Episod cinta Nurul Afiqah Dato’ Hassanal Bolkiah dan Mohd Syafiq Dato’ Maliami terlakar indah pada tanggal 28 Jun 2015. Siapa sangka pertemuan yang dirancang kedua-dua ibu bapa di kediaman elit keluarga Afiqah di Bukit Jelutong waktu itu berakhir ke jenjang pelamin.
Ikatan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua keluarga sebelum ini kian tersimpul erat tatkala Syafiq menyuarakan hasrat untuk menyunting anak perempuan sulung pengasas produk kecantikan dan kesihatan Almas, Datin Maziah Mohamed sebagai suri hidupnya.
“Selepas pertemuan itu dan sebulan berkenalan menerusi telefon, Syafiq menghantar rombongan merisik untuk berbincang tentang majlis pertunangan dan kahwin. Baik suami mahupun saya sendiri, kami memilih untuk bercinta selepas kahwin kerana percaya perhubungan seperti itu lebih bermakna.
Pada mulanya agak sukar bagi saya untuk membuat keputusan sebab kami tidak pernah bercinta jauh sekali keluar bersama seperti pasangan lain. Tapi, alhamdulillah lepas buat solat istikarah saya dapat petunjuk dan hati ini kuat mengatakan he’s the one,” akui wanita berusia 23 tahun ini.
Tanpa ikatan pertunangan, pasangan romantis ini akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada 15 Julai 2016 dalam majlis yang serba indah dan tenang di Bunga Emas The Royale Chulan Kuala Lumpur.
Memilih dekorasi pelamin bertemakan flora dan kristal bersama paduan rona putih ilham perancang perkahwinan Pak Abu, Afiqah yang anggun dalam persalinan sedondon putih salju rekaan Iszal Ismail sah bergelar isteri kepada pegawai bank ini tepat jam 8.55 malam.
Suasana syahdu melingkari upacara ijab dan kabul apabila Dato’ Hassanal Bolkiah Abdul Wahab bersetuju menikahkan anak gadisnya sambil disaksikan Datin Maziah yang setia berada di sisi Afiqah.
Selain wang hantaran RM38,000 dan mas kahwin satu dinar emas, pewaris legasi Almas ini turut menerima set wangian, sepasang kasut, beg tangan Chanel, manisan dan set perhiasan diri. Manakala Syafiq pula menerima sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, sebentuk cincin, manisan, seutas jam tangan, minyak wangi dan sepasang sepatu Louis Vuitton.
Meskipun jurang usia mereka mencecah lima tahun namun kedua-duanya cukup matang dalam melayari perhubungan. Bahkan Afiqah amat bersyukur kerana dikurniakan seorang lelaki yang cukup sempurna di matanya.
“Sebenarnya saya seorang yang sukar untuk jatuh cinta tetapi melihat keperibadian Syafiq yang merendah diri, pandai menghormati saya dan keluarga membuatkan saya sangat selesa berkawan dengannya. Tambahan pula, dia memiliki senyuman yang manis dan sedap mata memandang,” bicara Afiqah sambil tertawa.
Antara tetamu kenamaan yang hadir meraikan majlis bersejarah Afiqah dan Syafiq termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Jakel, Dato’ Mohamed Faroz dan Datin Farah Haryani, pengusaha kosmetik dan kesihatan, Dato’ Aliff Syukri, Dato’ Sri Vida, Dato’ Suhaimi, Rita Sosilawati, Faziani Rohban dan Puteri Zarith. Suziana Abu Daud