Panjang lagi tempoh PKP. Tiba bulan Ramadan, ramai mengambil peluang untuk memulakan perniagaan atau meneruskan niat yang sudah lama terbengkalai. Pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal, Zara Zya juga tidak mahu ketinggalan. Zarazyacooks kembali menyajikan hidangan istimewa sempena Ramadan.
Hari ini, Zara sibuk bersilat di dapur untuk memasak juadah berbuka yang dipesan. Menurut Zara, kehidupannya sepanjang tempoh PKP penuh dengan aktiviti Zarazyacooks dan Zaraprihatin yang dirancang bersama teamnya.
“ZZC Kembali ‘bersiaran’ setelah saya dan team berbincang untuk menggunakan peluang yang ada sekarang ini. bukan hanya mengambil pesanan dan berniaga juadah tetapi kami gunakan untuk membuat amal sekaligus.
Kalau boleh saya mahu bila orang mengingati saya dan amal kebajikan yang saya lakukan. Zara Prihatin adalah badan kebajikan dibawah Non-Government Organisation (NGO) prihatin Tanpa Sempadan.”katanya.
Bagi yang mengikuti perkembangan artis kecil molek ini, tentunya tahu Zara sebelum ini Zara pernah menceburi perniagaan masakan secara online di bawah label ZZC. Pelbagai menu yang diketengahkan seperti Rendang Daging, Udang Masak Lemak, Pucuk Ubi Celur dan banyak lagi namun ia terpaksa dihentikan.
Ads
“Kali ini kami akan highlight makanan yang menjadi kegemaran orang ramai pada bulan Ramadan seperti Roti John, Ayam Golek, Kambing Bakar, Ikan Bakar, biskut Raya, aneka sup dan set nasi. Untuk kedai makan, saya berkolaborasi bersama partner saya iaitu Selere Ikan Bakar. Paling istimewa… tentulah kerana ia hasil air tangan saya sendiri,”katanya lagi.
Mengakui rindu untuk ke pusat membeli-belah, Zara juga akan menjalani sesi penggambaran untuk tiga buah drama sebaik sahaja tamat PKP nanti.
Ads
“Situasi yang terjadi kini membuatkan saya lebih menghargai masa yang ada, ruang privasi sendiri serta lebih berjimat-cermat. Secara tidak langsung, ia mendisplinkan diri saya untuk lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan diri dalam keadaan bersih.
Rindu sangat nak ke bazar Ramadan dan paling terkesan adalah tidak dapat menunaikan solat terawih di surau atau masjid. Kalau ke bazar tu, saya akan cari ikan bakar dan murtabak, that’s the best! Kalau di rumah sekarang ni, tentulah saya akan masak sendiri. saya banyak belajar memasak secara sendiri, kadang-kadang kalau tak tahu resipi, tanya juga pada famili.
Semoga perniagaan yang saya jalankan ini mendapat sambutan menggalakkan dari semua dan mereka enjoy dengan masakan saya. Harap-harap perniagaan ini akan berkembang lebih maju di masa akan datang.”kata pemilik produk pelangsingan Trimz Lotion dan kosmetik, Zarazya Lipmatte ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perjalanan hidup setiap orang berbeza-beza. Ada yang mudah, serba serbi lancar tanpa banyak halangan. Namun, ada pula sebaliknya sehingga terpaksa menempuh bermacam dugaan yang adakalanya boleh mengakibatkan ‘jatuh terduduk’.
Finalis Pencarian Nona Superwoman, Nur Aida Nazili Norazlan berkongsi jatuh bangun dalam bisnes yang menjadi sumber pendapatan utamanya. Mesra disapa sebagai Ayda, wanita berumur 31 tahun yang berasal dari Kelantan ini merupakan ibu anak 3.
Ayda kini mempunyai dua rangkaian bisnes iaitu Beautsahara (inai) dan Nutellabanana (makanan). Ayda cukup bertuah kerana turut dibantu oleh suami, Lut Bosni yang sanggup berhenti kerja kerana mahu bersama-sama menguruskan bisnes.
“Sebelum berbisnes saya pernah bekerja. Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerana nak beri tumpuan kepada keluarga. Tiba masanya untuk saya buat keputusan sendiri dan ‘bebas’ daripada tekanan kerja bawah orang.
“Bila menjadi surirumah sepenuh masa fokus saya hanyalah keluarga. Waktu itu suami seorang saja yang bekerja.
“Saya juga buat bisnes makanan. Buka gerai tepi jalan jual nasi lemak. Dari segi keuntungan tak seberapa. Sebulan berniaga tak laku lantas saya buat keputusan tutup gerai.
“Kemudian saya cuba jual sushi pun tak laku juga. Akhirnya saya kembali meniaga inai. Saya buat full time bersama suami bila dia ambil keputusan berhenti kerja untuk bantu saya.
“Dalam masa 3 bulan bisnes inai menjadi dan agen bertambah seluruh Malaysia. Permintaan juga tinggi bukan hanya untuk majlis perkahwinan malah sebagai salah satu perhiasan bagi wanita aksesori. Inai ini adalah instant dan boleh dibawa solat.”
DETIK STRUGGLE
“Pengalaman paling tak dapat saya lupakan ketika buat bisnes sushi. Dengan modal yang ada saya laburkan semua untuk bisnes tersebut tapi tak laku. Berniaga dari pagi sampai malam untung RM15-RM20 saja. Memang tak balik modal dan tiada langsung simpanan.
“Pernah satu hari terjadinya hujan lebat. Khemah tempat kami berniaga tu koyak disebabkan angin ribut yang kuat. Kami terpaksa bertahan walaupun barang-barang jualan basah dan rosak.
“Walau jualan tak laku, selama 2 minggu jugalah kami bertahan. Dengan saya lagi yang sedang sarat mengandung 7 bulan, Allah saja yang tahu betapa peritnya ujian kami ketika itu.
“Kami tak mampu bayar sewa rumah, terpaksa merayu pinjam duit Mama nak langsaikan hutang. Setelah berfikir mencari jalan penyelesaian akhirnya saya dan suami sepakat untuk kembali buat bisnes inai secara online.
“Alhamdulillah Allah mudahkan jalan dan bertahan sehingga kini. Kehidupan kembali tenang dan kami bahagia dengan apa yang ada. Rezeki Allah sentiasa cukup buat kami sekeluarga.
PENDORONG
“Semestinya suami dan Mama. Suami adalah mastermind dalam bisnes yang kami lakukan. Suami jugalah yang akan menjaga anak-anak jika saya sibuk dengan urusan bisnes. Suami tulang belakang saya, tanpa beliau saya tak akan mampu lakukan semua.
“Manakala Mama, Shalieza Shafii, sejak kecil sampailah sekarang tak pernah lupa memberikan saya kata-kata semangat. Mama adalah satu-satunya wanita inspirasi saya.
“Sentiasa ada di belakang saya untuk support apa yang saya suka. Kalau tak boleh pun Mama tetap akan cakap saya boleh buat. Itulah istimewanya Mama, tak pernah memandang rendah kemampuan anaknya.”
IMPIAN
“Saya akan terus berkongsi rezeki dengan orang lain dan kembangkan bisnes ke tahap yang lebih tinggi. Saya juga berimpian untuk memiliki pusat consultancy grooming suatu hari nanti untuk berkongsi ilmu dan motivasi tentang kecantikan seperti solekan dan imej.”
Semoga Ayda terus sukses membina empayar perniagaanya serta tercapai segala impian yang diharapkan, Insha-Allah.
Kredit Foto: Instagram @aydaazlan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kali pertama mengenali wanita ini, aura kelembutannya menawan hati. Dia lebih senang tersenyum, cuma sesekali mencelah dan berhujah, membayangkan karakter sebenarnya sebagai pakar rekaan hiasan dalaman terbaik di Malaysia. IDr Rabiatul Adawiyah Rasol sesungguhnya wanita yang sungguh menginspirasikan!
Tiba dengan persalinan dress hijau zamrud, penampilan Pengasas Bersama syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd pada malam majlis Nona Superhero Award memukau tetamu.
Sambil memaut lengan Superhero tersayang, pasangan IDr Lokman Hakim Ahmad Subki ini senang membiarkan tumpuan spotlight diberi kepada suami, almaklum malam itu memang malam istimewa untuk lelaki.
Pasangan Pengasas IDW Design & Build
Penerima Nona Best Interior Designer Award dan Nona Best Mens Innovative Interior Designer Award
IDW sebagai penaja utama Nona Superhero Award
Bukan calang-calang wanita, Rabiatul yang berusia 36 tahun dan ibu kepada tiga cahaya mata ini juga sebenarnya sedang melanjutkan pengajian PhD in Built Environment bersama suami.
Bukan saja pintar, malah kepimpinan beliau dalam mentadbir urus IDW menjadi inspirasi luar biasa kepada usahawan wanita yang lain.
LANCAR APPS
Banyak pencapaian hebat IDW Design & Build sepanjang 15 tahun ditubuhkan. Namun seperti peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, begitu jugalah banyaknya usaha serta ujian yang ditempuhi untuk mencapai kejayaan hari ini.
Semangat Lokman dan Rabiatul yang sama-sama menubuhkan IDW menjadikan mereka kini salah satu gergasi syarikat reka bentuk dalaman milik bumiputera di Malaysia.
Paling luar biasa, aspirasi Rabiatul sebagai pakar hiasan dalaman dan usahawan berjaya jelas menyuntik semangat agar kaum wanita yang lain terus berjuang mencapai impian serta minat masing-masing.
IDr Rabiatul Adawiyah
Seorang penggemar seni dan suka melancong
Bersama suami tercinta di Dubai
Menariknya serentak dengan kejayaan IDW yang dinobatkan sebagai penerima Nona Best Interior Designer Award dalam acara berprestij Nona Superhero Award, pasangan hebat itu terus mencetuskan sejarah apabila melancarkan aplikasi sendiri di telefon pintar.
Sebagai penaja utama acara berprestij anjuran Majalah Nona, IDW turut mencuri tumpuan apabila pelancaran appsIDW Design menempa nama sebagai aplikasi reka bentuk dalaman pertama di Malaysia yang hadir seiring dengan peredaran semasa.
Mengagumkan! Tonton momen pelancaran eksklusif aplikasi terbaharu IDW Design ni dalam majlis Nona Superhero…
“Kami percaya sekarang ini hampir setiap masa di mana saja, telefon pintar dekat dengan kita untuk mengakses pelbagai perkara, menempah makanan, menonton hiburan dan macam-macam lagi.
Menempa kejayaan sulung pembuka tahun 2022 di anugerah Nona Superhero dan serentak dengan kehadiran aplikasi ini satu momen terbaik untuk terus menguatkan jenama kami kepada semua.” Lokman Hakim
Pelancaran aplikasi IDW Design bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim
Tambah Rabiatul, menerusi aplikasi itu juga IDW mahu terus agresif melebarkan pengaruhnya.
“Kami sedar ramai sebenarnya di kalangan masyarakat yang ragu-ragu, teragak-agak dan takut mengambil khidmat pakar hiasan dalaman kerana tidak arif tentang tugas pereka hiasan dalaman.
Ada yang idamkan rumah cantik, tapi tidak tahu cara memulakannya. Ada yang memerlukan bimbingan pakar tapi tidak tahu bagaimana selain kekangan masa.
Justeru, aplikasi ini yang boleh diakses di telefon pintar secara tuntas dapat membantu ramai orang berjinak-jinak dengan perkara berkaitan hiasan dalaman.” Rabiatul
Apps IDW Design menjadi dimensi baru dunia rekaan hiasan dalaman di Malaysia
Rabiatul juga optimis aplikasi itu mampu menjadi jambatan yang menyatukan mereka dengan masyarakat kerana kelebihan dan ciri antara muka dipamerkan.
Antara fungsi atau ciri-ciri aplikasi IDW Design adalah tip interior design setiap hari, inspirasi dan rundingan rekaan secara percuma serta 200 koleksi rekaan juga diberikan percuma.
Terdapat juga fungsi Market Hall untuk pembelian perabot atau aksesori rumah serta fungsi Project Management yang terkini bagi memudahkan anda menyemak perkembangan projek yang sedang berjalan.
Mudah saja cara untuk memuat turun aplikasi ini. Untuk download apps, anda boleh search terus di Google Play atas nama IDW Design & Build.
Di sebalik kelembutannya, Rabiatul adalah tulang belakang kekuatan suami tercinta!
“Kini semuanya di hujung jari. Anda boleh klik pautan YouTube (di sini) atau layari website IDW (di sini) serta Instagram @idw.design (di sini).” Rabiatul
Syarikat ini mula bertapak dalam industri pada 2007 dan pantas mencuri perhatian ramai. Malah pembabitan ekspo di luar negara juga bukti syarikat ini mahu terus belajar dan memberikan terbaik untuk pelanggan tersayang.
Syabas Rabiatul dan setinggi-tinggi penghargaan Majalah Nona buat IDW Design & Build!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alhamdulillah, mama masih sihat dan cergas di usia 69 tahun. Doa saya semoga Allah terus memberi rahmat dan kesejahteraan buat Ta’adah Bt Mohd Said, dunia serta akhirat… Amin.
Saya percaya semua anak inginkan yang terbaik buat ibu mereka, dipanjangkan usianya untuk terus menikmati detik bahagia di kehidupan dunia sementara ini. Terpanggil saya untuk berbicara bersama mama dan berkongsi kisah rutin harian sihat dan cantik yang diamalkannya. Mungkin amalan ini dapat memberi inspirasi kepada semua wanita lain, walaupun ramai lagi ibu-ibu di luar sana punya 1001 cerita dan petua serta nasihat terbaik yang boleh dikongsi bersama pembaca majalah Nona.
Kini telah 6 tahun mama melewati hari-hari bebas daripada penyakit yang paling digeruni oleh wanita. KANSER. Syukur alhamdulillah. Masih ingat waktu itu, kala mama membuat pemeriksaan dan di sahkan KANSER OVARI tahap 2 (aktif), mama sangat kuat semangat dirinya.
Tanpa berfikir panjang mama terus bersetuju untuk menjalani proses kemoterapi seperti yang telah disarankan oleh doktor. Tidak sekali saya melihat kesedihan atau air matanya mengalir. Sangat kuat beliau melalui proses itu, walaupun kesakitannya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Walaupun dalam hati saya sendiri yang menangis, bila saat melihat raut wajahnya yang dimamah usia ketika terlantar baring seperti melayan mimpi panjang yang memenatkan.
Tambah pilu hati ini kala melihat rambutnya gugur akibat kesan kemo, tapi mama masih mampu tersenyum… Saya percaya inilah senario yang dihadapi oleh ramai di antara mereka apabila melihat orang tersayang melalui proses rawatan kemo. Berat mata memandang, pastinya berat lagi bahu yang di pikul.
“Mama maafkan saya kerana tidak menemanimu setiap hari dan setiap masa di saat itu…” Mama layari hidupnya sendiri dengan cukup tabah. Pasti adanya penyesalan dalam diri saya ini, sebagai seorang anak sebab selalu tinggalkan mama sendiri menjalani rawatannya. Setiap kali pulang ke Kedah dan kembali ke Kuala Lumpur pasti saya yang menangis tapi bukanlah di hadapannya kerana saya tidak mahu menunjukkan kesedihan itu, saya juga perlu kuat seperti mama.
Setiap kali itulah, saya berdoa “Ya Allah, jaganya untukku. Lindungilah mama dan kembalikanlah kesihatannya dengan baik. Kurangkanlah beban kesakitannya kerana aku amat menyayanginya.” Amin… Allah telah pemudahkan perjalanan itu.
Hari ini alhamdulillah, mama berdiri tersenyum. Sibuk dengan aktiviti warga emas dan mengaji Al-Quran. Saya mengutip beberapa petua yang telah diamalkannya, mungkin ada yang sesuai dan boleh juga dipraktikkan oleh orang lain. Dulu sekali pandang, mama seperti pelakon Uji Rashid dan sekarang kalau pakai sunglasses, macam Noorkumalasari pula.
Sejujurnya saya mengagumi kecantikan mama sejak di usia mudanya. Sangat cantik dan mama aktif dengan pelbagai aktiviti, popular juga mama di Alor Setar dulu. Ingat lagi, saya pernah melihat mama belajar catwalk di rumah sambil meletakkan buku di atas kepala dengan langkah bersama sepatu tinggi 4 inci.
Petang-petang joging dan ‘wardrobe’ sangat meriah dengan himpunan pelbagai koleksi baju yang dibeli dan ditempah, sehingga tidak muat ruang almari. Itulah mama… Personalitinya sangat tegas tetapi punya hati yang baik.
Mama daripada dahulu tidak minum air ais dan jarang sekali mengambil kopi. Tapi kalau makan nasi wajibnya ada pelbagai ulam-ulaman antara menjadi kegemaran mama, ulam raja, daun dan buah mengkudu sangat baik untuk kuatkan badan dan awek muda. Tapi memang benar, mama ratu ulam. Semua jenis daun hijau dimakannya. Petua makan nasi, sama juga seperti orang lain, makan nasi tidak bersilang seli dengan air. Minum air panas sebelum mula makan nasi untuk basahkan kerongkong serta melancarkan penghadaman.
Sesekali dahulu terlihat mama akan kepal-kepal nasi panas tanpa lauk dan kemudian terus makan. Biasanya dalam 2 atau biji kepalan sambil membaca doa makan, kata mama ini petua yang diamalkan oleh atuk nenek kita supaya badan sihat dan dijauhi daripada penyakit. Ini sekadar petua, bukanlah amalan khurafat. Siapa nak buat, boleh buat. Tidak mahu tak mengapa!
Mama tidak mengambil sebarang suplemen, hanya mengambil ubat yang diberikan oleh doktor atau hanya dari bahan semula jadi. Biasanya mama akan ambil bawang putih rendam bersama madu asli, biar selama tiga hari kemudian makan satu pagi, satu malam setiap hari. Ataupun bawang putih kupas dan masukkan ke dalam nasi ketika gembur, setelah hampir masak lalu makan seperti ulam.
Banyak khasiat bawang putih untuk kesihatan antaranya dapat mengurangkan risiko kanser, menurunkan kolesterol, baik untuk darah tinggi, mencegah penyakit jantung dan sebagainya. Selain itu, mama juga mengamalkan minum air jus timun atau carrot untuk sejukkan badan serta baik untuk kesihatan. Makan pisang jika stres dan untuk memudahkan proses penghadaman.
Sewaktu mama dalam proses rawatan kanser, setiap kali selepas melakukan kanser mama amalkan minum air kelapa muda. Selesai menjalani semua proses kemoterapi, mama amalkan minum air daun belalai gajah dan makan buah durian belanda. Bila sihat sikit, mama rebus air daun durian belanda untuk diminum.
Alhamdulillah kaedah dan amalan ini sesuai dengan tubuh mama. Mama juga sesekali mengamalkan minum air rebusan daun rama-rama yang mempunyai banyak khasiat dan menjaga kesihatan badan. Mama tidak lagi makan daging, belacan, ikan kering atau ikan darat. Jika termakan, mama segera minum air rebusan daun rama-rama atau daun durian belanda yang dibuat sendiri (Perkongsian ini melalui pengalaman yang diamalkan, boleh dicuba atau dapatkan khidmat nasihat doktor anda juga).
Paling penting pesan mama, buat mereka yang mengidap kanser jangan susah hati, menyendiri, muram dan terlalu banyak berfikir tentang perkara negatif. Perlu sentiasa gembira dan ceria, lemparkan senyuman setiap masa.
Selain menjaga pemakanan dan mengamalkan petua semula jadi, perkara yang utama perlu dititik beratkan ialah amal ibadat dan kerohanian. Di setiap kelapangan, mama mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas yang terlalu besar ganjaran pahalanya jika selalu diamalkan. Ia dapat membantu memberi ketenangan, membuatkan kita lebih ceria dan gembira, dipelihara keselamatan, selamat di alam barzakh dan insyaAllah, orang akan lihat wajah kita sentiasa tenang.
Mama juga sentiasa ingatkan saya untuk ringankan mulut membaca DOA NABI YUNUS a.s
“Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Doa ini adalah penawar segala musibah, dielakkan daripada perkara-perkara yang memudaratkan dan sangat besar maknanya. Amalkan setiap hari tidak kira dalam kesenangan atau kesusahan. Jangan lupa untuk mengucap syukur dengan rezeki Allah SWT berikan, walaupun sedikit dan bukannya merungut.
Bangun pagi amalkan membaca surah Al-Fatihah untuk sedekahkan kepada Nabi Muhammad SAW, buat arwah ibu bapa, diri sendiri, anak-anak dan juga adik-beradik sekalian. InsyaAllah…
Akhir kata, saya doakan buat mama dan seluruh ibu semua agar sentiasa dirahmati, berada di bawah lindungan Allah SWT, di panjangkan usia, di murahkan rezeki, sihat sejahtera hendaknya. “Ya Allah, Seandainya aku tidak memiliki cukup waktu, untuk membahagiakan ibu ku satu pintaku bahagiakan ibu ku dengan kasih sayang-Mu. Ya Allahampunilah segala dosa ibu ku kasihanilah ibu ku karena ibu yang telah melahirkanku, memelihara dan membesarkan diriku. Haramkanlah wajah ibuku dari disambar oleh api neraka. Kurniakanlah buatnya syurga tanpa hisap… Amin.
Tanyalah amalan atau petua ibu kita sementara mereka masih ada, sekurang-kurangnya dapat juga dikongsi dan mungkin berguna untuk kehidupan seharian kita. Mereka sudah makan garam terlebih dahulu daripada kita dan pengalaman serta nasihat mereka boleh dijadikan inpirasi untuk kita lebih matang dalam menjalani pelbagai liku kehidupan di masa sekarang. Terima kasih buat semua Ibu atas kasih sayang yang telah engkau berikan kepada diri kita dengan tulus kasih mu yang tak akan mampu kita bayar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!