
Tahniah Lisdawati dan suami, Fauzi Nawawi atas perkahwinan anak lelaki mereka pada hujung Mei lepas. Meskipun sudah lebih sebulan berlalu namun kemeriahan dan rasa syukur menyaksikan hari bahagia anak tersayang tersemat kemas di ingatan pelakon ini.
Terbaharu, aktres filem KL Menjerit berkenaan membuat hantaran di media sosial mengenai perkahwinan Mohd Fikri Hakimi dan isteri iaitu Nur Erina.
Luah Lisdawati, dia sebak melihat anak ini meningkat dewasa serta berjaya setelah hampir 12 tahun di bawah jagaannya.
Lisdawati Bahagia Saksi Perkahwinan Anak

Menerusi perkongsian itu, Lisdawati memuat naik momen indah saat hari persandingan pasangan mempelai. Di samping menitipkan ucapan dan doa buat anak serta menantu tersayang.
Kongsinya, “Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.. Setelah lebih sebulan baru saya boleh update. Perkahwinan anak keempat kami. Terima kasih kepada semua team yang menjayakan persandingan ini dengan sangat meriah.
Hampir 12 tahun Fikri Hakimi di bawah jagaan saya. Alhamdulillah kami selesaikan tanggungjawab untuk semua anak babah. Mama sayang you all, semua memori mama simpan dalam ingatan. Terus jadi anak yang soleh.”
Pada majlis resepsi tersebut, pengantin lelaki segak bersut hitam. Sementara pengantin perempuan pula anggun dalam persalinan gaun kembang rona lilac. Keluarga pengantin lelaki sepakat mengenakan busana sedondon emerald green.

View this post on Instagram
Turut menyerikan majlis istimewa Fikri Hakimi dan Nur Erina ini ialah rakan artis Lisdawati dan Fauzi Nawawi iaitu Dato’ Sri Eizlan Yusof dan Dato’ Jalaluddin Hassan.
Sebagai ibu, pastinya pemilik nama Nisdawati Nazaruddin ini mengharapkan agar ikatan suci yang dibina anak tersayang kekal bahagia hingga ke syurga.
“Buat Fikri Hakimi dan menantu mama Erin, semoga melayari bahtera rumah tangga dengan harmoni. Cari persefahaman, saling bertolak ansur dan sabar dalam setiap ujian. Semoga Allah merahmati perkahwinan ini.
Big thanks Sani Canopy dan Brick and Glass dan semua yang terlibat secara langsung sepanjang majlis ini.”
Rumah Tangga Lisdawati & Fauzi Nawawi

Lisdawati mendirikan rumah tangga bersama pelakon lelaki handalan tanah air, Fauzi Nawawi pada 9 September 2007. Sepanjang 19 tahun berkahwin, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.
Empat lagi anak hasil perkahwinan pertama Fauzi ialah Nur Hainil Fatihah, Hanna Faresha, Mohd Fikri Hakimi dan Muhammad Fareez Hazwan.
Fauzi Nawawi yang kini berusia 53 tahun dan Lisdawati berumur 47 tahun sudah pun mempunyai cucu.
Pada 1 Julai 2024, Fauzi berjaya menamatkan pengajian dan meraih Diploma Kemahiran Malaysia di Meatech Creative Academy.
Dalam temu bual dengan Nona sebelum ini, ibu jelita tersebut bangga dengan kejayaan diperoleh suami tercinta.

“Alhamdulillah dia dibantu juga dengan anak-anak yang masa tu anak pertama dan ketiga masing-masing ada degree. Jadi merekalah beri semangat untuk ayah dia habiskan pengajian. Ia juga sebagai tanda dorongan untuk anak-anak lain jadikan kejayaan tersebut cabaran untuk berjuang dan terus belajar.”
Diaju sama ada dirinya juga akan mengikut jejak langkah suami untuk sambung pengajian, ini jawapan Lisdawati.
“Angan-angan ada tapi banyak perkara perlu dititikberatkan. Fokus saya memang lebih kepada suami dan anak-anak. Jika ada peluang dan diizinkan, saya mahu sambung belajar dalam jurusan psikologi.
Saya minat psikologi sebab anak-anak sekarang banyak terdedah kepada alam maya. Saya kena pantau anak-anak supaya mereka tahu apa yang boleh atau tidak. Nak marah sangat tak boleh, risau mereka curi-curi buat pula.
Pendekatan yang saya buat ialah ada bersama mereka dan jadi kawan mereka supaya anak-anak tahu kita sentiasa ada untuk bantu dan pantau sebab kita sayang.”
Semoga keluarga besar pasangan selebriti ini sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
a
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





