Walau Ayah Garang & Kasar, EMMA MAEMBONG Tetap Cium Dahi ‘Ayoh’ Sebelum Pergi Kerja!

Tersentuh hati melihat keakraban Emma Maembong setiap kali berada di sisi ayah tersayang, Ismail Embong. Ke mana sahaja mereka pergi, pasti terselit gelagat lucu anak-beranak ini. Sama ada bersama keluarga mahupun di depan khalayak, kedua-duanya saling mempamerkan rasa kasih di antara satu sama lain. Tidak hairanlah, Emma sering dicemburui peminat yang menganggap aktres cantik ini cukup bertuah kerana dikurniakan seorang figura bergelar ayah yang baik, lucu dan penyayang.

IKLAN

Menurut Emma yang selesa menggelar ayahnya dengan panggilan ‘Ayoh’, sikap dan perwatakan ayah kepada 11 anak ini suatu ketika dulu amat berbeza berbanding sekarang.
“Saya dapat banyak mesej dari peminat yang gembira melihat keakraban kami anak beranak tidak kurang juga yang meluahkan rasa sedih sebab ayah mereka garang dan tidak seperti Ayoh saya, sampai tak berpeluang untuk bermanja.

IKLAN

Hakikatnya, Ayoh saya pun seorang yang kasar dan agak garang seperti ayah orang lain waktu saya kecil dulu. Saya sendiri pernah rasa takut dengan Ayoh. Hendak tidur dengan Ayoh pun takut. Tapi bila makin meningkat usia, saya fikir tidak ada salahnya pun kalau kita sebagai anak yang ubah sikap ayah kita menjadi apa yang kita harapkan. Misalnya, ubah mereka dari seorang yang garang dan kasar kepada seorang ayah yang ceria.

Jujur saya katakan yang Ayoh tak pernah pun tunjuk rasa kasih sayang dia dekat saya melalui pelukan atau ciuman. Ayoh tak pernah kata ‘I love you’ atau ‘I’m proud of you’ dekat saya sampai ke hari ini. Kalau saya demam sekalipun, dia tak datang ke hospital untuk usap dahi atau cium pipi saya. Tak pernah. Bayangkan saya tak pernah dapat semua tu. Perkataan rindu pun takkan pernah dengar dan keluar dari mulut dia.

Tapi kita sebagai anak kena main peranan besar. Contohnya macam saya sendiri bila hendak pergi kerja, saya yang akan pergi dekat dia dan cium dahi dia. Sebagai anak, saya
kena tahu cara pikat hati Ayoh dengan peluk, cium dan bermanja dengan dia.

Mulanya memang dia macam menolak dan tepis. Saya tetap buat macam tu sampailah dia dah tak rasa segan. Lama-lama pun dia melayan. Seorang ayah takkanlah hendak pukul anak dia hanya sebab cium dahi dia. Bagi saya, kita yang kena buat perubahan,” ujar Emma yang merupakan anak kesembilan daripada sebelas adik-beradik.

Tambahnya lagi, “Bila saya tengok balik sikap Ayoh beberapa tahun lepas dengan sekarang memang lain. Dulu dia sangat tegas dan hendak bergurau dengan dia pun tak boleh. Saya faham mungkin zaman Ayoh membesar dengan zaman kami adik-beradik membesar sekarang ini lain.

Jangan kerana mereka sebagai ibu bapa tak pernah mula ucapkan perkataan ‘I love you’ misalnya, kita kecil hati dengan mereka. Daripada kita menyalahkan mereka, ada baiknya kita sendiri yang memulakan dulu.

Emma di samping ibu tersayang
Hasil lukisan Emma

Pada saya, setiap ayah ada keunikan tersendiri termasuk Ayoh saya. Bergantung macam mana kita sebagai anak yang menangani dan ubah perkara itu. Walau Ayoh tak pernah
luah perasaannya dekat saya tapi kasih sayang dia tu saya rasa dengan cara dia membesarkan saya. Saya dapat cukup makan, sihat dan ada tempat berlindung. Kalau dia tak sayang kita, tak adanya dia nak jaga kita sampai kita besar.”

Disebabkan keserasian di antara mereka, Emma turut mewarisi bakat melukis daripada ayah tersayang.

 

Foto: Instagram Emma Maembong