Sekalung tahniah diucapkan kepada penyanyi bersuara lunak, Nora Ariffin yang merupakan salah seorang penerima pingat dan darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021. Pengurniaan Pingat Panglima Mahkota Wilayah (PWM) yang diberikan kepada Nora membawa gelaran Datuk!
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin meluahkan rasa syukur dan terharu atas pengurniaan tersebut di media sosial miliknya.
“Assalamualaikum warahmatullah, bismillahirahmanirrahim. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah SWT. Patik merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan kurniaan ini.
Terima kasih juga kepada Kementerian Wilayah Persekutuan di atas pengiktirafan yang diberi. Sejujurnya saya amat bersyukur pada Allah SWT, terharu, teruja dan gembira di atas penganugerahan ini. Ia adalah anugerah dan hadiah yang amat bermakna untuk saya dan juga arwah suami tercinta Johan Nawawi.”
Ujarnya lagi, “Saya dengan rendah diri ingin mengucapkan terima kasih kepada anak-anak tercinta, keluarga, saudara mara, sahabat sahabat, peminat peminat & semua pihak media yang telah memberi ucapan, sokongan dan doa kepada saya.
Ini adalah satu amanah, tanggungjawab dan peniup semangat untuk saya terus aktif bergiat dalam bidang seni budaya. Semoga kita semua diberkati Allah SWT. In Shaa Allah.”
Nora bersama dua lagi penggiat seni iaitu pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim dan penulis lirik dan skrip ternama tanah air iaitu Habsah Hassan turut menerima pingat sama yang membawa gelaran Datuk. Mereka antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan.
Jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pengurniaan tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya dalam bidang masing-masing. Bagaimana pun, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun ini masih belum diputuskan memandangkan situasi pandemik Covid-19.
Kehidupan wanita berjiwa cekal ini tidak terlepas dengan pelbagai dugaan. Pada 24 Mac 2017 Nora telah kehilangan suami tersayang Johan Nawawi yang juga komposer terkenal akibat serangan jantung. Kira-kira dua tahun kemudian, beliau sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia disebabkan faktor genetik pada 15 Disember 2019.
Nora kini bergelar nenek kepada cucu sulungnya, Ayden Johan yang kini berusia lima bulan. Selain menyanyi, Nora turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Prettian. Moga Datuk Nora terus kuat mendepani hari-hari mendatang dan menjadi sumber kekuatan buat ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Nora Ariffin