Alhamdulillah, berkat pengorbanan dan kasih sayang tidak berbelah bagi anak istimewa Edry Abdul Halim dan isteri semakin menunjukkan perkembangan positif. Mengambil inisiatif berhijrah ke Manchester demi memberi pendidikan terbaik buat anak autismnya iaitu Emery, bekas penyanyi kumpulan KRU ini berkata usaha tersebut mula berhasil.
Jelas adik kepada Dato’ Norman dan Dato’ Yusry ini, anak ketiganya itu sudah mampu mengurus diri. Walau belum boleh bertutur, pasangan suami isteri tersebut bagaimana pun gembira dengan keadaan anak tersayang.
Memetik kenyataan Edry kepada media awal Mac lalu, “Sebaik berpindah ke Manchester, kami mula kurangkan jangkaan terhadap perkembangan Emery.
Kami tidak lagi tunggu bila cikgu akan mengajar dia bercakap. Sebaliknya, kami terima seadanya keadaan anak kami.
Lagipun, apa yang diajar sekolah di UK lebih kepada asas kehidupan seperti penggunaan tandas, keselamatan di dapur, melintas jalan dan lain-lain.”
Terbaharu, Edry berkongsi wajah terkini anak terunanya di media sosial. Ternyata ia mendapat banyak reaksi daripada peminat, rakan artis dan bapa saudara Emery iaitu Dato’ Norman Abdul Halim.
“My special boy Emery in style for Prom night sekolah dia. Looking forward summer holidays soon.
FYI, untuk yang tak mengenali, Emery anak istimewa Autism, non verbal tapi pandai menulis/mengeja. Itu salah satu cara nak faham dia. Umur dah 16 tahun this year.”
Selain Emery, Edry Abdul Halim dan Milia dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Emil berusia 23 tahun, Edylia, 20 tahun dan Elya, 13 tahun.
Mengulas pertanyaan jika dia mahu terus menetap di bumi UK, pemuzik ini bagaimana pun belum merancang untuk kembali ke Malaysia memandangkan Emery akan tamat sekolah dalam tempoh empat tahun.
“Saya tidak nafikan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jadi, lebih baik di negeri sendiri. Perancangan untuk pulang ke Malaysia ada, tetapi bukan pada waktu terdekat kerana Emery masih belajar.
Dua anak saya yang dewasa sudah bekerja dan belajar di kolej. Jika mereka ingin terus menetap di Manchester, saya tiada halangan kerana mereka sudah besar. Itu pilihan mereka.”
Moga kekuatan Edry dan Milia menjaga anak istimewa ini menjadi kekuatan semangat buat para ibu bapa yang turut mempunyai cahaya mata autism.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/datuk-amy-cecah-usia-65-masih-segak-bakal-buat-konsert-nabila-huda-titip-doa-bapa-tersayang/