
Tular semula hari ini, aksi atlet pemanah berkuda negara, Erina Emelina Ismail, 30, yang cukup tangkas dan mengagumkan. Ibarat srikandi Islam di medan perang, sifat kepahlawanan Erina ketika menunggang kuda dan ketajaman skil memanahnya mampu membuat sesiapa pun tergamam.
Dalam satu video yang dimuat naik di Instagram @majalahnona sebentar tadi, kebanyakan followers rata-ratanya memuji kehebatan Erina yang disifatkan sebagai inspirasi generasi muda.
Sukan ini merupakan gabungan kemahiran menunggang kuda dan memanah. Seorang atlet yang baik harus tangkas mengawal imbangan badan di atas kuda yang berlari, sambil menarik busur panah dan memanahnya dengan tepat pada sasaran.
Kehebatan juara Pertandingan Memanah Berkuda Kebangsaan 2016 ini pernah didokumentasikan dalam saluran History Channel Asia. Beliau juga turut mengharumkan nama Malaysia apabila membawa pulang dua pingat emas dalam acara Multiple Shots (Individu dan Berkumpulan) di World Martial Arts Mastership serta satu pingat emas bagi acara yang sama di World Horseback Archery Championship, di Korea Selatan tahun lalu.



Kemenangan Erina sudah tentulah mengejutkan ramai pihak kerana beliau adalah satu-satunya wanita pertama yang berjaya menjadi juara dan menewaskan pemanah berkuda lelaki yang lain.
Memetik kata-kata Erina dalam satu temu bual (klik sini), “Awalnya, saya terbabit secara tidak serius dengan dua sukan ini, memanah dan berkuda. Waktu itu saya masih kuliah. Apabila dapat tahu berkenaan pemanah berkuda iaitu kombinasi dua sukan ini, saya rasa ia sesuatu yang unik.
Tapi waktu itu di universiti saya tak ada tempat latihan untuk sukan ini. Jadi saya mula ketika kembali ke Kuala Lumpur selepas tamat belajar,” katanya yang juga bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu kota.


Dalam usaha mengukuhkan teknik dan kemahiran, Erina Emelina yang berstatus pemanah berkuda wanita negara kini berada di bawah naungan Persatuan Pemanah Berkuda As-Sibaq Malaysia.
Bakat luar biasa Erina sering menjadi pujian jaguh-jaguh antarabangsa dalam sukan yang sama. Beliau adalah inspirasi wanita Malaysia yang hebat dan lebih membanggakan… Erina manis berhijab.
Sumber: Instagram Erina Emelina & Harian Metro
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
#FabulousMUA Jawapan Padu, DATIN SAIDATULNISA Komen Tentang Lambakan ‘Jurusolek Segera!’

Siapa yang tidak kenal dengan jurusolek tersohor Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 55 tahun ini pada kedudukannya yang tersendiri.
PANDANGAN TERHADAP TRANSFORMASI SOLEKAN TERKINI. ADAKAH IA MENGUBAH PRINSIP SOLEKAN DATIN SAIDATULNISA?
Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila. Jadi, solekan yang viral ini selalunya bersifat unik dan hanyalah trend pada saat itu sahaja.
SEBAGAI SENIOR DALAM BIDANG SOLEKAN, APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG LAMBAKAN ‘JURUSOLEK SEGERA’ TERUTAMA DI MEDIA SOSIAL YANG RATA-RATA KURANG ILMU MAHUPUN KEPAKARAN DALAM BIDANG SOLEKAN?
Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Mungkin kita perlu memberi ruang kepada semua orang untuk berkarya. Saya percaya masing-masing ada rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya, namun saya juga berpendapat pelanggan di luar sana tahu kelebihan solekan serta jurusolek yang mereka pilih.

BAGAIMANA DATIN SAIDATULNISA MENJAGA NILAI EKSKLUSIF SEBAGAI JURUSOLEK PROFESIONAL YANG SERING MENJADI PILIHAN GOLONGAN TERNAMA TERMASUK KERABAT, VVIP DAN SELEBRITI TERNAMA? ADAKAH DATIN SEORANG YANG MEMILIH?
Saya tidak memilih cuma mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama. Saya menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara saya dan pelanggan. Saya turut menghormati dan berpengalaman dalam protokol istana. Oleh itu, VVIP dan golongan ternama mudah berasa selesa dengan saya.
DARI MANAKAH BAKAT DAN ILMU SOLEKAN YANG DATIN SAIDATULNISA PEROLEHI?
Saya belajar sendiri tanpa sesiapa tunjuk ajar. Mungkin juga saya memperolehi bakat ini dari Nenda yang pakar dalam solekan pengantin dan golongan Diraja dahulu.
APAKAH RAHSIA ATAU TIP YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SAIDATULNISA BAGI MENYERLAHKAN SOLEKAN?
Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip saya sendiri iaitu ‘Less is more’.

APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG REVOLUSI AKAN DATANG?
Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar) kerana sejauh mana transformasi itu berlaku saya percaya bahawa adat, budaya dan agama kita tidak sesuai untuk terikut-ikut solekan yang terlalu berlebihan dan bertentangan dengan adat, budaya dan agama kita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Selalu Utamakan Ibu & Isteri, NUBHAN Makin Sukses Jadi Usahawan & Niat Bina Pusat Tahfiz!

Diam-diam ubi berisi! Ahmad Nubhan Ahamad nampaknya makin ligat mendaki kejayaan sebagai usahawan. Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, dia melangkah berani menceburi cabang bisnes makanan. Seterusnya membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta yang juga doktor gigi bertauliah. Tahniah!
Siapa sangka dari pentas nyanyian sejak menyertai Akademi Fantasia Musim Ke-6, Nubhan kini makin sukses mengemudi empayar niaga sendiri. Ketika dihubungi Nona, anak kelahiran Negeri Sembilan ini tak lokek berkongsi pengalaman.
“Perkembangan terkini, saya tengah tunggu untuk single terbaru. Perjalanan bisnes pula, alhamdulillah bisnes makanan Mak Jenny dan skincare Lantara Beauty serta keluarga pun dah berkembang.
Dah tambah seorang lagi ahli baharu dalam keluarga iaitu anak ketiga saya, Afzan Nayille. Klinik isteri sudah pun lengkap sepenuhnya dan ready, hanya menunggu kelulusan untuk beroperasi je.”
MAK JENNY
Tak menang tangan terima tempahan produk Mak Jenny, perniagaan yang menggunakan resipi tradisi ibu tersayang Nubhan sendiri ini memang laris. Dedah Nubhan, setakat ini sudah ada 6 produk Mak Jenny di pasaran. Antaranya Sambal Pedas, Masak Lomak Daging Salai dan Sambal Tempoyak.
Mengulas bagaimana tercetusnya bisnes Mak Jenny, ujar suami kepada Dr Afifah Tawfek ini semuanya berlaku tanpa sengaja selepas dia merakam aktiviti dan aksi ibunya Badariah Omar atau mesra disapa Mak Jenny bersama peminat di platform media sosial.



“Idea sebenarnya apabila saya secara tak sengaja mem’video’kan Mak Jenny di dalam content yang biasa saya keluarkan di YouTube dan Facebook. Tanpa di sangka respon terhadap karakter mak saya sangat disukai oleh penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.
Saya juga melihat dari segi reach, respon dan viewers video tu. Dekat Facebook boleh mencecah sehingga 7 juta tontonan dengan komen-komen yang sangat positif. Secara tak langsung video itu mengingatkan mereka kepada mak ayah, mak ayah yang dah tak ada dan banyak yang merindukan ibu bapa mereka.
Ramai juga yang terasa ingin berjasa dan berbakti balik kepada mak ayah dan ada yang menginsafkan. Itu berita yang sangat gembira dan saya rasa bermakna apabila ada di antara mereka DM saya sendiri mengatakan ingin membalas jasa ibu bapa balik. Yang ada perselisihan faham, mereka mula menyesal dan mula merapatkan hubungan dengan ibu bapa mereka.
Setiap apa yang keluar dari video itu adalah jujur daripada Mak Jenny dan bukan dibuat-buat. Mungkin energy atau aura Mak Jenny yang jujur itu mudah diterima oleh penonton. Alhamdulillah.”
Terang bapa kepada tiga cahaya mata ini lagi, perniagaan makanan tersebut bermula secara serius dan dibuka kepada pengedar pada Julai 2021. Di sebalik kejayaan produk Mak Jenny sampai jadi bualan ramai, ada kisah sukar yang terpaksa ditempuh Nubhan ketika awal-awal mengusahakan produk berkenaan.
CABARAN
“Masalahnya adalah dari segi penyediaan makanan. Ia berlarutan daripada November sampai Disember tahun lepas di mana tempahan masuk terlalu banyak dan berlaku kecuaian apabila makanan seperti acar dan sambal semua kembung. Jadi pengedar return dan kami terpaksa ganti yang baru.
Masa tu dalam 15,000 pertama pada November dan 10,000 hingga 15,000 tempahan unit juga untuk bulan Disember. Ada dalam 30,000 ribu unit yang saya anggarkan lebih 10,000 kembung atau rosak. Terpaksa masak semula dan menelan kos yang besar.
Masa tu ramai pengedar yang mula tak puas hati dan ada juga berhenti serta lari sebab keyakinan dan kepercayaan dah hilang. Walau kami dah return bagi produk baru tapi masih kembung lagi.
Bulan Disember tu memang nak cover semua kos tadi sampai makan ratusan ribu ringgit. Disebabkan order terlalu banyak masa tu dan saya pula kurang pengetahuan dalam penyediaan makanan.
Sebenarnya cara packaging yang kurang tepat buatkan bakteria cepat membiak. Bukanlah makanan tu kotor cuma salah cara penyediaan. Bila jadi macam tu saya cuba cari pakar makanan. Bila dapat tahu solution, saya terus meeting dengan team production keesokkan hari dan ubah cara penyediaan ke cara yang betul.
Alhamdulillah semenjak dari itu sampai hari ni tiada lagi makanan yang rosak atau kembung. Itulah cabaran terbesar saya lalui. Bayangkan dari bulan Disember sampai pertengahan Januari memang saya tidur pun sekejap je dan berulang alik ke kampung untuk check production, stock, tengok penyediaan yang betul,” tegas Nubhan sambil memberitahu sudah mempunyai 5,200 pengedar Mak Jenny yang berdaftar. Selain berjaya meraih jualan mencecah 3.2 juta dari bulan Julai hingga Februari lalu.




TERDETIK BERNIAGA
Dari kecil, Nubhan sebenarnya sudah didedahkan dengan realiti dunia perniagaan. Bahkan ibu dan bapanya sendiri mengusahakan kedai makan lebih 10 tahun di kampung dan minat berniaga sudah pun mengalir dalam dirinya sejak kecil. Kata Nubhan, arwah bapanya merupakan guru agama dan tok imam tapi tak pernah menghalang anaknya untuk jadi penyanyi.
“Tapi pernah satu masa dia beritahu dekat family saya, ‘Nubhan, abah tak nak dia teruskan menyanyi sampai bila-bila. Dia kena mula berniaga.’ Sejak saya terima mesej dari arwah ayah saya tu, esok harinya saya terus register company. Ini memang tak tipu ni cerita betul.
Masa tu saya buat bisnes pertama saya Nubhan Management & Trading. Tak ada bisnes run pun sebab banyak bisnes yang saya cuba tak menjadi. Saya hampir 5 jenis perniagaan semuanya failed, rugi, kena tipu dan ‘telan’ duit yang banyak.
Lepas itu, perniagaan skincare saya baru menjadi sebabkan saya dah ada knowledge, jumpa orang yang ada pengalaman dan mula grow. Alhamdulillah menjadi jualannya dan terbaharu bisnes Mak Jenny yang saya gunakan segala pengalaman yang ada untuk naikkan nama bisnes ini. Ternayata berkesan dan sambutannya luar biasa. Itulah macam mana bermulanya saya jadi usahawan disebabkan arwah abah saya.
Saya dapat mesej arwah abah semasa abah dah tiada. Kakak datang dan pesan abah tak bagi menyanyi selama-lamanya. Abah suruh berniaga untuk masa depan. Jadi, saya terima dengan baik dan buat apa yang dia nak,” telus Nubhan yang memasang impian untuk membina sebuah pusat tahfiz dalam masa 10 tahun akan datang.
LANTARA
Dalam kesibukan mengembangkan bisnes Mak Jenny, Nubhan tidak ketinggalan mempelbagaikan rangkaian produk kosmetik dan penjagaan wajah Lantara Beauty. “Maksud lantara itu datang dari perkataan hutan belantara yang saya ambil singkatan belantara itu untuk merujuk bahawa produk-produk ini adalah based on bahan semula jadi.
Saya bawa isteri join mengusahakan produk Lantara Beauty ini bila saya minta dia berhenti kerja. Kalau tak silap dalam tahun 2020. Kesinambungan kepada Lantara Beauty ini, saya bina pula Lantara Dental untuk isteri.





Isteri sangat jelas dengan matlamat dan impian saya. Dia memberi kepercayaan kepada saya dan tidak menghalang apa yang saya nak buat. Dalam masa sama, saya duduk di Seremban dan mak di kampung dan memandangkan saya dah bina perniagaan di kampung dan dah bina kilang di belakang rumah mak untuk pemprosesan makanan, saya terpaksa berulang ke kampung dengan sangat kerap.
Jadi saya akan kerap jumpa mak dan dalam masa sama, wife tidak begitu berkira. Bukanlah ambil kesempatan tak ada masa dengan family. Tujuan buka klinik gigi ini supaya isteri ada pilihan waktu kerja.
Saya tak nak dia pergi kerja pagi, balik petang dan anak-anak dibesarkan dan diasuh orang lain. Dengan adanya klinik tu, dia akan ada banyak masa dengan anak-anak sebab saya sangat titikberatkan bonding antara family. Yang penting family saya terjaga dengan baik dan anak-anak ada sentuhan seorang ibu.”
Satu prinsip saya, saya tidak akan utamakan perkara lain selain keluarga. Apa-apa pun saya utamakan family saya terutamanya mak dan isteri. Macam mak selalu nak pergi kenduri je. Jadi saya akan kosongkan jadual dan pergi dengan dia. Ini antara kelebihan apabila berniaga dan ada ketetapan masa sendiri.
Biasanya bila ada kempen hujung tahun, raya atau sebagainya yang saya akan busy whole week atau month, wife takkan ganggu. Lepas selesai promo tu, syaa akan fokus kepada keluarga balik dan bonding dengan mereka seperti biasa.”
Moga kegigihan Nubhan menjadi usahawan berjaya yang dalam masa sama anak dan suami yang bertanggungjawab menjadi pencetus semangat kepada masyarakat untuk terus maju menggapai kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saintis Terawal Negara DATUK FADILAH BAHARIN Berjaya Laksana Standard Halal Pertama Di Dunia

Datuk Fadilah Baharin merupakan Ketua Pengarah Standards Malaysia. Mesra disapa sebagai Datuk Fadilah, wanita berusia 59 tahun ini seorang yang cukup tegas.
Datuk Fadilah antara saintis terawal negara dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM). Sebagai penghargaan kepada jasa beliau dalam pembangunan standard halal pertama di dunia, Datuk Fadilah menerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun 2016.
“Saya mahu menjadikan halal sebagai satu gaya hidup sekaligus dapat membantu ummah. Inilah dakwah saya dalam bekerja. Saya hendak menekankan kepentingan halal bukan saja dari segi makanan bahkan seluruh kehidupan seperti cara berpakaian, bekeluarga dan sebagainya.
Alhamdulillah saya berjaya melaksanakan standard halal yang pertama di seluruh dunia. Ia juga telah dirujuk dan diguna pakai oleh JAKIM dalam persijilan halal.”

TIP MENJADI WANITA SUKSES
“Jadilah isteri yang menghormati suami. Restu dan sokongan suami amat penting untuk menjadi wanita sukses. Kalau boleh libatkan suami dalam apa jua yang kita buat. Ingat, siapa pun kita hari ini bukan daripada usaha sendiri sebaliknya daripada mereka yang banyak membantu dan menyokong kita selama ini.
Saya bersyukur selama ini arwah suami banyak memberikan sokongan kepada saya untuk menjadi seorang ketua dan insan yang lebih baik. Kata-katanya banyak memberikan saya semangat sekaligus menjadi turning point untuk saya berubah menjadi siapa saya pada hari ini. Saya berasa amat bersyukur.
Sokongan anak-anak juga penting. Saya sering meletakkan diri sebagai sahabat kepada anak-anak dengan sentiasa menasihati, menegur dan berkongsi pendapat bersama mereka. Sebagai ibu tunggal sayalah ibu, sayalah bapa.
Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak dan berusaha memberikan bekalan ilmu dunia akhirat secukupnya. Saya juga sentiasa menjaga emosi agar tidak terlalu mengikut perasaan.

Seterusnya manfaatkan kekuatan diri bagi meningkatkan taraf hidup sebaik mungkin. Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga buat keluarga. Yakinlah dengan kemampuan diri sendiri bahawa kita boleh buat. Sentiasa berbangga dengan apa yang kita lakukan. Abaikan kata-kata negatif.”
Selepas pulih daripada kanser payudara beberapa tahun lalu, Datuk Fadilah mula menjaga pemakanan dan kesihatannya seperti mengamalkan air kosong, buah-buahan, sayuran dan suplemen setiap hari. Beliau juga sentiasa melalui hari-hari baru dengan perasaan yang positif.
Kredit Foto: Instagram Datuk Fadilah Baharin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


