Kehilangan sosok bapa pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap anak-anak. Lebih-lebih lagi kepada anak sulung kerana bukan hanya tiada lagi tempat untuk bermanja. Bahkan perlu menggalas tanggungjawab menjaga adik-beradik yang lain. Situasi sama dihadapi Ts. Dr. Nurshikin Mohamad Shukery saat Allahyarham bapa tersayang, Shukery Hashim kembali ke pangkuan ilahi pada tahun 2009.
Tanggal 10 Jun lepas genap 17 tahun pemergian seniman berbakat besar ini. Meskipun sudah lebih sedekad industri seni tanah air kehilangan sebutir permata namun lakonan dan sumbangan Allahyarham masih dikenang hingga ke hari ini.
Anak Sulung Allahyarham Shukery Hashim
Berpeluang menemu bual cahaya mata sulung Allahyarham, Dr Nurshikin yang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru terbuka berkongsi sisi peribadi arwah bapa tersayang.
Meniti usia 45 tahun, Dr Nurshikin atau mesra disapa Shikin merupakan anak sulung daripada lima beradik yang terdiri daripada dua anak perempuan serta tiga lelaki.
Ditanya didikan Allahyarham Shukery Hashim sepanjang hayatnya, Dr Nurshikin mendedahkan bapanya bukan hanya seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak. Malah cukup penyayang terhadap orang sekeliling.
“Arwah ayah seorang yang sangat penyayang. Dia memang suka melayan anak-anak sejak kecil, suka bercerita, melawak dan rapat dengan anak-anak buah. Dalam masa sama, dia sangat menekankan soal pendidikan anak-anak.
Antara pesanan yang paling saya ingat sampai sekarang ialah, “Jadikan rumah itu tempat yang paling seronok untuk anak-anak, bukan di luar rumah.”
Ayah selalu pesan kalau anak-anak rasa rumah tidak menyeronokkan, mereka akan mula mencari keseronokan di luar bersama kawan-kawan. Sebab itu kami adik-beradik memang lebih banyak masa di rumah dan tidak biasa keluar sampai lewat malam.
Ayah juga sangat tegas tentang hutang. Dia memang tidak suka anak-anak berhutang. Kalau pinjam, mesti pulangkan segera, dan kalau boleh jangan langsung berhutang dengan orang.”
Tambah Dr Nurshikin lagi, “Sebagai anak sulung perempuan, ayah selalu ingatkan saya supaya menjadi contoh kepada adik-adik. Saya akui, memang ada tekanan sebagai anak sulung, tetapi nasihat itu banyak memotivasikan saya untuk terus berusaha dan menjadi role model kepada adik-adik.
Satu lagi pesanan ayah yang saya ingat, “Suami isteri boleh bergaduh kerana anak-anak, jadi kena bijak urus dan selesaikan masalah.”
Anak Dedah Peribadi Shukery Hashim
Dedah isteri kepada Mohd Nazib bin Md Samri ini, arwah bapanya juga suka membantu keluarga terutamanya adik-beradik yang berada dalam kesusahan.
Walau sudah lebih 10 tahun Allahyarham meninggal dunia namun kenangan Dr Nurshikin di samping figura kebanggaannya itu tersemat kemas di ingatan.
Ads
Mengimbas kembali detik arwah dijemput ilahi, Dr Nurshikin ketika itu baru melahirkan anak pertama sewaktu berusia 28 tahun.
“Arwah didiagnos dengan kanser pankreas tahap 4. Dalam tempoh saya berpantang selama tiga bulan di rumah, kesihatan ayah semakin merosot dengan cepat. Walaupun dalam keadaan sakit, ayah masih kuat, dia sempat pergi ke tanah perkuburan dan memilih sendiri tempat kuburnya. Dia juga menguruskan segala kewangan dan melangsaikan semua hutangnya.
Tempoh itu sangat singkat tetapi bermakna kerana saya berpeluang berada bersama ayah di saat-saat akhir. Apabila keadaan semakin kritikal, ayah dimasukkan ke hospital. Ibu ulang-alik menjaga ayah, dan satu hari kami semua dipanggil apabila doktor memaklumkan keadaan ayah sudah nazak.
Arwah meninggal dunia pada 10 Jun 2009, dan tahun ini sudah 17 tahun pemergiannya. Saya bersyukur sangat dalam tempoh saya berpantang, arwah ayah sakit saya berada di KL bersama-sama keluarga ketika itu,” ujarnya.
Kata Dr Nurshikin, ketika arwah masih ada dia dan adik-beradik pernah terlibat sebagai pelakon tambahan. Antaranya adik lelaki yang muncul dalam drama ‘Bapak Bola, Anak Futsal’. Namun masing-masing fokus kepada pelajaran dan tiada yang meneruskan legasi arwah dalam seni.
Pun begitu, Dr Nurshikin bersyukur kerana ibu tersayang iaitu Paridah Mat Desa menjaga kelima-lima anak dengan baik dan penuh kasih sayang. Sehingga kesemuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing.
“Alhamdulillah, kami semua membesar dengan sokongan ibu yang kuat. Saya bekerja di UTM, adik perempuan di Hospital Ampang, adik lelaki nombor tiga di UPM, adik lelaki nombor empat di Majlis Perbandaran Kajang, dan masing-masing sudah bekerja. Adik bongsu pula masih di sekolah rendah ketika itu dan sekarang ahli perniagaan.
Kami adik-beradik saling membantu, termasuk dalam menyara ibu. Ayah juga sempat meninggalkan sedikit simpanan untuk ibu dan adik yang masih belajar.
Adik perempuan saya tinggal berdekatan dengan ibu, jadi dia yang paling kerap menjenguk dan menjaga ibu. Saya pula bekerja dan menetap di Johor, manakala adik-adik lain di sekitar Kuala Lumpur,” jelas ibu kepada enam cahaya mata ini.
Semoga Allahyarham Shukery Hashim ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan Dr Nurshikin serta keluarga tabah menjalani kehidupan meskipun tanpa bapa tersayang di sisi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Usaha Lana Nodin pimpin suami ke arah kebaikan raih pujian! Suka betul dengan cara aktres jelita ini jaga keperibadian diri, rumah tangga dan berazam jadi insan lebih baik. Bermula dengan penghijrahan diri untuk tampil menutup aurat dan berhijab, kini Lana ‘bawa’ bersama suami tercinta dan anak-anak ke jalan diredai-Nya.
Dalam posting terdahulu di media sosial, Lana pernah berkongsi aktiviti anak-anak dan suami yang mengikuti kelas agama secara persendirian di rumah.
Malah, dia tak jemu mendedahkan suami iaitu Mohd Daud McKienzie dengan didikan agama Islam sebaik-baiknya.
Awal Disember lepas, pelakon yang juga usahawan ini mengumumkan dia sekeluarga berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah. Tampil berpurdah dengan jubah hitam, rata-rata warga maya memuji usaha Lana dan mendoakan agar mereka memperoleh umrah mabrur.
“Alhamdullilah tahun ni Allah SWT mengizinkan kami sekeluarga mengerjakan umrah DIY bersama suami dan anak-anak. Terima kasih sahabat-sahabat dan ahli keluarga yang mendoakan perjalanan kami selamat sampai di sini.
Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati anda semua dan semoga perjalanan umrah ini mendapat hidayah untuk kami sekeluarga dan menjadikan umrah ini umrah yang makbur. InsyaAllah, aamiin.”
Lana Nodin dalam pada itu meluahkan rasa bangga melihat kesungguhan suami menjadi seorang Muslim yang baik.
“Alhamdulillah I’m very proud wife, mom and daughter to my husband, my kids and my parents as we are completed our first umrah for first time as family. Thank you, Allah SWT, for making our umrah ease and barokah.
Thank you, Allah SWT, for inviting us to come here and make my doa came true. Especially to my husband David McKienzie. I am very proud of you as wife. No words can describe how happy, love, and respect I have for you. Thank you Allah SWT for hidayah your given to my family.”
Menerusi video yang dikongsikan Lana ketika berada di Tanah Suci, kelihatan ibu dua akan ini mengalirkan air mata sejurus melihat Kaabah di depan mata. Pastinya yang melihat video berkenaan turut merasa sayu.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang juga atlet kelahiran Amerika Syarikat pada tahun 2015.
Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Gia Quinn McKienzie dan William Daud McKienzie.
Apa yang pasti, masyarakat memuji usaha Lana Nodin pimpin suami tercinta ke arah kebaikan dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa. Moga rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang pernah menonton filem islamik ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang popular selepas filem ayat-ayat cinta pasti kenal dengan heroin utama Anna Althafunnisa yang dilakonkan oleh Oki Setiana Dewi.
Siapa sangka hijabi manis bertudung litup itu telah berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Phd) dan mendapat gelaran Doktor dari Institut Perguruan Tinggi Ilmu Al-Quran Jakarta pada 1 November lalu.
Ini merupakan gelar doktor kedua bagi Oki setelah menghabiskan masa menjalani pengajian di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta dalam jurusan Pengkajian Islam Konsentrasi Komunikasi dan Dakwah pada tahun 2020 yang lalu.
‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’ itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan rezeki yang dikecapi oleh Oki, apabila beliau terus ditawarkan jawatan pensyarah Universiti di kampus sama sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Malah, Oki bersetuju untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan, kerana menurutnya, lagi banyak kita memberi ilmu (mengajar) kepada orang lain, maka lebih banyak ilmu yang akan diperolehinya nanti.
“Mungkin, rasa-rasanya saya akan mulai memikirkan perkara ini. Kerana, kalau kita mengajar kita juga bakal memperoleh ilmu,” ucap Oki Setiana Dewi lapor kompas.com ketika ditemui di kawasan Lebak Bulus, Jakarta Selatan.
Selain itu, Oki berkata menjadi tenaga pengajar di Universiti memang menjadi impian yang sudah lama diidamkannya.
“Sebenarnya untuk jadi Pensyarah itu sudah difikirkan sejak beberapa tahun yang lalu. Karena, saya sangat suka belajar. Tapi kerana sibuk dengan jadual yang padat, akhirnya terpaksa menangguhkan niat itu,” kata Oki Setiana Dewi.
Kakak kepada pempengaruh Youtube, Ria Ricis itu mendedahkan bahawa dia sangat suka menimba ilmu. Oleh sebab itu, dia memilih untuk terus menuntut ilmu meskipun sudah berumah tangga.
“Saya fikir, kerana saya orang yang cintakan ilmu dan saya suka belajar, saya suka dengan kampus, saya suka bertemu dengan guru-guru dan masih ada banyak ilmu yang saya tak tahu, dan hanya mengetahuinya setelah menuntut ilmu,” jelas Oki Setiana Dewi.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Muabellaz menerima Anugerah Tokoh Belia dalam Program Dari Akar Umbi Ke Jaguh Dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan kosmetik dan ikon belia yang berjaya membina empayar perniagaan dari Kedah.