Kagum dengan cara didikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap puteri-puterinya. Baginda bukan hanya seorang ibu yang pandai memasak bahkan turut mendidik anakanda tersayang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah mewarisi bakat memasak serta rajin ‘turun’ ke dapur.
Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sepanjang Ramadan ini, Tunku Azizah memanfaatkan masa yang ada dengan memasak pelbagai juadah kegemaran seisi keluarga. Setiap hari ada sahaja menu yang dikongsikan Raja Permaisuri Agong buat tatapan peminat setia baginda di laman media sosial. Malah ramai yang menanti-nantikan juadah dan hidangan air tangan Tunku Azizah.
Menjelang lebaran tidak lama lagi, baginda turut tidak ketinggalan menyediakan aneka biskut raya. Namun apa yang paling mencuri tumpuan ialah keberadaan dua puteri baginda iaitu Tengku Puteri Afzan dan Tengku Puteri Jihan di dapur yang sama. Kedua-dua anakanda baginda dilihat tenang menghasilkan pelbagai biskut raya di samping Raja Permaisuri Agong.
Tunku Azizah dalam pada itu terpanggil untuk berkongsi pengalaman zaman kecilnya bersama peminat. Titah baginda di Instagram Air Tangan Tunku Azizah, “Kami adik-beradik memang dididik oleh Bonda lagi kecil, dibawa masuk dapur dan setiap Ramadan kami semua buat biskut sendiri. Tak pernah order.
Buat fruit cake, harissa dan siapkan dewan untuk hari berbuka. Dan saya teruskan tradisi itu apabila saya mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Agong. Setiap raya, saya buat sendiri semua dan sekarang saya sedang didik anak dara saya Tengku Puteri Afzan dan Tengku Puteri Jihan pula.”
Tersentuh mendengar pengakuan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Mana tidaknya, meskipun baginda mempunyai pembantu namun tetap mahu menyediakan air tangan sendiri buat keluarga. Tengku Puteri Afzan dan Tengku Puteri Jihan pula walau berstatus puteri raja tetapi kedua-duanya kelihatan tidak kekok berada di dapur. Kagum dengan cara Tunku Azizah menanam minat memasak terhadap kedua-dua puteri baginda.
Difahamkan sehingga 19 Ramadan ini, aneka biskut raya telah berjaya dihasilkan Tunku Azizah dan puteri-puteri baginda. Antaranya seperti biskut cornflakes, chocolate crinkle, kacang, tart, milo, semperit, anzac, biskut manik, spumoni biscuit termasuk fruit cake air tangan Tunku Azizah sendiri. Tengok biskut raya Raja Permaisuri Agong kita ini memang terliur dibuatnya!
Ketika ulang tahun keputeraan puteri bongsu baginda, Tengku Puteri Jihan… Raja Permaisuri Agong turut tidak melepaskan peluang menyediakan sendiri kek anakanda tersayang. Besarnya kasih seorang ibu! Titah Tunku Azizah, “Masa saya kecil, bonda saya buat cake birthday sendiri untuk kami semua and I remember it with fond memoriea satu hari nanti bila Jihan ada anak sendiri, Jihan pun akan buat cake sendiri untuk anak-anak dia. Tradition must go on.”
https://www.instagram.com/p/B_gAnyhnEO6/
Kredit: Instagram Air Tangan Tunku Azizah