
Cemburu tandanya sayang. Cemburu merupakan satu sifat di mana seseorang itu takut kehilangan sesuatu yang amat disayangi. Tetapi cemburu itu perlu ada batasnya, kalau tak dibendung pasti akan mengundang padah. Cemburu antara suami isteri menandakan bukti cinta yang mendalam terhadap pasangan.
Menurut kajian, individu yang cemburu ialah seorang yang sangat posesif iaitu terlalu mengongkong, sering berasa was-was atau syak wasangka terhadap pasangannya, tidak percaya dan terlalu sensitif. Cemburu terbahagi kepada tiga. Normal iaitu cemburu dalam hubungan suami isteri, Neurotik iaitu cemburu berlebihan tetapi masih boleh dikawal dan Psikotik iaitu cemburu keterlaluan akibat perkara yang remeh.
Ikuti 5 langkah ini bagi mengatasi perasaan cemburu:
- KENAL PASTI PUNCA
Nilaikan sama ada ia berbaloi untuk dicemburukan. Berbincang dengan pasangan dan luahkan perasaan kepadanya. Perasaan cemburu amat penting dalam perhubungan tetapi kalau tak dikawal dengan baik, ia akan menyebabkan hubungan boleh terputus.
- PANDANGAN SUDUT BERBEZA
Cuba tempatkan diri anda di kedudukan pasangan. Anda tak boleh hanya melihat sesuatu situasi dari pandangan pihak diri sendiri sahaja. Minta pandangan orang terdekat agar anda dapat membuat keputusan sewajarnya.
- FOKUS
Fokus terhadap fakta. Bukan pada andaian dan terlalu mengikut emosi. Elak andaian negatif serta buat sedikit kajian mengenai masalah yang timbul. Fakta dapat membantu menyelesaikan masalah anda. Bertenang dan fikirkan sama ada situasi itu benar-benar berlaku atau hanya imaginasi anda sahaja.
- BERBINCANG
Cara ini paling berkesan bagi mengatasi masalah cemburu terhadap pasangan. Bincangkan dan nyatakan apa yang membuatkan anda cemburu agar pasangan lebih faham dan dapat menyelesaikannya bersama.
- PERCAYA DAN BERFIKIRAN POSITIF
Sentiasa berfikiran positif dan percaya sepenuhnya terhadap pasangan kerana masalah cemburu sering terjadi akibat tak percaya kepada pasangan lantas menyebabkan seseorang itu mudah berpersepsi negatif.
Tengku Ampuan Pahang Ke-6, Tunku Azizah Aminah Maimunah Berjiwa Rakyat

Berikutan pengumuman pelantikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam baru-baru ini, nama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, DK., SSAP., SIMP., DK.(Johor)., SPMJ., PKC., PKT., PJK., kembali bermain di bibir rakyat jelata. Memiliki seraut wajah yang manis kewibawaan Sultanah berjiwa rakyat ini tidak boleh dipertikaikan.
Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang, pada istiadat khas yang akan diadakan di Istana Abu Bakar pada 29 Januari ini. Pemasyhuran ini bakal berlangsung selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Dalam majlis yang sama Sultan Pahang turut berkenan melantik putera sulungnya, Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.
Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terkenal dengan sikap ramah apabila berada bersama rakyat jelata. Baginda telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor.
Pendidikan awal Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah pada bulan Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri:-
- Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.
- Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.
- Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
- Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
- Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
- Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
Kegemaran Tengku Puan Pahang pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan. Sebuah buku masakan hasil daripada Baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.
*Sumber: http://www.dirajapahang.my
ACHA SEPTRIASA Kongsi Khabar Gembira. Hamil Anak Kedua

Nampaknya keluarga kecil Acha Septriasa dan Vicky Kharisma bakal bertambah bilangan ahlinya apabila Acha Septriasa mengumumkan dirinya kini sedang berbadan dua!
Khabar gembira iti dikongsi oleh pelakon yang kini menetap di Australia melalui Instagram miliknya.
” Ada manisnya tersendiri bisa ikut mencipta.. mengukir nama, membesarkan hidup, dan mencipta kenangan bersama.. terharu dan bersyukur atas kesempatan kedua menjadi Orangtua, Bridgia sebentar lagi akan menjadi Kakak,” tulis Acha Septriasa.


Tular di media sosial baru-baru ini sebuah perkongsian yang memaparkan aktor Farid Kamil dan pelakon Indonesia, Acha Septriasa bakal bergandingan dalam sebuah filem.
Menerusi perkongsian di Twitter, filem itu berkisar mengenai perjuangan seorang ahli politik yang jugak merupakan Perdana Menteri Malaysia ke 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Acha Septriasa bakal melakonkan watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Difahamkan filem terbitan syarikat produksi Indonesia itu masih dalam proses akhir penggambaran dan dijangka menemui penonton pada tahun depan.
Acha Septriasa memutuskan ikut pindah ke Australia mengikuti suaminya yang bekerja di sana. Ternyata kebahagiaan jelas terpancar di wajahnya saat memuat naik beberapa keping foto yang menunjukkan dirinya sedang mengusap perutnya.
Meskipun tiada informasi lengkap mengenai usia kandungan Acha, rata-rata warganet mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada selebriti yang nama sebenarnya, Jelita Septriasa. Semoga proses kehamilan kali ini berjalan dengan lancar buat pelakon berusia 33 tahun itu.
20 Rahsia Selesaikan Masalah SEMPIT REZEKI. No. 17 Tu PALING MUSTAJAB Sebagai Magnet Kekayaan

Rezeki kita, Allah yang pegang. Minta dengan Dia dulu…
Dalam kehidupan ini, ramai di antara kita yang diuji dengan masalah kewangan atau kesuntukan duit yang menyesakkan dada.
Adakalanya hati dijentik cemburu. Terlihat kelebihan orang lain yang lebih murah rezekinya daripada kita. Mungkin saja dia bertuah dilahirkan dalam keluarga berada atau berkerjaya hebat.
Berkali-kali Nona katakan, jalan hidup kita ini telah diatur secantik-cantiknya oleh Tuhan. Tiap satunya yang terjadi ada hikmah untuk dipelajari.
Bagi yang selalu merasai kesempitan rezeki, cuba amalkan ikhtiar ini untuk buka pintu-pintu rezeki. Mana tahu dengan keikhlasan dan kepercayaan, insyaAllah diperkenankan-Nya?
(1) Beribadah
Allah tidak mempersia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
(2) Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi SAW:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
(3) Menjauhi Dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Nabi SAW:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
(4) Mengingati Allah
Mengingati Allah membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
(5) Berbakti Dan Mendoakan Ibu Bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
(6) Berbuat Baik Dan Menolong Orang Yang Lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi SAW:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
(7) Tunaikan Hajat Orang Lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi SAW:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
(8) Berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
(9) Amal Kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
(10) Seawal Pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
(11) Mengeratkan Silaturrahim
Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
(12) Melazimi Kekal Berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda SAW bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
(13) Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
(14) Melazimi Solat Malam (Tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
(15) Melazimi Solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
(16) Bersyukur Kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
(17) Zikir Dan Bacaan Ayat Quran Tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan fahaman tentang agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.
(18) Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
(19) Berikhtiar
Siapa berusaha, dia akan berjaya. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
(20) Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Nabi SAW bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)
Dengan takwa, Allah akan beri “Jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Norzalina Mohd Alias
Sumber: JAIS