Tak sangka Arni Nazira sebenarnya mempunyai hubungan keluarga dengan artis legenda tanahair, Noorkumalasari. Arni Nazira pernah memuat naik gambarnya bersama Noor Kumalasari di Instagram dengan kapsyen “Small family gathering…” Posting itu juga telah mendapat perhatian para pengikutnya dan ada yang bertanya bagaimana Arni dapat bertemu dengan seniwati tersohor itu.
Melihat kepada gambar tersebut kedua-duanya nampak sangat mesra dan rapat. Sementara Noorkumalasari pula masih kelihatan anggun dan bertenaga biarpun telah lama bersara daripada industri seni.
IKLAN
Noorkumalasari merupakan pelakon dan penyanyi terkenal era 70an. Beliau merupakan anak kepada Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum. Umum mengetahui, Noorkumalasari adalah adik kepada penyanyi versatile, Anita Sarawak.
“Auntie Noor (gelarannya kepada Noorkumalasari) adalah saudara sebelah suami saya. Sebenarnya kami jarang berjumpa melainkan kalau ada majlis-majlis keraian contohnya kenduri atau family gathering. Kalau dulu ada jugalah kami bertandang ke rumah Auntie Noor untuk bertanya khabar.
Sekarang usianya pun dah mencecah 60an dan dah bersara dari dunia seni. Secara peribadi saya cukup menyenangi Auntie Noor kerana kalau kami berjumpa beliau sangat friendly. Sikapnya itu yang menginspirasikan saya, tidak sombong walaupun dirinya seorang legenda. Kami akan berbual macam-macam topik. Selain bertanya khabar, saya juga suka bertanyakan tentang lakonan dulu-dulu.
Memang banyak pengalaman menarik yang Auntie Noor suka kongsi, memang seronok dengar. Walau pun saya sendiri dah lama meninggalkan dunia seni tetapi saya suka dengar Auntie Noor bercerita tentang lakonannya dulu-dulu. Dan kalau tak dapat berjumpa macam sekarang, masing-masing akan bertanya khabar,” kongsi Arni Nazira kepada Nona.
ANNIVERSARY 12 TAHUN PERKAHWINAN Sedar tak sedar sudah 12 tahun Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009. Dan pada tahun ini, 12 tahun jugalah usia perkahwinannya bersama suami, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan.
Kini pada usia 42 tahun Arni Nazira masih kekal cantik walaupun bergelar ibu kepada 5 orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha (21), Puteri Aleefa Antasha (19), Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).
Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha adalah zuriat hasil perkahwinan Arni Nazira yang pertama. Kedua-duanya kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang sama sekitar Kuala Lumpur dalam bidang event management. Disebabkan minat serta hubungan dua beradik ini sangat rapat, kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama.
“Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.
Sebagai suri rumahtangga sepenuh masa saya menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri tanpa pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.
IKLAN
12 tahun hidup bersama pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama.
Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa. Me-time saya pun hanya dengan suami. Kalau ke mana-mana selalu berdua atau berlima dengan anak-anak. Keluarga adalah harta dan segala-galanya buat saya. Kalau sedih atau stres saya tetap perlukan suami di sisi.
AMALKAN JAMU & PANTANG Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.
IKLAN
Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
Sebagai isteri dan ibu saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik di mata suami serta anak-anak. Begitu juga hubungan saya dengan anak-anak bekas suami iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha, kami selalu berhubung. Kalau tak berjumpa kami akan berhubung melalui Whatsapp atau video call setiap hari.
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”
Arni Nazira Anuar, anak kelahiran Terengganu ini mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996. Setelah bergelar penyanyi, lagu nyanyian Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Manakala filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Kredit Foto: Instagram @arninazira
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wow, bangga dan kagum dengan kejayaan selebriti popular Indonesia Mulan Jameela. Bukan sekadar berubah sepenuhnya dari segi penampilan bahkan isteri kepada vokalis kumpulan Dewa, Ahmad Dhani ini juga nampaknya makin serius menceburi bidang politik. Meskipun suami tercinta tidak berada di sisi kerana masih menjalani hukuman penjara namun Mulan tetap cekal mendepani hidup di samping anak-anak. Tabah betul!
Memetik kenyataan Mulan ketika ditemu bual Liputan 6, wanita berusia 40 tahun ini memutuskan untuk memakai kerudung kepala sebaik pulang dari Palestin tahun lepas… iaitu beberapa hari sebelum Ramadan menjelang. Katanya, niat berhijab sudah terdetik di hati apatah lagi suaminya sudah lama menanti untuk dia berubah.
“Berhijab dari tanggal 14 Mei. InshaAllah, berkekalan. Niat sudah lama sebenarnya cuma masih on off. Mahu terus berhijab tapi masih ragu-ragu. Suami dah lama luah hasrat nak tengok saya bertudung tapi apakan daya, hati belum diketuk hidayah Allah. Sejujurnya rasa mahu pakai hijab lepas pulang dari Palestin. Sembilan hari berada di sana dan berhijab, saya rasa tenang dan selesa saja.
Di sana saya belajar banyak perkara dan niat untuk berhijab bukan kerana Palestin semata-mata. Memang hati terdetik mahu pakai hijab ketika berada di sana lagi tapi paling utama adalah hidup di dunia ini singkat dan bukan selama-lamanya. Ada kehidupan lain yang sedang menanti.”
Jika sebelum ini peminat mengenali peribadi Mulan kerana penampilannya yang seksi, kini kehidupannya berubah ke arah lebih baik. Baju yang selama ini ‘melekap’ di tubuh kini longgar tanpa mengikut bentuk badan, gaya tudungnya pula labuh dan mematuhi syariat Islam serta lengkap mengenakan stokin kaki dan tangan. Memang menepati ciri-ciri wanita muslimah sebenar. Untung Ahmad Dhani!
Mulan yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Ratu pernah menggegarkan industri muzik di Indonesia dan Malaysia menerusi lagu ‘berhantu’ mereka Teman Tapi Mesra. Kalau diminta untuk menyanyikan semula lagu tersebut pun mesti ramai yang masih mengingati setiap bait dan lirik lagu berkenaan. Memang legend! Bersandarkan bakat nyanyian dan wajah jelitanya, tidak hairanlah nama Mulan melonjak naik… sebaris dengan nama-nama penyanyi popular lain di Indonesia.
Bagaimanapun sekitar tahun 2011, nama Mulan terpalit dengan kontroversi gara-gara penceraian rakan baik dan teman duetnya, Maia Estianty. Dia dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga Maia dan Ahmad Dhani yang kini menjadi suaminya.
Difahamkan Mulan dan Ahmad Dhani telah sah bergelar suami isteri namun menyembunyikan pernikahan mereka daripada pengetahuan peminat. Dakwaan tersebut bertiup kencang apabila khalayak mula menyedari perubahan diri Mulan yang dikatakan sedang hamil anak Ahmad Dhani.
Shafeea, anak perempuan sulung Mulan dan Ahmad Dhani… kini berusia 8 tahun manakala seorang lagi anak mereka ialah Ahmad Syailendra Aerlangga, tiga tahun. Sebelum bernikah dengan Ahmad Dhani, Mulan pernah berkahwin dengan Harry Nugraha dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tiara dan Daffi.
Awal Oktober lalu, Mulan kembali menjadi perhatian apabila dia turut bertanding dalam salah sebuah parti politik di Indonesia. Yang pasti, bukan Mulan saja yang kini bergiat aktif dalam arena politik bahkan Kris Dayanti dan vokalis kumpulan Ungu iaitu Pasha juga merupakan antara selebriti yang sudah menceburkan diri dalam bidang berkenaan.
Foto: Instagram Mulan Jameela
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cetusan visinya mengolah pembaharuan. Bayangkan Jessica Tan, figura asal Singapura berusia 46 tahun ini menterjemahkan kuasa teknologi serta kewangan ke dalam syarikat insurans biasa menjadi gergasi kewangan dan teknologi (FinTech) kesihatan terbesar di dunia, Kumpulan Ping An (China).
Dikenali sebagai salah seorang wanita paling berkuasa dalam perniagaan, Jessica Tan Sin-Yin bangkit sebagai pemimpin wanita Asia berpengaruh pada masa kini.
Jawatan beliau sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Ping An berjaya menaikkan nilai syarikat konglomerat China itu sehingga AS$174 billion.
Mendaki tangga ke-34 dalam senarai 100 Wanita Paling Berkuasa Di Dunia 2022 oleh Forbes, aspirasi kejayaan beliau menyuntik semangat luar biasa.
Jessica memulakan kerjayanya selepas tamat pengajian di Institut Teknologi Massachusetts (MIT). Anak kelahiran Singapura itu seterusnya menyertai McKinsey sebagai rakan kongsi sekaligus melonjakkan bakat kepimpinannya sebagai tokoh terkemuka dalam bidang perniagaan antarabangsa.
Ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, Jessica pernah dinamakan sebagai wanita kedua paling berkuasa di luar Amerika Syarikat oleh majalah Fortune.
Syarikat Insurans Kumpulan Ping An yang kini bernilai berbilion dolar diasaskan sejak 1988, oleh ahli perniagaan Shenzhen iaitu Peter Ma.
Ia merupakan syarikat insurans saham bersama pertama di China. Nama Ping An yang bermaksud ‘keselamatan’ dipilih sebagai mesej jelas kepada pelanggan tentang nilai yang dipegang oleh syarikat tersebut.
BIJAKSANA
Berbekalkan ijazah dalam kejuruteraan elektrik dan ekonomi dari MIT, kerjaya Jessica Tan bermula pada tahun 2000 apabila anak muda Singapura itu menjadi perunding di McKinsey & Company.
Di sana, beliau berkerjasama dengan pelanggan dari seluruh dunia untuk mentransformasi syarikat dan meningkatkan penggunaan teknologi termaju dalam operasi.
Pada tahun 2008, Jessica dilantik sebagai rakan kongsi di bahagian Perkhidmatan Kewangan dan Teknologi Perniagaan McKinsey. Dalam tempoh tersebut, beliau memikul tugas membantu Ping An menubuhkan pusat perkhidmatan kongsi di China.
Peluang ini mempertemukan beliau dengan Pengasas Kumpulan, Peter Ma, yang menggalakkan Jessica agar terus mengambil lebih banyak risiko dalam kerjayanya.
Nasihat itu memberi kesan kepada Jessica. Beliau seterusnya meninggalkan McKinsey dan melangkah masuk ke Kumpulan Ping An di Shenzhen pada 2013.
Perjalanan wanita itu bermula sebagai CIO Kumpulan, tetapi berkat usaha gigihnya menyokong penggunaan teknologi yang lebih baik berjaya meninggalkan impak besar kepada syarikat.
Teknologi serta penyelidikan dan pembangunan syarikat kini menjadi asas Kumpulan Ping An. Di bawah pimpinan Jessica Tan, mereka berjaya memperkasakan operasi perkhidmatan kewangan runcitnya kepada pangkalan pelanggan lebih daripada 220 juta peruncit dan sekitar 611 juta pelanggan dalam talian.
Sebagai CIO dan kemudiannya COO, Jessica Tan menggariskan visinya tentang ‘teknologi serta kewangan’ sebagai kunci kepada kejayaan berterusan Ping An pada abad ke-21.
Lufax, laman web jualan kereta China Autohome dan Ping An Smart City – yang menggabungkan pengkomputeran awan, rantaian blok dan kecerdasan buatan ke dalam infrastruktur tradisional – hanyalah sebahagian daripada usaha niaga Kumpulan yang telah mendapat manfaat daripada pendekatan teknologi tinggi beliau.
“Kami sentiasa agresif dalam bidang pendigitalan. Kami juga membelanjakan lebih daripada AS$1.7 bilion untuk teknologi R&D setiap tahun. Walaupun kami tidak pernah benar-benar tahu bagaimana teknologi akan berubah, kami fikir adalah penting untuk memiliki keupayaan ini.” Jessica Tan
Menjelang Disember 2019, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ping An.
Ketika penularan wabak di Wuhan, platform perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian terbesar di China, Good Doctor, mendapat sambutan menggalakkan malah menjelang kemuncak wabak itu, lebih 1.11 bilion perundingan maya telah dilakukan.
Populariti dan keberkesanan platform ini telah mengurangkan tamparan ekonomi sewaktu pandemik di Kumpulan Ping An. Platform Good Doctor menjana lebih daripada AS$1 bilion sepanjang 2020, peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, HealthKonnect mempelopori ujian COVID secara besar-besaran di China, manakala skim pendigitalan Ping An Smart Healthcare membantu dengan penjarakan sosial.
“COVID-19 telah mengajar kami untuk menjadi lebih agresif. Kami mempunyai 1.5 juta pekerja, dan saya mempunyai kontingensi untuk sekitar 20 peratus daripada mereka untuk bekerja dari jauh pada bila-bila masa.” Jessica Tan
Sewaktu kemuncak COVID-19, langkah penyekatan (lockdown) menuntut semua kakitangannya bekerja dari rumah, dan Tan merealisasikannya dalam lima hari. Berkat pandangan jauhnya dalam membawa masa depan digital ke masa kini akhirnya menjadikan Jessica Tan salah seorang pemimpin perniagaan yang paling berkuasa di dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melayari hidup berumah tangga selama 19 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Tak dinafikan keserasian, rasa hormat, pengorbanan dan toleransi menjadi tonggak kepada perkahwinan yang berkekalan. Sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-19 baru-baru ini, bekas personaliti televisyen Aidid Marcello titip ucapan buat isteri tercinta iaitu Norzie Pak Wan Chek ...