Luar biasa penangan filem Mat Kilau. Tujuh hari ditayangkan, filem arahan Syamsul Yusof tersebut berjaya meraih kutipan mencecah RM23.3 juta! Bukan calang-calang, tak dinafikan ‘sentuhan’ anak Datuk Yusof Haslam ini mencetuskan revolusi baharu dunia perfileman sekaligus menarik peminat seni menonton kembali filem Melayu tempatan.
Fattah Amin, salah seorang bintang filem berkenaan turut menjadi bualan ramai kerana bakat lakonannya yang semakin terkesan di hati penonton. Difahamkan ketika Fattah menjayakan watak Awang dalam filem itu, dia baru mendirikan rumah tangga dengan aktres jelita, Fazura.
Baru-baru ini Fattah dan Fazura sekali lagi menonton filem aksi tersebut. Istimewanya, mereka berdua berpeluang menyaksikan filem Mat Kilau bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Untungnya Fattah dan Fazura, bukan sebarangan orang dapat peluang macam tu!
Fattah yang lengkap berkemeja lengan panjang biru kelihatan teruja berkongsi pengalaman sepanjang melakonkan aksi filem itu kepada Sultan Selangor. Malah, filem Mat Kilau turut mendapat pujian daripada Baginda Sultan kerana berjaya mengangkat seni orang Melayu ke tahap lebih tinggi.
Ads
Menerusi kenyataan Sultan Selangor di Facebook Rasmi Selangor Royal Office, “Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan di kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai kita.
Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak pada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.
Ads
Beta menggalakan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ia boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran kepada kita semua bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya.
Beta memandang serius terhadap gejala perpecahan di kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu. Beta melihat perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara kita.
Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran Negara. Walau bagaimana pun Beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.”
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut bertitah agar pemimpin politik Melayu menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab supaya kaum lain tidak hilang rasa hormat terhadap mereka.
Selain bekerjasama dnegan pemimpin parti politik kaum lain demi mengutamakan kepentingan dan keselesaan hidup rakyat yang berbilang bangsa.
Ketika menonton filem Mat Kilau, DYMM Sultan Selangor tampil segak dengan kemeja lengan panjang kuning. Sementara Tengku Permaisuri Selangor pula anggun mengenakan blaus polos merah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.
Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.
RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.
JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.
Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.
Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bangga orang Kelantan bila wanita negeri Cik Siti Wan Kembang, Dato’ Tengku Maimun Tuan Mat berjaya mencipta sejarah selaku wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Bukan calang-calang jawatan! Kalau tidak berkredibiliti dan tiada bakat kepimpinan… tak mungkin beliau diberi kepercayaan menyandang tugas besar tersebut. Meskipun kecil orangnya tapi kebijaksanaan Dato’ Tengku Maimun dalam membuat keputusan tidak perlu dipertikai lagi.
Kelmarin, Yang Amat Arif Dato’ Tengku Maimun Tuan Mat dijemput ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan serta Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara. Pastinya ia merupakan detik manis bagi beliau.
Masakan tidak, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan. Turut kelihatan dalam upacara tersebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anggun berbusana tradisi baju kurung rona cerah dan bertudung bawal polos, Dato’ Tengku Maimun tenang menandatangani surat pelantikan. Begitu juga ketika mengangkat sumpah jawatan.
Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April lalu. Pelantikan Dato’ Tengku Maimun berkuatkuasa serta-merta mulai awal Mei lepas.
Mengintai latar belakang wanita hebat yang bakal meniti usia 60 tahun pada Julai, Dato’ Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.
Dua tahun berikutnya Dato’ Tengku Maimun berhijrah ke Majlis Perbandaran Seremban… juga sebagai pegawai undang-undang. Di sana, beliau ditugaskan jawatan sama selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.
Dato’ Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman setahun kemudian dan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.
Usai menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik dan terkawal, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada tahun 2013 dan seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kemelut kenaikan harga minyak sekali lagi pada minggu ini, bukanlah apa-apa jika mahu dibandingkan sengsara yang sedang dialami etnik Rohingya di Myanmar jam sekarang.
Tak terbayang rasanya melihat berita penganiayaan terhadap mereka. Jiwa bergelora, air mata bertakung dan rasa geram menyala-nyala tatkala melihat nasib mangsa rogol dan kekejaman manusia di sana, seolah-olah nyawa tidak berharga! Betapa darah seperti air hujan yang menyiram bumi.
Sebagai wanita, Nona sendiri kelu bicara membaca kes-kes di bawah. Allahuakbar, Tuhan bantulah mereka! Duhai wanita yang lembut hatinya, jika ini tak mampu menyentuh hatimu, mungkinkah ia sudah mengeras seperti batu?
Kes 1: Keranda Terapung
Dalam usaha wanita Rohingya melarikan diri, kebanyakannya berakhir dengan kematian dalam bot ‘keranda terapung’.
Roshida, seorang janda berusia 25 tahun, memberitahu bagaimana dia menaiki kapal bersama seorang anak perempuan berusia sembilan bulan.
Beliau berkata, di atas kapal, dia tersungkur selama berjam-jam dalam keadaan yang menyesakkan dan panas. Kakinya tertindih dengan wanita lain di hadapannya.
“Suatu ketika, anak-anak kapal sedang makan nasi dan anak saya mula menangis kerana kelaparan. Mereka marah dan membakar tangan anak saya dengan puntung rokok.”
Dia juga memberitahu bahawa dia telah melihat ada dua orang mati di dalam kapal tersebut kemudian dibuang ke laut.
Sesungguhnya, beratus-ratus telah meninggal dunia dalam perjalanan laut ini untuk melarikan diri dari penganiayaan dan mencari tempat berlindung, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kes 2: Kubur Besar Pelarian Rohingya
Ibarat ‘menggali kubur’ sendiri, begitulah takdir pelarian wanita yang diseludup oleh para sindiket.
Beratus-ratus kubur telah ditemui oleh pihak berkuasa Malaysia yang ditinggalkan di sempadan Thailand dipercayai untuk menanam mayat Rohingya yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Pada bulan April 2015, kubur besar juga dijumpai di kem tahanan di Songkhla, Thailand, tertanam mayat pelarian Rohingya.
Kes 3: Dipisahkan Daripada Keluarga
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Yasmine, memberitahu Human Rights Watch yang 12 orang lelaki datang ke rumahnya di Rakhine, dan memaksanya untuk meninggalkan Myanmar.
“Mereka mengheret saya ke perahu, mereka mempunyai kayu dan mengugut untuk memukul saya… Saya menjerit, saya menangis dengan kuat.
Ibu bapa saya juga menangis, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Saya pergi ke bot dengan tiga lelaki dan diserahkan kepada sindiket.”
Kes 4: Mangsa Penderaan Seksual
Wanita Rohingya yang melarikan diri ke kem transit penyeludupan manusia memberitahu bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan Muslim telah diperlakukan seperti hamba seks oleh pengawal kem.
Nur Khaidha Abdul Shukur, 24 tahun, berada di kem tersebut selama lapan hari dengan bayinya, berkata ada wanita Rohingya yang diperkosa oleh penyeludup dan kemudiannya mengandung.
Di Rakhine, rumah-rumah orang Islam Rohingya dimusnahkan dan diserbu oleh sekumpulan lelaki bersenjata; mereka dipukul dan diculik manakala wanita Rohingya dan anak-anak menghadapi penderaan seksual dan rogol.
Hal ini telah menjadi faktor pendorong kepada mereka kerana terpaksa menghantar anak-anak perempuan mereka jauh ke negara-negara seperti Malaysia.
Tindakan Wanita Malaysia
Saudara kita di Rohingya, anak-anak dan keluarga mereka tidak memerlukan perlindungan sementara atau hanya bantuan kemanusiaan.
Tapi mereka memerlukan keselamatan, perlindungan, hak dan janji kehidupan yang sejahtera yang sepatutnya diperolehi oleh setiap manusia.
Mereka juga mahu menghapuskan air mata dan melupakan kisah silam penderitaan mereka.
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melindungi saudara-saudara kita; dan kewajipan Islam kita sebagai orang yang beriman untuk mempertahankan dan mengubah nasib umat Islam Rohingya, kerana Rasulullah (SAW) berkata,
“Adalah tidak beriman sehingga kamu suka saudaramu seperti mana kamu menyukai dirimu sendiri.”
Nona ingin menyeru wanita-wanita prihatin di Malaysia agar menyalurkan sedikit bantuan mengikut kapasiti yang kita ada di saluran yang betul.
Antaranya melalui kempen ‘SINAR4ROHINGYA – Solidariti Untuk Kemanusiaan’ yang digerakkan oleh Sinar Harian & Kumpulan Media Karangkraf.
Menerusi kempen itu, dana turut dikumpulkan untuk pendidikan, perubatan, makanan dan pemulihan kaum Rohingya di Malaysia dan Myanmar.
Anda boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank ‘Sinar Karangkraf SDN BHD’ (tabung Sinar4Rohingya-Solidarity for Humanity), 503033634355.
Semua dana yang terkumpul akan dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank khusus untuk program itu.
Dana ini akan diurus oleh Sinar Harian yang akan melantik badan-badan yang bertanggungjawab agar semua sumbangan akan digunakan sepenuhnya untuk membantu masyarakat Rohingya.
Sinar Harian bersama NGO dan juga badan-badan korporat akan melancarkan kempen kesedaran melalui hebahan di akhbar bercetak Sinar Harian, Sinar Online dan Sinar TV bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai krisis yang menimpa kaum Rohingya.
Sehingga Mei lalu, 133,725 pelarian dari Myanmar didaftarkan oleh United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Malaysia. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!