Deepika Padukone sememangnya tersohor dalam industri Bollywood bukan hanya kerana kejelitaannya bahkan sebagai antara artis termahal dan terkaya di India.
Wanita kelahiran Kopenhagen, Denmark ini bukan sahaja sukses sebagai pelakon bahkan bergelar penerbit dan ‘ratu’ iklan tersohor.
Wajahya sering menghiasi produk-produk terkenal dunia seperti Levis, Chapord dan banyak lagi.
Deepika Padukone juga terkenal dengan sikapnya yang dermawan. Ternyata, Deepika Padukone tidak hanya mempertaruhkan rupa paras dan bakat semata-mata namun lebih dari itu. Bintang filem Om Shanti Om dan Chhapaak ini turut mempunyai label fesyennya sendiri.
Deepika Padukone terkenal dengan kehidupan mewah dan glamour.
Dia dikatakan memiliki beberapa koleksi kereta mewah seperti BMW, Mercedes Benz, Mini Cooper, Audi Q7 dan A8. Bukan itu saja, dia juga memiliki koleksi tas tangan berjenama mewah antaranya Gucci Dionysus, Hermes Kelly, Channel Deauville, Celine Phantom dan banyak lagi.
Melihat kepada gaya hidupnya itu, semestinya Deepika Padukone mendiami kediaman yang mewah juga. Menetap di daerah elit iaitu Mumbai, Deepika Padukone memilih kondominium berharga jutaan ringgit sebagai huniannya.
Bukan itu saja, dia turut memiliki aset lain yang disewakan. Ternyata, dalam usia 39 tahun Deepika Padukone bijak menguruskan dan melaburkan aset-aset yang dimiliki dengan cara menguntungkan. Cantik, bijak, sukses dan kaya!
Ads
Rahsia Cantik & Sihat
Selain bijak menguruskan kariernya, aktres jelita ini juga bijak mengatur pola pemakanannya setiap hari agar kekal sihat dan cantik. Pastinya ramai juga ingin tahu bagaimana dia menjaga bentuk badan yang langsing serta memiliki perut yang kempis.
Deepika Padukone memulakan harinya dengan meneguk segelas air suam diikuti dengan susu rendah lemak dan sajian khas India seperti dosa, idli, upma dan putih telur.
Sementara untuk tengahari dan malam, Deepika Padukone memilih chapattis, sayur-sayuran dan ikan bakar sebagai hidangan utamanya.
Ads
Sementara untuk kudapan dia memilih buah-buahan, jus, salad dan kekacang. Sesekali Deepika Padukone akan memilih coklat sebagai kudapan tetapi dalam kuantiti yang sedikit saja.
Bahagia Bersama Suami
Deepika Padukone dan suaminya, Ranveer Singh yang juga bintang ternama Bollywood antara pasangan yang sering menjadi perhatian ramai.
Sepanjang perkahwinan, pasangan ini tidak pernah terpalit dengan kontorversi mahupun gosip. Mereka juga jarang mempamerkan kebahagiaan di media sosial.
Pasangan ini berkahwin pada 14 November 2018 di Lake Como, Itali. Perkahwinan mereka menjadi salah satu sejarah hiburan Bollywood kerana dilangsungkan secara tertutup dan ekslusif hanya untuk keluarga serta teman rapat.
Sepanjang majlis tetamu tidak dibenarkan mengambil sebarang foto sehinggalah pasangan ini sendiri yang mengkhabarkan berita gembira itu kepada umum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Tsukuba, Jepun.
Keberangkatan Paduka Baginda ke Amari Kuala Lumpur diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut mengiring ialah paduka-paduka anakanda YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Encik Noriyuki Shikata; Presiden Universiti Tsukuba, Dr. Kyosuke Nagata serta Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Encik Khozo Tashima.
Penganugerahan berprestij itu disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Paduka Baginda dalam bidang sukan dan pendidikan, selain mencerminkan hubungan persahabatan serta kepercayaan yang kukuh antara Malaysia dan Jepun.
Dalam titah ucapan, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Presiden, fakulti serta seluruh warga Universiti Tsukuba atas pengiktirafan bermakna itu.
Paduka Baginda turut menekankan bahawa penganugerahan ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, tetapi juga simbol jalinan erat kedua-dua negara.
Paduka Baginda turut mengimbau kenangan pada tahun 2019 ketika lawatan rasmi ke Tokyo bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Naruhito, di mana Paduka Baginda berpeluang bertemu dengan mendiang Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.-
Sumber: Kesultanan Pahang
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hidup adalah tentang menerima dan mencintai diri seadanya, dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan kita. Itulah kekuatan pengasas aiskrim gula apong artisan, Mokti’s Ice Cream yakni Siti Fatimah Binti Adnan dalam mengembangkan bisnes yang diminati.
Di sebalik kemahiran dalam seni pembuatan aiskrim, Siti Fatimah yang juga Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd bertuah kerana dibantu pasukan pengurusan yang hebat.
Antaranya suami tersayang, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein yang bertindak sebagai mastermind dalam meluaskan empayar Mokti’s Ice Cream sehingga mencapai 91 outlet dalam tempoh dua tahun.
Turut menguruskan enam buah kilang aiskrim di Perlis, rahsia kejayaan beliau hari ini sebenarnya terletak pada sifat tidak mudah menyerah. Nampak sahaja lembut, tapi tangkas dan lincah.
Paling penting wanita Utara berumur 31 tahun itu bijak menimbang pilihan dan tidak terburu memberi keputusan. She is such a vibe, aura Siti Fatimah sesungguhnya luar biasa.
Sebaik selesai penggambaran, kami duduk santai sambil menikmati aiskrim Apong Baby Bob. Memang sedap, bayangkan sebekas soft-served ice cream yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Patutlah Mokti’s Ice Cream tular, kesedapannya jadi fenomena!
Rezeki PKP, cerita Siti Fatimah bahawasanya Mokti’s Ice Cream mula meniti bibir ketika dunia dilanda pandemik tahun 2020.
“Betul, sebelum ni saya hanyalah seorang suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dah tertulis jodoh saya kahwin muda umur 22 tahun, iaitu selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak.
Lepas dapat anak sulung, kami sekeluarga menetap di Bintulu kerana mengikut suami bertugas di sana. Masa tu dia masih terlibat dalam industri minyak dan gas.
Di situ jugalah saya mula kenal aiskrim gula apong yang betul-betul sedap, sampai teringin dan terbawa-bawa kesedapannya. Gula apong tu maksudnya gula cecair yang diambil daripada pokok apong (nipah) dalam bahasa Sarawak.
Tak lama kemudian, kami pindah ke Perlis selepas lahir anak ketiga. Kebetulan suami pula dihantar bertugas ke Algeria dan hanya dapat pulang tiga bulan sekali. Ketika itulah saya asyik teringat aiskrim gula apong.” Siti Fatimah
Biarpun mempunyai pasangan terbaik, adik-beradik yang selalu membantu dan staf-staf yang dipercayai, namun baginya tiada istilah bergantung pada manusia, kecuali Allah SWT.
Sambungnya lagi, minat dalam bidang pembuatan aiskrim bermula pada Disember 2019, selepas meminjam sejumlah wang daripada ibu tersayang.
“Dengan modal RM5,000, saya masuk kursus, beli mesin manual dan sebuah stall. Awalnya ilmu yang ditimba tu tersangatlah basic. Saya tetap kena balik buat R&D, buat aiskrim dan bagi pada mak serta jiran-jiran rasa.
Ingat lagi kata mereka, aiskrim masa tu manis sangatlah, tak sedaplah. Sampai banyak kali saya buang dan hampir-hampir putus asa. Tapi bila fikir semula, rugilah kalau berusaha sekadar melepas batuk di tangga.”
BISNES PANDEMIK
Menjelang Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Ramai warga Malaysia dibawa pulang termasuklah suami Siti Fatimah yang bertugas di Algeria. Serentak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa di seluruh negara.
“Dipendekkan cerita, suatu hari saya dapat formula aiskrim gula apong yang tepat. Rasanya sedap dan berlemak. Kebetulan negeri Perlis masa tu terkecuali daripada PKP, jadi rakyat bebas membuat aktiviti luar termasuk membawa keluarga beriadah di taman rekreasi.
Maka dengan bantuan adik-beradik, kami pun start meniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari bonet kereta.
Tanpa rasa segan, saya pun bunyikan loceng untuk tarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang. Makin hari makin ramai yang datang beli aiskrim scoop gula apong kami. Dari sekadar menjual di taman, kami dapat undangan waktu kenduri dan dari situ ramai yang minta kami buka kedai sendiri.
Jadi saya buka sebuah kedai kecil, cukup ada sebuah meja dan mesin saja, tapi dari situ pembeli yang datang tak berhenti-henti.” Siti Fatimah
Berkat kerjasama suami sebagai rakan kongsi, perniagaan aiskrim Siti Fatimah mula berkembang pesat. Asal-usul nama Mokti’s Ice Cream juga diambil daripada nama panggilan beliau – Mok Timah – dalam kalangan ahli keluarga mentua di Sarawak.
Rezeki pandemik, perniagaan suami isteri ini pantas tular di media sosial dan mengangkat kesedapan aiskrim gula apong asli di tanah air.
Meskipun tanpa kelulusan profesional dalam bidang perniagaan, namun minat berniaga yang kental serta bantuan suami, ibu dan adik-beradik Siti Fatimah menjadi tunggak kejayaannya.
Berkat sikap positif dan keinginan belajar dari pengalaman, usaha gigih pasukan Mokti’s Ice Cream serta beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan terbukti membanggakan.
Hasil kepimpinan yang jitu, strategi dan kekuatan jenama Mokti’s Ice Cream itu sendiri, kini mereka berjaya membangunkan enam buah kilang aiskrim di sekitar Perlis.
Malah tirai 2022 berlabuh cemerlang dengan rekod 91 outlet Mokti’s Ice Cream di seluruh Malaysia termasuk pembukaan outlet terbaharu, Mokti’s Signature di Kuching.
Apakah resipi kejayaan Mokti’ s Ice Cream dalam tempoh dua tahun? Tonton temu bual eksklusif bersama Siti Fatimah ini…
Ditanya tentang impian bisnes Siti Fatimah, tanpa disangka beliau rupa-rupanya mahu terus menjadi pioneer dan membuka sebuah kilang kon milik Muslim pertama di negara ini. Cita-cita yang tidak mustahil jika disertai doa dan usaha!
“Alhamdulillah, sebenarnya setiap kali pembukaan outlet baru, pasti akan ada pelbagai permintaan dan pendapat yang berbeza. Kami hargai setiap pandangan dan berusaha menyelesaikan permasalahan dengan sebaik-baiknya.
Ini termasuklah isu-isu berbangkit di kilang atau staf, dan seumpamanya. Saya kira ia rutin biasa yang dialami setiap usahawan.
Hal yang paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila staf-staf semua gembira bekerja di Mokti’s. Keluarga kecil kami ada lebih kurang 104 orang, segelintirnya adik-beradik dan majoriti staf penduduk Perlis. Saya bahagia dapat membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Saya ada plan nak menembusi pasaran Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau kami berjaya bawa Mokti’s Ice Cream sampai ke sana, barulah secara peribadinya saya anggap kami sudah berjaya.”
Menjadikan kecekalan arwah bapa dan semangat suaminya sebagai pembakar semangat, baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Halal Ice Cream, Siti Fatimah Adnan ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Mimie Romyza
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sememangnya Bella Astillah lambang kekuatan wanita yang bergelar isteri. Malam tadi telah mencipta momen indah dalam diri Bella Astillah apabila melihat suami tercinta menjadi Juara Gegar Vaganza Musim ke-8. Tahniah! Aliff Aziz yang meraih gelaran juara bagi musim ini dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 serta trofi.
Gegar Vaganza musim ini turut menyaksikan Nikki Palikat merangkul gelaran naib juara dan membawa pulang RM50,000 sementara Suki Low pula menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM30,000.
Sudah pasti kelibat Aliff Aziz sebagai juara pada malam itu telah mencuri perhatian ramai. Melihat kejayaan yang diraih oleh penyanyi lagu Sayang Sayang ini sudah pasti membayangkan sokongan padu tak berbelah bagi yang telah diberikan oleh isterinya, Bella Astillah.
Walaupun ramai yang tahu pasangan ini pernah diuji dengan kisah rumah tangga mereka namun kesabaran dan sifat pemaaf ibu kepada Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna ini dikagumi oleh wanita lain.
Memetik kata-kata Bella ketika ditanya dalam program Live bersama Prof Muhaya baru-baru ini, “Sebenarnya kita sebagai manusia memang susah nak lupa apa yang kita telah maafkan.
Tapi kalau kita memaafkan dengan ikhlas dan kita melalui hari kita dengan ikhlas, insyaallah kita akan rasa lebih tenang dan benda-benda tu dah tak ada dalam hati serta fikiran saya.
Sebab itu mudah untuk saya menjalani hari-hari saya bersama anak-anak dan suami, alhamdulillah,” ucap Bella Astillah lambang kekuatan seorang isteri zaman ini.
Teringat ketika Nona mengatur pertemuan bersama Bella Astillah saat wanita ini sedang menempuh dugaan rumah tangganya dahulu. Ketika itu kekuatan hati seorang wanita yang bergelar isteri ini memang benar-benar terserlah.
Langsung tiada riak sedih mahupun kecewa yang tergambar di wajahnya. Ekspresi wajah yang terpamer ketika itu hanyalah kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak sulungnya.
“Apa juga yang terjadi dalam hidup ini saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya mahu move forward, maju ke depan demi anak dan juga keluarga tercinta.
Sebagai kakak sulung kepada lima orang adik-beradik saya juga mempunyai tanggung jawab terhadap mereka. Jadi saya tiada masa untuk selfish, bermuram-durja kerana masalah sendiri. Itu menunjukkan bad example kepada adik-adik saya and I need to show very good example to them.
Bagi saya sebagai seorang wanita atau pun isteri, sokongan keluarga sangat penting. Jika sudah berkahwin jangan sekali-kali membuang keluarga kerana mereka sentiasa akan berada di samping kita saat susah dan senang,” tutur Bella ketika temu bual kami sekitar tahun 2019.
Semoga rumah tangga Bella dan Aliff tidak lagi diuji selepas ini serta terus utuh dan kekal bahagia hingga ke syurga firdaus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amna Al Qubaisi mencipta sejarah sebagai pelumba wanita UAE yang memecah dominasi lelaki dalam motorsport, simbol inspirasi, kecantikan dan pemerkasaan wanita moden.