Dalam kehangatan filem Sangkar mula ditayangkan minggu ini, pasti peminat sukan MMA teruja untuk menyaksikan filem yang dilakonkan oleh Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah ini. Selain penglibatan kaum lelaki, wanita juga tidak kurang hebatnya apabila memasuki ‘sangkar’.
Bukan mudah melihat wanita yang fizikalnya gagah dan perkasa. Tiada istilah wanita lemah, itu persepsi baru penulis sebaik menyaksikan sendiri aksi Ann Osman bertarung di gelanggang MMA Fighting. Ketangkasan wanita ini menangkis serangan bertubi-tubi dan menyerang balas pihak lawan secara lebih taktikal mengangkat dirinya sebagai di antara atlet MMA wanita yang terkenal di seluruh dunia.
Kehebatan Ann Osman tatkala menyertai kejohanan seni mempertahankan diri atau Mixed Martial Arts (MMA) pada tahun 2015 lalu mendatangkan rasa teruja dan semangat patriotik yang kental di kalangan penonton yang hadir. Masakan tidak, Ann merupakan satu-satunya wanita Muslim dan antara wanita pertama di Malaysia yang tersenarai dalam kejohanan berstandard dunia itu. Persis dewi perang Greek, dia digelar Ann ‘Athena’ Osman kerana reputasi bertempur yang cemerlang!
Pertemuan Nona dengan wanita lasak ini diatur pantas setibanya Ann dari Sabah. Seorang wanita putih melepak dengan rambut ikal yang didandan kemas mesra menyambut salam penulis. Seperti tak percaya… inikah wanita sama di gelanggang tempoh hari? Ann yang berbadan dua cuma tertawa kecil. Dia mengangguk tanda mengiyakan.
Empat tahun lalu, nama Ann Osman dijulang dan disorak peminat meskipun bertubi-tubi dilayang tumbukan padu daripada pihak lawan. Hasilnya beliau berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori tersebut. Bermula tahun 2018, Ann akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi berlawan di dalam ‘sangkar’. Pun begitu, dia masih lagi bergiat aktif di arena MMA dan menjadi salah seorang jurulatih yang memilih atlet-atlet di dalam negara.
Ads
Ternyata Ann membuktikan sukan yang dianggap ekstrem itu tidak sesekali melenyapkan sisi kewanitaannya apatah lagi wanita berusia 33 tahun ini merupakan seorang wanita yang gemar bersolek dan berhias cantik. Wanita berdarah campuran Sabah dan Selangor itu lebih selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan dia pernah dibesarkan di Amerika Syarikat. Sesekali terdengar juga loghat Sabah yang pekat, memandangkan dia dan keluarga menetap di sana.
Turut mendapat jolokan Wonder Woman Malaysia, Ann masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaan yang sejati apabila tidak berada di dalam gelanggang. Buktinya sewaktu sesi fotografi di studio Ideaktiv baru-baru ini, Ann yang sarat hamil enam bulan kelihatan berseri-seri dalam persalinan maternity.
Ads
“Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2016, saya teruja untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun hamil, tapi saya masih mengekalkan rutin senaman dan kecergasan hinggalah usia kandungan mencecah 8 bulan. Siapa kata orang mengandung tak boleh bergerak aktif? Sebenarnya bersenam amat baik untuk proses kehamilan. Tapi sebelum melakukan apa-apa senaman, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan fizikal serta memastikan senaman tersebut tidak membahayakan bayi di dalam kandungan,” terangnya.
Umum sedia maklum kejohanan seni mempertahankan diri memerlukan ketangkasan dan kemahiran yang tinggi. Menurut Ann, minat untuk mempelajari seni atau skil mempertahankan diri itu bermula sejak tahun 2012. Bersandarkan minat, dia fokus terhadap latihan hingga melayakkan diri ke peringkat profesional. Selain itu, rutin dan gerakan dalam seni mempertahankan diri juga ibarat senaman yang bagus untuk kesihatan.
“Walaupun saya bermula tanpa sebarang latihan formal, saya sebenarnya seorang yang aktif dalam sukan. Sukan seperti bola jaring dan bola keranjang merupakan kegemaran saya ketika di zaman persekolahan. Apabila saya diberi kesempatan untuk mencuba seni mempertahankan diri dan seterusnya mixed martial arts, saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baru.
Tambahan pula, ketika itu saya sudah mula bekerja dan terpaksa berjalan seorang diri untuk berulang-alik ke tempat kerja. Suatu hari berlaku detik mencemaskan. Saya pernah berdepan situasi menakutkan apabila kereta diekori oleh orang tidak dikenali. Sejak peristiwa itu, saya nekad mengambil kelas seni mempertahankan diri dengan menyertai Muay Thai.
Ads
Minat terhadap sukan seni mempertahankan diri semakin mendalam dan saya akan berlatih sekerap mungkin. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, jurulatih mencadangkan agar saya mengikuti pertandingan Amateur MMA di Petaling Jaya. Walaupun saya tewas dalam pertandingan tersebut, tetapi ia telah membuka jalan untuk saya terus mencuba.
Setahun kemudian, saya ditawarkan untuk bertanding di platform MMA terbesar di Asia iaitu ONE Championship dan menjadi wanita pertama Malaysia untuk bertanding di kejohanan sukan MMA pada peringkat antarabangsa,” ujar Ann yang beranggapan wanita sememangnya mempunyai dorongan adrenalin yang tinggi untuk mencuba sesuatu di luar batas akronim seorang wanita.
Kini Ann mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan berasaskan pelancongan lasak bersama suami tersayang. Selain itu, Ann turut menyandang jawatan sebagai Pengurus Atlet dan Bakat di One Championship. Walaupun telah mencecah usia 33 tahun, dia merasakan belum tiba masanya untuk bersara dari bidang sukan seni mempertahankan diri.
Atas inisiatif ingin melihat lebih ramai wanita menyertai sukan yang dianggap lasak ini, Ann sering berkongsi kelebihan serta perkembangan sukan tersebut bersama para pengikut di laman Instagram. Sesekali dia diundang ke institusi pengajian tinggi untuk menyampaikan ceramah serta berkongsi pengalaman yang dilalui.
“Ramai orang Asia tersalah anggap bahawa wanita itu lemah dan patut menjauhi sukan seperti seni mempertahankan diri. Tapi bagi saya, kaum wanita sebenarnya sangat kuat dan berpotensi luar biasa dari aspek kekuatan fizikal dan mental. Saya selalu percaya dengan kata kata ‘You never know your limits unless you push yourself to them.’
Seni mempertahankan diri bukannya sebuah sukan yang mudah tapi itulah yang menyebabkan saya jatuh cinta padanya. It teaches me so much. Bukan sahaja dari segi teknik tapi juga menghargai kehidupan seperti mempelajari rasa hormat terhadap rakan sepasukan dan tidak mudah putus asa. Ia juga membina karakter dan keyakinan diri agar kita tidak cepat mengalah. Saya yakin ramai wanita akan menikmati kepuasan dalam bidang sukan seni mempertahankan diri ini,” ujar Ann seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tika dan saat ini sudah pasti ramai yang sudah memainkan peranan masing-masing untuk membantu mereka yang memerlukan. Datuk Jovian Mandagie turut tidak mahu ketinggalan membantu mereka yang memerlukan mengikut kepakaran miliknya.
Foto: Instagram @jmandagie
Sebagai pereka fesyen tersohor negara dan usahawan berjaya, suami kepada Datin Nina Ismail Sabri ini telah membuat pelitup muka atau mask eksklusif dengan niat semata-mata mahu membantu saudara seislam kita.
Foto: Koleksi Nu Ideaktiv
Mempamerkan rekaan peliltup muka dengan warna hitam, hijau, putih dan merah sebagai lambang negara Palestin. Hasil jualan pelitup muka eksklusif ini 100 peratus akan didermakan kepada tabung misi bantuan Palestin.
Foto: Instagram @jmandagie
Datuk Jovian sendiri tidak menyangka hasil jualannya, habis dalam sekelip mata, “Niat hati buka pre-order untuk sebulan nak habiskan order. Rupa-rupanya in just 12 hours dah habis! MasyaAllah, YOU GUYS ARE AMAZING, GOD BLESS YOU!,” tulis menantu kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini di laman media sosial milik peribadinya.
Boleh bayangkan bagaimana perasaan ayah kepada seorang anak perempuan ini apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM65,720 hanya dalam masa 1 jam. “I WANT TO CRY! Hanya Allah yang akan balas semua kebaikan anda semua,” tulisnya lagi.
Foto: Instagram @jmandagie
Sememangnya jiwa murni Datuk Jovian menyuntik inspirasi buat siapa sahaja. Sebelum ini Datuk Jovian juga telah ‘menyinsing lengan’ membuat set pakaian pelindung diri (PPE) untuk kegunaan para petugas hadapan yang berusaha keras memutuskan rantaian COVID-19.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai yang tak sanggup memelihara haiwan peliharaan terutama kucing kerana kos rawatan anak bulus boleh mencecah hingga ke ribuan ringgit. Namun, siapa yang tak cair melihat kemanjaan haiwan peliharaan terutama anak bulus ini, kan.
Penjagaan kesihatan haiwan semakin meluas di negara ini hingga ramai yang terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat penjagaan sempurna.
Namun, doktor haiwan, Dr Siti Nadzirah Zulkiffle mempunyai tip tersendiri bagi mengatasi perbelanjaan yang tinggi untuk penjagaan haiwan peliharaan sekali gus elak kos rawatan anak bulus yang tinggi.
Dr Siti Nadzirah Zulkiffle
“Tak dinafikan kos penjagaan rawatan haiwan boleh mencecah beribu ringgit. Macam kalau haiwan itu patah tulang boleh cecah empat angka kosnya.
Kalau rawatan penyakit yang boleh dicegah dalam anggaran kos RM1000 hingga RM2500. Padahal vaksin ubat kutu dan cacing cuma sekitar RM100 ke RM150 sahaja. Jadi kalau pandai jaga dan mencegah, kos mahal itu dapat dielak.
Klinik saya sendiri sampai tahap menawarkan khidmat rundingan percuma sejak Mac tahun lalu sebab nak galak lebih ramai lagi menjaga haiwan dengan betul,” kata pengasas klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru ini.
Lulusan jurusan Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia di Sri Kembangan, Selangor ini gemar menyelamatkan kucing zaman remajanya. Mesra disapa Dr Naz, pernah menjaga 80 ekor kucing dalam satu masa.
“Pernah suatu ketika, nampak kucing di jalanan, saya akan selamatkan atau merawatnya. Sampai 80 ekor kucing ‘menginap’ di rumah. Apa lagi, ayah terus marah sebab keadaan di rumah macam kedai haiwan peliharaan,” kongsi wanita yang berusia 33 tahun ini.
Dr Naz sendiri tidak menyangka mempunyai klinik haiwan sendiri. Kecintaan terhadap haiwan terutama kucing antara pendorong utama wanita menceburi bidang veterinar.
Bagaimanapun ketika zaman remajanya sekitar usia 16 tahun, anak sulung daripada tujuh beradik ini tidak tahu wujud jurusan kedoktoran haiwan ada ditawarkan di pusat pengajian.
Asalnya, Dr Naz bercita-cita menjadi doktor bidan. Namun akhirnya, menukar bidang veterinar. Bercerita tentang kerjaya yang dicintainya ini, “Berpegang kepada prinsip setiap makhluk termasuk haiwan, saya percaya semua perlu dilayan baik.
Itu juga antara sebab saya begitu berazam memiliki klinik haiwan sendiri. Saya sendiri begitu dekat dengan haiwan terutama kucing. Hati memang cepat tersentuh dan hiba melihat haiwan itu diapa-apakan atau terbiar begitu saja,” kongsinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Beberapa hari lepas, tular video atlet Muay Thai kebangaan negara berusia 16 tahun, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar ‘menghadiahkan’ pukulan KO kepada atlet Muay Thai dari Thailand dan sekaligus melakar kejayaan dengan meneruskan kecemerlangan dalam siri One Championship
Menerusi rakaman yang dikongsikan Beyond Kickboxing, Johan yang lebih dikenali sebagai Jojo bertarung dengan lawan dari Thailand, namun apa yang menarik perhatian dia tetap tenang walaupun sering kali diprovok oleh peninju Gajah Putih itu dengan menjelirkan lidah berkali-kali kepada Jojo.
Namun, Jojo yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap kekal tenang dan membalas dengan tumbukan sebelum menumbangkannya dengan pukulan KO.
Ketika diwawancara selepas perlawanan, Jojo kelihatan dilihat sangat teruja dengan kejayaan yang diraihnya, sambil berkata kejayaaan pada hari itu adalah berkat sokongan ibu tercinta yang berada di stadium ketika itu, bersorak buat anak tercinta.
“Saya kuat kerana ada sokongan daripada ibu di stadium, bapa saya yang menonton di rumah selain rakan-rakan yang datang dari Malaysia, jadi tak adil kalau saya tidak berikan 100 peratus dalam pertarungan ini.
“Sasaran saya seterusnya untuk mendapatkan kontrak, saya rasa belt One Championship ini ditakdirkan buat saya. Saya adalah masa depan,” katanya dalam rakaman berkenaan.
Johan dilahirkan pada 11 November 2007 di Sarawak dan merupakan anak lelaki kedua kepada bapa Zulfikar dan ibu Jennana Johnson di Sarawak, Malaysia.
Zulfikar dan Jennana turut mempunyai dua lagi anak lelaki dan seorang anak perempuan, yang turut sama aktif dalam sukan Muay Thai. Kedua dua mereka juga dilihat cukup komited menumpukan kepada pembangunan sukan Muay Thai di Sarawak.
Johan Ghazali bersama ibu, bapa dan adik beradik.
Johan bersama ibu, Jonnana dan ayah, Zulfikar.
Menurut sumber The Borneo Post, ibunya Jennana, dilahirkan pada tahun 1979 kini berusia 44 tahun dia serta suami kedua-duanya cukup aktif dalam bidang Muay Thai semasa usia muda mereka. Jennana mula terlibat dalam sukan Muay Thai pada usia 16 tahun.
Jennana juga merupakan dorongan terbesar kepada Johan dan banyak menghabiskan masanya memberikan latihan dan memfokuskan kepada pembangunan sukan kanak-kanak lelaki Muay Thai sekaligus mendorong mereka untuk melakukan yang terbaik dalam sukan itu. Malah ibunya juga bertindak sebagai ‘trainer’ kepada Johan seperti apa yang dikongsikan Johan menerusi video di bawah.
“Muay Thai satu sukan yang mencabar fizikal, dan tidak semua orang boleh melakukannya. Saya bermula di usia 16 tahun, jadi saya tahu bagaimana rasanya. Saya faham pengorbanan mereka,” jelas Jennana dalam satu temubual.
Johan juga dilihat cukup rapat sekali dengan ibunya dan tak lokek berkongsi gambar bersama ibu di laman media sosial Facebooknya.
Malah setiap kali Hari Ibu, pasti Johan akan memuatnaik gambar ibunya. Semoga keakraban dan perhubungan istimewa antara anak dan ibu ini melahirkan banyak lagi kejayaan buat Johan Ghazali di masa hadapan. Tahniah sekali lagi NONA ucapkan kepada Johan, anda seorang anak muda yang hebat!
Setinggi-tinggi ucapan tahniah buat Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kejayaan cemerlang memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang ...