Di sebalik kesulitan hidup dan kegagalan rumah tangga kira-kira sembilan tahun lalu, kini Allah SWT hadirkan ‘pelangi’ buat usahawan kosmetik berjaya, Norhaslinda Rosli. Enggan menoleh kembali kisah silam yang membelenggu diri, wanita cekal kelahiran Melaka ini bangkit dan menerajui legasi miliknya Addar Global Sdn Bhd.
Lebih bermakna, Norhaslinda atau mesra disapa Lin merupakan salah seorang usahawan Muslimah yang mendapat pengiktirafan di majlis Hijab Fashion Award baru-baru ini. Meskipun bergelar ibu tunggal namun Lin enggan menjadikan status tersebut sebagai halangan untuk melangkah jauh.
Ujarnya, beliau sebelum ini terlibat dalam industri perhotelan menceburi bidang perniagaan secara tidak sengaja selepas diuji dengan kemelut rumah tangga pada tahun 2015.
“Detik permulaan saya melakukan perniagaan ini kerana ketika itu saya mengalami kesulitan kehidupan ujian rumah tangga. Di situlah saya mula berfikir untuk menjana pendapatan melalui perniagaan pertama saya dalam bidang kecantikan kulit wajah iaitu jenama saya sendiri, Addar Beauty.
Saya adalah seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami tanpa ada apa-apa pun dan sayalah yang membesarkan anak saya dari lahir seorang diri dengan berbagai-bagai kesusahan yang saya alami.
Dari situlah pendorong utama untuk saya bangkit sebagai ibu tunggal yang ingin memastikan kehidupan saya dan anak saya tidak akan kesempitan serta kehidupan kami dalam keadaan yang selesa.”
Tambahnya lagi, beliau memilih bidang penjagaan kulit wajah kerana mahu membantu golongan wanita khususnya yang mengalami masalah kulit wajah. Lebih-lebih lagi mereka yang menjadi mangsa produk kecantikan berbahaya.
“Addar Beauty ditubuhkan pada 5 April 2015 kerana saya adalah salah seorang mangsa yang pernah terpakai produk yang mengandungi bahan terlarang yang membahayakan kulit wajah.
Saya nekad dan berniat untuk membantu ramai orang di luar sana memiliki kulit wajah yang sihat kembali dengan rawatan dan produk keluaran Addar Beauty.”
Percaturan Lin dalam dunia perniagaan nyata berbaloi kerana sepanjang mengemudi bisnes Addar Beauty, beliau mampu memperoleh jualan mencecah lapan angka!
“Dengan modal awal dan juga simpanan serta pinjaman dari bank ketika itu sebanyak RM 100,000 saya nekad untuk mengeluarkan produk pertama saya iaitu Sabun Mutiara dan Serum Royal Epigenetic pada tahun 2015.
Ads
Alhamdulillah selama sembilan tahun Addar di pasaran, nilai jualan yang terkumpul telah mencecah hampir RM 50 juta.
Keunikan Addar Beauty yang dah berjaya membantu ratusan ribu pelanggan yang majoritinya adalah mangsa yang pernah tersalah pakai produk iaitu timbang kilo.
Itulah sebenarnya misi kami untuk memberi sinar harapan kepada mangsa-mangsa yang terguna produk klinikal terlarang yang mengakibatkan punca masalah utama mereka mengalami masalah jeragat yang teruk, jerawat dan juga kulit kusam agar dapat kembali memiliki kulit yang cantik dan sihat dengan kos yang mampu di miliki.
Dan kerana itulah Addar dikenali sebagai satu jenama di pasaran iaitu sebagai pakar kulit rosak atau #solusikulitrosak.”
Ads
Penglibatan Lin dalam arena keusahawanan bukan sekadar menjana pendapatan demi menaik taraf kehidupan dirinya dan anak tunggal. Lebih utama, beliau ingin turut berbakti kepada masyarakat.
“Niat saya yang paling utama untuk menjadi seorang usahawan Muslimah adalah kerana saya ingin menjadi pembayar zakat yang tinggi dan ingin berkongsi rezeki yang Allah kurniakan dengan cara yang betul.
Matlamat saya dengan penjualan barangan keluaran Addar saya ingin melebarkan sayap bukan sahaja di Malaysia tapi sasaran kami untuk semua negara-negara ASEAN dan 56 negara islam OIC.
Saya juga amat terinspirasi dengan Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid yang dikenali sebagai Iron Lady Malaysia. Beliau mengendalikan perniagaan iaitu Security Force yang telah dibina bertahun-tahun serta menjadi pelopor di Malaysia yang menjalankan perniagaan industri pengawal keselamatan.”
Sehingga kini, Addar Beauty mempunyai tujuh rangkaian produk kosmetik antaranya Sabun Mutiara, Serum Royal Epigenetic, Sabun Magnetic, Foundation Green Tea, Matte Lip dan Magnetic Laser Cream.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bergelar Ketua Pegawai Eksekutif pertama wanita di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuktikan bahawa wanita ini bukan calang-calang orangnya.
Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner pastinya akan memberi inspirasi buat seluruh kaum wanita khususnya yang berkerjaya. Anak jati Gopeng, Perak berusia 57 tahun ini merupakan bekas pelajar Treacher Methodist Girls School, Taiping serta Politeknik Ungku Omar.
Dato’ Zahrah cukup menitikberatkan soal kebajikan bukan sahaja di kalangan warga kerja SSM bahkan masyarakat. Beliau sentiasa memastikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan.
“Saya selalu turun padang bersama warga kerja SSM bagi melihat sendiri kesusahan staf bawahan saya yang ditimpa masalah. Itulah amalan yang dimaksudkan.
Contohnya ketika negara dilanda musibah banjir besar dahulu. Kami membantu bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit dan makanan, bahkan bergotong royong membersihkan kawasan tempat tinggal mereka.
Tidak dilupakan, rumah-rumah kebajikan turut dilawati antaranya Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Ipoh, Rumah Kebajikan Anak Yatim & Miskin Ar-Ridwani Ipoh, Rumah Jagaan Kanak-Kanak Cacat Setia dan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak,” ungkap graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini.
Tambah beliau, “Saya memulakan kerjaya sebagai Penasihat Akauntan di Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja pada Ogos 1984 sehingga April 1992. Saya bertindak selaku penasihat hal ehwal berkaitan penilaian mutu antarabangsa di pasaran terbuka.
Kemudian, saya menyertai Kementerian Luar Negeri pada Mei 1992 sehingga Julai 1995. Di situ saya bertanggungjawab dalam menguruskan akaun kewangan dan audit bagi Kedutaan Tinggi Malaysia di seluruh dunia.
Tahun 1995 saya menyertai Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) sebagai Ketua Akauntan sehingga 16 April 2002. Apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia ditubuhkan hasil gabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB), saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) SSM.
Saya memegang jawatan tersebut sehingga tahun 2014 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SSM sehingga kini,” ungkap anak ketujuh daripada 12 beradik ini.
Berkat usaha serta pencapaian yang cemerlang dalam kerjaya, pada tahun 2006 Dato’ Zahrah dikurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara (K.M.N). Kemudian, pada 20 Ogos 2015 beliau dianugerahi pula Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P) yang membawa gelaran Dato’.
Sukakan Cabaran
Memegang prinsip ringan tulang untuk berjaya, Dato’ Zahrah banyak membantu orang dan menjadi pemudah cara kepada orang yang memerlukan pertolongan.
“Saya juga seorang yang berani mengambil risiko dan pantas membuat keputusan. Keluarga amat menitikberatkan disiplin terutama dalam menepati masa.
Ibu bapa saya amat tegas dalam membesarkan anak-anak supaya bersikap ikhlas, jujur dan adil dalam setiap perkara. Merekalah idola sebenar saya. Suami dan anak juga tulang belakang buat saya. Tanpa mereka tidak mungkin saya berada di tahap sekarang,” kongsi Dato’ Zahrah yang meminati sukan lasak seperti berbasikal dan mendaki bukit. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama bekas Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang prihatin, sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya yang lembut dan tersusun rapi membuatkan ahli politik wanita itu amat disenangi ramai.
Ketokohan Dr Wan Azizah, 68 tahun, sebagai pemimpin dan ibu yang cekal membesarkan anak-anak sewaktu suaminya di penjara, cukup menggambarkan kekuatan beliau yang sebenar.
Dengan kudrat dan tenaga yang terhad, beliau berjaya membesarkan Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana dengan baik.
Kenangan Aidilfitri 2021, hanya aplikasi Zoom menjadi perantara mereka bermaaf-maafan dan mengucap rindu
Hampir sedekad menggalas tanggungjawab suami; Dialah ibu, dialah bapa kepada anak-anak yang ketika itu masih memerlukan didikan, kasih sayang serta perhatian orang tua.
CARA TEGURAN
Dr Wan Azizah pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hingga tahun 2020.
Kini sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Presiden Pakatan Harapan, setiap amanat dan nasihat bekas pakar oftalmologi ini menjadi rujukan.
“Allah sudah menyatakan dalam Surah Luqman bagaimana seorang bapa menasihati anaknya dengan bijaksana. Kalau seorang bapa nak menegur anaknya, jalinan kemesraan tu mesti ada.
Kak Wan selalu terfikir… Dalam Al-Quran selalu kata, (seharusnya) bapa yang memberi nasihat pada anak-anak, bukan ibu. Selain mencari nafkah yang halal, beliaulah yang patut memberi kasih sayang kepada isteri dan anak-anak.
Kadang-kadang kita rasa bila kahwin, ilmu jadi ibu bapa itu datang secara natural. Tidak. Ilmu itu adalah sesuatu yang kita patut belajar kerana tiap-tiap masalah anak adalah berlainan.” Dr Wan Azizah
Menerima hadiah bola Piala Dunia 2022 daripada Duta Qatar
TELADAN
Nona tertarik berkongsi kata-kata Dr Wan Azizah tentang ciri-ciri personaliti Rasulullah S.A.W ketika beliau merasmikan forum Bapa Penyayang secara online sempena sambutan Hari Bapa 2021.
“Pagi tadi (19 Jun) saya merasmikan Forum Bapa Penyayang dan melancarkan Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang secara maya bersempena sambutan Hari Bapa 2021.
Antara lain saya menekankan empat ciri personaliti seorang bapa yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Antaranya ialah sabar dan ikhlas mencari rezeki halal dan memberi nafkah serta menjadi pembimbing utama dan pendidik anak-anak.
Dua lagi ciri ialah berakhlak mulia dan menjadi contoh ikutan anak-anak serta bergaul dan melayani anak-anak dengan kasih sayang.
Saya juga meletakkan harapan yang tinggi agar Bapa Penyayang dapat memainkan peranan dan bermanfaat dalam membina peribadi seorang bapa.” Dr Wan Azizah
BAPA PENYAYANG
Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang (Bapa Penyayang) yang dilancarkan oleh Dr Wan Azizah merupakan sebuah NGO kekeluargaan terbaharu.
Ia dibangunkan untuk memberdaya peranan, tanggungjawab, mengukuh hubungan kekeluargaan suami dan isteri terutama dalam menangani gejala rumah tangga yang hancur.
Bapa Penyayang juga tekad menggerakkan agenda advokasi, kesedaran disamping latihan kebapaan dalam masyarakat disamping akan terus berkolaborasi dengan agensi-agensi keluarga dan sosial, jabatan agama-agama Islam seluruh Malaysia bagi memberdaya peranan bapa dalam keluarga.
Sumber: Facebook Dr Wan Azizah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa sangka, dari seorang pramugari kini Anim Ezati Rizki merupakan antara personaliti televisyen popular. Simpan hasrat menceburi bidang pengacaraan sejak dulu, impian tersebut akhirnya menjadi realiti apabila Anim berjaya dalam pencarian uji bakat pengacara bagi sebuah stesen televisyen swasta.
Berusia 30 tahun, sebelum mewarnai dunia pengacaraan Anim pernah menjadi pramugari Air Asia. Difahamkan siswazah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini beberapa kali menyertai uji bakat untuk jadi pengacara dan pelakon.
Rezeki mula berpihak kepadanya dan tugasan pertama yang dikendalikan Anim ketika itu ialah sebagai hos Pitch Side Football. Dia kemudian mengacarakan Malaysia Hari Ini (MHI) dan berhenti kerjaya pramugari pada April 2017.
Bermula dari MHI, Anim seterusnya diberi kepercayaan mengendalikan program 999 pada tahun 2018 yang pernah dihoskan oleh personaliti TV popular, Zakiah Anas. Bersandarkan bakat dan pesonanya, Anim turut mengacarakan program berbentuk kesihatan ‘Helo Doktor’ selama empat musim.
Anim juga pernah menjadi pemenang Anugerah Bintang Olay 2017. Kebelakangan ini, namanya menjadi perhatian apabila berita penceraiannya hangat diperkatakan di Internet. Khabarnya, rumah tangga yang dibina bersama Mohd Fadli Sahudin pada 28 Disember 2019 hanya bertahan selama dua tahun.
Hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Anim dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Yara Alanna Khalsom berusia dua tahun.
Tabah mendepani ujian mendatang, Anim menerusi media memberitahu tidak mudah baginya menempuh fasa ibu tunggal. “Saya tabik hormat kepada semua ibu tunggal di luar sana. Menggalas gelaran sebagai ibu tunggal bukan mudah.
Saya merasai segala pahit manis, cabaran untuk membesarkan anak tetapi saya bersyukur kerana Allah permudahkan dengan pelbagai cara.”
Berbekalkan populariti dan wajah cantiknya yang sering menghiasi program di kaca televisyen, Anim turut menerima tawaran sebagai pengacara majlis bagi perkahwinan, seminar dan sebagainya. Melimpah ruah rezeki ibu muda ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!