
Penuh santun dan kelembutan, To’ Puan Syamim Freida menzahirkan rasa syukur serta kebanggaan terhadap suami tercinta, Yang Dimuliakan Tengku Orang Kaya Menteri Diraja, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Alhaj, yang diraikan menerusi istiadat pemasyhuran gelaran Orang Besar Istana Selangor. Detik penuh bermakna itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah meninggalkan kenangan indah buat pelakon jelita berkenaan yang sentiasa setia mendampingi suami dalam setiap perjalanan kehidupan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Syamim meluahkan rasa syukur atas penghormatan tersebut sambil menitipkan doa agar suaminya terus dikurniakan kebijaksanaan, kerendahan hati dan keikhlasan dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.
To’ Puan Syamim Freida Bangga Dengan Penghormatan Diraja
Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor berlangsung penuh adat istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, pada 25 Oktober lalu.
Istiadat berkenaan disempurnakan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, sekali gus melambangkan kesinambungan adat, kedaulatan dan warisan Kesultanan Selangor yang terus dijunjung tinggi.
Untuk rekod, Tengku Ezrique telah menerima watikah pelantikan sebagai Orang Besar Istana Selangor dengan gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja pada 29 Ogos 2023.



Bagi Syamim, penghormatan tersebut bukan sekadar kemuliaan yang mengiringi nama suami, sebaliknya membawa tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan. Dalam ungkapan sarat kasih sayang, beliau menitipkan ucapan tahniah dan doa buat insan tersayang.
“To my dearest husband, congratulations, sayang. Seeing you receive this honour fills my heart with so much pride and gratitude.
I pray that ALLAH SWT continues to guide you with wisdom, humility and sincerity in every amanah entrusted to you. Always grateful to be by your side, through every chapter of our journey,” tulisnya.
Anggun Bersama Sahabat, Menyerikan Hari Penuh Bermakna
Di sebalik kemuliaan istiadat diraja, keanggunan To’ Puan Syamim Freida turut mencuri perhatian apabila beliau berkongsi detik manis bersama sahabat handai yang hadir meraikan hari bersejarah itu.
Antara wajah dikenali yang turut memberikan sokongan ialah pelakon dan pengacara Uyaina Arshad, pempengaruh merangkap usahawan Nurin Afiqah serta pelakon Datin Bella Dally.



Kehadiran mereka menambahkan seri pada hari istimewa tersebut. Dalam suasana penuh kemesraan, terserlah keindahan persahabatan yang tidak hanya terjalin ketika suka, bahkan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang ingin dikenang sepanjang usia.
Biarpun diraikan dalam suasana penuh penghormatan, Syamim tetap tampil dengan peribadi yang merendah diri, tidak melupakan insan-insan yang sudi meluangkan masa berkongsi kegembiraan bersama keluarganya.
“Some occasions are made even more meaningful by the presence of those dear to our hearts. Thank you for being there and making such a special day even more memorable for us. We’re so grateful to have you all in our lives. Another beautiful memory for us to cherish,” ungkapnya.
Mensyukuri Nikmat, Menjunjung Amanah Dengan Penuh Keikhlasan
Dalam meraikan detik bersejarah tersebut, Syamim turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, sahabat handai serta semua pihak yang tidak putus-putus menitipkan doa dan ucapan tahniah.
Baginya, setiap anugerah dan nikmat yang dikurniakan merupakan pinjaman daripada Allah SWT, justeru harus diterima dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran.


Sesungguhnya, kemuliaan seseorang bukan hanya terletak pada gelaran yang disandang, tetapi turut terpancar melalui keluhuran pekerti, kebijaksanaan menjaga amanah serta keikhlasan berbakti.
Buat To’ Puan Syamim Freida, hari bersejarah itu pastinya akan terus tersimpan sebagai kenangan terindah. Bukan semata-mata kerana penghormatan yang diterima suami tercinta, tetapi kerana kesempatan meraikan sebuah kebahagiaan bersama keluarga dan sahabat yang sentiasa dekat di hati.
Artikel berkaitan: Cef Anis Nabilah Harumkan Nama Malaysia, Raih Anugerah Berprestij TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026

sekarang!

