Pertemuan yang diatur khas di Holiday Villa Hotel Subang Jaya itu menerbitkan sebuah suasana santai. YM Raja Izzah Amira Raja Zaen tiba tepat pada waktunya, diiringi bonda tersayang YM Raja Shaharizad Raja Shahar yang kelihatan bagaikan sepasang teman karib. Kedua-duanya begitu mesra dan menyenangkan, sekali gus membibit rasa selesa tatkala temu bual dijalankan.

IKLAN

Jurai sejarah dan susur galur keluarga Raja Izzah berasal dari istana Selangor. Nendanya merupakan cucunda Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Musa manakala suami Raja Izzah, Raja Ahmad Faris Raja Hishamuddin juga adalah cucunda dari Sultan yang sama. Maka secara tidak langsung, adanya pertalian keluarga di antara mereka meskipun sebelum berkahwin, masing-masing tidak pernah mengetahui. Ini kerana Almarhum Sultan Selangor itu memiliki beberapa orang isteri dan keturunan anak-anak yang ramai.

YM Raja Izzah Amira Selalu Ingat Pesanan Mama

YM Raja Izzah Amira Selalu Ingat Pesanan Mama

“Di sebelah keluarga saya, hubungan dengan kerabat istana tidaklah sekuat mana. Tapi nenda pernah menghadiahkan seutas kalung emas pusaka dari Almarhumah ibunya yang masih saya pakai sampai ke hari ini. Berbeza pula dengan ibu bapa mertua saya yang memang ada pertalian rapat dengan keluarga di istana. Perkenalan saya dengan suami pula sebenarnya tidak dirancang, bila dah kenal baru tahu dia pun dari jurai sejarah yang sama. Mungkin itulah dinamakan jodoh,” cerita Raja Izzah merendah diri.

Tahun ini, Raja Izzah bakal menginjak usia 27 tahun. Anak kedua daripada empat adik-beradik itu merupakan seorang Penganalisis Akaun di sebuah firma farmaseutikal di ibu negara. Pemilik ijazah dalam jurusan Accounting & Finance dari University of West England tersebut juga baru selamat melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun lalu dengan Raja Ahmad Faris yang merupakan teman sekuliahnya di Taylor’s College.

YM Raja Izzah Amira Selalu Ingat Pesanan Mama

KASIHNYA IBU

IKLAN

Momen sambutan Hari Ibu seterusnya menjadi topik yang menyeronokkan di antara kami. Sambil merenung Mama di sisi, Raja Izzah menjawab, “Agenda menyambut Hari Ibu memang dalam senarai penting kami pada setiap tahun. Biasanya kami akan pergi makan di restoran kegemaran Mama. Ada sebuah restoran Thai yang memang Mama suka dan kami selalu ke situ untuk makan-makan.  

Lazimnya saya belikan Mama charm Pandora Mother’s Day sebab dia suka mengumpul koleksi Pandora. Saya dan abang akan berlumba-lumba beli yang paling mahal sebab kami berdua saja yang sudah bekerja. Teringat masa kecil-kecil dulu, di sekolah, saya pernah belikan sekuntum bunga yang adaperfume di dalamnya untuk bagi Mama.,” kenang Raja Izzah sambil tertawa kecil.

Kata-kata Raja Izzah disambut senyuman lembut ibunya. “Sebenarnya saya tak mengharapkan apa-apa pun daripada anak-anak. Kalau mereka ikhlas beri, saya terima. Hadiah kecil-kecil pun cukuplah, jangan membazir. Kerana apa yang paling menggembirakan saya sebagai ibu adalah melihat mereka semua berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan. Macam Mira (panggilan untuk Raja Izzah), saya selalu doakan rumah tangganya bahagia.”

IKLAN

Tambah wanita anggun kelahiran Perak ini lagi, beliau selalu mengingatkan anak-anak supaya jangan pernah menganiaya orang meskipun orang lain berbuat jahat pada mereka. Suri rumah itu juga tidak pernah memaksa anak-anak supaya menjadi yang teratas tapi memadailah jika tidak menjadi yang terbawah. Raja Shaharizad mempunyai empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan Raja Zaen iaitu Raja Ezzat Ezmir (28), Raja Izzah Amira (27), Raja Hazwan Azri (21) dan Raja Iffah Adrian (20).

Mengakhiri pertemuan manis ini, rancangan masa depan Raja Izzah menjadi penutup bicara. “Kalau diizinkan Tuhan, saya dan suami merancang untuk memiliki empat orang cahaya mata. Kalau boleh, saya mahu meniru cara Mama mendidik saya, di mana dia memberi kebebasan dalam ketegasan. Saya tak pernah dimanjakan apatah lagi diberi wang saku berlebihan. Kalau mahukan sesuatu, buat kerja dulu atau dapatkan markah baik dalam peperiksaan.”

Meskipun kini sudah mempunyai kerjaya tetap, Raja Izzah menyimpan azam untuk menjadi seorang usahawan berjaya suatu hari nanti. Hobi membakar kek dan minat mendalamnya terhadap dessert telah melahirkan Whipped (IG: @whipped.kl) iaitu sebuah perniagaan membuat biskut, brownies, kek, kek cawan dan souffle yang kini diusahakan dengan adik iparnya. Mereka juga turut menguruskan majlis atau parti mengikut tema yang dimahukan pelanggan. Harapannya suatu hari nanti, dapat fokus terhadap bisnes sepenuh masa dan membuka sebuah kafe.

“Dalam hidup, saya selalu pegang satu kata Mama. Selalu beringat-ingat… apa yang kita lakukan pada orang lain pasti akan berbalik semula pada diri kita. Tak kiralah yang baik atau sebaliknya. Kalau pun ia tak berlaku pada kita, mungkin akan kena pada orang-orang yang kita sayangi. Sebab itu beringat-ingat kalau marah orang,” akhiri Raja Izzah sambil merenung Mamanya di sisi.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI