TAN SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL

Sudah agak lama tidak mendengar perkembangan terbaru Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Selepas mengumumkan persaraan daripada arena politik tanah air pada Jun 2018 lalu,
namanya terus menyepi daripada pengetahuan khalayak. Namun apa yang pasti adalah selepas hampir dua tahun berundur, kehidupan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini tampak lebih ceria dan bermakna di samping keluarga, suami dan cucu tersayang. Alhamdulillah, tumpang bahagia tengok kehidupan Tan Sri Shahrizat hari ini! Mungkin inilah hikmah di sebalik pengunduran beliau.

IKLAN

Mengintai laman media sosial bekas Ketua Wanita UMNO tersebut, Tan Sri Shahrizat dilihat gemar berkongsi rutin harian kepada umum. Antara aktiviti dan gambar yang sering
dimuat naik Tan Sri Shahrizat ialah berkaitan tiga cucu kesayangan iaitu Ayden Shahinur, Eleyna Shahinur dan Ayva Shahinur. Malah, pada 1 Syawal lalu beliau turut tidak ketinggalan menyambut lebaran di samping ibu dan keluarga tersayang.

Selepas bersara dari arena politik, Tan Sri Shahrizat banyak menghabiskan masanya dengan beriadah bersama keluarga di rumah. Selain rajin menghias taman mini di perkarangan rumah, beliau juga rajin melayan ketiga-tiga cucu kesayangan. Malah, tiga cucu beliau cukup teruja mendalami kelas agama yang diadakan di kediaman bekas Menteri ini. Selain belajar solat, mereka turut diajar beberapa amalan doa harian. Comel!

Di samping suami tercinta
Taman mini di kediaman Tan Sri Shahrizat

Kongsinya, “Di antara saat-saat indah dan paling bermakna untuk famili saya dan saya sebagai Maktok kepada 3 cucu ialah melihat mereka begitu minat dengan pembelajaran Agama Islam melalui kelas agama bersama Ustazah Ayesha Badib. Pengenalan agama kepada kanak-kanak amat mustahak kerana ia akan membentuk hati, minda, pemikiran serta sikap mereka terhadap Islam sebagai agama yang dianuti.

IKLAN

Asas agama yang baik dan kukuh (bukan hanya paksaan) amat mustahak. Syukur sangat doa kami dimakbulkan apabila saya lihat cucu-cucu sayang kepada Ustazah Ayesha. Maktok pun sibuk masuk kelas tapi hanya sebagai photographer dan videographer. Seronok juga tengok gelagat mereka.”

IKLAN

Mengimbau kembali detik Tan Sri Shahrizat mengumumkan pengunduran dirinya daripada politik, wanita berjiwa kental berusia 66 tahun ini turut melepaskan semua jawatan
dalam peringkat parti, cawangan, bahagian dan pusat. Memetik kenyataan Tan Sri Shahrizat pada dua tahun lepas, beliau yang telah 39 tahun berkecimpung sebagai ahli politik menegaskan, “Satu perkara dalam politik ialah kita perlu sedar apabila sudah tiba masa untuk kita mengundurkan diri.

Sudah tiba masa untuk memberi ruang dan peluang kepada orang baharu yang lebih muda, lebih segar (menerajui Wanita UMNO). Saya berada dalam Wanita UMNO, bekerja dengan mereka dan ramai antara mereka yang layak untuk memimpin Wanita UMNO dan saya yakin saya meninggalkan ahli wanita kepada calon yang terbaik.”

Tan Sri Shahrizat mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu dua lelaki
dan seorang perempuan. Ketiga-tiga mereka ialah Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.