Esok seluruh umat Islam bakal menunaikan rukun Islam yang ketiga. Pastinya semua sudah melakukan persediaan rapi untuk menunaikan ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan.
Ramadan kali ini juga menjadi detik paling istimewa buat artis jelita yang kembali bergelar isteri, Bella Dally apabila berpeluang merasai nikmat manisnya berpuasa di tanah suci Mekah bersama suami tercinta, Arif Izuddin.
Bella dan suami berada di tanah suci Mekah sejak 29 April lalu untuk mengerjakan ibadah umrah.
Sah menjadi suami isteri pada penghujung Mac lalu, pasangan ini memilih Mekah sebagai destinasi bulan madu demi mencari keberkatan seterusnya mengeratkan lagi kasih sayang antara mereka.
SYUKUR
Ads
“Alhamdulillah saya bersyukur dan yakin ini antara hikmah daripada apa yang berlaku sebelum ini. Berpeluang mengerjakan umrah seterusnya menyambut bulan Ramadan di tanah suci antara impian saya sejak dulu.
Tahun ini saya dan suami berpeluang untuk berpuasa di bulan Ramadan sekitar 3-4 hari di Mekah. Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa bahagia dan gembiranya saya saat ini.
Ads
Selain itu, saya juga rindukan momen berpuasa dan berbuka bersama keluarga, lebih-lebih lagi ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Petang-petang kami selalu keluar pergi beli kuih sama-sama di bazar Ramadan, tolong ibu memasak dan sebagainya.
Namun segalanya berubah apabila saya mula bekerja di Kuala Lumpur. Beberapa hari sebelum raya barulah saya berpeluang untuk berpuasa dan berbuka bersama keluarga. Apa pun saya tetap bersyukur dan gembira kerana masih diberikan peluang untuk meraikannya bersama mereka walaupun berjauhan.
Ads
Sepanjang Ramadan ini saya akan berniaga pelbagai jenis cookies. Ini antara perancangan terdekat saya selepas berkahwin. I’m going to get into business. Saya mahu belajar selok belok perniagaan. Mentornya siapa lagi kalau bukan suami. Untuk lakonan saya akan teruskan kerana suami pun tak menghalang.
SYAWAL
“Saya sangat teruja menantikan detik itu kerana ini kali pertama saya menyambutnya bersama suami. Hari raya pertama dan kedua kami akan meraikannya di kampung suami iaitu Klang.
Hari raya ketiga barulah giliran keluarga saya di Sabah. Dari segi persiapan pula semestinya kami akan memilih tema sedondon tapi warnanya belum dipilih.”
Kredit Foto: Bella Dally
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Personaliti media sosial, Maryam Younarae yang juga isteri kepada pempengaruh media sosial ‘Durian Kimchi’, Ryzal Ibrahim berniat untuk terus mempraktikkan pemakaian khimar di Malaysia seperti mana yang menjadi persalinan kebiasaan kebanyakan wanita di negara Timur Tengah.
Menurut Maryam, pemakaian khimar ini boleh memberikan keselesaan buat para wanita melakukan aktiviti harian dan pada masa sama memudahkan urusan ketika solat.
Katanya lagi, penggunaan kualiti kain daripada Korea Selatan juga nyata memberikan keselesaan buat si pemakai.
“Saya buat khimar ini untuk kegunaan seharian atau ketika berjalan-jalan. Boleh juga digunakan sewaktu solat.
“Memakai telekung untuk aktiviti harian mungkin agak tak sesuai kerana ia labuh dan kainnya tebal, tapi khimar ini sangat selesa.
“Bagi orang yang tak tahu mengenai khimar terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan saya, mereka tertanya-tanya saya tak panas ke? Selesa ke?
“Jadi, saya mahu mereka cuba sendiri. Oleh itu, saya sudah merancang untuk mewakafkan khimar ini di masjid-masjid di Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.
Maryam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran Khimar MaryamNarae by Maryam You Narae bertempat di Lola by SeraiGroup KLGCC.
Bagaimanapun, pelakon filem Mat Tudung Begins ini akui agak terkilan apabila pemakaian khimar masih belum boleh diterima ramai lebih-lebih lagi di negara kelahirannya, Korea Selatan.
“Pada Oktober lalu, saya balik ke Korea. Saya ada berkongsi video memakai khimar ketika ke pasar. Video tersebut telah viral dan menerima 12 juta tontonan.
“Orang-orang di Korea melihat saya dalam keadan pelik. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan takut dan tertanya-tanya apa yang mereka fikirkan.
“Buat pertama kalinya, saya mengeluh kepada Allah. Kalau nak saya memeluk Islam, kenapa lahirkan saya sebagai orang Korea dan bukannya orang Malaysia? Kenapa beri saya situasi susah?,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, hal tersebut tidak sesekali melunturkan semangatya untuk berkongsi tentang keindahan Islam.
“Kemudian saya dapat jawapan. Kerana saya orang Korea Selatan dan seorang muslim, jadi, lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan berkongsi tentang Islam.
“Saya akan terus tunjukkan perkara yang baik-baik. Sama seperti suami saya, Ryzal. Ketika dia membawa saya memeluk Islam, dia tak pernah paksa saya buat itu ini tapi dia menunjukkan contoh.
“Bila sudah terbiasa, saya pula ada keinginan untuk belajar sendiri. Setiap perkara yang berlaku ada prosesnya. Kita tak boleh terus berubah 360 darjah,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, Maryam turut memaklumkan dia memulakan bisnes pakaian muslimah ini sebagai tanda untuk menghargai nikmat rezeki yang telah dikurniakan Allah.
“Ramai tahu saya peroleh rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Ada orang bila dapat rezeki, mereka hanya berterima kasih tapi tak buat apa-apa.
“Bila dapat rezeki, kita kena memanfaatkan pemberian itu. Allah nak kita memanjangkannya untuk perkara yang baik. Ini cara saya saya memanfaatkan rezeki,” akhirinya.
Untuk rekod, Maryam You Narae merupakan wanita asal Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan sebelum berkahwin dengan pempengaruh media sosial asal Malaysia, Nik Muhammad Rizal dan popular dengan Youtube ‘Durian Kimchi’, Maryam hanyalah seorang wanita biasa yang mengusahakan kedai menjual kuih walnut bersama ibunya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Biarpun Mira Filzah cukup popular dalam dunia seni dengan followers mencecah 6.1 juta, dirinya masih lagi Mira seperti dulu. Personaliti dan sikap yang merendah diri, memikat hati siapa sahaja bersama dengannya.
Kejayaan demi kejayaan yang telah diraih Mira, memberi inspirasi untuk dirinya terus berusaha buat yang terbaik. Ditanya tentang resipi Mira untuk terus kekal relevan, ujar selebriti cilik ini, dia sentiasa percaya dengan rezeki yang telah Allah tetapkan selain usaha dan berkat doa semua pihak.
“Perkara pertama, usaha! Ini sangat penting untuk saya perbaiki diri pada masa akan datang. Jangan mudah selesa dengan apa yang kita ada sekarang, keep improve yourself misalnya ambil kelas atau apa sahaja supaya kualiti dan bakat yang ada lebih menyerlah daripada populariti semata,” jelas Mira Filzah menerusi majalah Maskulin Mac 2020.
“Kedua adalah doa. Sebagai umat Islam, kita ada Allah dan solat lima waktu. Jadi berdoalah supaya Allah permudahkan segala urusan kehidupan kita dan minta maaf dengan kedua orang tua. Itulah faktor-faktor kejayaan saya. Bagi saya restu dan doa daripada mak abah juga penentu seseorang anak menuju kejayaan. InsyaAllah.
Yang ketiga pula, sentiasalah berbuat baik dengan semua orang. Ini antara resipi yang saya kekalkan, no matter what you do tak kisah sama ada kita sebagai seorang selebriti atau kerja dalam bidang lain pun. Berbuat baiklah kepada orang sekeliling kita. Tiada istilah perbezaan darjat pun. Awak orang biasa, saya artis… Oh, tidak!
Bagi saya berbuat baik pada semua orang itu satu kewajipan. Tak kisahlah sama ada dengan peminat, orang sekeliling yang kita bekerjasama atau sesiapa sahaja. Apabila kita berbuat baik ia juga akan menyebabkan orang sekeliling sayang dan selesa dengan kita, malah nak bekerja atau jumpa kita lagi,” ujar Mira.
Menurut Mira dengan adanya media sosial, seseorang artis itu masih boleh kekal relevan dan popular walaupun tidak selalu muncul di kaca televisyen. Apatah lagi banyak kerjasama dan endorsement melalui media sosial yang boleh dilakukan, sekali gus mendekatkan selebriti dengan peminat.
Mira bersyukur rezekinya sentiasa murah dan tawaran berlakon juga datang tanpa putus. “Apabila kita semakin matang, kita akan lebih bijak umtuk memilih dan tiada masa untuk memikirkan benda remeh-temeh yang boleh menganggu mood bekerja. Saya juga tidak akan ambil pusing dengan segala komen negatif yang dilemparkan kepada saya.”
Harapan Mira Filzah, “Saya ingin menjadi better version of Mira Filzah dan dapat memperbaiki diri saya agar sentiasa menjadi lebih baik di masa akan datang. Saya juga ingin menerokai perkara baru dan lakukan macam-macam perkara. Semoga Allah permudahkan segala urusan saya tahun ini, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.