Makin bahagia dan sukses tengok kehidupan Maia Estianty sekarang. Suatu ketika dulu, nama Maia pernah jadi bualan peminat seni di Malaysia menerusi lagu popularnya ‘Teman Tapi Mesra’ yang menganggotai kumpulan Ratu bersama Mulan Jameela.
Bagaimana pun kini, wanita jelita berkenaan selesa menguruskan kerjaya seni ketiga-tiga anak lelakinya yang dikenali sebagai kumpulan The Lucky Laki.
Sebelum kembali mengecap nikmat rumah tangga bersama usahawan terkenal Indonesia, Irwan Mussry pada 29 Oktober 2018, Maia merupakan bekas isteri kepada penyanyi kumpulan Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani. Mereka dikhabarkan berpisah pada tahun 2008.
Maia mengambil masa lama kira-kira 10 tahun untuk kembali bergelar isteri kerana serik memulakan hubungan baharu selepas episod penceraiannya bersama Ahmad Dhani. Tapi kini, tiada lagi fasa air mata dalam kehidupannya.
Hasil perkahwinan terdahulu, Maia dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Al Ghazali, Ahmad El Jallaludin dan Abdul Qodir Jaelani.
Meniti usia 46 tahun, Maia yang juga seorang penerbit dilihat kian ceria di samping suami tercinta. Apa tidaknya, ada sahaja masa terluang pasti pasangan ini akan bercuti ke luar negara bersama-sama.
Malah, Maia turut bersyukur kerana suami menerima dan menganggap ketiga-tiga anak selebriti itu seperti anak sendiri.
View this post on Instagram
Ketika ulang tahun perkahwinan pertamanya bersama Irwan, wanita kelahiran Surabaya, Indonesia ini lagi menitipkan rasa syukur kepada suami tersayang, “Kamu yang menerima aku dan ketiga anakku dengan segala kekurangannya, dan menerima mereka sebagai anakmu juga dengan selalu memanggil mereka ‘OUR SON, MY SON’.”
Pada April lepas, Maia dilaporkan telah menjalani pembedahan membuang batu hempedu. Sepanjang 3 hari berada di hospital, dia ditemani suami dan anak-anak. Beruntung Maia kerana mendapat perhatian penuh daripada mereka.