
Sejak kahwin dan bergelar ibu, makin cantik berseri-seri Mira Filzah! Bukan saja kehidupan peribadi bertambah bahagia dengan kehadiran suami penyayang dan anak comel, bahkan Mira bertuah kerana kerjayanya kian bersinar dan berkembang maju.
Tahun ini sahaja Mira melakar satu lagi pencapaian apabila berjaya mempunyai jenama tudung sendiri dan menjadi wajah Swarovski. Malah, dia juga berpeluang menjalin kolaborasi bersama jenama muslimah terkenal Indonesia, Buttonscarves!
Isteri Wan Emir Astar ini juga kembali aktif mewarnai dunia lakonan selepas kelahiran anak sulungnya. Walau sudah berumah tangga dan mempunyai anak, populariti Mira masih utuh dan diterima ramai.
Mira turut jadi kebanggan keluarga https://www.nona.my/mak-abah-family-very-proud-of-you-ibu-kagum-kejayaan-mira-filzah-jadi-anak-seni-usahawan-berjaya/



Buktinya, dia diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai duta bagi pelbagai produk. Antaranya Secret Recipe dan Coway.
Tidak ketinggalan, wanita cantik kelahiran Perak ini merupakan pengasas Luna. Murah rezeki Mira Filzah!
Bersandarkan kejayaan Mira dalam kerjaya dan kecemerlangannya dalam bidang akademik di universiti, dia menerima jemputan daripada institusi pendidikan awam ternama negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei lepas.




Kongsi Mira, “Assalamualaikum UiTM. Saya kembali sebagai Alumni jemputan untuk Istiadat Konvokesyen UiTM ke 96.”
Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman ialah graduan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian Perniagaan Antarabangsa UiTM yang tamat graduasi pada tahun 2016.
Datin Azrene Terpaksa ‘Tahan’ 3 Jam & Akhirnya Lepaskan ‘Hajat’ Dalam Semak Akibat Lebuh Raya Sesak

Seperti biasa sebagai anak desa apabila tiba hari raya pasti akan pulang ke kampung untuk bertemu dengan mak dan ayah. Oleh itu, ramai anak kota yang akan berpusu-pusu di atas lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing. Sudat menjadi adat bersesak-sesak di atas lebuh raya kerana jumlah kereta lebih banyak daripada hari-hari biasa.
Namun, pada tahun ini situasi untuk pulang semula ke bandar menjadi sesak luar biasa. Mungkin kerana cuti raya yang pendek bagi anak-anak yang bersekolah.
Datin Azrene Ahmad bersama suaminya, Dato’ Fazley Yaakob tahun ini turut terpalit dengan kesesakan di lebuh raya kerana bercuti di Pulau Pinang. Lebih parah apabila Datin Azrene terpaksa menahan ‘hajat’ selama 3 jam untuk berkunjung ke R&R tetapi hampa apabila ditutup akibat terlalu sesak.
Kongsi Dato’ Fazley di laman media sosialnya, “First time saya dan isteri drive kereta asing-asing bila travel, risau juga bila isteri tersayang drive kereta lain. Kejap-kejap check dekat cermin, nak pastikan dia ada di belakang saya.
Nasib baik dia cekap bawak kereta, pandai dia cilok sini sana supaya tak berjauhan dari saya! “You’re a superb driver Adik Sayang!” Cuma siksanya tahu tak kenapa?
Kitaorang drive sampai 13 jam dari Penang ke KL, biasanya 3 jam je! Tapi biasalah tu kan, travel time raya. Cuma stres sebab lain.
Ya Allah, stres sebab R&R yang ditutup, kesian semua orang yang terpaksa buang air tepi jalan, termasuk dalam semak samun! Termasuklah Adik sayang saya! Saya jadi #fastandfurious kejap, berhenti tepi jalan, ambik towel untuk cover dia, lepas tu dia terus ‘legakan diri’ dalam semak samun.
Rupa-rupanya bukan kitaorang je, ramai lagi terpaksa ‘legakan diri’ tepi jalan atas jalan tar dan tepi jalan macam kitaorang. Kenapa tutup R&R time yang tak strategik PLUS Malaysia kesian kami semua pengguna highway. Ramai pulak tanya, hajat besar ke hajat kecil, hajat kecil je nasib baik,” kongsi Dato’ Fazley.
Datin Azrene turut menjawab dalam ruangan komen, “OMG Abang! Seksa tau duduk dalam kereta tahan 3 jam only to find the R&R tutup and the next R&R was 53km away. Thank you for finding a way to stop so I could go to the loo the old fashioned way. I must say though, driving convoy with you was awesome. Where to next?,” katanya.
Syukur kerana semuanya selamat dan pihak PLUS Malaysia turut memberi maklum balas terhadap tulisan Dato’ Fazley. “Assallamualaikum YDH Dato’ Fazley. Pihak kami amat bersimpati dengan situasi yang telah dihadapi oleh Dato’ dan Datin sekeluarga dan juga pengguna-pengguna lebuh raya yang lain pada hari tersebut.
Mohon pihak Dato’ berikan butiran waktu dan lokasi R&R terlibat untuk pihak kami membuat semakan dan seterusnya memberi jawapan rasmi berkaitan isu yang dibangkitkan. Terima kasih,”.
Rupa-rupanya R&R yang dimaksudkan oleh Dato’ Fazley adalah di Sungai Perak seperti maklum balasnya terhadap PLUS “Terima kasih di atas keperihatinan pihak tuan untuk semua pengguna-pengguna lebuh raya yang terlibat kelmarin! R&R yang dimaksudkan ialah Sungai Perak, laluan masuk di tutup oleh anggota beruniform sambil mengarahkan pemandu untuk jalan terus.
Selepas itu kebanyakkan pemandu berhenti di bahu jalan berhampiran tol untuk meyeberang ke laluan yang jauh lebih bahaya. Tiada cara untuk masuk ke jejambat dari tengah kerana ianya berjaring (saya pasti ianya untuk keselamatan bersama),” kongsinya.
Bella Kongsi Pengalaman Travel Solo Bas Ditahan Polis Mengesan Dadah Di Amsterdam

Persepsi sebuah perjalanan juga berbeza mengikut keperluan individu. Bagi Noornabilla Azemi, 29 tahun, sebuah perjalanan adalah menikmati keindahan sesebuah kawasan baharu dan menyingkap rahsia sejarah yang tersimpan rapi di kalangan penduduk tempatan. Perjalanan yang dirancang rapi juga menyediakan peluang untuk mengetahui cara hidup, makanan, budaya, adat dan bahasa masyarakat setempat. Menjejak kaki sendiri ke daerah yang dikunjungi sangat berbeza dengan melihat melalui gambar atau membaca semata-mata.
Menurut gadis yang lebih mesra disapa Bella ini, “Impian saya untuk melengkapi pengembaraan menawan 195 buah negara sebelum berusia 30 tahun. Setakat ini saya baru menjelajah ke Singapura, Thailand, Vietnam, Jepun, Korea Selatan, China, Laos, Kemboja, Dubai, Australia, United Kingdom, Netherlands, Jerman, Switzerland, Austria, Republic Czech, Hungary, France, Belgium, Denmark, Itali dan Sepanyol. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu diatur dan saya akan cuba sedaya-upaya untuk melengkapi kesemuanya. Saya masih mempunyai tiga tahun lagi untuk menyempurnakan impian tersebut.
Apabila mengembara secara solo kita tidak terikat dengan sebarang percaturan teman-teman dan boleh melakukan apa sahaja secara sendiri termasuk mahu menginap seberapa lama di sesebuah tempat. Saya tidak mempunyai ketentuan tertentu untuk tinggal berapa lama di sesebuah daerah. Kadang-kadang saya akan menetap di sana selama dua minggu dan ada juga sehingga tiga bulan lamanya. Semuanya bergantung kepada negara atau tempat yang dilawati,” ungkap pemegang Bachelor Engineering Technology Supply Chain Management, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini.
Sebuah perjalanan tidak hanya mencatat peristiwa indah dan sempurna semata-mata. Dalam sebuah lipatan sejarah tetap terpalit peristiwa pahit yang sukar dilupakan dan mendebarkan perasaan. Bella juga terpaksa mengharung peristiwa yang sukar dilupakan dan pasti terpateri kukuh dalam travelog perjalanan hidupnya. “Pengalaman pahit yang selalu menjadi masalah kepada saya adalah masalah bahasa. Kebanyakan negara tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan masih mengagungkan bahasa ibunda mereka. Mereka begitu bangga dengan bahasa pertuturan dan seakan tidak mahu langsung mempelajari bahasa Inggeris. Apabila tidak ramai yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris agak susah untuk berkomunikasi terutama untuk bertanya arah atau tempat yang ingin dituju.
Antara pengalaman yang sukar untuk dilupakan adalah apabila terpaksa bermalam di kaki lima. Pengalaman terpaksa tidur di kaki lima ini terjadi disebabkan saya terlepas kereta api yang sepatutnya dinaiki. Tiada hotel atau motel berdekatan memaksa saya untuk melelapkan mata seorang diri di kaki lima stesen kereta api sehingga pagi untuk menunggu perlepasan kereta api yang seterusnya. Ditambah pula dengan musim sejuk ketika itu maka menggigil kesejukan menusuk tulang sehingga pagi.
Namun, dalam banyak-banyak pengalaman, peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah apabila bas yang saya naiki dari Amsterdam ke Milan telah ditahan oleh pihak polis. Pada ketika itu saya seorang sahaja pelancong wanita dari Asia manakala yang lain pula adalah pelancong dari serata Eropah. Pihak polis tempatan telah menahan bas yang saya naiki dan menggeledah seluruh sudut bas tersebut.
Pihak polis sebenarnya telah mendapat laporan terdapat seorang penumpang yang membawa dadah. Saya terpaksa menanggalkan jaket, kasut dan stoking untuk tujuan pemeriksaan. Beg yang saya bawa juga turut diperiksa oleh pihak berkuasa. Selepas melalui pemeriksaan yang mendebarkan pihak polis telah menjumpai dadah dan ganja dibawa oleh dua orang lelaki.
Jantung berdegup pantas dan rasa ngeri menerpa apabila kedua-dua orang lelaki tersebut duduk betul-betul di hadapan kerusi saya di dalam bas. Alhamdulillah mereka tidak meletakkan apa-apa di dalam beg atau di tempat duduk saya. Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa cuaknya saya dan rasa hendak menangis mahu pulang ke Malaysia dengan segera,” ungkap Bella yang pernah melalui pengalaman ditahan oleh pihak imigresen ketika berada di Australia.
Menurut Bella sepanjang beberapa tahun berada di negara orang dia sangat beruntung kerana tidak pernah ditipu orang. Kerap juga dia mendengar keluhan rakan-rakan apabila ditipu oleh rakyat tempatan ketika melancong tetapi tidak bagi dirinya. Jika ada sekalipun hanya ketika sesi jual beli barangan.
“Luluh Hati Saya Bila Melihat Anak Kecil Disahkan POSITIF COVID-19 Serta ‘Perpisahan Abadi’ Antara Pesakit & Keluarga” DR HUDA

Sekitar empat tahun lalu penulis pernah menemu bual Dr Nurul Huda Mohd Zainol atau Dr Huda ini tentang pengalamannya sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di bumi Islam yang sedang bergolak. Ketika itu satu dunia mengetahui kisah pergolakan di Mesir di mana krisis politiknya hangat diperdebatkan.
Memandangkan ketika itu Dr Huda sedang menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir sebagai pelajar perubatan, penulis hanya dapat menghubunginya menerusi email. Kali ini penulis kembali menjejaki Dr Huda yang kini sedang berjuang sebagai salah seorang petugas barisan hadapan.
Dr Huda antara yang dipilih Allah SWT sebagai pejuang barisan hadapan bagi memerangi wabak COVID-19. Bergelar seorang doktor besar cabarannya namun besar jugalah pahala dan hikmahnya!
Sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermacam pengalaman pahit getir dilalui oleh ibu kepada seorang anak yang berasal dari Pulau Pinang ini. Bukan hanya merawat pesakit selama 12 jam sehari bahkan Dr Huda juga perlu merawat hatinya yang sedang ‘sakit’ merindui insan tersayang yang jauh di kampung. Namun kerana tugas Dr Huda tabahkan hati.
PERMULAAN SEBAGAI FRONTLINER
“Takbir! With Allah SWT Grace and Mercy, acceptance to my duty and pathway that be chosen since 2009. After a tear and sought of comfortless, I know this is what destined for me.
Saya merupakan MO (Pegawai Perubatan) kontrak yang mendapat surat penempatan di Selangor untuk pasukan COVID-19 di salah sebuah hospital. Surat diterima pada 18 Mac 2020 dan perlu melapor diri pada 23 Mac 2020. Terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak kecil adalah cabaran utama saya. Ini termasuklah terpaksa berpindah dari Pulau Pinang ke Selangor dalam masa singkat.
Empat hari berbaki amat bermakna buat saya. Itulah saja masa yang saya ada untuk siapkan barang-barang termasuk menghabiskan masa bersama keluarga. Sempatlah saya menikmati masakan ibu sepuasnya, melihat wajah adik beradik, suami dan bermain dengan anak kecil saya.


Biarpun sedih tetapi ketika melapor diri saya melihat beratus doktor dari semua negeri turun untuk melawan pandemik COVID-19 bersama KKM. Ternyata saya tak keseorangan.
Kali pertama bertugas di wad pesakit COVID-19 saya bertanya kepada jururawat. Selalunya pesakit buat apa? Sebab lama juga mereka dikuarantin sampai berbelas-belas hari di sini. Jururawat menjawab, mereka berzikir. Ternyata benar, ketika melangkah ke wad pada pukul 9.30 malam saya lihat pesakit sedang solat sebelum tidur.

Pukul 5.30 pagi saya dengar mereka mengaji dan bersiap sedia untuk solat Subuh. Terdengar sayup-sayup suara mereka mengaji di balik tirai katil. Ada kala mereka melaungkan azan di dalam wad dan solat berjemaah. Hati terpalu. Dalam keadaan begitu mereka cukup tenang dan bersedia ‘menyiapkan diri’. Kita yang tak sakit masih alpa.
Menguruskan pesakit dari kluster tabligh alhamdulillah senang. Sampai kini saya masih tersentuh dengan akhlak mereka. Lihat wajah mereka pun sejuk. Berbeza dengan pesakit dari kluster ‘kelas-kelas’ hari pertama dah minta western food. Apa pun kluster anda marilah kita bekerjasama dengan terhadnya fasiliti hospital awam ini.
Terdetik di hati, Allah SWT memanggil ku ke sini bukan saja dapat belajar tentang hikmah COVID-19 tetapi untuk melihat sifat manusia dan kebesaranNya. Moga kita menjadi golongan yang tidak dimurkai Allah SWT.

Antara detik yang meruntun jiwa saya sepanjang bertugas adalah melihat anak kecil yang disahkan positif COVID-19 dan terpaksa berpisah dengan keluarga. Sudah tentu ia mengusik naluri keibuan saya. Satu lagi detik ialah perpisahan abadi antara pesakit COVID-19 dengan ahli keluarganya. Pesakit yang meninggal dunia tak boleh ditatapi dan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Jiwa saya tersentuh!
Walaupun ada pesakit sekadar ucapkan terima kasih, saya akan mudah menangis walaupun terlindung di balik face shield dan PPE. Pernah seorang pakcik berkata “Saya doakan doktor sihat sejahtera, diampuni dosa” Terus berderai air mata lalu saya membalas “Saya doakan pakcik dan semua pesakit saya negative COVID-19.” Itu saja harapan saya.

TINGGAL DI ASRAMA
Saya ada terbaca sharing post mengenai rakyat Malaysia yang dikuarantin membahas tentang fasiliti yang kerajaan sediakan daif, makanan tak sedap dan sebagainya. Di kala pandemik, KKM amat sibuk memerangi COVID-19, sibuk menguruskan pesakit tenat. Berlapang dadalah menerima fasiliti itu. Beri peluang kepada KKM menguruskan hal yang lebih mustahak.
Sebagai petugas kesihatan saya sendiri hanya diberikan asrama sebagai tempat tinggal sementara. Makan dua kali sepanjang lima hari pertama saja. Tiada aircond, water heater, tiada wifi percuma, tiada kelengkapan kebersihan diri dan tiada tilam bantal.
Tidur malam pun berpeluh sampai lencun baju. Sudahlah di hospital baju basah pakai PPE, di asrama pun begitu juga. Makanan perlu dicari sendiri. Kafe buka pukul 7 pagi sampai 5.30 petang saja. Lambat cari makan maka tiadalah makan malam. Memasak tak dibenarkan di dalam asrama. Maka makanlah roti yang ada walaupun dah tamat tempoh!
Apa pun saya bersyukur, asalkan ada tempat letak kepala dan boleh lelapkan mata setelah penat bekerja. Terima kasih kepada pihak hospital atas fasiliti yang diberi. Bukan mudah menguruskan ratusan petugas kesihatan melapor diri dalam masa singkat. You guys done a great job!
NASIHAT BUAT RAKYAT MALAYSIA
Patuhi arahan KKM agar kita berjaya putuskan rangkaian wabak COVID-19 segera. Terima kasih bagi yang patuh arahan. Seluruh warga KKM sedang berusaha melakukan yang terbaik. InsyaAllah usaha kita pada hari ini untuk 2-4 minggu akan datang. Jika ada kaitan dengan kontak rapat sila bersikap jujur demi keselamatan semua. Semoga PKP ini membuahkan hasil agar kita dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri kelak.

Buat rakan seperjuangan this is our war, together we fight! Wear your PPE properly, jaga diri, rehat dan menangislah sepuasnya jika perlu. Teruslah berdoa agar rantaian COVID-19 segera diputuskan seterusnya kita dapat berjumpa dengan insan tersayang.

Buat keluarga yang juga ‘berjuang’ melepaskan insan tersayang seperti kami, apa yang berlaku ada sebab walau ia menjarakkan kita. InsyaAllah, perancangan DIA adalah yang terbaik.”
Kredit Foto: Facebook & Instagram Dr Huda Ninol