Sesungguhnya ketulusan sebuah doa muncul kala kesakitan yang perit dan ketulusan bertasbih terucap dari hati yang sakit. Bukan selamanya rasa sakit itu harus dibenci kerana kemungkinan ia boleh mendatangkan kebangkitan pada seseorang. Sesungguhnya perancangan Allah itu sebaik-baik aturannya.
Terkadang penderitaan itu boleh memberi kenikmatan pada kita suatu hari nanti. Bangkitlah dengan semangat dan jiwa yang kuat. Kita yang tidak menanggungnya hanya mampu melihat, janganlah pula mudah menyentuh hati mereka dengan pelbagai andaian negatif. Resapilah segala kesulitan dan keresahan yang mereka alami. Mungkin hari ini, ujian itu milik mereka, esok lusa mungkin kita pula penggantinya.
Ini kisah yang saya lalui dan penghujungnya, saya iringkan doa agar semua dipermudahkan dan kembali pulih semula. Saya, Sharifah Huzaimah Wan Abd Rahman, berusia 38 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak dan merupakan anak sulung dari tiga beradik.
Abah saya bernama Wan Abd Rahman Wan Zen, 62 tahun, dan mak saya, Hamdiah Hj Zen, 60 tahun. Kami semua tinggal berasingan, kecuali keluarga adik bongsu, serumah dengan Mak dan Abah.
Segalanya bermula pada 17 Mac, pukul 5 petang, di dalam group WhatsApp keluarga besar kami (2 keluarga besar bergabung, keluarga Nenek saya dan keluarga adik Nenek). Kami dimaklumkan Nenek Usu Kayah (Allahyarhamah Hajah Rokayah Drahman), bertegas mahu balik ke rumah, semasa sedang menjalani rawatan di hospital swasta.
Nenek dimasukkan ke hospital selama satu malam kerana simptom demam, batuk dan sesak nafas (sampel darahnya telah dihantar ke Kuala Lumpur). Dia balik ke rumah petang tersebut dihantar oleh ambulans, berbekalkan tong oksigen disewa anak-anak dari hospital swasta.
Pada pukul 11 malam hari yang sama, Mak, Abah dan suami saya pergi melawat Nenek Usu yang sedang sakit (demam dan sukar bernafas) di rumahnya. Ada juga beberapa keluarga lain di sana. Saya tak dapat ikut kerana sedang bekerja shif.
Pada jam 2 pagi, kami dimaklumkan Nenek Usu telah meninggal dunia. Pada pagi 18 Mac, keluarga dan kawan-kawan terdekat mulai datang menziarahi rumah Nenek dan jenazah dimandikan, serta dikebumikan seperti biasa selepas Zohor di kubur Semariang, Kuching.
Waktu jenazah nenek dibawa ke kubur, anak-anak Nenek Usu (sepupu Abah), Norafizah dan Norismadi kelihatan demam dan sesak bernafas. Keluarga yang menziarah ada memaksa agar mereka dihantar ke SGH dengan segera.Untuk makluman, semua yang hadir di majlis pengebumian tersebut memakai topeng muka.
Pada 20 Mac, pagi tersebut group WhatsApp keluarga kami kecoh kerana keputusan darah Norismadi positif COVID-19. Semua ahli keluarga kami ketakutan, bercampur baur rasa sedih dan mula tertanya-tanya dari mana asal jangkitannya.
Ads
Kami semua bingung. Bermulanya perasaan stres dan takut dalam setiap diri kami, hanya Allah yang tahu betapa risaunya kami sekeluarga. Nama dan kad pengenalan diri setiap waris yang hadir ke majlis pengebumian, satu persatu dikumpul, kami cuba jejak hadirin yang datang dan KKM memanggil seorang demi seorang untuk screening COVID-19 di SGH.
Hari yang sama, seorang demi seorang ahli keluarga kami admitted ke hospital. Dan kami terima berita anak-anak Nenek Usu kritikal dan kemudian meninggal (Norafizah dan Norismadi). Ya Allah, seluruh ahli keluarga dalam kesedihan dan kami tidak dapat melawat mangsa, apatah lagi menghadiri majlis pengebumian mereka.
Kami cuma mampu melihat video yang diambil oleh pihak berkenaan semasa proses membawa jenazah dari SGH sehingga dikebumikan. Masing-masing rasa sedih dan takut dengan masa depan kesihatan kami sendiri.
Bayangkan setiap hari dihantui perasaan trauma. Asalkan ada mesej WhatsApp baru, kami tahu ada ahli keluarga akan diambil ambulans, dibawa ke SGH kerana positif COVID-19. Sehinggakan kami jadi trauma setiap kali mendengar notifikasi telefon. Keadaan ini berlarutan selama lebih seminggu.
Jangkitan Merebak
Pada 27 Mac, perkara yang paling ditakuti akhirnya berlaku. Mak dan Abah saya disahkan positif. Abah ada history sakit jantung dan mak pula ada penyakit diabetic and high blood. Keadaan kesihatan mereka amat merisaukan hingga dunia kami adik-beradik terasa kelam. Kami juga sedih tak dapat hantar Mak dan Abah ke SGH. Hanya lambaian dan doa mengiringi pemergian mereka.
Saya tak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa kepada Allah agar menjaga Mak dan Ayah, serta seluruh ahli keluarga yang lain. Dalam kesedihan ini, saya tetap bersyukur suami, anak-anak serta saya sendiri, tidak ada sebarang simptom hingga sekarang. Saya dan suami sudah dua kali menjalani swab test. Anak-anak tidak diperlukan swab (atas nasihat doktor) kerana tiada direct contact dengan ahli keluarga yang positif.
Ads
Suami sebagai ketua keluarga, alhamdulillah beliau sering membantu saya dalam menguruskan kehidupan seharian kami kerana saya hampir depressed. Saya sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga saya. Sejak 20 Mac lagi, wad COVID-19 di SGH dipenuhi ahli keluarga kami saban hari.
Anak Nenek Usu, cucu Nenek Usu, adik-beradik Abah, anak saudara Abah, memang ramai admitted. Tapi alhamdulillah semua menunjukkan kesembuhan kecuali beberapa ahli keluarga yang masuk ICU.
Pada 27 Mac, lebih 25 orang ahli keluarga besar kami positif COVID-19 dan admitted di SGH dan mulai dari itu saya tak nak kira lagi dah. Keadaan sekarang, anak sulung Nenek Usu, Haji Mohamad Ghazali Abd Rahman (kini kritikal dan di intubasi, wad ICU SGH).
Perkembangan Abah
Hari ini, 9 April jam 4.00 petang:
Atas doa semua. Alhamdulillah miracle, Abah tadi progress stabil dan dikeluarkan daripada ICU, dan kini telah dipindahkan ke wad COVID-19 biasa.
Ads
SYUKUR ALHAMDULILLAH MBOK Sharifah Huzaimah War Al-Edruce.. im Happy for you!!!AGAIN.. THE POWER OF DU'A ❤❤❤❤
Ahli keluarga lain-lain telah dipindahkan ke Kompleks Belia Dan Sukan (KBS) dari SGH untuk dipantau dan dirawat sebagai pesakit COVID-19 berisiko rendah.
Macam tak percaya, sekelip mata Allah turunkan ujian buat kami sekeluarga. Apabila result KKM keluar menyatakan source COVID-19 berasal dari kes import, kami dapati jangkitan pertama (tidak disengajakan) daripada kawan sepejabat anak Nenek Usu.
Selepas kematian Norismadi, saya mula post di FB tentang kesedaran dan bahayanya COVID-19. Bagaimana simptom mangsa dan sebagainya untuk kesedaran orang ramai. Bila ada ahli keluarga yang meninggal atau disahkan positif, mereka akan terus admitted ke hospital dan kita tak boleh datang melawat. Semuanya terhenti di situ dan mungkin itulah kali terakhir kita melihat mereka.
Saya harap agar semua orang mengikut arahan PM dan kerajaan, demi masa depan kita semua dan keluarga tersayang. Kalau boleh, saya nak masyarakat tahu, pesakit COVID-19 ni bukan penyakit yang kita minta! Jangan dicemuh, jangan diviral sewenang-wenangnya kerana video keluarga kami ramai diambil secara curi oleh kejiranan dan ditularkan.
Fahamilah! Tiap pesakit ada aibnya sendiri. Dahlah sakit, video diambil curi, tulis kapsyen macam pesakit tu zombie atau kena AIDS pula. Sedih sangat dengan sikap masyarakat yang suka berkongsi tanpa mencari kesahihannya. Kalau sakit mata anda memandang, lebih sakit lagi bahu kami yang memikulnya. Ini semua ketentuan dan takdir Allah. Baik atau tidak, semuanya dari Maha Pencipta.
Sehingga ke hari ini, KKM masih lagi memantau kesihatan keluarga kani untuk keselamatan semua. Saya dan keluarga masih disuruh untuk melakukan swab test. Doakan semoga kami terus negatif dan sihat, dilindungi dari wabak ini dan mudah-mudahan semuanya akan segera berakhir.
Akhir bicara, saya mohon agar semua dapat mendoakan kesihatan yang baik dan diberi kesembuhan buat Abah serta sepupu Abah saya (Mohd Ghazali) yang kini berada di ICU. Kepada frontliners, saya doakan agar semuanya selamat, diberikan kesihatan dan dilindungi Allah SWT.
Terima kasih atas usaha dan layanan doktor, jururawat di SGH dan KBS yang merawat keluarga saya. Semuanya sangat baik, mesra dan kami bersyukur dapat dirawat dengan baik. Alhamdulilah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sempena bulan Ramadan ini, Majalah RASA di bawah Nu Ideaktiv Sdn Bhd telah menganjurkan program RASA Bubur Lambuk Warisan 2023, yang menampilkan pelbagai resipi bubur lambuk yang menarik dari 10 negeri yang berlainan. Program ini bertempat di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, bermula pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Program ini telah berlangsung selama lima tahun berturut-turut dan kali ini Majalah RASA bersama para penaja seperti BABA’S, Petron Gasul dan Saji bekerjasama menghimpunkan resipi-resipi bubur lambuk kegemaran Malaysia dari Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Bahru, Selangor, Pulau Pinang, Bukit Piatu, Kulai, Sarawak, Kuala Perlis dan Kubang Pasu di bawah satu lokasi yang sama, yang ditaja oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Turut menghadiri program tersebut Yang Berhormat Tuan Haji Azli Bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam menandakan perasmian beliau terhadap inisiatif ini.
“Malaysia sentiasa dikagumi kerana kepelbagaian budaya, kepelbagaian makanan dan kemurahan hati rakyatnya. Oleh itu, kami ingin meraikan para pengunjung dengan menyediakan hidangan wajib yang digemari ramai pada bulan Ramadan ini.
Selain itu, saya melihat program ini sebagai satu platform untuk menghimpunkan pelbagai generasi atau unit kekeluargaan bersama-sama menghayati warisan peninggalan nenek moyang kita.” Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd.
Syamil juga berkata, selain dari mengimbau nostalgia warisan, program ini juga bertujuan untuk berkongsi rezeki kepada para wira barisan hadapan seperti anggota polis, bomba, hospital dan juga kepada masyarakat yang memerlukan.
Ida Abdul Aziz selaku Editor Pengurusan Rasa turut menambah bahawa program ini selain mengimbau nostalgia warisan, ia juga bertujuan untuk berkongsi rezeki dan menghargai para wira barisan hadapan seperti anggota polis, bomba dan hospital serta menzahirkan keperihatinan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Kami di pihak BABA’S amat berbesar hati dan bersyukur kerana dapat terlibat untuk menjayakan program murni ini dalam mengimarahkan bulan Ramadan yang barakah ini. Selain mengeratkan ukhwah dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat, pihak kami ingin juga berkongsi keberkatan Ramadan bersama golongan yang memerlukan dengan telah menjemput 70 orang anak yatim dengan usaha bersama Nu Ideaktiv.
Pihak kami telah mendermakan duit raya, beg hadiah bersama barangan produk BABA’S ke rumah anak yatim tersebut dengan harapan ia dapat memberi keceriaan untuk menyambut sambutan Hari Raya yang akan datang nanti. Uniknya tentang program agihan bubur lambuk tahun ini, ia menampilkan 10 resipi bubur lambuk nostalgia dari seluruh negara, dan setiap resipi ada menggunakan produk BABA’S di mana sebanyak 50 kg rempah ratus BABA’S telah disumbangkan dan digunakan.
Kesemua produk BABA’S diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti tinggi dari seluruh dunia dan bebas aditif, pengawet dan penambah rasa. Kami berharap program ini dapat diteruskan lagi dengan skala yang lebih besar lagi dan kami akan terus menyokong dan berkerjasama dengan Nu Ideaktiv untuk meneruskan tradisi agihan bubur lambuk ini di masa depan.” Tuan Haji Azrain Mohamad, Ketua Pemasaran BABA’S.
Pada hari yang sama, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan busker, qasidah, tazkirah dan macam-macam lagi.
“Petron Malaysia amat berbesar hati menjadi penaja gas memasak rasmi untuk majlis RASA Bubur Lambuk Warisan. Saya sangat teruja melihat Chef Adu dan Chef Fendi bersama-sama sukarelawan menyediakan Bubur Lambuk menggunakan Petron Gasul kami.
Perkataan Gasul berasal daripada perkataan ‘gas’ dan ‘azul’ yang membawa maksud biru dalam bahasa Filipina dan Sepanyol iaitu merujuk kepada Petron Gasul yang bersih dengan nyalaan api biru.
Di Petron, kualiti produk, keselamatan serta kemudahan pelanggan merupakan keutamaan dan kami amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada majlis ini bagi meraikan serta menonjolkan ciri-ciri unik budaya Malaysia.” Mohd Asri Ibrahim, Ketua Perniagaan Komersial Petron Malaysia.
Petron merupakan yang pertama menawarkan gas memasak LPG di stesen. Bermula hanya dengan 5 stesen pada 2018, Gasul yang berkonsepkan ‘tunai dan bawa’ kini boleh didapati di kira-kira 150 stesen Petron di seluruh negara.
“FGV Holdings Berhad komited dalam mencari peluang untuk memberi khidmat sokongan terbaik kepada masyarakat dengan berkolaborasi bersama pihak kerajaan mahupun swasta. Menerusi jenama ulung, SAJI, kami sentiasa aktif menjalankan projek dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Kami akan menyalurkan bantuan menerusi kempen “SAJI Sentiasa Di sisi”, di mana setiap jualan 1 karton Minyak Masak SAJI 5kg, RM SATU (1) ringgit akan diinfakkan ke tabung inisiatif SAJI Seikhlas Hati, dengan sasaran sumbangan bernilai RM 300,000 kepada rumah-rumah kebajikan masyarakat yang terpilih.” En Shammim Azad Kamruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif DOPSB.
Selain itu, majalah tersebut turut menganjurkan sebuah rancangan masakan sebanyak 22 episod iaitu Rasa Nostalgia Kampung Style yang dibawakan oleh BABA’S – menampilkan chef-chef terkenal seperti Chef Adu Amran dan Chef Wan bersama beberapa artis tanah air seperti Ezzaty Abdullah Zizi Kirana, Namie Ubi, Sazzy Falak dan ramai lagi. Ketahui pelbagai resipi tradisional yang menarik, tonton rancangan ini setiap hari Rabu hingga Ahad, jam 7:00 malam di Astro Ria.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pejam celik sudah lapan tahun tudung kegemaran rakyat Malaysia dUCK menyerikan wajah hijabis. Bermula dengan butik pertama dari Bukit Bintang hingga butik ke sembilan di Singapura lambang kejayaan bisnes yang diterajui oleh Vivy Yusof sebagai Pengasas Bersama The dUCk Group.
Vivy Yusof telah menzahirkan rasa syukurnya ketika bercerita tentang sejak dari pertama tertubuhnya dUCK. “Alhamdulillah, dUCK sudah melangkah sejauh ini sejak hari pertama dilancarkan pada tahun 2014.
Now, dUCk is a global lifestyle brand that provides more than just scarves and clothing but also beauty, home & living and more. From our retail store in Pavilion Bukit Bintang, dUCk now has nine stores including Haji Lane, Singapore and our very own dUCk café and Salon,” kata ibu kepada empat orang anak ini.
Berkongsi kegembiraan dengan dUCkies dan orang ramai sebuah ‘time capsule’ pameran pop-up telah disediakan di hadapan Fahrenheit 88 Kuala Lumpur. Pameran ini boleh dinikmati bermula dari hari ini sehingga Ahad, 29 Mei 2022. Jangan lepaskan peluang untuk menelusuri perjalanan indah dUCK di dalamnya.
Beberapa koleksi seperti The Blurred Lines, The World Map dUCk, The Kaleidoscope dUCk, The Alhambra dUCk dan Disney x dUCk – Mickey boleh dihayati di dalam pameran ini.
Beg Tangan.Buku Nota.Bekas minuman.
Ulang tahun tidak akan berseri seandainya tidak mengeluarkan koleksi baharu. Sudah menjadi tradisi dUCK mengeluarkan koleksi istimewanya dan kali ini menampilkan The Infinity dUCk collection yang terdiri daripada skaf, ready-to-wear (RTW) seperti blaus, beg dan barangan keperluan lain seperti bekas minuman dan buku nota.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Haa.. ini antara situasi yang sering membelenggu pasangan yang baru berkahwin. Pada mulanya hendak tunggu tugasan di pejabat semua selesai atau menanti tiket penerbangan yang murah. Tapi akhirnya terpaksa berbulan madu di rumah saja sebab isteri sudah mula hamil anak pertama.
Bagi anda yang sedang hamil, jangan sekat kemahuan anda dan risau untuk bercuti bersama suami kerana pada saat kehamilan seperti inilah anda patut nikmati pemandangan dan udara segar. Bukan saja baik untuk diri dan emosi si ibu. Tapi lebih bermanfaat untuk perkembangan bayi yang dikandung. Pun begitu, jika usia kandungan sudah melewati lima bulan seelok-eloknya anda sabar menanti untuk percutian seterusnya.
MINTA NASIHAT DOKTOR
Adalah wajar bagi anda untuk melakukan pemeriksaan kandungan dan mendapat KEIZINAN daripada doktor bertauliah sebelum pergi bercuti. Maklumkan kepada doktor mengenai maklumat perjalanan yang dirancang dan minta surat rujukan mengenai keadaan terkini kehamilan anda. Dokumen ini amat berguna terutama ketika menaiki kapal terbang. Ingat! Bawa bersama buku kehamilan sekiranya anda mengalami masalah dan memerlukan rawatan doktor di destinasi percutian.
PERIKSA PENERBANGAN
Kehamilan bukan penghalang kepada si ibu untuk bercuti melalui penerbangan. Namun, harus diakui kebanyakan syarikat penerbangan mempunyai syarat tertentu untuk wanita hamil. Misalnya, kandungan yang mencecah usia 35 MINGGU dan ke atas tidak dibenarkan untuk menaiki pesawat. Kebiasaannya, jika usia kehamilan 28 minggu sehingga 34 minggu, anda memerlukan surat pengesahan doktor dan mengisi surat akuan. Pastikan juga anda mengambil vaksin perjalanan sekiranya destinasi pelancongan yang akan anda kunjungi memerlukan pengambilan vaksin.
PAKAIAN YANG SESUAI
Pastikan anda membawa pakaian yang sesuai dengan keadaan dan cuaca di destinasi yang ingin dituju. Sebaik-baiknya, pakai pakaian yang LONGGAR, SELESA dan MENYERAP PELUH supaya mudah bergerak dan menikmati percutian dengan tenang. Pemakaian kasut rata dengan sokongan tulang belakang adalah pilihan sepatu yang sangat tepat untuk ibu hamil. Elakkan daripada memakai kasut tumit tinggi.
JAGA PEMAKANAN & MINUM AIR KOSONG
Ibu hamil perlu peka terhadap jadual pemakanan mereka. Untuk itu, pastikan MAKANAN BERKHASIAT seperti buah-buahan kering dan kepingan bijirin sentiasa ada di dalam beg bimbit. Ini bagi mengelak rasa loya dan pitam sekiranya ibu hamil lambat makan. Selain menjaga pemakanan, pastikan juga anda mengambil AIR KOSONG secukupnya supaya tubuh badan kekal bertenaga.
JAUHI AKTIVITI LASAK
Kebenaran untuk bercuti yang diberikan oleh doktor tidak bermakna anda boleh lakukan pelbagai aktiviti sepanjang percutian. Sentiasa beringat agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti lasak terutamanya seperti meluncur air, menunggang kuda atau menaiki permainan ‘roller coaster’. Ini kerana pergerakan cepat dan kuat yang terhasil daripada aktiviti tersebut boleh mengganggu kandungan anda. Begitu juga aktiviti mandi-manda di kolam air panas atau sauna yang perlu dielakkan ibu hamil kerana tahap kepanasannya yang boleh menjejaskan kandungan.
SENAMAN MENGUATKAN OTOT LANTAI PELVIK
Posisi berdiri
Berdiri sambil mencekak pinggang
Tahan nafas selama lapan ke sepuluh saat.
Hembus nafas. Pastikan kemutan otot dilakukan sebelum dilepaskan.
Posisi baring
(Cara pertama)
Berbaring dengan mengangkat punggung sedikit ke atas.
Sambil berbaring, angkat punggung lebih tinggi.
Kemudian, kemut selama lapan ke sepuluh saat sebelum melepaskan kemutan otot.
(Cara kedua)
Baring dengan merapatkan betis ke paha.
Angkat kaki rapat ke perut sambil mengetatkan otot selama lapan ke sepuluh saat sebelum melepaskan kemutan.
Tegakkan lutut dan angkat tangan hingga mencapai lutut seterusnya lakukan kemutan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan insan tersayang cukup memilukan. Apatah lagi ibu bapa yang telah banyak berkorban jiwa dan raga membesarkan anak-anak. Baru-baru ini, pelakon Adam Corrie berdepan detik duka apabila ibu tersayang ‘pergi’ untuk selama-lamanya.