Kerap bersin, pernafasan tersekat-sekat, hidung berair, sakit kepala! Mungkin ramai yang pernah mengalami masalah seperti ini sehingga kehidupan harian terjejas teruk. Anda mengalaminya?

Sebenarnya ada dua masalah berbeza yang melibatkan hidung, lalu mencetuskan masalah ini.

IKLAN
  • Rinitis – Berlaku secara berpanjangan/berterusan ataupun bermusim (on and off). Ini kerana mukosa hidung sensitif kepada alam sekitar dan menyebabkan ia bengkak serta mengakibatkan hidung tersumbat.
  • Sinusitis – Terjadi apabila terdapat keradangan dan jangkitan pada sinus cavaties. Manusia mempunyai 4 rongga udara ataupun sinus yang dikenali Maxillary, Ethmoids, Frontal dan Spenoid. Rongga sinus ini terletak dalam tulang tengkorak dan mempunyai bukaan masing-masing dalam rongga hidung.

Rinitis disebabkan oleh alahan (contohnya: debu, asap, bahan pencemaran udara, hama debu rumah, alahan makanan terutamanya alahan terhadap susu lembu) dan perubahan suhu, tekanan dan perubahan hormon (contohnya: kehamilan, menopaus, ketidakseimbangan tiroid).

Sinusitis terjadi apabila terdapat jangkitan dalam sinus yang disebabkan oleh virus bakteria atau kulat. Ia boleh mengakibatkan jangkitan saluran pernafasan (bahagian atas) yang teruk sehingga menyebabkan keradangan dan kesesakan saluran sinus (poor drainage). Di sini, mukus lembap akan terperangkap dan senang dijangkiti penyakit.

Gejala Rinitis

Saluran hidung yang tersumbat secara berselang-seli, hidung berair, hingus meleleh, bersin berpanjangan, sakit kepala, gangguan deria bau, rasa penat dan lesu disebabkan kekurangan rehat/tidur. Gejala ini berlaku biasanya disebabkan oleh alahan (daripada alergen). Ini boleh menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti pesakit.

Gejala Sinusitis

Hidung yang tersumbat secara berterusan, lelehan lendir yang tebal dan berwarna kekuningan atau kehijauan, demam, sakit kepala, sakit di bahagian muka, gigi yang sensitif (rahang atas), telinga tersumbat dan sakit badan. Gejala di atas adalah lebih kepada keadaan sinusitis yang kronik/parah.

Rinitis biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghadapi keadaan ini. Ia berhubungkait dengan asma bronkial dan eczema.

Risiko

Pesakit yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat sinusitis biasanya ialah:

  1. Pesakit yang gagal mengawal rinitis dengan baik
  2. Pesakit yang mempunyai masalah variasi anatomi (contoh: Deviasi Septum Nasal/Nasal Polyp)
  3. Pesakit yang mempunyai diabetes
  4. Pesakit yang mengambil ubat aspirin
  5. Pesakit yang mempunyai hypothyroidism

Keadaan nasal/hidung boleh ditentukan dengan melakukan pemeriksaan Endoskopi hidung (menggunakan sistem kamera). Ini adalah prosedur klinikal dan akan dilakukan dengan menggunakan Anestesia Topikal (kebas di bahagian tertentu sahaja). Kaedah pengimejan seperti CT Scan sangat penting untuk membantu dan mentafsir variasi anatomi, menentukan fakta-fakta penting dan tahap penyakit tersebut.

Pesakit rinitis memerlukan ubat dalam jangka masa panjang seperti intranasal sprays, saline irrigation dan antihistamina. Namun, perkara yang paling penting adalah pesakit haruslah mengenal pasti pencetus atau punca alahan dan mengelakkannya sebaik mungkin.

Selain itu, pesakit digalakkan agar melakukan ujian pemeriksaan darah untuk mengetahui punca alahan supaya dapat mengelakkan diri terdedah pada alahan tersebut.

Pesakit yang mempunyai sinusitis memerlukan antibiotik, nasal decongestant dan saline douching. Sekiranya tidak dapat diatasi dengan ubatan, maka pesakit akan dicadangkan untuk melakukan pembedahan sinus secara endoskopi.

Pesakit yang mempunyai rinitis yang kronik dan berulang dinasihatkan supaya mengenal pasti dan mengelakkan diri dari terdedah kepada bahan alahan. Intranasal spray dan saline irrigations haruslah digunakan serta pengambilan vitamin dan antioksidan adalah digalakkan untuk meningkatkan imuniti pada badan.

Ini bagi memastikan setiap orang mempunyai bahagian hidung yang sihat supaya boleh mengurangkan risiko komplikasi seperti sinusitis, dan polip hidung.

Info Ekstra

Polip hidung berlaku apabila selaput lendir dalam hidung menjadi radang dan membengkak di dalam rongga hidung. Pertumbuhan polip akan menyebabkan hidung tersumbat sekiranya saiz semakin besar. Rosmah Idayu Abu Samah