“Wahai Suami Jika Rasa Isterimu Leceh, Menyusahkan… Itulah Diri Kamu Sebenarnya,” Pesanan Padu MUSTAPHA KAMAL Buat Suami!

18135

Sebagai pasangan yang sudah berpuluh tahun hidup berumahtangga, sudah pasti pelakon Mustapha Kamal dan isteri tercinta, Susan Manen dah lalui bermacam-macam dugaan sepanjang perkahwinan. Kalau tidak kuat iman dan bimbingan… boleh porak-poranda keluarga dibuatnya. Yang jadi mangsa nanti, anak-anak. Sampaikan ada perkahwinan yang terputus di tengah jalan meskipun hanya beberapa tahun melayari hidup sebagai suami isteri.

Terpanggil untuk berkongsi kemanisan rumah tangga… aktor berbakat besar ini menitipkan pesanan buat para suami agar bersyukur dengan nikmat Allah yang satu ini. Enggan meletakkan isteri sebagai penyebab masalah, Mustapha Kamal bagaimanapun mahu kaum lelaki yang bergelar suami memahami peribadi mereka terlebih dahulu selaku ketua keluarga. Katanya, isteri adalah cerminan suami.

“Cantik suamimu, cantiklah kamu. Elok suamimu, eloklah kamu. Beriman suamimu maka berimanlah kamu. Ahli syurga suamimu maka kamu jua ahli syurga. Begitu jua sebaliknya.

Wahai sang suami, jika kamu merasa  isterimu sangat leceh, menyusahkan, keras kepala atau sebagainya. Maka, itulah diri kamu sendiri sebenarnya. Kamu yang telah mengajar, membentuk dan menyebabkan dia menjadi seperti itu.

“Lelaki yang hebat bukan yang dapat mengahwini perempuan solehah, tapi lelaki yang mengahwini wanita biasa dan berjaya bimbingnya menjadi perempuan solehah. InshaAllah.”

Tambahnya lagi, sekiranya suami meletakkan standard tertentu untuk memilih calon isteri… mereka perlu bersedia dan berlapang dada dengan pelbagai kemungkinan.

“Wahai lelaki. Kalau kamu memilih bersama wanita bekerjaya, kamu perlu menerima dia tidak boleh mengurus rumah sepenuh masa.

Kalau kamu memilih bersama wanita suri rumah yang boleh menjaga dan mengurus rumah tangga sepenuhnya, kamu perlu menerima yang dia tidak menghasilkan duit.

Kalau kamu memilih bersama wanita penurut, kamu harus menerima yang kalau dia bergantung kepadamu.

Kalau kamu memilih bersama wanita yang berani, kamu harus menerima kalau dia keras kepala dan punya pikiran sendiri.

Kalau kamu memilih bersama wanita cantik kamu harus menerima perbelanjaannya juga banyak.

Kalau kamu memilih bersama wanita hebat, kamu juga harus menerima kalau dia keras dan berpendirian.”

Yang pasti, peringatan Mustapha Kamal ini membuka mata suami dan isteri untuk saling melengkapi kekurangan dan kelebihan pasangan masing-masing. Jika ada salah dan silap, segeralah cari jalan terbaik.

Mustapha dan isteri bernikah lebih dua dekad lalu dan hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sabella Qawiema, Aulia Qayyiem, Salsabil Qurani dan Naqli Qaddiem.

Selain berlakon, aktor ini juga aktif mengusahakan perniagaan berasaskan makanan seperti satay.

 

Kredit: Facebook Mustapha Kamal