Berstatus ibu tunggal tak bermakna kehidupan seorang wanita itu akan gagal selamanya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui kerana setiap ujian yang diturunkan sebagai tanda sayang terhadap hamba-hamba Nya. Pasti ada hikmah yang tersirat. Menyedari hakikat itulah menjadikan siapa Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah sekarang. Biarpun statusnya kini berubah namun wanita berusia 47 tahun ini yang mesra dengan panggilan Tengku Adena tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Sejak bercerai dengan bekas suaminya dua tahun lalu, Tengku Adena cekal meneruskan hidup bersama anak perempuannya berusia awal 20-an. Selayaknya, Tengku Adena digelar superwoman kerana berjaya mengatur kehidupannya dengan baik walau tanpa seorang lelaki bergelar suami.

IKLAN

Tengku Adena kini komited melebarkan empayar niaganya, Royal Adena ke tahap tertinggi. April 2018 Tengku Adena membuka ibu pejabat Royal Adena dan kilang menjahit yang mengambil tempahan baju korporat. Tengku Adena turut mengeluarkan produk Royal Cardigan.

PERNAH MUFLIS

“Sebelum ini, ketika berlaku pergolakan rumahtangga saya sentiasa sibukkan diri kerana tak mahu fikirkan masalah. Saya mula mencari sesuatu sebagai persediaan. Saya dah dapat rasa perkahwinan kami tak dapat diselamatkan lagi. Saya juga banyak membaca tentang kisah-kisah ibu tunggal.

Sehinggalah sampai satu tahap akhirnya saya surrender kerana dah tak sanggup lagi nak tanggung semua masalahnya. Saya juga pernah jatuh muflis kerana dia. Semua wang saya dalam akaun bank dibekukan. Waktu itu saya sangat terkejut dan rasa down.

Nama saya disalahguna sebagai penjamin dan sayalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Itulah titik tolak kepada keputusan nekad saya untuk berpisah. Alhamdulillah saya dapat banyak sokongan daripada keluarga, adik beradik dan teman-teman rapat. Kami berpisah secara baik.

MUHASABAH DIRI

“Selepas apa yang berlaku saya banyak muhasabah diri. Saya betulkan semula hubungan dengan Allah SWT. Saya kerap mengadu dan menangis di sejadah, yakin Dia Maha Mendengar. Saya yakin Dia bagi dugaan ini kerana ada sebab. Selain banyakkan solat sunat, saya banyakkan sedekah setiap hari. Ia umpama back up untuk mendapatkan ketenangan hidup.

Alhamdulillah kini saya pun dah boleh move on. Sekarang saya nak kekalkan momentum bisnes dan kehidupan. Saya berusaha dan tawakal kepada Allah SWT. Sejak menjadi ibu tunggal saya lebih faham masalah-masalah golongan ini. Saya banyak mendengar tazkirah, belajar tentang kerohanian.

IKLAN

Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Presiden Srikandi dan AJK Tertinggi Majlis Tindakan Ekonomi Wanita ini. Baru-baru ini Tengku Adena menerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia, Dr Mohd Hatta Ramli.

Tengku Adena turut memiliki produk makanan, Royal Rendang yang dikomersilkan secara frozen dan pes bagi keluaran dalam negeri.

IKLAN

HARAPAN

“Anak juga ada menunjukkan minat terhadap bisnes. Dialah yang menjaga bisnes Royal Rendang bahagian pemasaran, sosial media, menjaga outlet dan sebagainya. Alhamdulillah saya dikurniakan staf yang bagus walaupun semuanya perempuan. Saya harap Royal Adena semakin berkembang. Sekarang belum masanya untuk bersenang lenang kerana saya mahu berusaha gigih untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi.

Tip sukses saya, jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas.

Antara hikmah yang saya belajar atas apa yang berlaku ialah yakin dengan aturan Allah SWT, redha dan tenang,” akhiri Tengku Adena yang kini aktif sebagai motivator.