup.
Prihatin terhadap situasi pasca pandemik, wanita pintar ini tekad mahu membantu keluarga B40 dan M40 yang terjejas melalui yayasan yang baru dilancarkan. Semoga segala usaha yang dicurahkan oleh Datuk Dr. Nicol David kepada anak bangsa menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita!
Bila Anak ‘Menjadi’ & Celik Al-Quran, Ibu Ayah Janganlah Pandang Rendah Parents Lain!

Lumrah manusia, masing-masing berlumba nak buktikan siapa terbaik antara satu sama lain. Kalau dulu yang elit bertanding harta dan kemewahan, tapi sekarang banyak yang sedar mahu ramaikan generasi celik Al-Quran. Cuma sayang bila anak-anak dah pandai mengaji, ibu ayahnya pula yang angkuh dan membangga diri.
Bagi ibu ayah yang direzekikan anak-anak soleh, pintar dalam pelajaran, patuh semua suruhan atau pendek katanya… ‘menjadi’, sedarlah itu semua bukan disebabkan didikan ala komunis anda di rumah. Bukan juga kerana nilai wang yang dibelanjakan untuk kelas tambahan atau teknik tertentu yang diceduk dari Barat.
Penjelasan Puan Siti Aminah Sulaiman dari Quranic Parenting ini banyak menyedarkan kita bahawa anak-anak hanya perhiasan dunia. Memang sungguh ibu bapa yang mencorakkan masa depan mereka, tapi pesan beliau, jangan lupa satu perkara ini yang sebenarnya.
======================================
Permulaan mendidik anak ialah dengan merasakan diri lemah dan hanya bergantung pada ALLAH semata-mata.
Kerana setiap ibu ayah tiada kuasa untuk memberi hidayah pada anak. Ianya hak mutlak Allah. Apa yang kita buat hanyalah usaha yang diharapkan dapat mengetuk pintu rahmat Allah.
Sedangkan kekasih-Nya Rasulullah SAW juga tidak dapat memberi petunjuk kepada pakciknya Abu Talib dan Nabi Nuh a.s juga tidak dapat membantu anaknya pada masa berlaku banjir besar yang mengazab setiap orang kafir, kerana anaknya memilih untuk terus bersama golongan kafir.
Kerana dengan kisah-kisah ini kita harus berasa tiada daya upaya dan hanya berharap pada hidayah petunjuk Allah dalam mendidik anak, tetapi bukanlah lemah yang menjadikan kita putus asa sekaligus membiarkan anak membesar mengikut arus perdana.
BUKAN.
Ia seharusnya mendorong kita untuk terus berusaha dengan cara:
- Mencari ilmu bagaimana golongan Salafus Soleh berjaya melahirkan generasi muttaqin.
- Berterusan mendoakan zuriat kita supaya diberi petunjuk oleh Allah dan dimatikan sebagai Islam.
- Belajar doa para Nabi untuk zuriat mereka yang terdapat dalam Al-Quran dan hadis kerana para Nabi ialah wali Allah dan doa mereka diterima-Nya.
Saya sering beritahu pada anak-anak saya yang selagi saya masih hidup, saya akan terus mendoakan mereka setiap detik dan masa. Jadi gunalah kesempatan dan waktu pendek yang kita ada untuk terus mendoakan zuriat yang Allah beri ini.
Sungguh kita tiada upaya dalam mendidik anak, hanya bergantung dengan petunjuk dari Allah SWT. Dengan mengenal keadaan diri yang lemah ni, kita akan jauh dari sifat sombong bila dikurniakan nikmat anak yang soleh dan solehah.
Anakku, Sudah Tepatkah Cara Aku Mendidikmu?
Wasiat Allah yang sentiasa menjadi pegangan saya dalam mendidik anak ialah ayat 6 dari Surah At-Tahrim. Setiap kali baca ayat ni pun akan rasa gerun…
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Rasa berat bila diberi amanah anak-anak ni. Ia bukan kerja yang mudah dan tiada istilah fast result. Kerja mendidik ni macam tanam pokok. Ambil masa untuk membesar dan berbuah.
Tiada jaminan harini anak nampak baik, 10 tahun lagi keadaan akan sama…
Dan untuk didik anak ni perlukan ilmu, ada tertib yang perlu kita ikut dalam mendidik anak seperti yang diajar Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW:
- Pendidikan aqidah yang sahih. Tanamkan benih iman bermula seawal bayi kerana fitrah anak ingin mengenal Pencipta. Berterusan hingga menjelang masuk ke umur 7 tahun.
2. Kemudian diajar melakukan ketaatan. Ibadah seperti solat, puasa dan hafaz Quran serta hadis.
3. Proses pembentukan akhlak seiring dengan mengajar anak melakukan ibadat. Ini adalah satu proses yang tidak mudah, perlu latihan berkali-kali hingga membentuk jadi darah daging.
Antara kesilapan yang biasa dilakukan ibu bapa ialah mereka miss step nombor 1 iaitu pendidikan akidah, terus jump ke step 2 iaitu ajar anak buat ibadah macam solat, puasa dan hafaz Quran.
Bila tertinggal step nombor 1 (pelajaran akidah) kita akan hadapi kesukaran nak minta anak solat, puasa dan baca Quran.
Itu yang ada kes bila puasa, tapi curi-curi minum air dalam toilet. Atau tipu parents cakap dah solat tapi sebenarnya tak solat dan ada yang buat-buat ambil wudhu’ dengan basahkan muka. Semua ni benar-benar berlaku kalau benih iman tidak ditanam ketika awal usia.
Kadang Allah hadirkan masalah dari anak untuk kita kembali mencari jawapan.
Dimana silap saya mendidik?
Manual jawapan cara didik anak sudah ada dalam Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Sumber: Facebook Siti Aminah Sulaiman
“Gelaran Datin Di Usia Muda, Membuatkan Saya Jadi Lebih Matang,” Datin Raha Dato’ Abu

Langkah kaki wanita anggun ini bagaikan satu aura indah mewarnai ruang hidup siapa sahaja disampingnya. Seiring dengan usia yang meningkat matang, Datin Raha Dato’ Abu sentiasa tampil jelita dengan solekan nipis dan gaya penampilan boho chic. Pada waktu zaman mudanya, sekitar lewat 80-an jelitawan VIP ini pernah menyandang gelaran Miss Pahang dan finalist of Miss Malaysia 1989 ketika berusia, 18 tahun. Datin Raha mengakui pertandingan ratu ini telah memperkenalkan kerjayanya dalam dunia modelling pada era 90-an, wajahnya terus laris di meja editorial dan pentas catwalk.
Di usia muda 19 tahun, Datin Raha telah mempunyai sebuah butik pakaian Matahari di City Square dan perjalanan hidupnya terus sampai kemuncak dengan membawa gelaran Datin di usia 20an. Kehadirannya di setiap pesta keramaian sentiasa dinantikan dengan penampilan versatile dan elegan yang sentiasa mencuri perhatia lensa kamera. Kini dunia sosialnya tidak serancak dulu, langkahnya lebih terhad kerana fokus sekarang hanya pada keluarga tersayang dan perniagaan.
“Saya menerima gelaran Datin di usia 28 tahun dalam usia yang muda dan gelaran ini telah membuatkan saya lebih matang dengan cepat. Status itu tidak mengubah sikap atau sifat diri saya tetapi ia membawa saya kepada satu lapisan kehidupan yang lebih matang untuk membawa gelaran itu sebaiknya. Ini membuatkan saya mengimbas kembali keadaan bila saya masih kecil melihat ibu saya yang telah membawa status tersebut dengan baik. Jika dahulu saya menerima pelbagai undangan majlis dan menghabiskan waktu bersama teman, tetapi sekarang langkah saya mula dibatasi dengan kesibukan urusan rumah tangga dan perniagaan. Saya sudah melalui semua kehidupan glamor itu pada masa muda, sudah cukup rasanya,” jelas Datin Raha yang kini memberi tumpuan utama kepada anak kecilnya Julia, Omar dan Anwar.
Cinta Abaya semakin mendapat perhatian dan berjaya mencuri hati ramai kerabat dan golongan VIP. “Ini minat saya dari dahulu dan sekarang, bezanya dahulu saya punya butik sendiri tetapi sekarang hanya fokus pada jualan secara online menerusi laman sosial media. Alhamdulillah setelah lima tahun Cinta Abaya di pasaran alam maya, busana abaya semakin mendapat perhatian secara menyeluruh. Saya sendiri akan membuat rekaan setiap helaian busana itu bersama rakan kongsi saya yang juga kakak saya, Zaharah Wouters yang menetap di Kuwait. Segala proses pembuatan abaya ini dijalankan di sana dan kerana itulah busana ini sangat eksklusif dan tersendiri. Biasanya setiap rekaan saya lebih pada gaya klasik agar boleh dipakai sepanjang zaman dan tentunya diperindah dengan sulaman yang halus dan cantik.



Paling penting setiap helaian itu perlu mencapai kualiti jahitan yang kemas dan terbaik. InsyaAllah saya berharap Cinta Abaya akan terus berkembang dan mendapat perhatian seluruh pelosok dunia satu hari nanti. Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan anugerah Allah kepada saya kini, sebuah keluarga bahagia dan sebuah perniagaan yang semakin berkembang.”
Dalam melalui ranjau kehidupan pastinya Datin Raha mempunyai seorang wanita inspirasi… “Ibu saya Datin Ramlah adalah inspirasi saya tiada insan lain. Dalam usianya 73, beliau seorang yang sangat kuat dan stabil daripada segi pemikiran dan emosi, masih aktif dalam usianya, setiap perkara yang berlaku beliau berjaya menemui jalan penyelesaian terbaik dan tentu sahaja saya memperoleh banyak khidmat nasihat dalam apa jua sahaja perkara sehingga sekarang. Dia selalu menekankan tentang penjagaan kecantikan dalaman terutama daripada segi pengambilan suplemen dahulu dan sekarang.
Rahsia Datin Raha, kekal cantik di usia 45 tahun, “Petua kecantikan saya sangat ringkas, tidur mesti cukup dan amalkan pemakanan seimbang. Paling penting saya mesti minum jus setiap hari. Sayur-sayuran atau daun ulam dan buah-buahan saya masukkan semuanya dijadikan jus, amalan ini saya lakukan sejak daripada dahulu lagi. Sesekali kelapangan saya menghabiskan masa di gym.”
Kata terakhir, “Manusia sekarang terlalu mengejar kehidupan sendiri dan selalu lepas tangan dalam banyak perkara. Perkara utama yang selalu kita perlu ingat, sejauh mana kehidupan yang kita kejar, di akhirnya kita perlu kembali kepada Nya yang Satu. Kadang-kadang kita perlu bertanya pada diri sendiri, apa yang kita mahukan dalam hidup ini? Dan bagi saya cukuplah dengan kehadiran keluarga tersayang itu, sudah membuatkan saya wanita yang paling bahagia.
Saya juga percaya dalam senario perkembangan teknologi yang semakin maju, wanita hari ini mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang tinggi untuk mencorakkan kehidupan dunia lebih baik dan sempurna. Saya bangga dengan wanita alaf baru ini, ” ujar Datin Raha mengakhiri bicara.

Punya Pengaruh & Aura Tersendiri, 8 WANITA HIJABI Inspirasi Media Sosial Ini Patut Anda Follow!

Pengaruh wanita berhijab kini semakin mendapat tempat di dalam dan juga luar negara. Bukan hanya kerana keunikan penampilan yang diketengahkan, lapan personaliti hijab yang terkenal di peringkat antarabangsa ini juga memiliki keistimewaan dan kemahiran tersendiri.
1.Dina Torkia (@dinatokio)
Figura ini mula meletakkan hidupnya di Internet sekitar umur 21 atau 22 tahun. Sehingga diberi gelaran Miss World Muslim, dia adalah seorang blogger kecantikan Islam seperti Habiba Silva. Beliau memiliki kacukan darah Inggeris dan Mesir, dibesarkan di antara London dan Cardiff. Berkahwin dengan Sid Kaan. Penampilannya kaya dengan rona pastel, tekstur rumit dan siluet yang unik.
Mempunyai inspirasi gaya yang versatil, berani dan menyenangkan. Kini beliau berjaya sebagai seorang Stylist UK, pereka, YouTuber dan blogger fesyen. Dia adalah sebahagian daripada sekumpulan blogger Hijabi yang popular di dunia.
2.Dian Pelangi (@dianpelangi)
Dian Pelangi adalah pereka fesyen Indonesia, usahawan dan perintis fesyen hijab dengan mata yang luar biasa. Dia menggabungkan sulaman Indonesia yang menakjubkan dan teknik tradisional lain dengan aksesori luxe dan menyenangkan sehingga mampu memberi impak penampilan mewah. Dian Pelangi mempengaruhi demografi yang luas dengan gaya modennya terhadap pakaian Muslim. Salah satu sensasi gaya peribadinya yang asli, dia adalah ikon budaya pop dengan jenama fesyen sederhana yang berkembang dengan semangat, mainan warna, cetakan tebal dan gabungan siluet tradisional dan barat.
Kejayaannya adalah lambang gaya Islam yang lebih luas dan pergerakan pakaian berjenama Muslimah. Fesyennya sangat mendapat perhatian dan langkahnya sentiasa dinantikan di lantai pentas fesyen utama, khusus di Indonesia dan Malaysia. Pelangi sendiri telah mengadakan pameran fesyen di Britain, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, Dubai, Mesir, Kuwait dan Jordan dan semestinya di Minggu Fesyen Jakarta. Dia mempamerkan koleksi pertamanya pada usia 18 tahun. Dia adalah duta jenama untuk Wardah Beauty kosmetik. Pada tahun 2012 Pelangi menerbitkan buku sendiri, koleksi gaya jalanan wanita Islam yang telah memberi inspirasi kepada pereka dan usahawan dalam perjalanannya. Pelangi adalah nama jenama Dian Pelangi yang diasaskan pada tahun 1991 tahun kelahirannya.
3.Ruba Zai (@hijabhills)
Seorang blogger hijabi yang berpusat di Belanda. Dia memotret wajah kehangatan retro-cool dengan inspirasi gaya vintaj seperti sulaman mutiara atau rompi suede 70-an, manakala palet neutral dengan pop merah atau merah gincu menyimpan perkara-perkara yang moden menjadi pilihannya. Guru kecantikan YouTube yang dikenali ramai untuk saluran Hijabhillsnya.
Beliau meraih populariti dengan video yang dikongsinya, tip gaya pakaian dengan hijab. Beliau melonjak naik pada Januari 2013, apabila videonya “Tutorial Hijab untuk kaca mata dan hiasan aksesori rantai” menjadi perhatian ramai. Trivia Antara video paling popular beliau termasuklah “Tutorial Hijab & Mudah Hijab!” dan “Cepat dan Mudah Hijab Style!,” telah memperoleh jutaan penonton.
4.Amena (@amenaofficial)
Seorang blogger yang menetap di UK yang terkenal dengan tutorial tudung YouTubenya yang luas. Gaya moden dengan penampilan yang elegan, mainan warna berkesan hingga kepadan penampilan lebih glamor memakai bulu -bulu. Ikuti penampilannya untuk inspirasi bagaimana untuk meningkatkan penampilan yang menarik. Memiliki gaya hidup internasional dan guru kecantikan tutorial yang menyeronokkan dan mesra di saluran YouTube bertajuk dirinya sendiri adalah tuntutan dan perhatian yang selalu dinantikan.
Beliau mula menyertai YouTube pada 15 November 2006. Video pertamanya, yang juga paling popular, dipanggil “Cara memakai Headscarf (Tutorial Hijaab / Hijab): Air Terjun Pink | Amena.” Trivia Dia telah mendapat perhatian jenama kosmetik terkenal seperti Bobbi Brown, Clarins, Eyeko, Ardell, L’Oreal dan banyak lagi. Kehadirannya juga sentiasa dinantikan di setiap acara fesyen di seluruh dunia. Kehidupan keluarga, beliau dilahirkan di Leicester, England, UK. Suaminya Osaama pernah muncul dalam beberapa video beliau. Mereka mempunyai anak lelaki yang dilahirkan pada tahun 2009.
5.Dalal AlDoud (@dalalid)
Juga seorang blogger fesyen dan kecantikan mempersonakan yang berpusat di Kuwait, 1986. Dia menubuhkan blognya pada tahun 2012 dengan perkongsian tentang pakaian dan tip solekan. Dia tidak pernah fikir dia akan menjadi salah seorang blogger paling berpengaruh di Kuwait. Dalam masa yang singkat, pengaruhnya tersebar luas. Ia meliputi negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan dunia Arab. Matlamat yang paling penting Dalalid adalah untuk memperkasakan wanita.
Dia bercita-cita untuk memberi mereka keyakinan dan menggalakkan wanita hijab lain untuk menjadi stylo, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan gaya solekan menarik. Apabila dia memulakan blog mengenai pakaiannya, Dalalid menunjukkan pengikutnya bagaimana untuk suai padan yang menarik dan memberi impak kepada personaliti sebagai Muslimah moden. Dia juga berkongsi di mana untuk membeli dan di mana mereka boleh memperoleh busana yang luar biasa. Pastinya jika di lihat di Instagramnya, penampilan beliau sangat elegan dan matang, memberi cerminan terbaik buat wanita Muslimah moden dalam gaya anggun dan menawan. Penampilannya tidak mempunyai kekurangan detail luxe, digandingkan bersama dengan kelemen klasik dan dihiasi dengan mantel yang mampu menyerlahkan penampilan segar dan stylo.
6.Leena Asad (@withloveleena)
Seorang blogger gaya hidup dan fesyen Muslim Amerika / Palestin yang tinggal di Texas. Beliau seorang jururawat tetapi mencintai dunia fesyen dan gaya hidup sempurna. Gemar berkongsi inspirasi fesyen, tip kesihatan dan kecantikan, perjalanan duniawi dari kaca mata pengalaman hidupnya. Mempunyai matlamat yang tinggi dalam usaha memberi inspirasi kepada wanita lain untuk menjadi terbaik dan pada masa yang sama terbaik untuk dirinya juga. Penampilannya sentiasa menyentuh hati wanita lain dengan gaya yang sederhana, renda dan ruffles, jeans dan Booot Chelsea yang mewujudkan gaya penampilan menarik, klasik, segar dan tidak keterlaluan.
7.Saufeeya Goodson (@feeeeya)
Pada usia 22 tahun beliau telah mencipta nama sebagai blogger fesyen Dubai. Halaman fesyennya mendapat sambutan hangat dengan jutaan follower. Turut mendapat perhatian majalah internasional Vogue. Ramai yang meminati gayanya yang berani, menyeronokkan, warna- warni, moden, mewah dan kreatif. Bagi dirinya, memakai hijab tidak asing baginya, beliau membesar melihat wanita memakainya dan itu adalah normal. Namun, setelah mempelajari pengetahuan Islam yang lebih mendalam, hijab kini mempunyai makna yang lebih bermakna dalam hidupnya kerana dia memahami tujuan dipakainya, hanya untuk Pencipta.
Kehadirannya kini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada wanita lain dengan ekspresi kreatif, imej dan berfikiran secara terbuka, sama ada untuk wanita Islam dan bukan Islam. Buat mereka yang bergelut dengan hijab, beliau menasihatkan, “Memahami maksud dan alasan di belakang hijab. Dalami pengetahuan dan tahu bahawa tudung itu bukan hanya pakaian utama, ia berjalan lebih jauh dan melampaui semua itu. Hijab adalah cara anda bertindak, cara anda bercakap, cara anda membawa diri dan banyak lagi! ”
8.Ibtihaj Muhammad (@ibtihajmuhammad)
Terkenal kerana menjadi wanita Muslim Amerika yang pertama memakai hijab ketika bersaing dan mendapat pingat untuk Amerika Syarikat dalam Sukan Olimpik. Malah beliau merupakan barbie pertama yang memakai hijab, ini memberi peluang untuk memecah sempadan tentang pemakaian hijab dan beliau sangat teruja kerana anak-anak kecil nanti boleh bermain dengan patung berhijab. Beliau juga terpilih di antara Orang Yang Paling Berpengaruh di Dunia” majalah Time pada 2016.
Ibtihaj mempunyai jenama fesyennya sendiri. Dilancarkan pada 2014, Louella by Ibtihaj Muhammad menjual pakaian sederhana pada harga yang berpatutan. Beliau memulakan syarikat itu apabila dia mengalami kesulitan mencari pakaian untuk menghadiri jemputan majlis dan adiknya mencadangkan dia untuk membuat sendiri. Hari ini, dia mengendalikan syarikat itu dengan lima adik-beradiknya. KR