Bagi mereka yang gemar menonton video masakan pastinya mengenali Chef Burak Ozdemir yang popular dengan trademark ‘tersenyum’ sambil memasak. Disebabkan trademark tersebut, namanya tular di platform TikTok dan Instagram tahun lalu.
Jejaka kelahiran Turki yang memiliki ketinggian 5 kaki 5 inci dan berusia 27 tahun ini sangat terkenal dengan video masakan menu Timur Tengahnya yang dihasilkan dalam skala besar. Setakat artikel ini ditulis, Chef Burak mempunyai 22.4 juta pengikut di Instagram. Hebat betul auranya!
Pun begitu menerusi beberapa video terbarunya, Chef Burak tampil berbeza kerana senyumannya yang selama ini menjadi daya penarik telah ‘hilang’. Sehingga membuatkan para pengikutnya berasa janggal dan tertanya-tanya.
Chef Burak tidak melontarkan senyuman ketika memasak, sebaliknya berwajah serius sebagai tanda solidaritinya terhadap rakyat Palestin. Dalam satu video ringkas, Chef Burak turut melontarkan suara kemanusiaannya sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Yahudi terhadap penduduk Gaza.
Salah satu videonya yang memaparkan makanan yang dihasilkan diwarna mengikut bendera Palestin iaitu hitam, merah, putih serta hijau. Video tersebut meraih lebih 3 juta tanda suka.
Gemar memasak sejak kecil dan bekerja di restoran kecil milik keluarganya.
2. Bakat memasak diwarisi daripada bapanya yang juga merupakan seorang Chef.
Ads
3. Terkenal dengan hidangan bersaiz besar dan gemar tersenyum ketika memasak.
4. Pemilik restoran Hatay Medeniyetler Sofrasi Aksaray yang terletak di Istanbul.
5. Selain terkenal dengan kepakarannya dalam masakan, Chef Burak juga seorang dermawan dan peramah. Bukan hanya terhadap sesama insan bahkan Chef Burak gemar memberi sumbangan kepada shelter untuk anjing dan kucing liar.
Ads
6. Merupakan ahli Bulan Sabit Merah Turki. Sering melakukan derma dalam skala besar baik sebagai ahli Bulan Sabit Merah mahupun secara peribadi.
7. Sering membantu dan menyantuni golongan kelainan upaya. Memetik kata-kata Chef Burak “Only obstacle in this life is not being loved or to love.”
Walaupun hari ini telah diumumkan bahawa pejuang Hamas dan Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata berkuatkuasa awal pagi tadi, diharapkan agar detik getir ini tidak akan berulang. Semoga Palestin selamanya bebas daripada ‘gangguan’ pihak tidak bertanggungjawab itu seterusnya hidup dalam suasana aman, Insha-Allah.
Kredit Foto: Instagram @cznburak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mahani Awang adalah sebuah nama yang gah dalam dunia kewartawanan terutamanya dalam bidang fesyen. Dunia penulisan sudah sebati dalam dirinya dan minat menulis telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
Walaupun permohonan awal menjadi wartawan hiburan ditolak, namun wanita yang mudah mesra ini tidak pernah mengenal kalah. “Setelah permohonan menjadi wartawan hiburan ditolak, saya melakukan pelbagai kerja termasuk dalam bidang perhotelan.
Ketika itu kakak saya, Hendon Awang bekerja di The New Straits Times di Jabatan Pemasaran. Kebetulan terdapat peluang pekerjaan dan saya ditawarkan bekerja sebagai kerani di sana. Kemudian saya telah dipindahkan ke Bahagian Pengedaran pula.
Saya sudah mula menulis untuk Berita Minggu di bahagian kesihatan secara sambilan ketika itu. Jika sudah rezeki memang tidak ke mana, setahun kemudian saya telah dilamar sebagai wartawan kadet di sebuah majalah kewanitaan. Ketika itu Zaharah Nawawi yang memegang jawatan sebagai editor telah memberi tugasan menemu bual arwah Noreen Noor sebagai penghias muka depan.
Maka bermulalah kehidupan saya dalam dunia kewartawanan ini. Sebelum itu saya pernah bekerja di semua jabatan kecuali jabatan kewangan sahaja. Pengalaman bekerja di semua bahagian sokongan dalam bidang penerbitan sebelum memulakan langkah sebagai seorang wartawan benar-benar membantu dalam usaha mengembangkan kerjaya.
Zaharah dan Adibah Amin yang banyak pengalaman dalam bidang ini banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar. Mereka berdua juga telah menggalakkan saya untuk menyambung pelajaran. Saya telah memilih Universiti Sains Malaysia (USM) untuk meneruskan cita-cita dalam bidang ini.
Setelah tamat pembelajaran di USM, saya kembali bekerja di majalah sebelum ditukarkan ke bahagian akhbar. Hampir dua tahun di akhbar saya telah ditawarkan jawatan Timbalan Editor. Kemuncak kerjaya saya dalam dunia kewartawanan apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan majalah Rias. Majalah ini adalah majalah fesyen dan gaya hidup yang pertama di Malaysia.
Saya bersama team buat julung kalinya telah menganjurkan minggu fesyen pertama di Malaysia pada tahun 1998. Majlis ini telah mendapat liputan yang cukup meluas dan telah berjaya mencuit hati penggemar fesyen tanah air.
Saya fikir itulah titik mulanya saya dipercayai dan dikenali oleh peminat fesyen hingga ke hari ini,” ujar Mahani yang berjaya mengurangkan jurang perbezaan di antara media berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu di kalangan jenama fesyen antarabangsa.
Jiwa Murni
Wanita yang berhati mulia ini tidak mahu membiarkan wanita terus berada di takuk lama tanpa sebarang perjuangan. Tugasnya sebagai Presiden Wawasan Warisan Wanita (WARISTA) membantu masyarakat kurang berkemampuan untuk terus membantu memangkinkan ekonomi negara.
WARISTA adalah sebuah badan amal ini menjalankan aktiviti motivasi dan pendidikan. Buat masa ini WARISTA telah menganjurkan tuisyen kepada anak-anak Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di kawasan Ampang dan Jelatek. Mereka juga dalam rangka usaha menyalurkan pendidikan tambahan di kawasan PPRT Kerinchi.
“Saya telah dididik oleh arwah ayah untuk sentiasa berjiwa patriotik. Maka sudah menjadi tugas dan tanggung jawab untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ini adalah sumbangan kecil saya melalui kerja amal untuk mengangkat maruah anak bangsa,” ungkap Pengarah Urusan MSP Communication Sdn. Bhd yang mengendalikan majlis, kerja-kerja perhubungan awam dan penerbitan ini.
Menurut Mahani, tahun 2016 adalah telah melakar memori indah buat dirinya. Dalam kesibukan menguruskan majlis perkahwinan puteri keduanya, sempat membawa BDA menyertai Minggu Fesyen Malaysia di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Tambah Mahani, pada tahun ini juga beliau turut melancarkan sebuah buku yang diberi nama, Asian Splendour. Buku ini tercetus hasil daripada pameran demi pameran yang telah disertainya. Buku ini menceritakan tentang tekstil tradisional dari 10 buah negara di Asia.
Malah buku ini turut mendapat khidmat nasihat daripada Profesor Sulaiman Ghani dan Puan Fatimah Ismail dari Fakulti Tekstil, Universiti Teknologi Malaysia, (UiTM).
Terkejut pada mulanya apabila Mahani menyatakan angka sebenar usianya. Masakan tidak, penampilan dan perwatakannya terlihat lebih muda daripada usia sebenar. “Syukur kerana saya masih diberikan kesihatan yang baik pada usia sebegini. Tubuh yang sihat dan tenaga tubuh yang berterusan tidak akan datang sendiri tanpa usaha bersungguh-sungguh.
Saya menjaga kesihatan, mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam sekerap mungkin. Selain itu saya try to do good things dan mendapat tidur yang cukup sesuai dengan usia.
Kebahagiaan seorang ibu terlahir apabila melihat anak-anak berjaya dalam konteks tersendiri. Melihat mereka membesar di depan mata adalah suatu anugerah terindah buat saya.Sementelah kehadiran seorang cucu, Tengku Nurzara Amina Tengku Faiz pula mencetus suasana ceria.
Saya sebagai ibu kepada Nurshahanis Amir Shariffudin, 29 tahun, Nuranisha Amir Shariffudin, 28 tahun, Shahnizam Amir Shariffudin, 24 tahun dan Shahnazim Amir Shariffudin, 10 tahun sentiasa menyokong keputusan anak-anak dan tidak pernah menentang pemilihan kerjaya mereka,” ungkap isteri kepada Amir Shariffudin Datuk Mahmood ini. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun penampilannya keanak-anakan, namun pemilik kafe ini mempunyai visi yang jelas dalam mengejar matlamat perjalanan perniagaan.
Menghabiskan masa remaja di depan ketuhar tidak disia-siakan Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 26, demi merealisasi semangat jiwa muda mengejar impian.
Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sering berdamping dengan mereka telah mencetus gagasan pusat belajar memasak untuk kanak-kanak dan kafe yang diberi nama Gula Cakery.
Bagaimanakah anda boleh mencebur diri dalam perniagaan dalam usia yang muda?
Menceburi diri dalam dunia perniagaan datang daripada sikap saya yang tidak tahu duduk diam. Sejak usia 16 tahun, saya sudah pandai mencari duit poket dengan membuat kerja sambilan seperti bekerja di Nando’s, Topshop dan pernah menjadi pembantu peribadi di sebuah syarikat di kota raya.
Sebaik tamat sekolah menengah saya terus cuba bergiat aktif dalam perniagaan secara kecil-kecilan. Mula berjinak-jinak berniaga dengan menjual kek di flea market dan pusat membeli-belah ketika itu.
Bagaimanakah mendapat idea untuk membuka kelas masakan untuk kanak-kanak dan kafe sekali gus?
Saya memperoleh ijazah pendidikan awal kanak-kanak dalam masa yang sama suka membuat kek. Tidak mahu melepaskan kedua-duanya maka saya rangkumkan menjadi satu dengan mengajar kanak-kanak membuat kek.
Hendak mengajar di rumah seperti tidak sesuai dan saya memang mempunyai impian untuk membuat sekolah yang betul-betul untuk kanak-kanak belajar membuat kek. Malah orang dewasa juga tidak dipinggirkan.
Gula Cakery Cafe pula terbentuk apabila ramai pelajar saya sering memuji masakan ibu di dalam kelas. Pada saya tidak salah untuk memperkembangkan sayap perniagaan dengan membuka kafe ini.
Apakah matlamat anda dalam perniagaan ini?
Saya mempunyai matlamat untuk membekalkan pendekatan pembelajaran holistik kepada kanak-kanak dan home bakers.
Manakala untuk kafe pula saya mahu menyediakan ruang yang selesa buat ibu bapa dan anak-anak mereka menikmati makanan yang disediakan. Dalam masa yang sama kanak-kanak boleh bermain di ruang yang disediakan tanpa perlu pantauan ketat oleh ibu bapa.
Apakah cabaran memulakan perniagaan pada usia yang muda?
Apa sahaja bidang yang kita ceburi pasti akan ada cabaran. Bagi saya cabaran itu tidak melihat usia. Setiap cabaran yang datang saya terima dengan positif dan mengambilnya sebagai salah satu pembelajaran berguna dan membantu memperkenalkan jenama kita di mata masyarakat.
Pernah juga diperlekehkan oleh orang lama dalam dunia perniagaan disebabkan usia setahun jagung ini tetapi, saya yakin orang yang lebih berusia mempunyai pengalaman lebih. Saya berharap dapat belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam membina perniagaan ini.
Siapakah pendorong kuat dalam mencapai kejayaan ini?
Keluarga adalah pendorong utama saya mengecap kejayaan ini. Walaupun mereka sama seperti saya langsung tidak mempunyai ilmu dalam perniagaan tetapi sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan.
Ibu dan bapa saya mempunyai latar belakang dalam bidang latihan (training), abang pula dalam bidang rekaan dalaman manakala kakak pula seorang akauntan. Garapan kepakaran mereka banyak membantu saya dalam perniagaan untuk terus mengorak langkah ke hadapan.
Pada pandangan anda mengapa wanita perlu mempunyai kerjaya sendiri?
Pada pandangan saya wanita masa kini memang perlu bekerja. Bekerja yang dimaksudkan tidak semestinya bekerja di pejabat.
Wanita sekarang beruntung kerana mempunyai banyak peluang bekerja dari rumah. Bekerja di rumah atau di pejabat tetap sama iaitu untuk belajar berdikari dan membantu menjana pendapatan keluarga. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehidupan kompleks yang hanya tertumpu pada kerjaya dan keluarga telah membuat Julia Chong tidak pernah memandang kepada kehidupan mereka yang kurang kemampuan.
Bercerita tentang bantuan terhadap mereka yang kurang berkemampuan telah mendorong rasa kagum dalam diri penulis.
“Mendiang suami saya banyak menyuntik semangat saya untuk berbahagi rezeki kepada kanak-kanak yang memerlukan di rumah anak-anak yatim. Selama 30 tahun bergelumang dengan dunia korporat, saya kurang mempunyai masa untuk melakukan kerja amal. Namun, melihat kesungguhan suami ketika itu untuk mengajak saya untuk turut serta, membuat saya akur untuk mencuba.
Akhirnya ketika cuti panjang musim perayaan Krismas, saya ikut suami untuk menyediakan hidangan Krismas untuk kanak-kanak yang menghuni rumah anak yatim. Apabila pertama kali melakukan kerja amal di badan yang memerlukan telah menyentuh hati kecil ini bahawa terdapat ramai lagi orang yang hidup serba kekurangan,” terang Julia penuh semangat.
Apabila ditawarkan jawatan Pengarah Urusan di sebuah syarikat multinasional, kehidupan teruji saat suami tersayang pergi buat selama-lamanya kerana serangan jantung. Tugasan pejabat yang tidak kenal erti titik noktah dan membesarkan dua orang anak yang sedang membesar telah membuatkan fokus saya hanya untuk kerjaya dan anak-anak.
Bukan mudah untuk menguruskan segala-galanya seorang diri tanpa bantuan daripada suami seperti kebiasaannya. Saya terpaksa meninggalkan ‘sementara’ dunia kerja amal ini yang telah bercambah dalam hati. Bagi saya ini adalah momen yang paling sukar untuk dihadapi sepanjang kehidupan ini.
Saya terpanggil untuk meneruskan usaha murni ini apabila hadir di majlis hari konvokesyen anak bongsu. Masa tu anak sulung sudah menjawat jawatan sebagai seorang arkitek di sebuah syarikat pembinaan terbesar tanah air. Manakala anak bongsu pula menabur bakti di United Kingdom, sebagai Pakar Pembedahan Plastik.
Kini sudah tiba masanya untuk saya give back to the nation. Selama lebih hampir lapan tahun tinggalkan kerja amal, kini saya mahu menyediakan platform untuk semua orang berbahagi rezeki. Saya telah membuat suatu keputusan drastik meninggalkan kerjaya yang mempunyai gaji lumayan dengan menubuhkan The Truly Loving Company Sdn Bhd. (TLC),” jelas Julia yang mempunyai hobi berkebun ini.
TLC adalah sebuah syarikat yang memasarkan pelbagai jenis produk pembersihan rumah mesra alam dengan visi untuk memberi inspirasi kepada semua untuk memperkasa masyarakat dan memulihara alam sekitar.
TLC juga turut menyediakan dana bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik dan 100 peratus daripada dividen TLC turut disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih.
Antara badan kebajikan yang tersenarai di TLC adalah Handicapped and Mentally Disabled Children Association, Johor Baharu, HOSPIS Malaysia, National Stroke Association of Malaysia, Rumah Aman dan SHELTER Home for Children. Sejak ditubuhkan pada tahun 2006 dan selama hampir 10 tahun penubuhannya, TLC telah berjaya menyalurkan wang kepada 36 badan kebajikan terpilih hampir RM1.7 juta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.