Memang sejak kebelakangan ini harga emas jatuh sedikit dan inilah masanya untuk membuat pelaburan emas. Tak kisah beli emas perhiasan atau tidak, yang pasti tak rugi jika membuat pelaburan emas ini. Mungkin sebab ini juga rata-rata kedai emas sekarang ramai yang beratur panjang.
Emas asli atau emas yang berwarna kuning itu semakin mendapat perhatian. Jika dulu emas kuning menjadi pilihan wanita yang lebih berusia mungkin kerana nilainya yang tinggi dan kini wanita muda semakin meminati emas. Mungkin sebagai pelaburan jangka panjang atau mungkin rekaan barangan kemas kini yang mengikut peredaran zaman.
Dalam keterujaan membeli emas sebagai pengguna kita perlu berhati-hati ketika membeli untuk mengelakkan tertipu sehingga terbeli emas palsu. Saudara Amir Hassan berkongsi tip untuk membeli emas asli;
1. Uji Dengan Magnet: Guna magnet untuk uji emas, jika ia melekat bermakna ianya palsu. Ia telah dicampur dengan logam lain untuk jadi berat seperti besi. Tapi awas, ada juga emas palsu yang dicampurkan dengan bahan logam lain yang tidak magnetik.
2. Secara Visual: Emas biasanya akan dicop dengan bacaan fineness (1-999 atau 0.1-0.999) dalam bacaan karat 14k, 18k, 22k atau 24k di logam tersebut. Ada kalanya tulisannya terlalu kecil, maka kita kena cari.
3. Gigit Emas: Emas asli sifatnya lembut, akan ada kesan gigitan yang dalam. Caranya dengan mengigit emas tersebut (jangan terlalu kuat) kerana secara teori, emas asli akan terdapat sedikit kesan gigitan, kesan gigitan semakin dalam jika emas tersebut adalah 24 karat.
4. Gores Emas Pada Seramik: Goreskan emas pada permukaan seramik, jika ada goresan hitam bermakna emas palsu tetapi jika tiada kesan hitam ianya asli.
5. Timbang Emas: Jika emas jongkong, bar di atasnya ada ukuran berat. Timbang apakah beratnya sama atau tidak. Logam lain sukar untuk dapat berat yang sama seperti emas dalam ukuran yang sama sebab emas adalah logam paling padu.
Sebenarnya pemakaian emas juga ada caranya. Warna urat kita merupakan cara yang tepat untuk memilih barangan kemas.
PERIKSA WARNA URAT
Bawah cahaya matahari, tengok warna urat pada pergelangan tangan. Jika nadi berwarna biru, bermakna anda memiliki jenis kulit sejuk. Jika urat berwarna hijau pula anda memiliki tona kulit panas. Jika keliru kerana kadang-kala urat anda kelihatan hijau dan kadang-kala berwarna biru? Itu bermakna anda neutral!
Kulit tona sejuk = Barang kemas perak (silver/emas putih)
Kulit tona panas = Barang kemas asli (emas kuning)
Neutral = Bertuah! Sesuai sama ada memakai barang kemas rona perak mahupun emas kuning.