
Penggunaan warna dapat mengubah suasana sesebuah ruang. Pemilihan warna yang tepat mampu menjadikannya lebih cantik dan selesa. Begitu jugalah yang berlaku pada kabinet dapur jika kita bijak memilih warna yang sesuai.
Terdapat beberapa warna yang seringkali menjadi pilihan dan popular untuk mengindahkan interior dapur. Anda boleh menjadikan tip yang dikongsikan ini bagi mendapatkan inspirasi pada kabinet dapur anda.
PUTIH
Putih merupakan warna yang paling popular untuk dekorasi interior kabinet dapur kerana ia bersifat neutral yang mudah serasi dengan berbagai gaya rekaan serta dekorasi ruang. Warna putih juga memiliki karakter lembut yang boleh menjadikan suasana dapur lebih tenang. Anda boleh memadukan warna putih dengan lantai kayu.

BIRU
Terdapat banyak pilihan tona biru yang boleh diterapkan pada kabinet dapur. Salah satunya ialah biru klasik lembut yang memberi kesan santai pada dekorasi dapur.

KELABU
Selain putih, warna kelabu juga dianggap sebagai salah satu pilihan warna popular yang cukup neutral untuk dekorasi dapur. Anda boleh memilih tona warna kelabu untuk dapur di rumah mengikut kesesuaian gaya rekaan yang diterapkan.

BEIGE
Lembut, kelam serta klasik merupakan karakter yang ditampilkan dari warna beige. Penggunaan warna ini menjadikan ruang dapur kelihatan lebih tenang serta klasik. Warna beige turut memberikan kesan elegan pada interior dapur.

MERAH
Bukan hanya warna neutral atau yang mempunyai tona lembut, warna-warna bold adalah warna yang cukup popular untuk kabiner dapur. Warna merah yang melambangkan keberanian dan ‘ghairah’ ini menjadikan suasana dapur lebih hidup. Warna merah dapat menjadikan lebih bersemangat untuk memasak di dapur!


KUNING
Kuning termasuk dalam kategori warna yang sangat menonjol. Penggunaan warna kuning pada kabinet dapur selain memberi kesan ceria, ia turut menjadikan kabinet dapur sebagai titik fokus dari dekorasi dapur. Penggunaan warna kuning pada kabinet dapur menjadikan suasana dapur lebih selesa dan tenang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saham Ustaz Muda Naik, Ramai Yang Mahu Cari Seperti USTAZ ADAM!

Cetusan drama Nur menjadi kegilaan ramai anak dara untuk mencari calon-calon ustaz muda. Bukan sekadar paras rupa yang tampan dan segak tetapi keikhlasan hati serta budi pekerti tinggi telah menjadi idaman untuk setiap wanita mencari bakal suami. Selesai terawih mata mula berkeliaran, manalah tahu ada Imam Muda di masjid yang boleh dijadikan calon terbaik.
Menjadi seorang ustaz adalah tugas yang mulia, sekali gus memiliki tanggung jawab yang maha berat sepertinya seorang pemimpin. Harus menjadi contoh teladan yang baik pada diri, keluarga dan umat manusia lain.
Menjadi ustaz yang baik bererti bagus secara relatif di hadapan umat manusia. Sementara benar bererti bagus secara menyeluruh di mata Allah SWT bermaksud, benar-benar menjalankan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang. Baik dan benar, dua perkara inilah yang menjadi kriteria penting dalam menjaga keseimbangan yang harus dipenuhi oleh seorang ustaz.

Ustaz yang baik dan benar seharusnya tidak berlaku kasar, tidak berbicara dengan nada yang tinggi, tidak mudah mengherdik atau memarahi orang lain yang berbuat kesalahan. Justeru sebaliknya, ketika beliau melihat ketidakbenaran, beliau memberikan nasihat yang baik. Sikap yang kasar, tidak sopan dan tidak simpati hanya akan menjauhkan seorang ustaz dari jemaahnya. Perlu sentiasa menjadi manusia yang pemaaf dan memberi peluang kepada manusia lain tanpa mempunyai perasaan buruk sangka.
Menjadi ustaz juga menuntut anda untuk menjadi bijaksana, bekerja untuk dapatkan rezeki dan membantu untuk memperoleh sumbangan dan sebagainya dalam usaha membangunkan masjid atau kerja-kerja amal yang lain. Seorang ustaz yang baik dan benar seharusnya sudah melakukan ajaran-ajaran agama dengan baik dan benar, khusyuk selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun mendalami ilmu agama sebelum ia menyampaikannya kepada jemaah. Dengan ilmu agama yang tinggi, tidak sesekali sombong diri dan kecenderungan untuk tinggi hatinya serta memalingkan muka dengan sifat kurang disenangi.

Ustaz yang baik dan benar selayaknya tidak pernah mengutuk, menyebut kata “kafir” dan sebagainya kepada orang-orang Non-Muslim. Kita disuruh untuk menghormati dan melindungi orang-orang yang belum seiman dengan kita. Harapannya adalah agar mereka sempat mendengar firman Allah, mendapatkan petunjuk, dan kembali kepada jalan yang benar. Jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepada mu, maka lindungilah ia supaya ia berada dalam suasana yang aman dan di jalan yang benar.
Ustaz yang baik dan benar semestinya selalu berusaha untuk menyatukan semua umat tanpa membeza-bezakan antara kelas sosial, latar belakang, atau golongan antara satu dengan yang lain. Menyeru agar semua sentiasa sujud pada Allah yang Satu. Perlu menyampai ilmu dan mampu bersabar dalam menghadapi ujian dakwah serta melakukan upaya yang terbaik dalam berdakwah kepada Allah meskipun ditimpa beragam ujian dan dilanda kelelahan. Seorang ustaz hendaknya tidak bersikap lemah terhadap ujian yang menimpanya dan juga perkataan yang didengarnya. Kewajipannya adalah bersabar terhadap itu semua.
Walaupun sebenarnya, inilah antara faktor-faktor yang di cari untuk dijadikan calon suami, bukan hanya kerana status seorang ustaz. Inilah sifat lelaki Islam yang sesungguhnya, penuh dengan kebaikan, kelembutan dan kesabaran, walaupun kebanyakan manusia lupa akan kandungan al-Quran sehingga dibutakan mata hati dan fikirannya karena sifat keduniawiannya lebih tinggi dari sifat kerohaniannya. Semoga anda diketemukan dengan yang baik-baik dan mendapat rahmat dari Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengurus Jenazah Menangis Ikat Tali Kafan, Tengok Wajah Allahyarham Dato’ Ismail Kamus Macam Orang Tidur!

Tanggal 15 Ramadan 1441H bersamaan hari Jumaat, 8 Mei 2020, negara kita kehilangan seorang lagi pendakwah terkenal, Tuan Guru Dato’ Haji Ismail Bin Haji Kamus.
Mendapat perkhabaran Dato’ Ustaz Ismail Kamus telah meninggal dunia tengah malam tadi. Kali terakhir bertemu, beliau sudah uzur, butiran dari mulutnya sudah tidak berapa jelas.
Namun beliau tetap hadir menyampaikan kuliah, memberi nasihat dan menyampaikan ilmu di atas kerusi rodanya. Allahu Akbar!

Allahyarham disahkan kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 pagi di kediamannya di Ampang pada usia 72 tahun.
Beliau yang juga Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.
Duka cita dimaklumkan. Tuan Guru Ustaz Dato Ismail Kamus telah meninggal dunia sebentar tadi. Al Fatihah.
Posted by Ustaz Dato Ismail Kamus on Thursday, May 7, 2020


Berkongsi pengalaman sebagai orang terakhir yang menguruskan jenazah di Masjid As-Sobirin, Keramat AU5 jam 9 pagi tadi, Ustaz Rafie Zainal mengaku sukar menahan sebak sepanjang upacara memandikan dan mengafankan Allahyarham.
“Hari ini cuaca mendung sahaja dari pagi tadi. Kami tiba di Masjid As-Sobirin pada pukul 8.45 pagi dan selang beberapa minit jenazah Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus pun tiba dari kediamannya.
Alhamdulillah, saya rasa cukup bertuah kerana di hari Jumaat tanggal 15 Ramadan yang mulia ini saya diberi peluang untuk mengetuai pengurusan jenazah Tuan Guru.
Jenazahnya cukup lembut dan mudah diuruskan. Wajahnya tenang bagaikan sedang tidur. Anak-anak serta cucu-cucu arwah juga turut hadir membantu memandikan jenazahnya.
Saya bersama Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Muhamad Zaid dan Mohd Nasir turut dibantu oleh ahli jawatankuasa Masjid As-Sobirin yang diketuai oleh Tuan Haji Mohamad (gambar) yang merupakan pengurus jenazah di masjid tersebut. Beliau sempat berkongsi pengalamannya bersama kami.

Suasana di bilik mandi jenazah cukup menghibakan. Terdengar esak tangis di setiap ruang bilik mandi tersebut.
Setelah semua ahli keluarga dan sahabat terdekat diberi peluang menatap wajah jenazah dan menciumnya buat kali terakhir, saya mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang terakhir menciumnya sebelum menutup wajah arwah.
Saat menutup wajah arwah, perasaan sebak sukar untuk dikawal. Saya menangis dan tidak dapat mengikat tali kafan di bahagian kepala arwah.
Ketika itu semua yang hadir mengalirkan air mata. Suasana bagaikan terhenti seketika.
Alhamdulillah, Haji Mohamad datang membantu saya untuk mengikat tali kafan di kepala arwah.
Perasaan sebegini jarang saya alami pada setiap kali menguruskan jenazah. Mungkin kerana saya membesar dengan mendengar tazkirah dan ceramah arwah terutamanya dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam suatu ketika dahulu.
Maka hati dan perasaan itu terasa begitu dekat dengannya walaupun sepanjang hayatnya saya pernah berhadapan dengan arwah hanya sekali sahaja itupun dalam sebuah majlis ceramah di masjid. Jasa beliau dalam dunia dakwah di dalam dan di luar negara cukup besar.
Alhamdulillah, saya bersyukur dan rasa sungguh bertuah kerana diberi amanah untuk menguruskan jenazah yang mulia ini.

Terima kasih kepada Dato’ Tuan Asmawi Voiceover selaku Penasihat Media & Korporat SPJM yang mengenalkan SPJM kepada pihak waris.
Terima kasih juga kepada pihak Masjid As-Sobirin, Jabatan Amal Malaysia, PDRM dan semua pihak yang terlibat dalam membantu menyempurnakan urusan jenazah arwah sebentar tadi.
Semoga roh Allahyarham Dato’ Ismail Kamus ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Selamat beristirahat Tuan Guru..” akhiri Ustaz Rafie dalam satu hantaran di Instagram.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Krisis Rohingya Kian MELARAT, Air Bersih Disekat Dan Hanya SATU DOKTOR Untuk 160,000 Penduduk!

Rohingya tidak ubah seperti pengemis di negara sendiri. Bukan hanya berdepan penafian hak kerakyatan, kini isu lebih besar datang menghimpit masyarakat Islam Rohingya apabila mereka diperlakukan dengan begitu kejam oleh junta tentera Myanmar.
Nyawa Rohingya bagaikan tiada nilai. Dengan sewenang-wenangnya mereka dibakar hidup-hidup, disembelih, dirogol, di penjara tanpa sebab dan diseksa sehingga mati. Bagi menutup kezaliman yang dilakukan, tiada satu pun agensi media termasuk pertubuhan kemanusiaan dibenarkan masuk ke kawasan yang kini dikenali sebagai Rakhaine itu.
“Akibat krisis ini kira-kira 70 peratus masyarakat Rohingya tidak mendapat akses air bersih dan hanya diberikan seorang doktor untuk sejumlah 160 ribu penduduk di Hospital Daerah Maungda! Bayangkan, bagaimana seorang doktor mampu merawat pesakit seramai itu. Malah, dua peratus wanita Rohingya saja dibenarkan bersalin di hospital. Sementara 44 peratus daripada mereka tinggal di bawah paras kemiskinan.
Disebabkan kekurangan sumber dan kedaifan hidup di Rakhaine, tiada pilihan lain buat etnik Rohingya melainkan melarikan diri ke negara jiran. Misalnya, ada yang masuk ke Bangladesh dan tinggal di kem pelarian di sempadan Cox Bazar. Ada juga yang terpaksa menggadai nyawa menaiki bot untuk ke Malaysia, Indonesia mahupun Thailand.

Paling menyedihkan apabila bot yang dinaiki karam di tengah laut atau mati akibat bersesak-sesak di atas bot. Sampai muncul istilah keranda terapung dan ‘ping pong boat’ kerana bot yang dinaiki tidak dibenarkan mendarat serta dipaksa belayar semula ke negara yang menerima kehadiran mereka. Sebagai saudara seakidah, saya perlu mengambil tahu dan membantu apa yang termampu,” bongkar Dr Syarifah Aisyah Syed Abdul Halim yang merupakan aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).
Dia yang juga Pensyarah Perubatan Pelatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah berhajat untuk menjejakkan kaki ke bumi Myanmar terpaksa akur untuk membatalkan niat itu kerana kerajaan negara tersebut melarang kemasukan orang luar ke penempatan Rohingya di Rakhaine.
Sebahagian besar kelompok etnik ini dipercayai menetap di Rakhaine terutamanya di Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw. Kerana dihalang masuk ke Rakhaine, dua sukarelawan I-Medik iaitu Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selaku Naib Presiden 1 dan Setiausaha I-Medik, Prof Dr Azizi Ayob termasuk beberapa ahli Yayasan Ikhlas terpaksa menukar haluan misi dengan mengunjungi kem pelarian masyarakat Rohingya di Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar pada hujung Disember lalu.

Nona turut difahamkan kem yang terletak di Bangladesh dan bersempadan Myanmar ini mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan untuk sampai ke sana jika bertolak dari Dhaka.
“Sebenarnya untuk masuk ke kem Kutupalong juga bukan mudah. Pihak kami kena lalui banyak sekatan sebab isu politik dua negara, Bangladesh dan Myanmar. Tapi Alhamdulillah usaha itu diberkati Allah dan berjaya rakam situasi di sana untuk tatapan rakyat Malaysia dan dunia hendaknya. Jika mampu lihat keadaan di kem tersebut pasti anda terfikir betapa sukarnya takdir hidup Rohingya.
Di sebuah kawasan yang tandus dan kecil, seramai 150 ribu pelarian ditempatkan dalam kem serba daif tanpa bekalan air terawat dan elektrik. Khemah pula dibina dari batang kayu beratapkan nipah dan berdindingkan tanah atau plastik. Tiada sebarang kemudahan disediakan buat mereka.

Survival hidup Rohingya begitu mencabar. Kanak-kanak terpaksa berdikari pada usia yang sangat muda untuk mengait jala, mencari kayu api, mengambil air dan sebagainya. Jauh sekali mendapat pendidikan formal sepertimana yang dilalui kanak-kanak seusia mereka di negara lain. Yang ada hanyalah inisiatif orang alim di kem pelarian itu untuk mengajar Al-Quran dan asas agama.
Kezaliman yang dilakukan tentera Myanmar meninggalkan trauma yang teruk di kalangan etnik ini. Lebam kebiruan dan parut akibat dipukul dan dikelar di anggota tubuh menjadi sebahagian bukti keganasan yang dirasai sehingga ke hari ini.”

Biarpun bermacam-macam bentuk gesaan dibuat pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta namun derita yang dialami Rohingya masih tidak menemui jalan penyelesaian. Sebagai insan yang dibekalkan pemikiran yang waras, tunjukkan rasa belas terhadap mereka sama ada melalui huluran wang ringgit mahupun kiriman doa. Moga masyarakat Rohingya mendapat kebebasan hidup yang diinginkan selama ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


