Cantiknya hasil seni dari pelakon hebat, Farah Ahmad. Bakat lakonannya tidak perlu dipertikai kerana setiap watak dibawa, pasti menjadi. Kini, Farah aktif pula dengan ‘mainan’ cat akrilik yang dijadikan dulang serta pelapik cawan. Hasilnya? Wow!
Selepas tempoh PKP berakhir, kedai makan Jom Bubur di Desa Melawati milik Farah sudah mula beroperasi. Yang pasti, air tangan Farah tidak pernah mengecewakan dan sering menjadi kunjungan keluarga untuk bersama.
Tetapi paling seronok sekali bila mengintai laman Instagram Farah Ahmad, @artbyfarahahmad. Mana tidaknya, lihat sahajalah hasil dulang dan coaster yang diberikan sentuhan magis sehinggakan ada rakan artis yang turut ‘terjebak’ dan menjadi anak murid Farah! Respon daripada followers di Instagram juga ramai yang memuji dan ternanti-nanti hasil seninya yang terbaharu.
Bertemu mata dengan suri hati pengarah filem terkenal, Allahyarham Pitt Hanif atau Mohd Firdaus Mohamad Hanif memang tidak kering gusi. Kehidupannya sentiasa diisi dengan aktiviti bersama anak-anak dan teman. Perkongsian mengenai arwah suami juga disampaikan dalam penceritaan yang begitu indah.
“Arwah hanyalah insan seni biasa yang begitu komited terhadap kerjayanya. Dia juga seorang guru yang ikhlas membantu saat mana-mana pelakon memerlukan bantuannya dalam penggambaran. Sebenarnya, pada pagi kejadian lemas, arwah bersarapan di kedai kampung berhampiran dan belanja orang-orang kampung. Dia sangat mudah mesra dengan orang dan teman-temannya sangat ramai kerana dia suka berkawan.
Pada hari jenazah di temui, saya sendiri membuat pengesahan mayat di bilik mayat. Dia begitu kacak, rambut tersisir kemas dan tubuhnya sempurna sehingga doktor yang mengendalikan kes itu terkejut melihatnya. Kata doktor, biasanya mayat mati lemas pasti terdapat luka dan calar, namun bukan arwah. Jenazah arwah paling cantik yang ditemui,”senyum Farah.
Ramai yang mencemburui pemergian arwah. Ramai juga yang mendoakan kebahagiaannya di Jannah malah ramai sekali yang berada di majlis pengebumiannya. Rezeki yang Allah beri tidak pernah salah alamat. Hanya Dia yang tahu kebaikan hambaNya.”ujarnya.
Kredit foto: Instagram IfarahAhmad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak umpama nyawa bagi seorang ibu, manakala ibu pula syurga bagi seorang anak. Dalam erti kata lain, kekuatan jiwa seorang wanita yang bergelar ibu ada pada anak-anaknya.
“Saya yakin Allah dah susun cantik perjalanan hidup saya ketika ini. Saya tak mahu lagi anak-anak lihat saya sebagai seorang yang pemarah. Saya mahu anak-anak hidup dalam persekitaran yang positif.”
Itu antara kata-kata yang dikongsi oleh dramatis jelita, Puteri Sarah kepada Majalah Nona ketika ditemu bual.
Selepas isu rumah tangga kembali menjadi bualan hangat, Puteri Sarah memilih untuk ‘menenangkan diri’ buat seketika dengan melakukan percutian ke luar negara bersama dua orang anaknya.
Menerusi perkongsian dalam Instagram, pelakon drama Sabarlah Duhai Hati yang berusia 37 tahun ini memuat naik beberapa video serta gambar menunjukkan keberadaannya bersama anak-anak di lapangan terbang.
Kelihatan Puteri Sarah membawa dua anaknya iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3, bercuti di Tokyo, Jepun yang mengalami musim sejuk ketika ini dan dijangka pulang pada bulan depan.
“Selamat tinggal Malaysia. Jumpa tahun depan,” tulis Puteri Sarah dalam sebuah video pendek Instagram.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikutnya berharap Puteri Sarah menikmati percutian tersebut dengan penuh gembira dan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT setelah melalui pelbagai episod duka dalam rumahtangga.
“Perempuan akan kuat bila berduit. Tak hairan dah. You go Kak Sarah. Selamat bercuti.”
“Wajie bangga dengan Puteri Sarah. You are a role model for all mothers in this world. No matter what happens in our life… put your children’s happiness first. Enjoy Sarah.”
“Imagine they would grow up and flashback this time where their mom fight against problems tapi selalu bawa dorang bercuti, tanpa kita sedar sedikit sebanyak good for Sarah healthy parenting sebab dah banyak tahun yang boleh potentially affect emotional dia jadi lost. I would say I could never handle this wild.”
Di Instastory, Puteri Sarah turut menitipkan ucapan terima kasihnya buat sahabat serta rakan-rakan artis termasuk ibu mentuanya Datin Fatimah Ismail yang memberi kata-kata semangat serta idea agar dirinya terus kuat menghadapi ujian rumahtangga.
Semoga Puteri Sarah terus kuat bersama anak-anak seterusnya menemui kebahagiaan yang sebenar.
Kredit Foto: Instagram Puteri Sarah Liyana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehamilan adalah tempoh khas dan sangat penting dalam kehidupan seorang wanita. Semasa mengandung, seorang wanita perlu menjaga bukan sahaja tentang kesihatan mereka sendiri, tetapi juga kepada kesihatan bayi dalam kandungan.
Penyertaan wanita dalam sukan bertaraf antarabangsa sewaktu hamil sememangnya menarik perhatian dan pastinya menjadi kenangan yang tak dapat dilupakan. 5 wanita hamil di bawah ini antara yang paling menyerlah tatkala menyertai sukan bertaraf antarabangsa. Jom tengok siapa orangnya.
(a) Quzandria Nur Mahamad Fathil, Atlet Ekuestrian Malaysia
Kejayaan Quzandria Nur Mahamad Fathil menghadiahkan emas ekuestrian dressage individu dalam keadaan dirinya sedang mengandung lima bulan sememangnya sesuatu yang boleh dibanggakan.
Walaupun sedang hamil, namun demi menggalas cabaran memburu pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA ke-29, Quzandria, 35, melakukan pengorbanan besar menyembunyikan keadaan dirnya yang hamil untuk negara.
Quzandria mengakui perasaannya bercampur-baur sebaik sahaja disahkan mengandung ketika sibuk menjalani latihan di Eropah menjelang Sukan SEA beberapa bulan lalu.
Apapun, nasihat dan pandangan dari doktor dan keluarga diambil kira sebelum meneruskan cita-cita menyertai acara dalam Sukan Sea. Apatah lagi, suami, Alessandro Zulkarnain Ciaramaglia setia menemaninya.
(b) Nur Suryani Mohamed Taibi, Atlet Menembak Malaysia
Selain Quzandria, atlet menembak Malaysia Nur Suryani Mohamed Taibi turut menarik perhatian apabila terpilih menyertai sukan Olimpik ketika sedang hamil lapan bulan. Malah kisahnya turut disiarkan dalam New York Daily News yang menulis tentang “penyertaan wanita paling sarat mengandung dalam sejarah sukan ternama ini.”
Sebenarnya, Nur Suryani hampir terlepas peluang untuk menyertai Olimpik London kerana pakar sukan Malaysia bimbang keadaannya yang sarat mengandung tidak mengizinkan atlet ini bertanding dengan selesa.
Nur Suryani menduduki ranking ke-47 di dunia dan doktor membenarkannya membuat perjalanan ke luar negara. Ketika acara berlangsung, kandungan Nur Suryani telah mencecah 34 minggu. Walaupun sarat mengandung, keazaman untuk memenangi pingat dalam acara menembak pada sukan Olimpik London amat dihargai.
(c) Serena Williams, Jaguh Tenis
Kisah kehamilan Serena mula diperkatakan ketika pemain tennis yang telah menjuarai gelaran Grand Slam 35 kali memuat naik foto dengan kapsyen ’20 minggu’ di laman sosial miliknya.
Posting Serena mendapat maklum balas yang positif dari para peminatnya. Malah, ketika menjuarai Grand Slam Australia di Melbourne akhir Januari 2017, Serena dikhabarkan sedang hamil 8 minggu.
(d) Alysia Montano, Atlet Olahraga Amerika Syarikat
Bagi juara kebangsaan Amerika Syarikat sebanyak lima kali, Alysia Montano, berlari ketika hamil bukan satu perkara pelik bagi dirinya dan dia mampu menamatkan larian acara 800m dengan catatan dua minit ketika usia kandungannya 34 minggu.
Biarpun atlet Olimpik itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan terakhir ketika di Stadium Hornet di Sacramento, California, dia tetap gembira apabila dapat menamatkan larian.
Alysia yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 2 minit, 32.13 saat berkata, “Saya berlari sepanjang tempoh kehamilan dan saya tetap berasa selesa.
Dia menamatkan saingan 35 saat lebih perlahan daripada catatan peribadi terbaik iaitu 1:57.34s yang dilakukannya ketika beraksi di Monaco pada 2010. Walaubagaimanapun, catatannya itu masih tidak mampu dilakukan oleh ramai atlet lain.
Dikenali sebagai ‘gadis bunga’ kerana identitinya yang agak unik, Alysia pasti menyelitkan setidak-tidaknya sekuntum bunga di rambutnya setiap kali berlari. Pakar mengatakan adalah selamat wanita untuk terus kekal cergas seperti Alysia yang bersenam ketika hamil walaupun pada kadar lebih rendah daripada sebelumnya.
Langkah larian Alysia dalam perlumbaan ketika hamil pastinya lebih santai berbanding ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Dia menamatkan larian di tempat kelima dengan catatan di bawah dua minit.
(e) Amber Miller, Atlet Marathon
Selain sukan Olimpik. Amber Miller, 27, turut mencipta sensasi apabila dia menyertai Chicago Marathon tahun lepas ketika hamil 39 minggu dan melahirkan bayi perempuan hanya beberapa jam selepas acara itu.
(f) Ni Made Dwiyanti, Atlet Silat Indonesia
Ketika menyertai Pekan Olahraga Nasional (PON) 2016, Pesilat Putri Bali, Ni Made Dwiyanti sedang hamil 6 minggu. Namun rezeki memihak kepadanya apabila memenangi pingat emas acara silat di kejohanan tersebut.
Walaupun pada awal usia kandungan, pesilat wanita ini berjaya menunjukkan aksi menarik dan membuktikan mengandung bukanlah halangan untuk Berjaya dalam dunia sukan! Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjadi seorang penyampai berita bukanlah mudah seperti yang disangka, terutama sekali apabila bersiaran secara langsung. Apa saja boleh terjadi di luar kawalan. Inilah yang terjadi pada penyampai berita Global News Canada, Farah Nasser yang mengalami satu momen yang pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Menurut laporan Daily Mail UK, berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, Farah Nasser dilihat telah tersedak akibat tertelan lalat ketika sedang menyampaikan berita mengenai tragedi banjir yang berlaku di Pakistan.
Saat insiden itu berlaku, eskpresi wajah Farrah terus berubah malah sedikit tidak selesa. Beliau dilihat seperti tersedak apabila haiwan itu memasuki rongga mulutnya hingga membuatkan beliau terdiam seketika. Meskipun sedikit cemas, Farrah tidak melatah atau menunjukkan reaksi malu.
Sebaliknya beliau bertindak profesional apabila meneruskan kembali tugasnya menyampaikan laporan berita, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Sikap profesionalisme Farrah juga turut dipuji oleh warga maya yang melihat video tersebut dan memuji sikapnya berhadapan dan mengawal situasi yang tidak dijangka.
Dalam temu bual berasingan bersama ET Canada pula, wanita berkenaan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana keadaan itu berlaku. “Saya hanya bimbang kalau haiwan itu boleh menutup lensa kamera, tetapi tanpa disangka haiwan berkenaan ‘singgah’ di kerongkong saya. Bagi saya, ia bukanlah satu situasi yang memalukan, tetapi sesuatu yang lucu bagi saya”. katanya.
Untuk rekod, Farah Nasser ialah seorang wartawan Kanada yang pernah memenangi anugerah.Beliau merupakan graduan Ryerson University dalam jurusan Seni Radio & Televisyen. Pada Mei 2015, beliau dinamakan oleh Shaw Media sebagai penaung bersama siaran berita 5:30 petang dan 6 petang Global Toronto, bersama Alan Carter. Sebelum peranan ini, beliau adalah seorang wartawan dan penaung dengan CablePulse24 di Toronto pada tahun 2010.
Beliau juga merupakan Anggota Lembaga Pengarah untuk Yayasan Penyelidikan Arthritis, Rangkaian Kesihatan Universiti dan menjadi tuan rumah untuk pengumpulan dana yoga Power of Movement setiap tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!