
Masalah berat badan yang berlebihan sering kali menjadi igauan mimpi buat setiap wanita. Namun, masalah berat yang kurang atau kurus juga mampu membuatkan wanita di luar sana runsing untuk bergaya. Mereka khuatir jika fesyen yang dipilih akan membuatkan penampilan mereka kelihatan lebih kurus sekali gus mengurangkan keyakinan mereka untuk berhadapan dengan orang ramai. Oleh itu, jom Nona kongsikan tip fesyen buat wanita kurus untuk kelihatan lebih berisi dan bergaya!
- HINDARI PAKAIAN KETAT
Untuk wanita yang memiliki tubuh kurus, hindari pakaian yang terlalu ketat. Hal ini akan membuat anda kelihatan semakin kurus. Jangan pula menggunakan pakaian yang tidak memiliki motif atau polos kerana akan memberikan kesan yang lebih kurus buat penampilan. Pilih pakaian yang memiliki volume agar anda lebih yakin untuk menonjolkan diri di depan khalayak.
- BAJU BERMOTIF
Untuk memberi kesan lebih berisi, gunakan baju yang bermotif garis horizontal. Garis horizontal akan memberikan kesan dada yang lebih lebar. Anda juga boleh menggunakan baju yang bermotif tribal, atau motif-motif masa kini agar anda tampil lebih stailo dan trendy.
- ELAK MEMAKAI BAJU BERKOLAR V
Kolar baju yang berbentuk V hanya akan memperlihatkan leher dan tulang di sekitar leher anda kelihatan semakin kurus. Pilih pakaian atau baju dengan kolar yang berbentuk oval untuk menyamarkan tulang di sekitar leher.
- PILIH WARNA CERAH
Pakaian dengan warna cerah akan membuatkan anda terlihat lebih berisi. Jangan pilih baju berwarna gelap kerana akan memberi kesan lebih langsing. Warna merah jambu, pastel, kuning, dan biru boleh menjadi pilihan anda dalam berbusana.
- ELAK PAKAI SELUAR BERBENTUK PENSIL
Fesyen untuk wanita kurus bertubuh kurus tidak disarankan menggunakan seluar ketat berbentuk pensil kerana akan membuat kaki anda tampak lebih kurus. Untuk kesan terbaik, pilih seluar yang lebih bervolume seperti seluar model aladdin, seluar ala timur tengah, atau anda juga boleh memilih skirt rimple agar kelihatan lebih berisi.
Bulan Madu Di Paris, Ini Himpunan Gaun Jennifer Lopez Untuk Kelihatan Elegan & Lebih Muda!

Berita perkahwinan Ben Affleck dan Jennifer Lopez di Las Vegas pada Sabtu (16/7), seakan baru semalam dilangsungkan. Kini pasangan pengantin baru itu dikatakan sedang memadu asmara dan menghabiskan percutian bulan madu mereka di Paris, Perancis.
Tambah istimewa kerana diraikan bersama hari lahir ke-53 Jennifer Lopez yang jatuh pada 24 Julai lalu. Bahagia dan secocok bersama, pasangan yang digelar ‘Bennifer’ ini sering dilihat berpegangan tangan sambil menatap mesra saat berlibur di sana.
“We did it. Love is beautiful. Love is kind. And it turns out love is patient. Twenty years patient.” Jennifer Lopez
Meskipun ia bukanlah perkahwinan pertama buat kedua-dua selebriti ini, namun hubungan yang terjalin sejak bertahun-tahun lamanya menjadikan hidup mereka kini sempurna. Pasangan Bennifer pernah bercinta dan bertunang pada tahun 2002, namun sayangnya tali pertunangan itu terlerai sekitar tahun 2004.
20 tahun kemudian, mereka akhirnya bersatu pada usia Ben Affleck mencecah 49 tahun dan Jennifer Lopez, 53 tahun!
Momen istimewa tersebut bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah gaya busana Jennifer Lopez sepanjang menikmati saat romantis ini turut diperkatakan. Wanita Latin yang popular dengan lagu ‘If You Had My Love’ itu memilih beberapa gaun feminin saat menghabiskan masa di sisi suami tercinta.
Jom semak inspirasi gaun Jennifer Lopez sepanjang honeymoon ini!
BERSIAR DI SUNGAI SEINE
Pasangan ini menghabiskan masa belayar dan menikmati keindahan Sungai Seine yang popular. Penampilan Jennifer Lopez dalam gaun korset bercorak flora, beg tangan Gucci dan sepatu rona coklat menyempurnakan suasana. Jangan lupa kenakan kaca mata hitam Aviator untuk tampak chic!
GAUN OSCAR DE LA RENTA UNTUK ACARA BELI-BELAH
Salah satu gaun paling menonjol yang dikenakan Jennifer Lopez di Paris adalah sehelai gaun rekaan Oscar de la Renta. Manis dengan corak bunga besar, wanita ini bijak memadukannya dengan tali pinggang kecil, sandal dan tas jingga Hermes Birkin. Ringkas tapi sangat stylish!
GAUN LABUH UNTUK MAKAN MALAM
Menikmati acara makan malam romantis di Paris, Jennifer Lopez memilih balutan gaun labuh bermotif bunga yang elegan. Gaun dengan perincian lengan belon itu tambah sempurna dengan paduan aksesori dan beg tangan emas nan mewah.
SAMBUTAN HARI JADI
Sempena hari lahirnya yang ke-53, Jennifer Lopez mengenakan sepasang busana gaun halter rona merah jambu untuk acara di sekitar The Louvre Museum. Untuk menyerlahkan keindahan gaun tersebut, aksesori minimal dikenakan termasuk tas kecil dan sepatu rona nude.
Ada Syarat Berfesyen, 10 Kriteria Fesyen Yang Wajib Di Ketahui Oleh Kerabat Diraja Britain

Penampilan kerabat diraja Britain sering menjadi tumpuan samada di majlis formal mahupun tidak formal. Lihat sahaja gaya trendy Duchess of Cambridge, Kate Middleton, dan Duchess of Sussex Meghan Markle, pasti ramai yang ingin bergaya seperti mereka.
Tidak kiralah samada dari segi personaliti, karakter dan gaya fesyen yang digayakan.
Sebagai sebahagian daripada keluarga diraja adalah satu keistimewaan yang luar biasa, tetapi ia datang dengan banyak tradisi dan peraturan yang harus dipatuhi, tidak boleh melakukan perkara sesuka hati.
Setiap perlakuan ada yang mempengaruhi bahkan pilihan fesyen mereka juga. Ketahui antara protokol berfesyen yang harus mereka patuhi!
Nampak remeh dan ada di antaranya bagaikan ketinggalan zaman, tetapi setiap peraturan yang telah ditetapkan mempunyai maksud tersendiri yang ada betulnya. Jom kita lihat antara 10 peraturan asas yang perlu dipatuhi:
1. FUNGSI MEMBAWA BEG KEPIT
Helah beg kepit sebenarnya bertujuan menutupi cleavage. Bunyi macam kelakar, tapi itulah yang diterangkan oleh pereka fesyen Anya Hindmarch. Pereka beg tangan Puteri Diana, Anya Hindmarch, sendiri memanggil rekaan khas Puteri Diana itu sebagai “cleavage bags”, berfungsi untuk melindungi dadanya dari jurugambar apatah lagi tatkala melangkah keluar dari kenderaan.
2.BUSANA PERKAHWINAN
Pemilihan busana pengantin memerlukan persetujuan Ratu Elizabeth. Ia adalah tradisi yang Ratu perlu luluskan sebelum ditetapkan. Masih ingatkah gaun pengantin yang digayakan oleh mendiang Puteri Diana pada majlis perkahwinannya dahulu? Untuk majlis perkahwinannya kepada Putera Charles pada 29 Julai 1981, Lady Diana mengenakan gaun yang mengagumkan dengan rekaan lengan beropol, ribuan mutiara dan mantel labuh lebih dari tujuh meter panjang yang direka oleh David dan Elizabeth Emanuel. Ratu Elizabeth memberi green light kepada Kate Middleton dalam mengenakan gaun Alexander McQueen pada tahun 2011. Kate Middleton berkahwin dengan Prince William dalam pakaian Alexander McQueen yang direka oleh Sarah Burton. Gaun satin berenda ringkas itu telah mendapat pujian dari pengkritik fesyen untuk reka bentuknya yang menggabungkan elemen tradisi dan kemodenan. Ratu Elizabeth turut memberi persetujuan terhadap gaun yang dipakai Meghan Markle pada hari perkahwinannya dengan Putera Harry.
3. LARANGAN MEWARNAKAN KUKU
Kuku berwarna tidak dibenarkan sama sekali. Setiap kali anda melihat Ratu Elizabeth atau Kate Middleton, anda mungkin dapat melihat warna kuku mereka sentiasa neutral, merah jambu atau nude sahaja.Namun begitu, Meghan Markle mencetuskan kemarahan ibu mertua tirinya, Camilla Parker-Bowles semasa menghadiri Anugerah Pertunjukan Fesyen. Camilla dikhabarkan tidak senang dengan perbuatan Meghan yang melanggar pantang larang diraja denagn menggunakan pewarna kuku hitam.
4. RONA PAKAIAN
Ratu Elizabeth hanya memakai pakaian yang terang-terang sahaja. Bukan sahaja Ratu Elizabeth bahkan Kate Middleton juga mengikuti protokol tersebut juga. Alasannya ialah mereka mahu menonjol dari orang ramai. Dalam sebuah dokumentari The Queen at 90, Sophie, Countess of Wessex menerangkan bahawa ratu perlu menonjol agar orang ramai dapat melihatnya biarpun dari jauh.
5. BEG TANGAN
Tahukah anda, Ratu Elizabeth menggunakan beg tangannya untuk menghantar mesej rahsia? Anda mungkin mendapati bahawa Ratu tidak pernah keluar tanpa beg tangan, dan itu kerana dia menggunakannya untuk menghantar isyarat. Sebagai contoh, apabila dia mahu meninggalkan majlis makan malam, dia hanya meletakkan begnya di atas meja membolehkan pembantunya mengetahui bahawa majlis akan berakhir dan dia ingin meninggalkan majlis.
6. SELUAR PENDEK
Putera George hanya memakai seluar pendek. Dilaporkan, pemakaian seluar pendek oleh keluarga diraja, aristokrat dan golongan atasan yang masih kecil dan muda adalah satu tradisi turun temurun di kalangan mereka. Secara tradisi dengan peraturan yang ditetapkan, seorang budak lelaki golongan bangsawan akan terus memakai seluar pendek sehingga umurnya mencapai 8 tahun.
7. BUSANA HITAM
Keluarga diraja dikehendaki membawa persalinan hitam setiap kali keluar negara. Dengan cara ini, apabila mereka tiba semula di United Kingdom, mereka terus mengenakan pakaian sewajarnya jika berlakunya kes kematian. Terdahulu, Ratu Elizabeth berada di Kenya ketika bapanya meninggal dunia pada tahun 1952. Kerana tidak membawa sebarang pakaian hitam, akibatnya dia terpaksa menunggu di dalam pesawat (diberikan sepersalinan hitam) sebelum melangkah keluar.
8. LARANGAN MENGENAKAN KASUT BAJI (WEDGES)
Anda mungkin pernah melihat foto Kate Middelton sedang bermain bola tampar memakai kasut wedges tetapi awas jika Ratu Elizabeth berada di situ! Antara peraturan berfesyen di istana, golongan wanita dilarang memakai kasut jenis itu terutamanya dengan kehadiran Ratu Elizabeth. Meghan juga pernah dilihat mengenakan wedges ketika sedang sarat hamil dan menghadiri majlis tanpa kehadiran Ratu Elizabeth.
9. SOLEKAN NIPIS, GAYA RAMBUT RINGKAS JADI PILIHAN
Wanita golongan diraja tidak dibenarkan berhias berlebih-lebihan, sebaliknya hanya tampil di khalayak ramai dengan mengenakan solekan tipis dan gaya rambut yang ringkas dan kemas.
10.PEMAKAIAN SELUAR
Ratu Elizabeth lebih gemar memakai skirt atau gaun berbanding seluar dan peraturan itu juga perlu diikuti kerabat yang lain. Bagaimanapun mendiang Puteri Diana dan Meghan Markle beberapa kali dilihat melanggar peraturan ini ketika menghadiri majlis rasmi.
Mahu Tampil Stylish & Trendy Meski Bertudung, Cuba 7 Gaya Terbaik Ini

Sekarang ini ramai wanita bertudung yang tampil trendy mengikut trend fesyen semasa. Namun begitu, meski bertudung penampilan haruslah dijaga agar tidak keterlaluan sekaligus memberi impak positif buat seorang wanita Muslimah. Boleh cuba 7 gaya fesyen ini khas buat anda yang bertudung:-
TUBUH TINGGI
Bagi Wanita yang mempunyai tubuh yang tinggi, anda cukup beruntung kerana memiliki tubuh yang menjadi idaman setiap wanita diluar sana. Anda sesuai memakai pelbagai jenis busana Muslimah dari jubah, tunik hingga ke paduan blaus dengan skirt atau seluar panjang.
Malah, anda juga sesuai bermain dengan fesyen yang lebih berani seperti permainan rona busana, potongan busana dan sebagainya. Untuk menaikkan seri penampilan anda, anda boleh memakai aksesori seperti rantai atau gelang supaya penampilan anda kelihatan lebih cantik dan lebih manis. Namun harus diingatkan, jangan memakai aksesori berlebihan hingga boleh menenggelamkan penampilan anda.
TUBUH KECIL
Wanita Muslimah yang bertubuh kecil seeloknya elakkan diri daripada memakai jubah yang terlalu besar dari saiz anda. Ia hanya akan menampakkan tubuh anda kelihatan janggal dan seakan tenggelam. Untuk kesan terbaik, anda boleh memakai blaus yang panjang atau tunik labuh paras lutut dan dipadankan dengan seluar jenis straight cut.
Anda juga boleh memilih rona terang sebagai pilihan agar anda kelihatan lebih berisi. Dari segi pemilihan tudung, anda digalakkan untuk memilih tudung atau selendang dengan warna yang senada agar penampilan anda kelihatan cantik dan sopan.
TUBUH BERISI
Rata-rata wanita berisi rungsing untuk memilih pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka. Untuk tubuh berisi, pilih blaus dan seluar jenis wide leg. Dengan blaus muslimah ini anda akan kelihatan lebih langsing. Untuk memberi kesan langsing yang paling berkesan, pilihlah warna gelap untuk menghasilkan ilusi dan menyamarkan bentuk tubuh anda.
Pilih tudung atau selendang yang tidak berlapis untuk menghindari efek penuh pada penampilan anda. Anda juga boleh memilih corak yang ringkas seperti garis-garis lurus atau corak abstrak yang berbentuk kecil supaya anda kelihatan langsing dan tidak berisi.
PEMILIHAN RONA
Pemilihan rona juga amat penting buat wanita berhijab. Tentu sekali anda tidak akan pernah salah apabila memilih rona hitam sebagai pilihan. Ia bukan sahaja menjadikan tubuh anda kelihatan langsing, malah warna hitam juga membuatkan penampilan anda kelihatan elegan dan eksklusif.
Sekiranya anda tidak menggemari rona hitam dan menganggapnya ia sebagai rona yang membosankan, anda boleh memilih rona-ronna pastel seperti dusty pink, lilac, hijau muda, ungu lembut, mint green dan banyak lagi. Rona-rona ini mampu memberi sisi kelembutan dan feminin yang tiada tara buat penampilan anda. Elakkan memilih rona terlalu terang atau neon untuk dijadikan pilihan.
BUSANA LONGGAR
Siapa kata busana longgar tidak bergaya? Anda boleh bergaya dengan koleksi busana Muslimah seperti kaftan yang kini banyak tersedia dalam rekaan longgar dan trendy. Ia terdapat dalam pelbagai bentuk potongan dan juga dalam motif yang cukup menarik. Selain tampil lebih trendy, busana jenis ini pastinya memberi keselesaan optimum buat si pemakai.
Bukan itu sahaja, malah ia memudahkan pergerakan anda untuk melakukan aktiviti seharian. Koleksi busana seperti ini bukan sahaja sesuai untuk digayakan bersama seluar, malah cukup menarik untuk dipadankan bersama skirt labuh.
MENUTUPI BAHAGIAN PINGGUL
Ramai wanita yang terlepas pandang mengenai hal ini. Pakaian yang menutupi bahagian pinggul juga perlu dititikberatkan buat seseorang Muslimah. Kini terdapat banyak koleksi pakaian muslimah moden yang mempunyai rekaan menutupi bahagian pinggul wanita.
Penting untuk wanita berhijab memakai pakaian yang tidak memperlihatkan bahagian pinggul terutama sekali jika potongan seluar yang dipakai adalah ketat.Sebaiknya jika seluar yang digayakan sedikit ketat, anda dinasihatkan untuk memakai baju yang lebih panjang melebihi paras punggung dan peha. Sebagai contoh, anda boleh memilih kemeja oversized berona putih untuk dijadikan pilihan.
MEMAKAI OUTERWEAR
Memakai outerwear boleh memberi impak yang lebih trendy buat penampilan anda. Jika anda ingin tampil kasual bersama padanan jeans dan t-shirt kegemaran anda, ‘always remember to put yourself an outerwear’. Selain memberi gaya stylish, pemakaian outerwear juga mampu menutupi bentuk tubuh anda daripada terlihat terus.
Jenis-jenis outerwear yang boleh anda gayakan adalah seperti kardigan, blazer, kimono top, dan sweater. Pemilihan fabrik outerwear juga haruslah bersesuaian dengan aktiviti yang anda lakukan. Apa yang paling penting, bergayalah mengikut kesesuaian gaya dan personaliti anda!