
Isi Kandungan
ToggleSiapa tidak kenal dengan penyanyi berwajah ‘cute’, Iman Troye yang sering melatari muzik video lagu nyanyiannya berkonsepkan k-pop hingga menjadi kegilaan anak-anak muda masa kini.
Pelantun lagu Teman, atau nama penuhnya Iman Alyssa Sahabudin menerusi hantaran dilaman Instagram miliknya, telah berkongsikan sebuah hantaran video berkenaan dirinya membantu golongan gelandangan dengan memberikan makanan di sekitar ibu kota.
Iman Mahu Kerap Laksana CSR, Bantu Golongan Gelandangan
Pada hantaran sama, Iman menyatakan keinginanya untuk meneruskan kegiatan murni ini dengan bercadang mahu membantu lebih ramai gelandangan dan fakir miskin di tempat-tempat lain.
Justeru, pada ruangan kapsyen Iman meminta buah fikiran para pengikutnya untuk mencadangkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan golongan susah seperti ini, selain di Ibu Kota.
“Alhamdulilah syukur. Insyallah Iman dan team akan cuba kerap kan lagi aktiviti CSR. Korang boleh tolong komen dan bagi idea dekat kita siapa dan di mana lagi yang memerlukan?,” Tulisnya pada ruangan kapsyen di hantaran tersebut.
Netizen Puji Usaha Murni, Iman Troye!
Hasil penelitian, NONA mendapati ruangan komen pada hantaran tersebut telah dibanjiri dengan doa-doa yang baik buat Iman.
Malah, tidak kurang juga yang meluahkan sokongan dan melemparkan kata-kata positif agar Iman kekal istiqamah melakukan amal kebaikan yang bersifat fadhu kifayah seperti ini.
“Alhamdulillah Iman berkongsi rezeki, semoga dimurahkan rezeki iman,” kata seorang warganet.
“Semoga Iman sentiasa dimurahkan rezeki,” ujar seorang lagi netizen.
Untuk rekod, nama Iman Troye pernah dihimpit dengan kontroversi satu ketika dahulu, kerana sukar memberikan kerjasama dengan rakan media, berikutan leceh dihubungi setelah popular.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Iman Troye
Sertai NYDLFC, INTAN SERAH Pegang Rekod Pemain Wanita Malaysia Pertama Beraksi Untuk Kelab Amerika Syarikat

Pemain sensasi bola sepak wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli menjadi pemain wanita pertama yang dilamar kelab bola sepak yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) iaitu New York Dutch Lions FC (NYDLFC). Perkara itu dimaklumkan NYDLFC menerusi akaun Instagram pada Isnin yang berkata Intan telah ditandatangani untuk menyertai pasukan itu.
“Doakan saya di New York, United States bersama kelab New York Dutch Lions untuk perlawanan disana, Bismillah,” katanya yang sudah berlepas ke New York dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi.
Nama Intan Serah, 24, bukanlah asing lagi dalam arena bola sepak dan futsal negara.Beliau sebelum ini menjadi aset penting dalam pasukan wanita kebangsaan dan kali terakhir beraksi di Sukan SEA Vietnam tahun lalu.


Selain bidang sukan, Intan juga turut menceburi bidang lakonan, modeling, nyanyian dan juga seorang streamer.
Untuk rekod, bekas pemain futsal wanita negara itu adalah pemain wanita pertama beraksi di Amerika Syarikat dan yang ketiga di luar negara. Intan Serah sebelum ini menjadi aset penting dalam pasukan wanita kebangsaan dan kali terakhir beraksi di Sukan Sea Kemboja bulan lalu.
Mula terlibat arena futsal secara profesional pada tahun 2015 iaitu ketika di bangku sekolah, Intan pernah memenangi pingat emas di Sukan Belia ASEAN tahun 2015, acara 100 meter lari berpagar dan meraih pingat perak di SUKMA Sarawak 2016.

Intan juga pernah diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan Liga Premier Futsal Malaysia / Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 bagi kategori wanita.
Selain futsal, hobi Intan juga ialah menyanyi dan dia juga pernah membintangi filem Gol & Gincu Vol 2, selain menyumbangkan suara dalam lagu OST filem tersebut yang berjudul Hari-Hariku, nyanyian bersama Aizat Amdan dan Annabel Michael, malah dia duga menjadi wajah model bagi produk mekap Avon Simply Pretty.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Jiwa Penyayang SHARIFAH AMINAH, Tekad Besarkan 5 Anak Walau Bukan Dari Darah Dagingnya!

Masuk tahun ini, sudah sepuluh tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 10 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 9 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 8 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 3 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami dan menguruskan segala keperluan seorang diri Sharifah Aminah teguh mendepani hari mendatang.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Namun, tanggal 25 Disember tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.

“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah sementara menunggu dia cari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi selepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami bergilir-gilir jaga. Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua dan seterusnya.
Masa anak ketiga sebenarnya majikan saya yang mahu mengambil anak angkat sebab dia belum dapat anak lagi. Tapi bila bayi sudah lahir, lain pula jadinya dan dia beritahu belum bersedia lagi. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya yang ambil dan jaga anak kembar mereka.
Ingatkan sampai situ saja, tapi rupanya ada lagi anak kelima yang kawan saya bawa seorang wanita sarat mengandung ke rumah pukul 2 pagi. Seminggu kemudian dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, pasangan yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Jadi, saya ambil juga anak ini dan ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kita kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan kita telah mengambil anak angkat, berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan menandatangani beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada kita. Selepas 2 tahun menjaga anak, baru secara rasminya proses pengambilan anak angkat berlaku.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi di hadapan anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu adalah semata-mata untuk melindungi status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak sangat feedback orang ramai. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri. Alhamdulillah, semua anak saya disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri.
Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah untuk kita walaupun realitinya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia. Paling penting, ambil anak ini dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka terbela kelak,” pesannya.
Pernah Jadi Arkitek SUZIE ERYANTY Kini Sukses Sebagai Pereka Fesyen, Ada Label Sendiri Hampir 10 Tahun

Pemilik butik Temujanji, Suzie Eryanty Mohd Suleiman berjaya meletakkan dirinya sebagai usahawan butik fesyen yang sukses dan terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.
Berkat kegigihan dan tidak pernah mengalah, wanita yang mesra dengan panggilan Suzie ini mampu menguruskan perniagaannya yang beroperasi sejak tahun 2014 dengan baik biarpun tidak pernah terlepas dengan pelbagai cabaran.
“Sebelum munculnya Temujanji by Suzie Eryanty, saya sering menyarungkan baju rekaan sendiri ke majlis-majlis perkahwinan rakan.
“Tak sangka pula ramai yang memuji dan bertanya di mana saya beli. Dari situlah timbulnya idea. Tambahan pula, saya memang bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen berjaya.
“Alhamdulillah sambutan sangat bagus. Permintaan juga makin banyak setiap kali design baharu dikeluarkan. Kebanyakan pelanggan bukan saja datang dari Malaysia bahkan Singapura, Brunei, Indonesia serta Dubai.
“Walaupun hampir 10 tahun label Temujanji berada dalam industri, perjalanan saya masih jauh. Apa pun saya bersyukur kerana Temujanji mudah diterima dan mendapat sambutan yang sangat baik sampai ke hari ini.
“Saya berterima kasih kepada Papa da Mama yang selalu ada saat susah dan senang saya selama ini.
“Mama banyak mengajar saya dari sudut operasi serta cara mempromosikan produk. Pendek kata kami sekeluarga memang business minded.”
“Merekalah mentor dan sumber inspirasi saya dalam bisnes, lebih-lebih lagi Papa.
“Sejak muda lagi Papa sudah bergelar usahawan serta menguruskan perniagaan logistik dan kilang di Westport,” bicara anak kelahiran Klang berketurunan Melayu-Cina-Portugis ini.
Pada usia muda, Suzie berjaya meletakkan dirinya sebagai usahawan butik fesyen yang terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.
“Saya berpegang kepada prinsip, terus berusaha keras tanpa jemu. Pekakkan telinga apabila ada hal-hal negatif dan teruskan buat yang terbaik. Sentiasa menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.”
Selain pakar dalam bidang fesyen, Suzie turut memiliki kebolehan dalam bidang reka bentuk bangunan.
“Kebanyakan idea reka bentuk saya curahkan pada dekorasi rumah dan butik. Dekorasi dan fesyen adalah jiwa saya. Selepas tamat belajar saya pernah bekerja sebagai arkitek dan pereka interior.
“Pada usia 26 tahun saya berjaya menamatkan pengajian dan memulakan perniagaan Temujanji,” bicara ibu anak satu ini yang gemar melakukan aktiviti sosial sejak di bangku sekolah sehingga kini.
RAHSIA CANTIK
“Saya amalkan minum air suam sebaik bangun pagi dan sebelum bekerja.
“Jika ada masa terluang saya akan ke spa bersama Mama. Tak lupa, sedekahkan senyuman setiap hari.”
Di penghujung temu bual, Suzie berkongsi tip bagaimana untuk menjadi seorang usahawan sukses.
“Jangan takut untuk mencuba. Kalau tidak berjaya pada kali pertama jangan mudah putus asa. Jadilah seorang yang kreatif.
“Jangan sesekali anggap pesaing adalah musuh. Salinglah membantu dan berusaha menjadi insan yang positif.”
Kredit Foto: Instagram Suzie Eryanty
BACA JUGA: Banyaknya Pilihan Baju Raya Di TEMUJANJI BY SUZIE ERYANTY, Cantik-Cantik Pula Tu!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona