Mampu berasimilasi dan membawa karakter yang baik di depan kamera, sejujurnya sesi bersama penerima anugerah Nona Outstanding Business Award, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah ini merupakan antara yang tercepat berjaya diselesaikan.

Karakter Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings ini juga cukup menyenangkan, malah setiap pertanyaan penulis tentang perniagaannya dijawab dengan cukup profesional.

Diasaskan pada tahun 2016, TDC Holdings awalnya beroperasi sebagai syarikat pengedar produk makanan dan minuman kesihatan secara kecil-kecilan di Kelantan.

IKLAN

“Sebenarnya saya mahu menjadi usahawan kerana tidak ingin melihat kesusahan ibu yang bekerja siang malam demi menampung keperluan hidup.

Daripada pembacaan, saya mula yakin bahawa keusahawanan adalah cara terbaik untuk membela dan menjamin kesenangan hidup ibu kelak,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Tukar Harta Dunia Ke Saham Akhirat, Infak Hafiz Hiew Cecah RM12 Juta – “Saya Nak Jadi Jutawan Di Syurga”
TDC Holdings Sdn Bhd diiktiraf sebagai penerima Nona Outstanding Business Award

 

Kisah kejayaan produk C2Joy, produk minuman bestsellers yang rancak menghiasi papan tanda gergasi di lebuh raya menjadi mukadimah kami.

“Alhamdulillah produk TDC iaitu C2Joy yang dijual sejak tahun 2016, BerryMix dan terkini, Colever – telah terjual melebihi 4 juta unit di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

Walaupun baru lima tahun mengusahakan perniagaan, tapi banyak pengalaman indah tercipta sepanjang saya memimpin TDC.

Antaranya ketika kami berjaya mencapai jualan RM100 juta pertama. Ia benar-benar melangkaui fikiran dan sasaran saya ketika itu.” Hafiz Hiew

Tukar Harta Dunia Ke Saham Akhirat, Infak Hafiz Hiew Cecah RM12 Juta – “Saya Nak Jadi Jutawan Di Syurga”
Produk kesihatan TDC Holdings

 

Tambah Hafiz, beliau turut berbangga melihat pencapaian pengedar TDC yang dulunya fakir miskin, kini sudah mencapai tahap pendapatan bersih ke arah T20.

Berusia 34 tahun, Hafiz yang merupakan seorang mualaf memiliki kelulusan Master in Business Administration (Finance) dari Universiti Malaysia Kelantan dan Ijazah Agri-Techno Entrepreneurship, juga dari universiti yang sama.

Terdahulu sebelum itu, beliau pernah menggenggam Diploma Pengajian Islam dari Interactive Dakwah & Tarbiyah Association (IDT).

 

HIDAYAH

Hidayah adalah hadiah daripada Allah SWT untuk orang yang ingin menerima dan mencari-Nya dalam hidup. Keputusan lelaki dermawan ini untuk memeluk Islam sekitar 12 tahun lepas merupakan antara titik perubahan terbesar, sekaligus menjadi akar tunjang TDC Holdings yang dibina berpaksikan Al-Quran dan hadis.

“Tiada satu pun kelas, buku, seminar, mentor atau guru perniagaan yang boleh menjangkaui ilmu Al-Quran dan hadis.

Sebagai seorang Cina Muslim, saya banyak merujuk pakar umpamanya panel syariah Koperasi ANGKASA Malaysia Berhad, Lariba Consulting dan SIRIM International Berhad bagi memastikan TDC melalui pengauditan, penambahbaikan dan patuh syariah secara keseluruhannya.

Bahkan kami juga mempunyai Pegawai Eksekutif Pematuhan Syariah di TDC kerana saya percaya, ia mesti bermula dari dalaman sesebuah perniagaan itu sendiri.”

Tukar Harta Dunia Ke Saham Akhirat, Infak Hafiz Hiew Cecah RM12 Juta – “Saya Nak Jadi Jutawan Di Syurga”
Usahawan muda, pintar dan bercita-cita besar

 

Menariknya, Hafiz juga seorang yang tekun mendalami pengajian Islam secara intensif. Kini dengan kapasiti tenaga kerja seramai 40 orang serta jumlah pengedar seluruh Malaysia dan Brunei mencapai 300,000 orang, apakah rahsia kejayaan bisnes beliau dalam tempoh yang singkat?

Sambung Hafiz, beliau banyak mendalami cara Baginda Rasulullah bermuamalat, berkomunikasi dan juga menjadi seorang Muslim yang disegani.

Sebagai seorang tokoh pemimpin yang pernah dilabel ‘Orang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Manusia’, Nabi Muhammad SAW adalah ikon manusia terbaik di mata usahawan tersebut.

“Superhero adalah seseorang yang dapat melahirkan superhero yang lain. Dan bagi saya, proses itu amatlah susah, apatah lagi nak duplikasi dan lahirkan lebih dari seorang wira yang bagus.

Tetapi sepanjang perjalanan dakwah Baginda Rasulullah sehingga wafat, Baginda berjaya lahirkan 106,000 orang sahabat yang super hebat, dimana 100,000 orang itu keluar daripada Mekah dan Madinah untuk berdakwah ke seluruh dunia.

Bayangkan dakwah sahabat-sahabat Rasulullah ini berjaya mengembangkan Islam hingga dianuti lebih 2 billion penduduk dunia! Inilah superhero sejati di mata saya.” Hafiz Hiew

Tekad mahu membantu orang melalui perniagaan, syarikat TDC Holdings Sdn Bhd pimpinan Hafiz Hiew cukup maju di pasaran. Tonton kisah penuhnya di sini…

IKLAN

 

TERUS MELANGKAH

Jika perniagaan lain jatuh merudum akibat pandemik, rezeki Hafiz Hiew dan seluruh warga kerja TDC pula sebaliknya.

“Tahun 2020, jualan kami meningkat hampir tiga kali ganda, daripada RM33 juta kepada RM100 juta. Malah pada tahun 2021, kami juga berjaya mencapai jualan RM100 juta untuk tahun kedua berturut-turut, seawal pertengahan bulan November lagi.

Jumlah keseluruhan sedekah, infak, wakaf dan zakat TDC juga melebihi RM10 juta tunai dalam masa dua tahun.

Sebenarnya ketika PKP 1.0 diumumkan, saya bersama 40 pengedar serta staf TDC baru saja tiba di lapangan terbang sejurus melancong ke New Zealand. Pada ketika itu, hati saya sudah menjangka bahawa jualan kami mungkin merosot menjelang musibah COVID-19.

Tetapi melihat keadaan tenat golongan B40 serta masyarakat yang lebih teruk terkesan dengan pandemik ini, saya memutuskan untuk bersedekah.

Lebih RM3 juta disalurkan untuk wakaf mesin bantuan pernafasan COVID-19, bantuan ambulan, van jenazah, makanan dan kewangan kepada golongan memerlukan. Tindakan infak TDC benar-benar memberikan pulangan yang lumayan sehingga sukar saya percayai.

Selain itu, pengenalan strategi seperti online kepada para pengedar, pemantapan sistem pengedaran atas talian serta produk-produk TDC yang selama ini fokus kepada peningkatan imunisasi, semua itu memberikan satu lonjakan jualan kepada TDC secara mendadak.” Hafiz Hiew

Tukar Harta Dunia Ke Saham Akhirat, Infak Hafiz Hiew Cecah RM12 Juta – “Saya Nak Jadi Jutawan Di Syurga”

 

IKLAN

Episod perkahwinan pertama Hafiz yang tersungkur di tengah jalan menjadi asbab kebangkitannya hari ini. Bapa kepada empat cahaya mata itu kini kembali lebih kuat dan bersemangat selepas mendirikan perkahwinan kedua dengan isteri tercinta, Siti Sabarina Mat Yusoff.

“Selain ibu, isteri saya sentiasa menjadi tulang belakang saya selama ini. Dia banyak menyokong usaha pematuhan Syariah dalam syarikat, menegur perihal amal ibadah saya serta seringkali memperbaiki diri ini dengan berhemah.

Ketika saya bekerja, dialah orang penting untuk menjaga rumah, harta dan anak-anak kami tanpa membuatkan saya risau,” jelas Hafiz sambil tersenyum.

Perasaan penulis tambah tersentuh kala mendengar kisah hidup Hafiz yang dulunya miskin dan tinggal di perumahan setinggan.

“Langit tidak selalu cerah. Pekerjaan yang dilakukan oleh ayah saya selalu turun naik. Naiknya sekejap, tapi turunnya lama. Jadi ibu terpaksa melakukan dua ke tiga kerja dalam satu hari demi membantu menyara hidup kami sekeluarga.

Mungkin kerana dibesarkan dalam keadaan begini membuatkan saya lebih menjiwai dan memahami perasaan fakir miskin.

Tukar Harta Dunia Ke Saham Akhirat, Infak Hafiz Hiew Cecah RM12 Juta – “Saya Nak Jadi Jutawan Di Syurga”
Wanita-wanita penting di belakang kejayaan Hafiz

 

Saya ingin cuba membantu mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwariskan kepada anak-anak, seperti keyakinan saya pada surah Al-Fathir yakni saya mengharapkan perniagaan yang tidak merugikan.” Hafiz Hiew

Petua kejayaan Hafiz cukup mudah. Infak, menjaga solat dan membaca kalam suci Al-Quran.

Kata Hafiz, TDC mengagihkan sebahagian pendapatan kepada jalan kebajikan serta menerapkan budaya ‘TDC For You’ dan #TDCHeart yang fokus untuk membantu keperluan harian golongan susah termasuk mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Tidak ketinggalan, lebih RM500,000 zakat telah disalurkan tidak termasuk infak, wakaf, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat melebihi RM12 juta.

Kini TDC dalam proses akhir mendapatkan permit eksport ke pasaran jiran seperti Indonesia dan Singapura. Rancangan ini sebetulnya tertunda akibat PKP dan kini giat diteruskan semula sebaik sempadan negara dibuka.

Selain itu, TDC juga dalam proses penstrukturan dan pemantapan organisasi ke arah pengurusan yang lebih berkualiti selepas mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).

Semua ini adalah berkat usaha Hafiz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif disamping bantuan pasukan TDC yang berdedikasi. Misi mereka jelas, mahu membuat persiapan awal ke arah peralihan syarikat berhad dalam pasaran bursa, kira-kira lima tahun akan datang.

Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Che Wann

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI