Apabila sudah lama berkahwin dan punya anak yang ramai, mulalah penampilan diri tidak diberi perhatian khusus. Penat di pejabat ditambah pula dengan sambungan tugas-tugas rumah tangga di rumah, wanita mula mengabaikan penampilan diri di hadapan suami. Sepatutnya kesalahan itu tidak diletakkan 100 peratus di bahu wanita. Lelaki pula mulalah mencari seribu satu alasan menidakkan kebenaran bahawa isteri sudah tidak cantik lagi di mata mereka.
Wanita dan soal penampilan diri sememangnya tidak boleh dipisahkan kerana rahsia menarik perhatian suami bukan sahaja terletak pada air tangan, malah penampilan diri juga perlu diberi keutamaan. Secara logiknya, jika isteri berpenampilan menarik dan bijak mempamerkan kelebihan diri, pastinya suami mengagumi usaha si isteri untuk sama-sama memberikan usaha terbaik dalam rumah tangga. Disinilah wujudnya keserasian dalam memahami maksud mempertahankan ‘kehangatan cinta’!
Seharusnya kehangatan cinta dan semarak kasih sayang antara suami isteri hendaklah sentiasa terus bersinar. Bukankah anak itu pengikat kasih sayang? Namun ramai antara pasangan hari ini, bila sudah punya anak mula malu atau seakan tiada masa untuk melakukan aktiviti romantis bersama.
Akhirnya hubungan menjadi hambar dan masalah lebih teruk lagi boleh menjadi punca berlakunya perpisahan. Segera keluar daripada mimpi buruk ini, ayuh lakukan tindakan pantas untuk mengembalikan semula kehangatan cinta bersama pasangan.
BERKONGSI MINAT YANG SAMA
Jika suami suka melakukan aktiviti berbasikal, isteri boleh turut serta teman suami berbasikal. Libatkan anak-anak agar aktiviti riadah ini lebih menarik dan agar semua ahli keluarga gembira melakukannya. Begitu juga jika isteri hobinya melukis, suami bawa isteri ke pameran lukisan dan sebagainya.
PERCUTIAN BERSAMA
Percutian hanya anda dan pasangan sahaja. Pasti percutian ini cukup istimewa dan rancang sekurang-kurangnya setahun sekali. Sepanjang percutian tersebut lakukan aktiviti romantis seperti jalan berpegangan tangan, hadiahkan kuntuman bunga dan sebagainya. Sama seperti pada zaman awal percintaan dulu. Persoalannya, berapa kerapkah anda bercuti bersama pasangan tanpa membawa anak-anak? Mungkin ada yang menjawab ia hanya boleh dilakukan sebelum mempunyai anak. Tetapi tidak salah jika mencuri sedikit masa melakukannya bukan?
MENONTON WAYANG
Tentukan sebulan sekali anda ambil cuti sehari untuk keluar menonton wayang bersama. Selesaikan dahulu urusan menghantar anak ke sekolah dan kemudian barulah anda dan pasangan keluar ‘dating’ berdua untuk menonton wayang. Cara ini dikatakan paling berkesan untuk membina komunikasi bersama suami atau isteri kerana masa yang diluangkan dapat memberikan ruang untuk pasangan bercerita dengan lebih terbuka.
UNGKAPAN AKU CINTA PADAMU
Jika malu diucap secara terbuka di hadapan anak-anak, jangan pernah sekali lupa untuk dilafazkan bila anda sedang berdua-duaan. Nyata ucapan keramat ini dapat memberi rasa bahagia dan menjadikan diri terasa disayangi oleh pasangan. Jika sukar melafazkan dengan kata-kata, sesekali beri kejutan buat pasangan dengan menghadiahkan jambangan bunga dengan menyelitkan nota kecil ungkapan I Love You. Pasti si isteri tersenyum manis saat menerima kejutan daripada sang suami.
MANFAATKAN WAKTU TIDUR BERSAMA
Pastikan anak-anak tidur awal di bilik masing-masing. Jadi anda dan pasangan punya masa privacy bersama. Sebaiknya pastikan anda dan pasangan akan masuk tidur serentak. Memandangkan amalan ini dapat mewujudkan kebahagiaan dan kemanisan hidup berumah tangga. Jangan sekali-kali tidur membelakangkan suami. Posisi ideal adalah mengiring menghadap wajah suami dan sambil sebelah tangan anda berada di atas tubuhnya. Untuk lebih romantis, suami sebenarnya akan berasa cukup selesa jika isteri meletakkan kepala di bahagian dadanya.ROSMAHIDAYUABUSAMAH