Kisah kejayaan figura ini membuka mata ramai orang untuk tidak berputus asa mencapai impian yang diimpikan. Nama Merry Riana tidak asing lagi dalam dunia perniagaan. Buku motivasinya yang bertajuk ‘Million Dolar Dream’ menjadi popular dan menarik perhatian orang di Singapura dan Asia Tenggara kerana menceritakan pencapaian Merry Riana yang berjaya menghasilkan $1,000,000 USD pada usia 26 tahun di samping mengimbas sejarah Merry yang belajar di Universiti Teknologi Nanyang yang berhutang sebanyak $ 40000 USD.
Kini, Merry berdiri megah dan senang untuk memberi motivasi kepada orang ramai mengenai perihal dunia perniagaan. Dia juga turut dilabelkan sebagai Motivator Wanita Nombor 1 di Asia. Kini, video-video motivasinya seringkali menjadi popular di laman sosial termasuklah di Instagram serta TikTok.
Merry Riana dilahirkan di Jakarta pada 29 Mei 1980. Hasratnya untuk memasuki Universiti Trisakti dalam jurusan teknik elektro terhalang disebabkan oleh rusuhan yang berlaku di Indonesia pada tahun 1998. Oleh disebabkan itu, dia mencari peluang belajar di Singapura dan berjaya belajar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada tahun 1998 dengan bantuan biasiswa yang diterima dari kerajaan Singapura.
Ternyata kos pembelajaran amat tinggi menyebabkan Merry terpaksa melakukan beberapa pekerjaan untuk menanggung kos perbelanjaan hariannya. Dia pernah menjual surat khabar di tepi jalan, menjaga kedai bunga dan bekerja di hotel sebagai pelayan. Ketika itu, mee segera merupakan makanan rutin hariannya.
Ads
Selepas beberapa lama bekerja, Merry mula bertekad dan bercita-cita untuk mengubah hidupnya.
Merry mencuba nasib untuk menceburi bidang pekerjaan walaupun tanpa sebarang pengalaman dan juga sijil belajar. Firasatnya, berkemungkinan dia dapat meraih keuntungan dengan menyertai perniagaan saham dan pemasaran rangkaian (MLM), namun semuanya berakhir dengan sebuah kegagalan. Bukan itu sahaja, malah Merry juga mengalami kerugian 10.000 dolar dalam perniagaan saham.
Kecewa dengan kegagalannya menyebabkan Merry mengalami tekanan mental. Namun dia tidak mudah melatah dan tidak juga berputus asa. Dia memutuskan untuk belajar dalam bidang Industri Perancangan Kewangan kerana merasakan bidang itu mampu membuat dirinya mencapai impian dalam waktu yang singkat. Hari demi hari, setelah enam bulan bekerja, Merry telah berjaya untuk membayar segala hutangnya. Pada tahun pertama bekerja, dia telah berjaya menghasilkan $200,000 USD.
Ads
Pada tahun 2003 pula, Merry telah diberi penghargaan dalam kerjaya penasihat kewangan dan telah menjadi pengurus pada tahun 2004 dengan penubuhan syarikatnya sendiri. Seterusnya pada tahun 2006, beliau telah berjaya menghasilkan $1,000,000 USD dan juga telah menerima pelbagai anugerah.
Kini, Merry memiliki impian untuk memberikan impak positif bagi 1 juta orang di Asia, terutama di Indonesia. Salah satu kaedahnya ialah dengan menulis buku yang dapat memberi inspirasi kepada ramai orang terutamanya kepada anak-anak muda agar dapat mengikut jejak langkahnya mengubah kehidupan.
Ads
Akhirnya, buku bertajuk ”Dream of a million dollars” atau dalam bahasa ‘Mimpi Sejuta Dolar’ itu sendiri telah menjadi buku terlaris hanya dalam waktu satu bulan setelah dilancarkan. Buku itu menarik perhatian orang Singapura dan Asia Tenggara kerana menyingkap pencapaian Merry Riana yang berjaya menghasilkan $1,000,000 pada usia 26 tahun di samping mengimbas sejarah Merry yang belajar di Universiti Teknologi Nanyang yang berhutang sebanyak S $ 40000. Dia digelar Jutawan Di Usia Muda!
“Asalkan kamu bisa menjadikan hari ini hari yang lebih baik dari kemarin, hari ini kamu sudah menang”- Merry Riana
Sekali imbas, memang tidak dinafikan kedua-duanya mempunyai rupa paras yang tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Malah, kedua-duanya mudah memberikan kerjasama dalam memberi pose menarik untuk pembaca NONA. Keakraban dua beranak ini terserlah dengan usikan manja Nourul Depp yang memuji kejelitaan yang dimiliki oleh anak gadisnya.
Membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda tidak pernah dikesalinya malah dia amat bersyukur kerana diberi peluang untuk bergelar ibu pada usia yang masih muda. Walaupun jodoh bersama bekas suami tidak panjang, bagi Nourul kehadiran cahaya mata tunggal bersama bekas suami adalah anugerah terindah yang dimiliki olehnya. Walaupun telah berpisah, baik Nourul mahupun bekas suami memberikan komitmen tanpa berbelah bahagi mendidik permata hati mereka.
“Bergelar ibu pada usia yang masih muda pastinya memberi pelbagai cabaran buat diri saya. Tetapi saya anggap ia sebagai pengalaman berharga buat diri kerana dari usia muda saya berpeluang menjaga anak sendiri dan kini apabila Ayu sudah meningkat remaja, saya boleh berkongsi segalanya bersama Ayu.
Saya juga sudah boleh enjoy bila melihat Ayu boleh membantu saya menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Kadang-kadang, garang si Ayu mengalahkan ibu tiri,” ujar Nourul berseloroh mengenai anak gadisnya sambil disertai gelak tawa kedua beranak ini.
Malah, kisah kejayaan Ayu Nazirah Mohd Faizal memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun yang lalu membuktikan bahawa perpisahan kedua ibu bapa bukanlah halangan untuk membuktikan kecemerlangan akademik. Ayu merupakan seorang yang perfectionist.
“Sejak kecil, jika dia mahukan sesuatu, dia akan melakukannya sehabis baik. Dia juga merupakan seorang individu yang fokus terhadap perkara yang ingin dilakukannya serta konsisten dalam apa yang diingini. Saya selalu melihat Ayu amalkan bangun awal pagi untuk belajar. Ada ketikanya Ayu akan berjaga malam untuk menelaah. Jika dia stress, muzik sering menjadi penemannya. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” ujar Nourul lagi.
Penyanyi kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini turut berkongsi minat yang sama dengan anak gadis kesayangannya. Memang bertuah memiliki anak perempuan, jadi Nourul dan Ayu sering berkongsi pengetahuan tentang fesyen, muzik dan alat solekan si ibu turut menjadi ‘pilihan’ buat Ayu Nazirah.
“Seronok bila Ayu sudah meningkat remaja ni kerana kami bagaikan bff!. Kami berkongsi cerita mengenai kehidupan seharian Ayu dan lebih seronok apabila kebanyakan pakaian saya sudah boleh digayakan oleh Ayu. Alat solekan saya juga sering menjadi pilihan Ayu. Ayu juga sudah pandai bergaya seperti mamanya,” ujar Nourul yang memberi kebebasan untuk anaknya membuat pilihan namun tetap memberi garis panduan dan nasihat buat puteri kesayangannya itu.
Menyentuh soal kecantikan di usia 41 tahun, Nourul percaya kulit yang cantik harus bermula dari pemakanan seseorang.
“Saya percaya untuk mendapatkan kulit yang cantik pemakanan perlu diberi perhatian. Saya amat prihatin soal pemakanan selain wajah perlu dibersihkan dengan sebaik mungkin apabila kerap mengenakan solekan yang tebal.
Malah saya dan Ayu amat gemar mengenakan masker wajah di waktu malam. Ia merupakan saat bonding sambil bercerita mengenai pelbagai perkara.” ujar Nourul lagi.
Mendirikan rumahtangga dengan Eric Daniel Depp, memberikan Nourul lebih menghargai faktor pemakanan seimbang agar tubuh dapat berfungsi pada tahap terbaik.
“Saya amat mementingkan pengambilan pemakanan kesihatan serta pengambilan air yang secukupnya untuk kesihatan tubuh badan. Saya kekal aktif kerana mempunyai tenaga dari pemakanan kesihatan yang diamalkan. Selain itu, saya juga kerap bersenam supaya badan sentiasa kekal cergas dan aktif. Apabila usia semakin meningkat, tubuh badan perlu cergas dan aktif,” ujar Nourul yang sememangnya gemar menjalani gaya hidup aktif.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Untuk menjadi seorang seniman adalah untuk percaya pada kehidupan. Dan tanpa tawakal yang tinggi pada karya yang dihasilkan, orang seni bukan siapa-siapa.
Perkenalan Nona dengan pelukis cat minyak dan digital bernama Amy Hashim ini sesungguhnya begitu indah perjalanannya. Kami teruja berkongsi kejayaan beliau, seorang pelukis wanita Muslimah tempatan, yang dijemput mengadakan pameran lukisannya setiap tahun di bumi Uncle Sam.
Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 46 tahun, salah satu lukisan beliau yang bertajuk ‘Paddy Field – After Harvest’ berjaya tersenarai dalam Top 100 sebuah pertandingan lukisan terkemuka di Palo Alto, California.
Paddy Field – After Harvest
Cerita kejayaan wanita tempatan ini bukti minat mendalam mendahului segala-galanya. Meskipun selepas memiliki tiga orang cahaya mata, graduan Business Studies tersebut terus mengorak langkah untuk menakluki dunia seni. Ikuti temu bual kami.
Anda melukis kerana apa?
Pertamanya, kerana cinta pada lukisan sejak kecil dan kedua, kerana sokongan serta galakan kawan-kawan dari dalam dan luar negara. Sejak kecil lagi saya sudah pandai menyimpan warna-warna dan colour pastel dalam kotak-kotak kasut yang di susun rapi dengan tanda ‘Jangan Sentuh’ (ketawa).
Sepupu saya yang membesar bersama-sama masih ingat pesanan itu. Melukis ni macam sebahagian diri saya, cuma ada masanya fasa hidup kita berbeza-beza maka begitu juga dengan perkembangan seni dalam diri kita.
Hakikatnya, kalau diteliti keadaan sekeliling, kebanyakan kita kehilangan minat dalam seni visual kerana kita tidak mendapat pengukuhan peribadi positif yang diperlukan untuk diteruskan.
Satu kenangan yang anda boleh kongsi tentang keputusan pertama kali ingin menjadi seorang pelukis secara serius?
Saya diberi kesempatan oleh Allah Taala untuk berhenti kerja dari bidang teknologi dan ICT sewaktu kelahiran puteri kami yang ketiga. Saya terfikir untuk kembali melukis, pada waktu yang sungguh tepat.
Saya ingin menjaga anak perempuan kami sendiri. Maka dengan doa dan tawakal yang amat tinggi, saya kembali melukis dengan dorongan suami. Waktu tahun 90-an itu, saya cuma melukis di atas kertas.
Berbeza sekarang ini, ibarat dua zaman yang berbeza. Sekarang ada banyak kelengkapan digital, maka saya gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk melukis di atas kedua-dua permukaan kanvas dan skrin digital.
Melukis cat minyak memerlukan tempoh masa yang lama untuk siap iaitu antara seminggu sehingga 2 ke 3 bulan. Maka alternatif terbaik untuk mengisi waktu sementara setiap lapisan cat kering ialah dengan melukis di atas skrin.
Lukisan Amy Hashim di atas kanvas besar berukuran 8 x 6.6 kaki
Kepuasan yang anda dapat apabila berkarya di atas kanvas lukisan?
Sangat puas apabila dapat berkarya di atas kanvas putih dan kemudian perlahan-lahan menzahirkan segala imej yang saya inginkan di kotak fikiran. Seronok bermain-main dengan warna dan tekstur.
Saya menggunakan cat minyak profesional yang diimport dari UK. Olahan saya adalah secara tebal dengan mencampurkan medium impasto bagi memberikan bentuk, yang timbul dan keluar dari permukaan kanvas tersebut. Tebalnya lebih 1 inci.
Berbeza dengan lukisan lain, lukisan sebegini umpama seni arca di atas kanvas dan saya puas dengan ketebalan lukisan tersebut. Ia juga membezakan lukisan saya dengan lukisan digital yang membanjiri pasaran dunia sekarang.
Lagi satu, saya puas apabila membuat process oil mixing iaitu dengan cara mencampur-campurkan warna-warna primer kepada berpuluh-puluh jenis warna-warna sekunder yang sejuk dan panas, kemudian breaking the tones seolah-olah warna tersebut menari-nari di atas kanvas.
Akhir sekali campuran warna-warna yang hidup yang mengasyikkan dan menceriakan pandangan mata.
Pencapaian yang pernah diraih setakat ini?
Kalau dari segi sijil, saya telah mendapat beberapa anugerah dan sijil seni lukisan dari UK, USA dan Korea. Saya juga pernah dilantik sebagai penasihat seni digital oleh Fakulti Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.
Namun secara peribadi, pencapaian lebih berbentuk self satisfaction. Pada Ogos tahun 2016, saya membuat pameran solo kedua dan berjaya menjual hampir 19 dari 26 keping dalam masa 2 minggu tempoh solo tersebut.
Satu lagi apabila seorang CEO sebuah organisasi kewangan di Malaysia masuk ke pameran dan tidak teragak-agak untuk membeli 3 buah cat minyak saya. Dan saya juga bersyukur mempunyai seorang pengumpul tegar dari Selatan yang telah mengumpul lebih 10 keping hasil nukilan saya, alhamdulillah.
Apabila orang tidak teragak-agak untuk menyokong saya, saya juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan ekonomi seni dengan menggunakan kembali wang untuk membantu pelukis2 dan persatuan pelukis lain yang memerlukan.
Bagaimana terbukanya peluang untuk mengadakan pameran seni di California?
Saya dihubungi dan dijemput oleh syarikat utama, Autodesk untuk bersama-sama menyertai pameran di The Venetian, Las Vegas sekembalinya saya dari Itali pada tahun 2013. Selain itu, tiap-tiap tahun saya dihubungi untuk menghantar lukisan di Palo Alto California.
Kalau dulu saya seorang wanita Muslimah yang berkecimpung dalam bidang teknologi di syarikat Intel Corp, sekarang pun takdirnya sama apabila nampaknya saya seorang saja pelukis Muslimah yang terlibat dengan mereka di USA. Mereka mengenali saya melalui Facebook Page saya iaitu Amy Hashim Arts atau instagram @amyhashimarts.
Melihat kepada peluang seni yang ada sekarang, adakah sukar untuk membina nama di negara sendiri berbanding mengembangkannya di negara luar?
Secara peribadinya saya memulakan karier secara serius di luar negara, kemudian masuk ke Malaysia. Tetapi sekarang di Malaysia ini sudah ramai yang celik dengan seni visual atau lukisan.
Saya lihat ada ramai pengumpul seni dan pelabur yang memberi sokongan terhadap bidang ini. Mungkin saya mencipta nama dari luar negara, tapi nisbah pembelian lukisan lebih banyak dari pengumpul Malaysia berbanding luar negara. Ini pengalaman peribadi saya dan hal ini mungkin berbeza antara saya dengan pelukis lain.
Pameran Solo Bersama Mantan CEO Bursa Malaysia Bhd Dato’ Yusli Mohamad Yusof
Pada pendapat anda, bagaimana masyarakat menilai sesuatu lukisan… Orang seperti apa yang suka menghayati dan membelinya?
Orang yang suka menghayati lukisan dan membelinya adalah orang yang jiwanya passionate dengan seni dan mencintainya. Seni pada dasarnya merupakan ungkapan emosi. Ia mencetuskan emosi tertentu pada orang. Bergantung kepada betapa kuatnya mereka merasakan emosi itu, semakin baiklah peluang orang yang menghargai seni itu.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes seseorang mungkin tidak merasakan apa-apa emosi kerana kekurangan pemahaman apa yang dicuba oleh seni.
Dalam kes sedemikian, orang hanya menolaknya mengatakan ia bukan sekeping seni yang baik, mereka mungkin juga mengatakan ini jika emosi yang dicetuskan tidak cukup kuat.
Apabila ini berlaku, mendapatkan seni menjadi satu kejayaan kepada mereka yang membelinya. Ini tidak boleh dibandingkan dengan wang belanja. Ini adalah acquisition. Pemilikan yang kemudiannya menjadi hak peribadi. Art collector dalam sedar atau tidak, mereka adalah pendorong utama seniman-seniman negara sebenarnya.
Usaha anda agar lukisan yang dihasilkan menembusi pasaran digital?
Kongsikan lukisan anda tanpa segan silu dengan dunia luar menerusi media sosial seperti Flickr, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Anda sudah tentu akan dihargai oleh mereka selayaknya. Dunia ini luas dan rezeki Allah ada di mana-mana.
Harapan anda?
Saya sudah maklum, untuk mengubah sesuatu budaya dan cara-cara hidup tertentu yang bukan dari dalam diri kita sendiri adalah sukar.
Maka harapan saya kepada diri saya sendiri ialah membuka art gallery dan berdikari seperti beberapa pelukis moden di US, UK dan Australia supaya peminat dan pengumpul seni boleh terus menghubungi anda dan berdekatan dan mengenali dengan anda secara peribadi.
Dengan cara ini sahaja mereka boleh mengukur standard kualiti dan latar belakang pelukis tersebut. Selepas projek galeri itu berjaya direalisasikan, kemungkinan saya boleh mengorak langkah seterusnya di luar negara, insya Allah.
Berikan tip penjagaan lukisan agar tetap cantik tergantung?
Cat minyak tahannya berzaman dan menjadi sebahagian aset dan architecture di kediaman anda. Berikut sedikit tip yang praktikal diamalkan:
Gantung ia dengan baik.
Dapatkan pencahayaan yang baik kerana cat minyak anda akan glowing dan mengasyikkan apabila dipandang.
Bersihkan dengan kain lembut atau feather duster (bulu ayam).
Cat minyak juga boleh menjadi pemilikan harta yang dibanggakan (pride possession) maka sesetengahnya sudah boleh di senaraikan dalam insurans bagi mengelakkan sebarang kerugian.
Sekiranya anda mempunyai lukisan oil painting tertentu, sudah tentulah ia menjadi satu topik yang seronok untuk diceritakan kepada tetamu-tetamu anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Membina empayar perniagaan bukan suatu tugas yang mudah dan memerlukan kekuatan seputar 360 darjah. Cabaran berniaga itu berliku-liku, tapi berjaya ditempuh oleh usahawan sarung tangan yang tersohor ini.
“Saya bermula dari bawah, malah sejujurnya saya sendiri yang memasarkan sarung tangan buatan tempatan berasaskan kain kapas ini dari pintu ke pintu.
Masa itu, cabaran utama sudah tentulah dengan lambakan produk dari negara China yang jauh lebih murah daripada produk tempatan.
Tapi disebabkan keyakinan terhadap kualiti produk sendiri, saya bersyukur kerana sarung tangan kami mula diterima pengguna dan akhirnya berjaya mendominasi pasaran sarung tangan di Malaysia,” tutur Dato’ Jennifer Ong membuka mukadimah.
Kewibawaannya tidak perlu disangkal lagi. Dato’ Jennifer pernah dinobatkan dengan beberapa anugerah termasuk Asia Pacific Most Promising Woman Entrepreneur Award 2014, Asia Top Business Award 2016 dan 100 Most Influential Young Entrepreneur 2016. Beliau turut tersenarai di Malaysian Book of Records dalam kategori Women Achievement 2017.
“Percaya tak, di universiti dulu saya tak pernah ambil jurusan perniagaan kerana lebih tertarik dengan dunia perhotelan.
Sebabnya waktu kecil dulu, saya teruja bercuti di hotel-hotel besar sampaikan berhasrat nak menceburi bidang perhotelan yang glamor. Tapi sebaik tamat pengajian dan pulang ke tanah air, lain pula jadinya,” kata Pengarah Urusan JO Glove tersebut.
Anak Malaysia
Walaupun masih muda dan menguasai sebuah organisasi di bawah telunjuknya, wanita kelahiran Perak ini bangga bergelar bangsa Malaysia. Megah membawa diri ke merata pelosok dunia sebagai anak Malaysia yang merdeka.
“Saya tak pernah malu untuk memperkenalkan diri sebagai warganegara Malaysia. Definisi merdeka bagi saya adalah sebuah negara berdaulat yang mempunyai kebebasan, hak kewibawaan dan kuasa.
Laungan kemerdekaan pada tahun 1957 itu benar-benar menyentak nurani. Saya sangat mengagumi tokoh kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kerana semangat yang tidak pernah padam menuntut kemerdekaan dari kerajaan British.
Sebenarnya sejak zaman remaja, saya dihantar menuntut ilmu di Amerika Syarikat dan menghabiskan masa membesar di sana. Budaya di sana, semua orang dilayan sama rata.
Kini apabila memegang sebuah organisasi sendiri, saya tekad membentuk syarikat mengikut acuan yang adil dan saksama.
Tiada perbezaan bangsa dalam organisasi syarikat dan saya selalu memberi peluang kepada sesiapa sahaja. Pembantu peribadi saya pun seorang wanita India yang sangat cekap dan setia bersama saya selama hampir 10 tahun lamanya.
Pada saya perbezaan bangsa bukan penghalang untuk mengecap sebuah kejayaan, yang penting mereka boleh dipercayai dan jujur ketika bekerja.
Cuma sejak beberapa bulan lalu, saya masih terbawa-bawa dengan kesedihan selepas pemergian bapa. Mendiang seorang yang peramah dan baik hati.
Ketika hari pengebumiannya, terlalu ramai orang datang untuk memberi penghormatan terakhir. Terngiang-ngiang kata-kata yang sering diucapkan ketika kami bersama dahulu.
Dia pesan agar kita sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain tak kira siapa pun,” akhiri bekas penuntut jurusan Pengurusan Hospitaliti, di salah sebuah universiti Knoxville, Amerika Syarikat itu. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.