Memiliki wajah yang cantik dan pakej menarik membuatkan dua figura jelita ini sering menjadi perhatian umum. Adik beradik popular, Syatilla Melvin dan Syifa Melvin  merupakan nama yang tidak asing lagi dalam media sosial dengan mempunyai bilangan pengikut yang cukup ramai di laman Instagram. Bijak mengatur langkah dalam mengatur corak kehidupan, membuatkan pengikut setia mereka sentiasa ingin tahu mengenai perkembangan semasa.

Tidak dinafikan agak sukar untuk membezakan kedua mereka dek kerana mempunyai wajah seakan sama. Namun sisi peribadi setiap dari mereka nyata membentuk personaliti yang berlainan. Sikap Syatilla yang lebih ramah dan bersahaja membuatkan sesiapa sahaja senang dan mudah mesra ketika bersama beliau. Manakala Syifa yang lebih bersifat pemalu membuatkan gadis kelahiran Pulau Pinang ini sering diusik kakaknya, Syatilla. Istimewa edisi lebaran, Nona membawakan dua bingkisan menarik kisah dua beradik ini sempena Aidilfitri 2018.

SYATILLA MELVIN

Lebaran yang berkunjung tiba menjadi detik buat keluarga dan sanak saudara berkumpul untuk  mengeratkan ikatan silaturahim. Saat bertemu di hari mulia pastinya menyingkap kenangan lalu bersama keluarga terutamanya bersama adik-beradik di waktu kecil. Semasa sesi temubual bersama Syatilla, Penulis sempat bertanyakan kenangan manis yang mungkin sukar untuk dilupakan ketika menyambut lebaran bersama.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali hari raya, saya akan balik Nibong Tebal, Pulau Pinang dan beraya bersama keluarga di sana. Keluarga suami saya juga akan beraya di sana dan kami akan berkumpul untuk meraikan hari lebaran. Seperti biasa di pagi raya, kami akan bersalam-salaman dan menjamu selera. Juadah yang wajib ada di pagi raya buat keluarga saya ialah rendang, ketupat dan kuih kegemaran saya, tat nenas serta semperit.

Mengimbau waktu kecil, rutin wajib saya bersama keluarga pada hari raya ialah makan kuih bersama-sama keluarga terlebih dahulu. Selepas itu saya dan adik-beradik yang lain akan keluar bersama seperti membuat rombongan dan pergi beraya ke rumah jiran tetangga. Saya amat rindukan momen tersebut di mana saya akui saya takkan merasakan lagi saat itu.

Namun, saya amat rindukan beraya bersama adik-beradik sewaktu kecil. Kenangan yang saya tak boleh lupakan hingga sekarang ialah sesi mengutip duit raya dan sebaik sahaja dapat angpau, kami akan membuka dan terus kira duit yang diberikan, “ ungkap Syatilla sambil ketawa.

Bagi Syatilla, hari raya yang disambut kini pasti tidak sama seperti sebelumnya dengan kehadiran cahaya mata yang menambah seri dan sinar lebaran. Ujarnya lagi, rayanya lebih bermakna dan sempurna memandangkan pada tahun ini anak kesayangannya sudah mencecah umur satu tahun pada Aidilfitri ini. Sempat bertanyakan busana raya dan tip kecantikan ini reaksi Syatilla.

“Tahun ini merupakan tahun kedua kami beraya bersama dengan kehadiran Syeriv. Pada awal perkahwinan saya dan Sam, saya selalu berdoa akan dikurniakan cahaya mata untuk tahun berikutnya. Alhamdullillah dengan izin Nya, kehidupan kami diserikan lagi dengan kehadiran Syeriv. Sekarang, kehidupan saya berasa lengkap dan sempurna di mana suami dan anak saya sentiasa berada di sisi di pagi raya. Sukar untuk saya gambarkan perasaan yang saya rasakan sekarang. Apa yang boleh saya cakap, saya berasa cukup bahagia.

“Raya tahun ini akan lebih meriah disebabkan Syeriv sudah semakin besar. Berbeza pada tahun lepas, waktu itu Syeriv masih bayi dan raya tahun ini, saya tak sabar untuk melihat reaksi anak saya beraya di rumah orang. Kelainan itu pasti dirasai saya dan suami bila anak kami mula membesar dan perkara itulah yang saya ingin lihat pada anak kesayangan kami. Untuk baju raya, saya akan menggayakan lebih kurang tiga pasang baju dan Syeriv akan pakai agak banyak persalinan baju raya.

SYIFA MELVIN

Sebagai adik kepada selebriti terkenal, pasti momen ketika beraya bersama menjadi detik paling berharga dalam hubungan adik-beradik. Tambahan pula, keakraban di antara mereka pastinya mengukir sejuta kenangan terindah yang tersemat di hati buat selamanya.

“Paling susah saya nak lupakan hingga ke hari ini ialah saat kami memohon maaf sesama kami di pagi raya. Walaupun di hari raya, namun kami tidak pernah serius untuk meminta maaf, malah kami hanya bergelak tawa. Itulah tradisi kami adik-beradik sekeluarga setiap kali raya yang penuh keriangan.

Berbanding dengan sekarang, keseronokan itu mungkin jadi sedikit berbeza. Manakan tidak dulu, kita yang dapat duit raya, tapi kini kita yang memberi duit raya kepada mereka yang lebih muda dan juga pada ibu bapa. Tambahan pula, semakin kita meningkat dewasa, semua perbelanjaan untuk membeli baju raya untuk kita, untuk kedua ibu bapa dan menghulurkan sedikit duir raya buat mereka. Keseronokan itu merupakan kepuasan buat saya kerana dapat berbakti buat keluarga saya sendiri,”kata Syifa.

Tambah Syifa lagi selain rutin bermaafan di pagi raya, mereka sekeluarga akan mengambil gambar sebagai kenangan. Setiap tahun, keluarga bahagia ini akan mengambil gambar dan membuat ia sebagai kenagan. Bila sebut tentang raya pasti mengingatkan tentang busana yang akan disarungkan.

Jelas Syifa lagi, setiap tahun kakak sulungnya bertanggungjawab memastikan baju raya keluarganya tampak cantik dan mengikut tema termasuklah dari segi potongan dan rona busana. Apapun keputusan yang dibuat oleh kakak sulungnya itu, Syifa dan adik-beradiknya yang lain akan mengikut seperti yang telah dirancang.

“Memang setiap tahun tugas menetapkan busana raya diserahkan kepada kakak sulung saya samada nak memakai baju kurung mahupun kebaya. Begitu juga dengan jurugambar untuk sesi fotografi di pagi raya. Dialah yang bertanggungjawab mencari semua itu. Kami sebagai adik-adik dia, hanya ikutkan sahaja.

“Jika diikutkan saya, saya seorang yang sukakan gaya ringkas dan minimalis. Saya tidak suka sesuatu yang sarat dan lebih gemar meimilih busana yang polos. Namun pada tahun ini, Syifa ingin menggayakan busana dengan penggunaan fabrik cotton. Saya pasti pilihan fabrik ini memberikan keselesaan dan sesuai dengan cuaca di negara kita,” bicara Syifa yang juga menggemari juadah rendang dan lemang di hari raya.

 

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: