
Isi Kandungan
TogglePelakon dan penyanyi Bella Astillah kini mengambil pendekatan enggan terlalu berkongsi mengenai hal peribadi dan kebahagiaan keluarganya menerusi media sosial.
Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, berkata dia berbuat demikian kerana ingin ingin menjaga privasi keluarga dan menghindari keluaranya dari risiko terkena penyakit ain.
Tak Kongsi Di Media Sosial, Bukan Tak Bahagia
“Alhamdulillah, kami (Bella dan Aliff) tak bergaduh ke apa.. Sebenarnya kami sekeluarga banyak spend masa bersama.
“Kalau perasaan kami dah jarang berkongsi kebahagiaan di media sosial. Kalau dulu, ya memang saya selalu share. Lagipun, sekarang ni banyak mata-mata yang suka memerhati dengan perasaan hasad dengki, risau jika keluarga terkena penyakit Ain.
“Tapi bila jarang berkongsi, banyak pula orang DM tanya kenapa.. kita pula dalam dilema, kalau selalu post orang tak suka pula.
“Tapi kalau ada special occasion macam hari lahir suami atau anak-anak, saya akan tetap berkongsi,” katanya sumandak asal kelahiran Sabah ini.
Alif Banyak Perubahan Positif, Rapat Dengan Anak & Keluarga
Menurut Bella lagi, suaminya, Aliff Aziz, 32, juga sudah menunjukkan banyak perubahan positif malah sering meminta Bella untuk hadir menemaninya ke set penggambaran sekiranya dia mempunyai kelapangan.
“Aliff pun banyak perubahan yang sangat-sangat bagus. Alhamdulillah semoga berkekalanlah macam itu.
“Dia pun ada ajak pergi bercuti malah dengan anak-anak pun dia sangat rapat.
“Kalau dia dekat set penggambaran, Aliff akan video call, kadang-kadang dia suruh datang set tapi saya pula busy,” katanya lagi.
Pada hujung tahun lalu, Bella mendedahkan dia dan suami menjadi mangsa sihir pemisah rumah tangga yang didakwa dihantar oleh seorang wanita.
Bella menyatakan sihir tersebut dihantar dengan niat untuk melihat rumah tangganya musnah.
Untuk info, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohammad Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3 tahun.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Bella Astillah
Bila Tun Siti Hasmah Usik Tun M, “Kadang-Kadang Saya Ikut Serta Bersama Tun, Dia Memandu & Saya Duduk Di Bahagian Sebelah Penumpang. Rasanya…”

Hari ini saya sepertinya tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Tidak juga terlintas di fikiran, 2018 menjadi hamparan tsunami apabila tampuk Kerajaan beralih kuasa. Hebat sungguh penampilan kembali matan kesayangan ramai rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Buat kali kedua beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia di usia, 93 tahun. Lantas itu, saya Kiffy Razak mengambil kesempatan untuk mengembalikan memori terindah saya bersama Majalah NONA yang berkesempatan berbual panjang bersama Tun Dr. Siti Hasmah, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2016. Perkongsian buat ini ikhlas mereka yang mungkin tidak berkesempatan memiliki Majalan Nona Jun 2016, di pasaran ketika itu.
Sepertinya seorang ayahanda dan bonda, berdiri di hadapan saya dengan budi bicara yang mesra dan tenang. Seindah itu juga senyuman terukir di wajah isteri tercinta Tun Dr. Siti Hasmah menyambut suami tercinta. Pasangan sejoli kekal bersama dalam suka dan duka mengharungi setiap liku kehidupan sepanjang perjalanan di pentas bumi bertuah. Lantas mengheret ingatan saya kepada nukilan puisi yang pernah menjadi tamparan kepada kehebatan semangat politik setiap warga Malaysia. ‘Perjuangan belum selesai’ – 4 Mei 1996, karya seni mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, saya menyelami dan menjiwai setiap baris ayat itu dan bila saya merenung ke dalam dasar insan empunya puisi tersebut, rasanya noktah itu belum berakhir. Saya memetik ayat-ayat cita puisi itu, ‘Masa depan belum menjanjikan syurga, bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa. Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsa yang berjaya…’
Terlalu banyak saya rasakan masih tersimpul dalam mindanya. Saya percaya sehingga di ketika ini dan di saat kami berbual bicara bersama majalah Nona, (biarpun tempoh masa yang diberikan tidak terlalu lama) di dalam kotak mindanya mempunyai pelbagai perkara yang terus difikirkan. Begitulah hebatnya jiwa seorang pemimpin yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada rakyat dan negara, tidak perlu saya merungkaikan kehebatannya kerana segala-galanya telah terbukti di hadapan mata.
Tipu kiranya saya menyatakan tidak berasa gementar pada awal pertemuan kerana auranya dirasakan cukup besar. Namun, Tun Dr. Mahathir membuka ruang dirinya untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling, berasa cukup selesa. Tutur kata kala berbicara sopan dan lemah lembut, jelas mencerminkan keperibadian dirinya yang intelek, merendah diri dan disenangi.
https://www.instagram.com/p/BGfZ16hyOXh/?hl=en&taken-by=kiffyrazak_nona

Sempat bergurau senda, “Kiffy tidak perlu takut, saya tidak garang!” Ya benar beliau bukanlah seorang yang garang tetapi di sebalik personaliti itu saya dapat menilai beliau seorang bapa dan pemimpin yang sangat tegas dan amat fokus kepada setiap apa yang dilaksanakan. Alhamdulillah, komitmen yang diberikan oleh pihak Tun sekeluarga sewaktu sesi fotografi bersama majalah NONA ini, amat kami hargai. Suasana berlangsung dengan tenang dan bersahaja, disulam bersama ketawa kala bahasa loghat orang utara, Kedah dituturkan. Sekapal saya dan Tun Mahathir, berasal dari Alor Setar dan membesar di kawasan kampung yang sama. Lantas itu kami terus rancak berbual…
Ramadan bakal kembali. Membawa kebahagiaan, persaudaraan dan makna pengorbanan. Ia merupakan bulan cinta dari Maha Pencipta. Bagi Tun sendiri pengertian Ramadan dan kenangan suasana menyambutnya dahulu dan sekarang, “Bagi saya, kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan kerelaan hati yang ikhlas. Niat itu penting dan jadikan ia sebagai satu ibadat. Semaikan kekuatan iman yang kukuh dan jangan berpuasa kerana takut.
Ramadan dahulu dan sekarang memang jauh bezanya, dulu masa kecil seronok sangat bila tibanya bulan mulia ini. Paling istimewa apabila bulan ini dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan yang luar biasa dari hari kebiasaannya. Saya seronok pergi beli ais di pasar dan paling penting mesti berbuka dengan air sirap dan kurma. Warnanya yang merah membuatkan saya sering kali teruja untuk berbuka. Suasana sewaktu saya di Alor Setar, Kedah dahulu lebih tenang, tidak ramai orang dan masjid Zahir pun tidak sesesak seperti sekarang. Jika ingin diimbas kembali, terlalu banyak keindahan yang saya amat hargai. Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan kesihatan yang baik untuk saya teruskan kehidupan sebagai seorang hamba-Nya dan melaksanakan ibadah puasa sehingga kini,” jelas Tun Mahathir tenang.
“Seperkara lagi kalau tibanya Raya, paling gembira bila dapat baju baru. Zaman dahulu, kalau dapat sehelai baju raya itu sudah mencukupi dan teramat gembira kerana baju itulah yang akan dipakai sepanjang tahun. Saya rasa semua individu mempunyai kenangan terindah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.
Menjangkau usia 91 tahun ketika itu, Tun Mahathir masih lagi aktif melakukan pelbagai aktiviti dan melaksanakan tanggungjawab yang masih belum selesai. “Saya tidak boleh duduk diam, perlu membuat sesuatu dan bergerak aktif. Jika tidak membaca, saya akan menghabiskan masa bersama-sama rakan berbual tentang masalah semasa. Paling penting, setiap apa yang saya lakukan dan laksanakan jauh sekali, tidak akan memburukkan nama negara.”
Tun Siti Hasmah sempat memberitahu, “Sampai sekarang, Tun suka keluar hari minggu di waktu pagi atau petang, memandu sendiri menuju ke kawasan projek yang beliau laksanakan atau telah dilaksanakan. Ingat lagi saya sewaktu Menara Berkembar KLCC sedang di bina, setiap minggu Tun akan ke sana melawat tapak projek. Kadang-kadang saya ikut serta bersama Tun, dia memandu saya duduk di bahagian sebelah penumpang rasanya kaki ini seperti sekejap-kejap ingin menekan brek kereta, risau juga!” ketawa kecil Tun Siti Hasmah sambil bercerita.
Semasa membesarkan anak-anak, pernah Tun dan isteri merancang agar mereka mengikut jejak langkah dalam bidang perubatan? Dan benar, Tun dikatakan sebagai seorang bapa yang garang? “Saya mungkin seorang yang tegas dan menegur anak-anak sama seperti seorang bapa lain membesarkan anak mereka. Nak kata sampai anak-anak membenci saya, tidaklah. Kita sekeluarga rapat dan cara dahulu lebih kepada rasa hormat yang menebal, cuma sekarang cara membesar anak-anak lebih santai seperti kawan. Ya jujurnya, saya suka kalau anak-anak yang mengikut jejak kami dalam bidang perubatan tetapi mereka tidak menunjukkan minat ke aras itu, saya tidak boleh memaksa. Itu adalah pilihan mereka. Tetapi sekarang ada juga cucu yang telah menunjukkan minat dalam bidang kedoktoran.”
Sepanjang perjalanan Tun dalam menerajui Malaysia, pastinya ada kenangan yang menyentuh hati yang tidak mungkin dilupakan sehingga saat ini, “Tanggal 1969 sewaktu saya kalah di pilihan raya. Saya merasa amat sedih, sehingga menitiskan air mata. Dan saat paling menggembirakan sewaktu hari Tun Hussein Onn melantik saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.” Jelas Tun Mahathir. Biarpun ada segelintir yang melabelkan beliau dengan pelbagai andaian sebagai seorang yang kejam, keras dan sebagainya tetapi baginya itu hanya pandangan mereka yang tidak benar-benar mengenali beliau.
Setelah hampir 13 tahun meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, jasa beliau pastinya tidak akan dilupakan oleh setiap generasi yang membesar bersama pembangunannya. “Alhamdulillah saya amat hargai mereka yang masih mengambil berat terhadap apa yang saya lakukan. Saya berasa cukup senang dan lega kalau tiada terpahat rasa benci dalam setiap hati manusia. Cuma andai suatu hari nanti saya telah tiada, cubalah untuk lupakan saya kerana saya sedar, saya tidak mampu membuat semua orang suka kepada kita, ada juga yang membenci,” kata-kata Tun terhenti di situ dan penulis terpaku seketika menahan sebak di dada. Dalam hati kecil ini, tidak mungkin kami akan melupakan pengorbanan mu begitu sahaja. Tun Mahathir adalah ikon, bapa wawasan dan di antara pemimpin terbaik menyumbangkan pembangunan kepada negara Malaysia.
Sebelum tempoh masa saya bersama Tun Mahathir dinoktahi, sedikit kata buat semua pembaca NONA, khususnya kaum wanita… “Saya bangga melihat wanita Malaysia hari ini yang bertindak dalam apa jua bidang sekalipun tidak keterlaluan sifatnya. Terus kekal menjaga keperibadian sebagai seorang wanita timur.”
“Bermadu Memang Manis Andai Kena Pada Caranya” Datin Bahazanariah & Dato’ Nurul Zahid

“Bagi saya sebagai yang nombor dua kita perlulah mempunyai sikap bertolak ansur dan hormat kepada isteri pertama kerana mereka sudah berkongsi kasih,” Dato’ Nurulhidayah.
Jika bertanya kepada sesiapa sahaja di dunia, pasti mereka tidak mahu berkongsi kasih. Biarlah bercinta, bernikah dan berakhir dengan hanya berdua tanpa kehadiran orang yang ketiga.
Namun siapalah kita sebagai manusia untuk melawan takdir-Nya. Andai sudah tertulis di luh mahfuz itu adalah rezeki yang diberikan, segala persiapan menghadapi pahit dan manis kehidupan berkongsi harus ditelan.
Hanya mereka yang melalui akan memahami situasi ini, aduh manisnya bermadu! Inilah sebahagian daripada imbasan, perkongsian Dato’ Nurulhidayah dan Datin Bahazanariah sewaktu Majalah Nona berbual bicara bersama mereka pada awal perkahwinan 2017 lalu.
Alhamdulillah kegembiraan dan kesejahteraan keluarga ini masih dapat di lihat di sosial media milik kedua-dua wanita hebat ini.
Ramai sudah mengenali ahli perniagaan dan juga personaliti televisyen, Dato’ Nurulhidayah binti Ahmad Zahid Hamidi, anak sulung kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid. Nona pun sebelum ini sudah beberapa kali menampilkan ceritanya di dalam lembaran majalah.
Namun tiada siapa yang mengenali lebih dekat Datin Bahazanariah binti Baharudin, wanita manis molek yang menerima Dato’ Nurulhidayah sebagai madunya, lebih manis kalau di gelar ‘adik’.
URUSAN HATI
Umum mengetahui Dato’ Nurulhidayah telah bernikah dengan Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff secara rasmi pada penghujung bulan Jun, 2017 di kota suci Mekah. Pasangan ini dinikahkan sendiri oleh Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ibunya Datin Seri Hamidah Khamis turut menyaksikan penyatuan itu.
Apabila Dato’ Nurulhidayah memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram, ramai yang terkejut memandangkan status beliau sebagai isteri kedua. Majlis tersebut turut diraikan bersama oleh isteri pertama Dato’ Saiful iaitu Datin Bahazanariah.
Lembut membahasakan dirinya sebagai kakak, Datin Bahazanariah berkata, “Saya tidak melihat ini sebagai satu masalah sebenarnya. Kerana saya sudah kenal dengan suami sejak kami berumur 15 tahun lagi.
Bayangkan dari itu sehingga kami mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, saya sudah percaya kepadanya 200 peratus. Tiada rasa ragu atau pun muncul perasaan khuatir terhadap suami. Lagipun sebagai seorang muslim kita harus belajar menerima takdir.
Kalau kita memberontak dan menentang itu seperti kita melawan takdir Allah. Saat dia berhasrat memperisterikan Dato’ Nurulhidayah saya sendiri yang memberikan kebenaran tanpa sebarang halangan. Cuma ketika itu saya berasa takut akan keselamatan suami memandangkan Dato’ Nurulhidayah merupakah seorang anak kepada orang kenamaan.
Lagipun saya tidak terlalu kenal dengan Dato’ Nurulhidayah ketika itu. Namun setelah berkenalan dengan lebih dekat, barulah diri ini yakin. Ternyata ‘adik’ saya ini mementingkan perasaan saya dan tidak mengambil keputusan terburu-buru. Buktinya dia sendiri yang mahu berjumpa saya dan tidak merahsiakan perkahwinan.”
Bagaimana boleh meletakkan kepercayaan 200 peratus kepada suami? Dan bagaimanakah penerimaan anak-anak terhadap perkara ini? “Bukankah itu perkara yang harus kita lakukan apabila berumah tangga? Suami isteri seharusnya tidak menyimpan rahsia dan bersikap telus antara satu sama lain.
Saya yakin suami tidak akan mengabaikan kami anak beranak walaupun sudah berkahwin dengan Nurul kerana sepanjang perkahwinan kami dia merupakan seorang ayah yang terbaik, mustahil dia akan mengabaikan kami anak beranak. Alhamdulillah kini hampir empat bulan perkahwinan antara suami dan juga Nurul semuanya berjalan dengan baik.
Kalau bercerita tentang anak-anak mereka semua sudah matang sebenarnya, yang lelaki mereka lebih bersikap terbuka cuma anak perempuan saya ketika dikhabarkan tentang perkahwinan ayahnya dia seperti tidak dapat menerima namun lama kelamaan sesudah berkenalan dengan ibu baru mereka, tiada lagi rasa yang negatif.
Bahkan kami sering melakukan aktiviti bersama seperti menyaksikan perlawanan bola dan bercuti ke luar negara bersama-sama.” Menurut Datin Bahazanariah (kakak) dan Dato’ Nurulhidayah (adik), anak-anak masing-masing memanggil mereka dengan gelaran mak dan thethe (dede).
Beralih pula kepada Dato’ Nurulhidayah. Bagaimana boleh berkenalan dengan Dato’ Saiful dan bilakah berputiknya rasa cinta itu? “Saya rasa untuk menyatakan berputik rasa cinta tidak terlalu tepat kerana saya sendiri seorang yang berprinsip tidak mahu berkahwin dengan suami orang.
Perkenalan saya dengan suami atas dasar kerja. Kami bersama-sama terlibat dalam bidang perniagaan dan selalu berkongsi pendapat Ketika suami menyatakan hasratnya untuk mengambil saya sebagai isteri yang sah. Saya memang terkejut, sangat terkejut! Sudahlah dia memang beristeri, saya sendiri pun takut kerana ibu saya seorang yang sangat pantang apabila wanita lain mengambil suami orang.
Jadi apabila perkara ini terjadi kepada saya memang kaget. Tetapi melihat suami yang bersungguh-sungguh, saya memberikan syarat supaya pertemukan saya dengan isterinya yang pertama. Mula-mula memang rasa cemas, tapi bila dah kenal ternyata kami ‘sekepala’.
Apabila kakak sudah meyakinkan saya, kemudian tiba giliran untuk memberitahu ibu pula. Apabila menerangkan keadaan ini, ibu mahu berjumpa dengan kakak dan alhamdulillah selepas pertemuan tersebut segalanya berjalan lancar dan saya mendapat restu kedua orang tua,” jelas Dato’ Nurulhidayah.
Bagi Datin Bahazanariah puila, “Bila Nurul memberitahu yang ibunya iaitu Datin Seri Hamidah mahu berjumpa dan menjemput datang ke rumah, memanglah gemuruh dibuatnya. Namun bila sudah bertemu segala-galanya berubah, Datin Seri sangat peramah orangnya dan membuatkan rasa gugup itu hilang, tiba-tiba muncul pula Datuk Seri Ahmad Zahid terus terkejut dan gugup dibuatnya.
Namun apa yang boleh saya simpulkan di sini hubungan kami sebagai madu amat telus dan tiada langsung perasaan yang berbolak balik atau menyimpan rasa. Alhamdulillah saya menerima kehadiran Nurul sebagai satu keluarga,” ujar Datin Bahazanariah jujur.
Memang tidak dinafikan lagi keakraban dua wanita ini. “Anak-anak saya amat gembira apabila saya berkahwin lagi kerana kini bermakna mereka memiliki seorang ‘bapa’ dan selain itu mereka juga turut mempunyai abang dan kakak.
Hubungan antara mereka adik beradik cukup baik. Kalau bercakap soal saya dan kakak, kami berdua selalu keluar bersama sebagai contoh malam tadi kami menonton perlawanan bola sepak bersama-sama. Memang kecoh habis! Sampai suami pun terdiam melihat keterujaan kami.
Boleh dikatakan, kami memang gemar aktiviti-aktiviti luar dan kalau nak tahu kami juga suka ke karaoke bersama. Bagi saya aktiviti-aktiviti ini merapatkan lagi hubungan kami supaya utuh sebagai satu keluarga,” jelas Dato’ Nurulhidayah.
EMOSI
Seringkali kita dengar tentang kes cerai berai dan juga kes madu sama madu bergaduh besar mengalahkan perang dunia kedua. Bermacam-macam kes yang terjadi, masing-masing tidak mahu kalah dan masing-masing cuba menjatuhkan sesama sendiri. Apabila menemu bual dua wanita yang berada di dalam situasi yang sama, penulis begitu teruja mendengar jawapan mereka.
Mendengar soalan yang diajukan Dato’ Nurulhidayah segera menjawab, “Bagi saya dalam sesebuah perkahwinan itu, kejujuran amat penting. Saya sendiri sebelum ini amat pantang dengar lelaki yang beristeri dua.
Namun setelah melaluinya saya faham mengakui bahawa perkahwinan akan menjadi berkat sekiranya si suami jujur. Seperti saya, kakak sendiri yang datang merisik saya dan menyarungkan cincin di jari. Kerana sewaktu suami melamar saya, syarat yang saya kenakan adalah kakak perlu tahu perkara ini.
Alhamdulillah penerimaan yang ditunjukkan oleh kakak menjadikan saya seorang insan yang bersyukur. Berbalik soal madu yang bergaduh dan bermasam muka seperti yang banyak terjadi kini.
Bagi saya semuanya disebabkan oleh perasaan hasad dengki yang kuat. Yang nombor dua tidak mahu menghormati yang nombor satu malah saling berlawan untuk membuktikan siapa yang lebih baik dan lebih cantik.
Bagi saya sebagai yang nombor dua kita perlulah mempunyai sikap bertolak ansur dan hormat kepada isteri pertama kerana mereka sudah berkongsi kasih. Namun hendak menyalahkan isteri semata-mata pun tidak adil. Suami perlu mengamalkan sikap terbuka dan berterus terang. Perkara yang tidak seperti madu bergaduh ini terjadi kerana suami ada yang menyembunyikan perkahwinan dari isteri pertama.
Perkahwinan ini membuatkan saya berada di landasan yang betul. Suami dan kakak membuatkan saya bersikap lebih matang dari segala segi termasuklah hal agama. Saya bersyukur kerana menerusi penyatuan ini kami saling melengkapi.”
Bagaimana pula dengan Datin Bahazanariah? Apakah pendapat datin mengenai perkara ini? “Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Nurul. Suami harus bersikap terbuka dan jangan berselindung dengan isteri pertama. Sepanjang pengalaman bermadu ini boleh saya katakan ia adalah satu rahmat dan memberikan banyak nilai positif di dalam kehidupan saya kini.
Kalau nak tahu sebelum suami berkahwin dengan Nurul saya jarang boleh meluangkan masa dengan ibu atau untuk diri sendiri kerana sibuk menguruskan suami serta anak-anak. Apabila suami berkahwin lagi semestinya dia harus mengikut sistem giliran. Jadi apabila dia meluangkan masa bersama Nurul saya secara automatik boleh melakukan segala aktiviti bagi mengisi masa yang ada.
Paling menggembirakan saya boleh meluangkan masa lebih banyak dengan ibu saya sendiri dan sekarang saya mula ke kelas tajwid untuk belajar membaca Al-Quran dengan lebih lancar dan baik. Alhamdulillah ini adalah satu nikmat sebenarnya,” ujarnya.
Nasihat terbaik daripada mereka kepada semua wanita diluar sana, “Bermadu bukanlah pilihan yang diingini oleh wanita, suami perlu bersikap bertanggungjawab. Kepada si isteri pula jangan sesekali suka membandingkan antara satu sama lain. Jika selalu berperasaan sebegini maka syaitan menjadi orang ketiga yang menyemai perasaan benci.”
Mahu Luaskan Empayar Bisnes, ROSLIZA YAZIZ Ingin Bawa NAJEEHAH INTERNATIONAL Sdn Bhd Lebih Gemilang

Nama Najeehah International Sdn Bhd semakin mendapat tempat di kalangan pengguna apatah lagi ia merupakan sebuah syarikat Bumiputra yang mengeluar dan mengedar produk berasaskan kesihatan dan kecantikan.
Penerima penghargaan NONA Best Mom’s Choice Award ini ternyata boleh berbangga dengan beberapa produk keluaran syarikatnya yang berjaya menambat hati para pelanggan sehingga mencapai tahap best seller products.
Antara produk tersebut termasuklah minyak aromaterapi Najeehah. Produk tersebut telah mendapat pensijilan halal & MAL Minyak Telon. Malah ia telah terjual lebih sejuta unit serta mendapat pengiktirafan dari Top Brand Brandleuarete & Award 500.
Di sebalik jenama tersebut, wanita ini, Rosliza Yaziz merupakan tulang belakang utama di sebalik penubuhan Najeehah International Sdn. Bhd. Menurut Rosliza, Najeehah International merupakan sebuah syarikat pengeluar dan pengedar kepada produk kesihatan dan kecantikan.
Ditanya mengenai keistimewaan yang dimiliki oleh produk keluaran syarikatnya, menurut Rosliza atau lebih mesra disapa Liza berkata setiap ibu memerlukan produk Najeehah yang mempunyai pelbagai kegunaan yang istimewa.

“Alhamdulillah minyak aromaterapi Najeehah menjadi pilihan setiap ibu yang inginkan yang terbaik untuk buah hati mereka. Produk Najeehah membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak-anak dan juga diri sendiri.
Apabila wanita hebat berada dalam keadaan yang baik, mereka mampu memberikan yang terbaik buat kesayangan mereka,” ujar Liza meyakini produk Najeehah sebagai alternatif terbaik untuk para ibu.

Sebagai pengusaha produk, Rosliza Yaziz amat menitikberatkan soal kualiti produk yang dihasilkan kerana dia amat yakin keberkesanan produk menjadi asas mengapa produk Najeehah memenangi hati pengguna sejak ia diasaskan pada tahun 2022.
Oleh yang demikian, beliau memastikan rangkaian produk Najeehah adalah dari bahan mentah yang berkualiti yang diformulasi khusus dengan ekstrak Bidara dan Saffron. Ianya membantu memberikan manfaat yang terbaik kepada pengguna.
“Produk Najeehah telah mendapat pengiktirafan dari National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) bagi kategori Produk Minyak Aromaterapi, Balsam Aromaterapi, Kosmetik dan serta Penjagaan Kulit Wajah.
Selain itu, produk minuman seperti Kopi Bidara dan Susu Kambing Saffron pula telah menerima Anugerah Pensijilan Halal serta pengiktirafan dari ‘The BrandLaureate World Halal BestBrands’.
Minyak Aromaterapi Saffron dan Bidara telah mendapat pensijilan halal dari JAKIM. Pengiktirafan dan Penganugerahan tersebut telah menjadikan produk Najeehah sebagai produk yang diyakini para pengguna Najeehah,” ujar Rosliza lagi.
Mencipta kejayaan demi kejayaan, Rosliza kini boleh berbangga dengan pencapaian yang sedang dikecapi oleh jenama Najeehah yang kini beroperasi di Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan. Syarikat juga berjaya memiliki gudang yang berkeluasan 23,000 kaki persegi yang disewa khas sebagai premis penyimpanan produk Najeehah yang terletak di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa Kota Bharu, Kelantan.
Sebelum menutup bicara, tahun 2023 menjadi pilihan untuk Najeehah International Sdn Bhd menempa nama dalam dunia perniagaan memandangkan ia sudah merangka pelbagai perancangan perniagaan untuk memastikan jenamanya mampu berdaya saing di pasaran yang semakin sengit ini.
Justeru, Liza mensasarkan penggunaan platform digital dan teknologi sebagai salah satu usaha meningkatkan lagi nama Najeehah di khalayak umum. Malah Liza turut memasang impian untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berkualiti di masa akan datang.
“Harapan saya untuk melahirkan usahawan yang berkualiti dan berintegriti sertamemberi peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya untuk individu-individu yang mahu merubah masa hadapan. Semoga segala perancangan untuk tahun 2023 ini dipermudahkan,” ujar Liza seraya mengakhiri perbualan.