Jiwa cekal Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah untuk hamil memang luar biasa. Sebelum menimang cahaya mata sulung, Baginda terpaksa menjalani 17 kali rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) dan menunggu kira-kira sedekad untuk bergelar ibu.
Meskipun diduga namun Tunku Azizah tabah dan sentiasa tersenyum. Pastinya menjalani rawatan IVF sebanyak itu nyata bukan satu proses mudah. Apatah lagi kesihatan mental dan emosi wanita sepanjang menempuh cabaran tersebut turut diuji.
Memetik titah Raja Permaisuri Agong sebelum ini, “Saya satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat cahaya mata hasil rawatan IVF.
Saya tidak malu katakan kepada seluruh dunia bahawa saya juga mengalami masalah dan kesukaran menimang cahaya mata. Usaha ini mengambil masa lebih sembilan tahun.”
Kesukaran Tunku Azizah mendapatkan waris takhta negeri Pahang telah memberi ilham kepada Baginda untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Ogos 2004.
Ads
Tak hanya berdepan cabaran IVF sebanyak 17 kali, Baginda juga pernah mengalami keguguran enam kali.
Pun begitu, ia tak jadi halangan buat Tunku Azizah untuk merealisasikan impiannya bergelar ibu. Kira-kira 10 tahun menanti akhirnya Baginda dikurniakan rezeki melahirkan putera sulung iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kini berusia 28 tahun.
Sebelum dikurniakan anak kandung, Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong mengambil seorang putera angkat iaitu Tengku Amir Nasser Ibrahim. Baginda merupakan putera bongsu Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.
Tengku Ahmad Iskandar Shah ialah anakanda pertama yang dilahirkan Raja Permaisuri Agong. Namun Tengku Ahmad Iskandar Shah mangkat sejurus dilahirkan pada 24 Julai 1990.
Ads
KDYMM Tengku Hassanal diputerakan pada 17 September 1995 dan turut mempunyai dua adinda lelaki serta dua adinda perempuan iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Tunku Azizah mendirikan rumah tangga dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Mac 1986.
Usaha dan jiwa cekal Tunku Azizah yang tidak pernah berputus asa mendapatkan zuriat wajar dijadikan sumber inspirasi ramai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan pandang wanita sebelah mata! Masih ingat tak ahli boma wanita yang pernah tular dengan video bermain ular tedung? Kali ini, beliau kongsikan sebuah video yang lebih menggerunkan. Di sebalik kisah pengalaman beliau bersama ular tedung, frontliner ini turut bercerita pengalaman mengendalikan kes Covid-19 ketika penularannya di gelombang pertama.
Siapa sangka, di hadapan penulis kini seorang wanita berusia 38 tahun yang sudahpun 16 tahun berkhidmat kepada negara, khususnya bersama pasukan bomba. Kali keempat menjalani ujian memasuki pasukan bomba akhirnya meletakkan Fazida di mana dia berada kini.
“Arwah ayah saya adalah anggota bomba. Arwah ‘tewas’ ketika sedang menjalankan tugas. Pahit yang ditelan sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk terjun ke dunia penyelamatan. Dorongan dan sokongan ibu jadi sumber kekuatan ketika itu kerana pada saya bomba yang ‘membunuh’ ayah saya.
Bukan mudah melihat orang yang paling disayangi dan paling rapat pergi meninggalkan kita. Dari kecil melihat arwah ayah menyarungkan seragamnya malah saya sendiri sering berada di balai untuk menunggu ayah pulang dari kerja atau sekadar menemaninya di sana. Cinta arwah pada pasukannya sangat kuat, sekuat rasa kasihnya saya pada arwah. Benarlah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sedikit demi sedikit minat itu semakin menebal,” ujarnya.
Sebagai salah seorang anggota frontliners yang turut bertugas di pintu masuk imigresen, menerima kepulangan rakyat Malaysia dari Wuhan, sebuah negeri di China yang mula-mula dikejutkan dengan wabak maut ini.
“Tentunya saat mendapat berita bas yang membawa pulang rakyat Malaysia semakin mendekati, jantung saya sudah berdebar-debar. Pakaian PPE sudah disarungkan seawal lagi. Panas, rimas dan cukup tidak selesa dalam persalinan pakai buang itu. Jantung yang berdebar-debar semakin kencang apabila kelibat bas berhenti di depan mata.
Seramai tujuh anggota bomba wanita ditempatkan di kawasan dekontiminasi. Kami tidak boleh bergilir-gilir kerana kami hanya bertujuh. Tentu sekali bahagian wanita tidak pernah sunyi kerana bukan sahaja wanita dewasa yang kami perlu periksa namun termasuk anak-anak yang dibawa.
Tiba di ‘khemah’, mereka perlu menyerahkan passport masing-masing. Seboleh-bolehnya kami pegang pun hanya pada bahagian paling hujung. Apabila bermain dengan benda yang tak nampak ni memang menakutkan. Selepas penyerahan passport, mereka perlu menanggalkan setiap pakaian luar dan dalam dan ditukarkan dengan persalinan lengkap.
Paling mencabar adalah untuk menguruskan bayi dan kanak-kanak. Bayangkan, seorang bayi berusia 15 hari terpaksa memasuki khemah yang panas, berkuap dan sangat tidak selesa. Bayi itu menangis saat kami terpaksa menanggalkan pakaiannya. Orang dewasa pun tidak selesa, apatah lagi bayi sekecil itu,” ceritanya.
Sebelum bermulanya gelombang Covid-19, pernah viral satu video pegawai bomba wanita ‘bermain’ dengan ular tedung. Rupa-rupanya Fazida merupakan wanita tunggal yang berada dalam Skuad King Cobra.
“Skuad King Cobra telah ditubuhkan sejak 2015. Saya bersama-sama empat pelatih lain pernah terlibat dalam operasi melibatkan ular tedung. Saya memang takut dengan ular tetapi saya perlu atasinya kerana sebagai anggota bomba, saya perlu membantu orang lain.
Saya cuba mengkaji mengenai reptilia ini untuk mengenali sifatnya. Malah saya juga mengikuti kursus selama sebulan untuk mempelajari tentang ular. Rakan sepasukan, Allahyarham Abu Zarin Hussin yang terkenal di laman sosial adalah antara ‘guru’ yang banyak mengajar saya kemahiran menangkap ular.” Katanya.
Balai Bomba & Penyelamat Malaysia Rawang bukan sahaja bertuah memiliki anggota bomba wanita yang cekal dan berkemahiran malah balai ini juga menjadi contoh kepada cawangan balai bomba lain kerana menepati ciri-ciri terbaik dalam pengendalian tugas dan dalam sistem pelaksanaan.
Salutasi kami berikan kepada semua anggota bomba Malaysia dan barisan frontliners yang telah bertarung nyawa dan berkorban ketika pandemik Covid-19 bermaharajalela di dalam negara. Selayaknya mereka mendapat pengiktirafan dunia dan semoga kita terus menjaga kita!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isk…nak hantar atau tidak ke sekolah? Tak terlalu awal ke? Dilema sungguh mak-mak bila anak mula menjejak umur setahun ke atas. Apa yang perlu mak-mak tahu sebelum hantar anak ke playschool.
Seronok membelek Instagram angkawasan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan isterinya Datin Dr Halina. Seawal usia setahun lagi mereka sudah mula menghantar si kembar Adam dan Noah ke playschool.
Kongsi Datuk di IGnya, sekolah mereka bukan hanya tempat untuk bermain tetapi anak-anak juga boleh bergaul sesama rakan sebaya, bermain, menyanyi lagu kanak-kanak, belajar menggunakan flash cards, mewarna dan banyak lagi.
“It will be good for the boys to learn about socializing and independence from a very young age. Boys tend to have separation anxiety more than girls at that age. They tend to cling more to their parents…”
Tingkatkan keyakinan bersosial
Kemahiran bersosial boleh dipupuk sejak kecil. Ada yang mudah bergaul dan ada juga yang lebih suka menyendiri. Takpe, beri mereka masa kerana mereka juga baru mengenali dunia luar.
Mereka akan mula bermain dengan rakan-rakan sebaya dan lama-kelamaan mereka akan lebih mesra saat disapa kanak-kanak yang lebih dewasa. Jangan haling mereka bermain dengan permainan kegemaran kerana dari situlah mereka akan mula membuat teman.
Time-out dari mak ayah!
Jangan salah faham. Anak-anak seronok bersama mak ayah cuma mereka juga perlukan pergaulan luar untuk boost minda. Biarkan sel-sel otak mereka berhubung. Lagipun, mak ayah boleh luangkan masa berdua-duaan. Eratkan hubungan suami isteri.
Potty training
Pastikan anda tahu polisi playschool agar anda boleh mempersiapkan anak-anak lebih awal. Sungguhpun terdapat polisi yang hanya menerima anak-anak yang pandai membuang air sendiri, kakitangan juga sebenarnya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mak ayah pula jangan lupa sediakan pakaian lebih.
Beri lebih masa
Semua mak ayah mahu anak cepat pandai. Tidak ada mana-mana sekolah pun yang boleh memberi magis pintar pada hari pertama persekolahan. Biarkan mereka bermain, belajar bersosial, menyanyi dan mewarna terlebih dahulu sebelum mereka mula mengenali abjad dan nombor. Jangan ‘bunuh’ minat anak ok!
Sumber foto: IG Datuk Dr Sheikh Muszaphar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tagline ‘Ingat Charms, Ingat Make Up dan Rawat’ mula menjadi sebutan ramai sejak tahun 2012 sekaligus mencetuskan fenomena tersendiri apabila produk kecantikan ini menerima sambutan hangat di pasaran. Charms merupakan produk solekan dan penjagaan kulit bukan sahaja diiktiraf Halal Jakim, tetapi turut diuji oleh pakar kulit Asia Tenggara dengan Label Dermatologist Tested.
Bangga dengan kejayaan Nur Basyirah Hussin atau Syira Hussin. Wanita hebat berusia 36 tahun ini sudah mampu memiliki apa yang diimpikan oleh kebanyakan wanita iaitu bergelar usahawan sukses, keluarga bahagia dan kesenangan hidup. Kejayaan Syira yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi dari UKM ini wajar dijadikan inspirasi khususnya buat golongan muda.
Kejayaannya hari ini bukan satu perjalanan yang mudah sebenarnya biarpun lahir dalam keluarga bisnes serta memiliki ilmu keusahawanan yang mantap. Pendedahan awal terhadap selok belok perniagaan sejak kecil telah mematangkan dirinya sehinggalah berjaya melahirkan produk kecantikan jenama sendiri, Charms.
“Saya merupakan bekas pensyarah di sebuah IPTA dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Saya nekad tinggalkan kerjaya sebagai pensyarah selepas melahirkan anak ketiga kemudian memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Charms. Apa yang saya lihat, bidang pendidikan dan perniagaan sebenarnya tidak jauh beza pun kerana kedua-duanya mendidik dan membangunkan nilai insan dengan ilmu.
Selain itu, banyak lagi kekangan yang membuatkan saya tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya terhadap pelajar. Sewaktu berhenti kerja saya berniat agar perniagaan ini dapat membantu kos sara hidup keluarga seterusnya membantu insan-insan lain yang mahu berjaya. Syukur, Allah SWT memberikan yang terbaik buat saya. Dia adalah sebaik-baik Perancang.
Saya berniaga ketika itu bukan mahu untung semata-mata sebaliknya teruja untuk berkongsi ilmu bersama stokis dan agen. Merekalah model perniagaan utama Charms yang memiliki perjuangan dan matlamat sama seperti saya. Maka, ilmu-ilmu yang dimiliki semasa bergelar pensyarah saya gunakan sebaiknya dalam perniagaan.
PERMULAAN
Sepanjang 8 tahun, Charms lebih memfokuskan kepada membina tapak dalam perniagaan iaitu dari segi organisasi dan jenama. Nasihat mentor saya jika mahu ‘terbang’ tinggi, jauh dan lama kepak mesti kuat. Maksudnya asas mesti kukuh. Sebab itulah saya merasakan belum terbang tinggi kerana masih lagi berusaha untuk membina tapak.
Sebelum berada di tahap sekarang Charms melalui pelbagai cabaran seperti dari segi modal, pengurusan staf dan team, penjenamaan, persaingan, product cycle, perubahan trend dan permintaan pelanggan. Untuk agen pula cabaran untuk mengekalkan bilangan (kesetiaan) dan momentum. Pada peringkat awal saya berniaga tanpa ilmu dan mentor. Ketika itu online trend termasuk kelas-kelas motivasi, coaching dan sebagainya belum ada.
Lama kelamaan saya mula belajar bagaimana cara menguruskan kewangan dan stok. Saya juga belajar bagaimana cara membuat pelaburan yang bijak kerana pernah kerugian hampir sejuta ringgit. Bermula tahun 2016 saya mula fokus kepada mentoring antaranya bersama Datuk Wira Dr Azizan Osman, Sifu Jamal, Ibu Hanim dan ramai lagi.
Saya seorang yang konsisten dan tidak mudah putus asa. Saya berpegang kepada prinsip, buat sesuatu dengan terbaik sampai jadi. Selain itu, saya sentiasa bersedia dan peka dengan keadaan semasa. Harus tahu bagaimana untuk mengubah strategi perniagaan dan sebagainya.
Saya juga seorang yang sukakan cabaran dan melihat kejayaan orang lain. Suami sering berpesan, apa jua yang dikerjakan perlu ada rasa cinta. Jadikan perniagaan ini sebagai platform untuk mencari bahagia. Ini kerana perniagaan adalah gaya hidup serta ‘nyawa’ dalam kehidupan kami. Sebelum ini suami juga pernah bekerja namun setelah berhenti beliau membantu saya menguruskan peniagaan di bahagian pengurusan operasi dan kewangan. Saya pula di bahagian jualan dan pemasaran.
CABARAN PANDEMIK COVID-19 Demi kelangsungan perniagaan, saya tingkatkan usaha dari segi latihan dan pembangunan insan bersama agen dan stokis. Semuanya sudah bersedia dengan ilmu perniagaan masing-masing. Itulah yang menentukan tahap pendapatan mereka. Kami juga kukuhkan strategi dari segi online termasuk butik fizikal.
Maka, agen dan stokis dapat membuat penghantaran produk melalui Cash on Delivery (COD). Alhamdulillah, kebetulan stok kami semuanya sudah tersedia dan ‘laku keras’. Walaupun impak COVID-19 lebih kepada offline (butik fizikal) namun kami mencari alternatif lain melalui penghantaran online. Maka kami perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam perniagaan termasuk dari segi pembangunan networking dan internet. Masing-masing perlu bersedia dengan ilmu teknologi internet.
GANJARAN
Bahagia ini bila kita dapat membahagiakan kedua ibu bapa contohnya berpeluang menghantar mereka mengerjakan umrah. Berpeluang memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak juga satu kebahagiaan dan ini salah satu cara bagaimana saya reward diri sendiri. Saya akan rasa lebih bahagia apabila dapat memberi kepada insan-insan di sekeliling saya. Bila mereka bahagia, saya akan rasa lebih bahagia.
Saya juga berimpian untuk mewujudkan satu taman perumahan atas nama sendiri. Niat saya agar ia dapat memberi manfaat buat masyarakat. Nasihat saya, apabila buat sesuatu haruslah dengan jiwa dan rasa cinta kerana risiko untuk mudah putus asa adalah rendah. Bila kita buat sesuatu yang disukai kita mampu untuk kekal dalam industri. Pada masa sama dapat mencari kehidupan kita yang sebenar. Apa pun segalanya berbalik kepada niat,” akhiri Syira.
Kredit Foto: Instagram @syira_charms
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Syafiqa Melvin uruskan 2 bayi serentak selepas bersalin namun tetap kuat turun padang berniaga. Kisah inspirasi ibu, isteri dan usahawan wanita yang tidak berhenti berjuang membina empayar bisnes sendiri.