Seorang yang warak dan bijaksana, kisah inspirasi sosok bos Wardah – Nurhayati Subakat yang kaya-raya ini jadi perhatian kerana merendah diri meski nilai kekayaan syarikatnya iaitu PT Paragon Technology and Innovation di Indonesia, cecah US$1.5 billion.
Berlegar di media sosial, tersingkap kisah Dr. (HC) Nurhayati Subakat yang merupakan pengasas jenama kosmetik halal Wardah. Kejayaannya dalam dunia perniagaan bukan sahaja kerana produk kecantikan yang dihasilkan, tetapi juga kerana sikapnya yang warak dan bijaksana serta tidak gemar mempamerkan kemewahan harta benda.
Dilahirkan pada 27 Julai 1950 di Padang Panjang, Sumatera Barat, wanita kental berusia 74 tahun ini membesar dalam keluarga yang menanamkan nilai agama dan etika kerja yang kuat.
Ayahnya, Abdul Muin Saidi, seorang peniaga dan ketua cawangan Muhammadiyah di Padang Panjang, serta ibunya, Nurjanah, banyak mempengaruhi pembentukan personaliti dan semangat juangnya.
Pernah dinobatkan sebagai salah seorang daripada ’20 Wanita Paling Berpengaruh’ oleh Fortune Indonesia, Nurhayati berdiri sebaris bersama sosok inspirasi lain seperti Presiden ke-5 Republik Indonesia iaitu Megawati Soekarnoputri dan Menteri Kewangan, Sri Mulyani.
Mengimbau pengalaman Majalah Nona dibawa terbang ke Indonesia oleh Wardah, jom lihat sendiri kehebatan bisnes milik beliau ni…
Ads
Sejak kecil, Nurhayati dikenali sebagai seorang yang cerdas dan bijaksana. Selepas menamatkan pendidikan di Diniyyah Puteri Boarding House dan SMA Negeri 1 Padang, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Farmasi di Institut Teknologi Bandung (ITB) dan tamat sebagai pelajar terbaik pada tahun 1975.
Kerjaya profesionalnya bermula sebagai ahli farmasi di Hospital Umum Pusat (RSUP) M. Djamil, Padang. Pada 1978, beliau mendirikan rumah tangga dengan Subakat Hadi dan mengambil keputusan mengikut suami berhijrah ke Jakarta.
Semangat keusahawanan membawanya untuk memulakan perniagaan sendiri. Pada 1985, Nurhayati menubuhkan PT Pusaka Tradisi Ibu, yang kemudiannya dikenali sebagai PT Paragon Technology and Innovation (PTI). Salah satu pencapaian terbesar beliau adalah pelancaran Wardah pada 1995, jenama kosmetik pertama yang berlabel halal di Indonesia.
Ads
Pada 2011, PTI menaungi 12 jenama kosmetik terkemuka buatan Indonesia iaitu Wardah, Make Over, Emina, Kahf, Putri, Laboré, Biodef, Instaperfect, Crystallure, Tavi, Wonderly, OMG, Beyondly dan Earth Love Life. Jenama Wardah menjadi penyumbang utama dengan nilai keuntungan 70% pendapatan perusahaan PTI dengan 12,000 karyawan di seluruh Indonesia dan Malaysia.
Hasil perkahwinan Nurhayati dan Subakat Hadi, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Harman Subakat (Group CEO Paragon Corp), Salman Subakat (CEO NSEI Part of Paragon Corp) dan Dr Sari Chairunnisa (VP Research and Development, Paragon Corp). Ketiga-tiga zuriat mereka kini turut bergiat memajukan bisnes PTI dan bekerjasama melebarkan sayap ke banyak negara.
“Didikan keluarga membuat saya terbiasa hidup sederhana dan peduli dengan keadaan orang lain di sekitar saya,” ujar Nurhayati Subakat dalam sebuah biografi ringkasnya yang ditulis oleh Yudhistira ANM Massardi.
Ads
“Pendidikan agama, menurut saya, harus tertanam dari kecil, sehingga itu akhirnya menjadi karakter. Kalau sudah menjadi karakter, itu sudah menjadi kebiasaan yang mudah-mudahan tidak akan berubah,” ujar Nurhayati dalam biografinya.
Walaupun kejayaannya dalam dunia perniagaan, Nurhayati juga dikenali sebagai seorang dermawan yang aktif menyokong pendidikan, kesihatan, pemberdayaan wanita dan alam sekitar. Keperibadiannya yang rendah hati dan berfokus pada lima nilai utama—ketaatan, kepedulian, kerendahan hati, ketabahan, dan inovasi—menjadi kunci kejayaan beliau yang menginspirasi ramai.
“Pengalaman-pengalaman yang saya rasakan, baik secara peribadi sejak kecil, mahupun ujian dan cabaran yang dihadapi perusahaan, memberi kesedaran betapa kasih sayang Allah begitu luas.
Jadi, tidak berlebihan bila dikatakan bahawa pada hakikatnya, karakter ketuhanan, peduli, kerendahan hati, ketangguhan dan inovasi merupakan lingkaran tenaga yang bergerak dan saling menggerakkan dalam mesin kehidupan,” akhirinya.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri berpendidikan tinggi.
Tanggal 22 Mac 2021 merupakan ulang tahun keputeraan Tuanku Zara menyambut yang ke-48. Baginda ialah anak bongsu daripada empat adik-beradik yang diputerakan di Ipoh, Perak. Tahun lalu, sempena ulang tahun keputeraan ke-47 baginda telah berkenan membuka akaun Instagram rasmi milik baginda iaitu Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun.
Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerakan pada 2 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, memetik laporan portal Orang Perak, Tuanku Zara mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan skuasy dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Selain aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, baginda berkhidmat di syarikat petroleum negara Petronas selama enam tahun.
Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda baginda iaitu Datuk Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda baginda pula ialah Datuk Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda.
Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Sesungguhnya Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Kredit foto: Instagram Perak Diraja, Royal Terengganu Songket, Malay Royalties
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ini bukan angan-angan Mat Jenin tetapi angan-angan yang menjadi realiti milik Nadiah Abas dan suami tercinta, Mohd Arne Haffnee Abas. Sewaktu baru mencecah usia 23 tahun, usahawan wanita ini sudah pun membina empayar sendiri. Dan lebih manis, kejayaan itu turut dikongsi bersama insan tersayang, Mohd Arne.
Memilih World Travel Ambassador (WTA) Sdn. Bhd. sebagai nama rasmi bagi agensi pelancongan mereka berdua, pasangan suami isteri ini seterusnya melangkah setapak lagi ke hadapan apabila melibatkan diri dalam perusahaan motorhomes atau lebih dikenali sebagai karavan.
“Sebelum berjinak-jinak dengan bisnes karavan, kami suami isteri sudah pun mempunyai agensi pelancongan sendiri iaitu WTA Sdn. Bhd. hampir 11 tahun lalu. Melalui agensi pelancongan tersebut, kami bukan hanya menawarkan pakej percutian saja malah menyediakan khidmat sewaan karavan di New Zealand dan Australia yang dikenali sebagai Ahmad Caravan.
Ada bermacam-macam jenis karavan yang ditawarkan dengan pelbagai jenama dan model. Daripada yang mampu memuatkan dua orang penumpang saja sehinggalah enam orang dalam satu-satu masa, semuanya ada disediakan.
Sambutan yang diterima daripada pelanggan di sana memang menggalakkan dan bertitik tolak dari situ kami menubuhkan sebuah lagi syarikat, WTA Ventures Sdn Bhd pada November 2016. Tujuannya adalah untuk memberi alternatif baru dalam dunia pelancongan domestik.
Ramai rakyat Malaysia yang sukakan aktiviti mencabar dan menginap di hotel berkonsep atau boutique hotel. Jadi, kami merealisasikan impian itu dengan meneroka perusahaan motorhomes.
Bukan itu saja. WTA Ventures Sdn. Bhd. juga menjadi sole distributor bagi Benimar Motorhomes di Malaysia yang menjalankan perniagaan menjual dan menyelenggara motorhomes. Bagi merancakkan lagi bidang ini kami akan turut membantu agensi kerajaan mahupun swasta dalam pembangunan industri motorhomes di negara ini.”
Percaturan Nadiah untuk memiliki perniagaan sendiri membuahkan hasil dan memberi pulangan menguntungkan. Lebih-lebih lagi apabila dia dan suami mendapat kepercayaan daripada pihak pengurusan Benimar Motorhomes yang berpangkalan di United Kingdom untuk menjadi pengedar sulung di Malaysia.
“Berdasarkan peningkatan industri ini, saya juga menerima banyak permintaan dari resort dan perbadanan taman rekreasi yang berminat untuk membina caravan parks di kawasan mereka.
Melihat situasi ini saya yakin industri karavan dapat berkembang maju dan mampu menarik minat individu atau syarikat untuk memiliki motorhomes atau sekurang-kurangnya menyewa perkhidmatan ini.
Trend melancong rakyat Malaysia juga kini sudah berubah kerana sudah ramai yang gemar mencuba aktiviti lasak dan lebih ekstrem. Sesuai dengan percutian motorhome yang unik dan menjanjikan pengembaraan tanpa batasan,” cerita Pengarah Urusan WTA Ventures Sdn. Bhd. itu yang melabelkan perniagaan karavannya sebagai Luxe Motorhomes & Caravans.
Bukan sekadar hebat mengemudi pelayaran perniagaan bahkan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Pelancongan ini juga wajar dijadikan inspirasi kepada seluruh wanita berkerjaya lain kerana bijak membahagikan masa di antara keluarga dan tugas pejabat.
Enggan terlepas melihat perkembangan tiga orang anaknya, Nadiah tidak mahu menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk mengehadkan waktu berkualiti bersama keluarga tersayang.
“Tugas saya sebagai usahawan sebenarnya agak mencabar terutamanya untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga. Setiap kali pulang ke rumah, pasti akan terkenang kerja yang belum selesai dan dalam masa sama kena jaga anak, memasak dan sebagainya.
Biasanya, kerja-kerja di pejabat saya akan selesaikan selepas anak-anak tidur. Rutin wajib yang perlu dilakukan sebelum anak-anak tidur ialah meluangkan masa bersama mereka di bilik tidur kerana pada waktu inilah anak-anak selalu bercerita tentang hari yang mereka lalui di sekolah dan impian mereka.
Selain anak-anak, mempunyai pasangan yang memahami kerjaya isteri juga sangat penting dalam sesebuah perkahwinan.”
Ada benar juga apa yang diperkatakan Nadiah. Kalau isteri sahaja yang kena bertolak-ansur demi kebahagiaan rumah tangga tak guna juga, bukan? Suami pun perlu main peranan penting agar kemanisan hidup berkeluarga ini dapat dinikmati bersama pada waktu susah mahupun senang. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita ini paling senang masuk syurga tetapi wanita kaum yang paling ramai dalam neraka. Dosa yang paling banyak wanita lakukan adalah terhadap suami. Kadang-kadang dalam tidak sedar kita melakukan dosa terhadap suami. Tambah-tambah lagi dalam zaman moden ini, kehidupan kita terlalu bergantung pada handphone. Menurut Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, nak layan handphone di rumah kena minta izin suami.
“Saya pun sering rasa bersalah kalau pegang handphone kat rumah. Kita tak nak menimbulkan fitnah jadi kalau nak pegang handphone kena minta izin tidak kira terhadap suami atau anak. Sebab kita kena akui dan hargai hak anak dan hak suami di rumah.
Bila bersama anak cakaplah sekurang-kurangnya, “Kejap ya ummi nak buka handphone sebab ada urgent matters, dalam lima minit,”. Lepas itu kita tutup, layan anak. Zaman ini nak didik anak bukan tugas yang mudah. Tengok macam mana mak-mak kita dulu mendidik kita. Kasih sayang itu terasa bagai mengalir dalam diri. Balik dari sekolah mak tunggu dengan masakan air tangannya. Semua makanan kegemaran kita sedia terhidang. Mak kita selalu buat yang terbaik untuk kita. Kalau kita pula sebaliknya, “Jangan cakap banyak, makan jer apa yang ada,” macam mana kita dengan anak?
Kita mungkin tidak nampak sekarang tetapi bagaimana 20 tahun lagi. Jangan marah nanti kalau kita minta tolong anak hantar kita ke surau atau majlis ilmu, anak kita jawab nanti kejap sambil melayan handphone. Apa yang kita terima nanti Allah SWT balikkan segala perbuatan kita terhadap anak,” ujarnya.
Pengurusan waktu sangat penting untuk menjadi ibu dan isteri yang ‘berjaya’. “Apabila minta izin pasangan untuk buka handphone bukan hendak menunjuk siapa berkuasa tetapi kerana menghormati posisi masing-masing dalam rumah tangga. Perlu terangkan berapa lama masa yang diperlukan untuk melayan handphone.
Kalau semua hak-hak itu kita langgar tak berikan kepada yang berhak macam mana kita hendak hidup dengan rukun? Anak duduk di sebelah kita sampai tak perasan dia bangun berlalu pergi kerana asyik dengan handphone. Saya juga mempunyai akaun Instagram dan Facebook kerana itu merupakan keperluan semasa. Jangan sampai kita ketinggalan zaman tidak tahu apa-apa. Jika tidak ada urusan kita tinggalkan maksudnya kita lihat yang berkaitan dengan diri kita sahaja. Tenang hati dan tak serabut kepala.
Kenapa kadang-kadang kita jadi tension sebab kita tak jaga pandangan. Ini disebut dalam AlQuran, Surah Taha, Ayat 131; “Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal,”.
Ayat ini merupakan ayat pengurusan tekanan. Kadang-kadang hati tak tenang sebab suka tengok nikmat orang. Hanya tengok gambar suami kawan kita sedang payungkan dia, dia nak keluar kereta ada orang kandid, gigit jari kita tengok sifat romantis suami kawan kita. Selama ini kita basah kuyup tak ada siapa tolong payung, siapa suruh tengok. Kawan kita tu pun belum tentu, entah-entah itu merupakan first time suami dia tolong payungkan. Itu sebab kawan kita dijangkiti denggi.
Kita tertipu memanjang melihatkan gambar-gambar tersebut. Jadi kita sentiasa tidak pernah puas hati dengan suami sebab mata asik kalih tengok orang lain. “Tengok kawan saya tu bang, tengok gambar ni, mesranya dorang, hari tu kat Bali ni kat Dubai pula,”. Bila tengok benda-benda macam ni otak kita jadi tak lurus. Padahal pandangan itu bukan kehidupan realiti yang sebenar. Gambar tak boleh bercakap.
Berapa ramai pasangan yang menggambarkan konon bahagia, romantik dan caring di media sosial bulan depan hadir ke Mahkamah Syariah. Kalau kita tidak pandai menguruskan mata kita, masa kita yang sakit adalah diri sendiri. Cuba kita fikir bagaimana nak tambahkan ‘bekal’, nak tambah manfaat hidup untuk masyarakat, cuba kita luruskan hati. Buat apa yang Allah SWT suruh dan tinggalkan laranganNya, hati kita akan tenang,” terang Datuk Ustazah Norhafizah Musa.
Sumber: Facebook Ustazah Norhafizah Musa Fans
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.