
Bila sentuh bab bersalin ni, walau lima kali kena tempuh proses bersalin, takutnya tetap ada. Memanglah kebanyakan ibu yang mengandung mahu bersalin normal namun bersalin cara pembedahan tidak ada cacat-celanya.
Ada juga kelompok yang menyatakan bersalin cara ceaser ni tak betul-betul ibu sejati kerana tak melalui tempoh bersalin yang laman dan tak merasai sakit bersalin mahupun contraction. Bersalin normal atau bersalin ceaser tak penting yang penting ibu dan anak berada dalam keadaan sihat.
Isteri kepada pelakon terkenal Shaheizy Sam ini baru melahirkan anak keduanya. Syatilla Melvin atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin memperoleh kedua-dua zuriatnya dengan cara pembedahan.
Syatilla turut berkongsi pengalamannya bersalin secara pembedahan di laman media sosialnya, “Asalnya memang niat nak sangat bersalin normal. Tapi Allah SWT dah tetapkan apa yang terbaik untuk Tilla. Thank you Allah SWT.
Pendekkan cerita, bila last trimester sebelum beranak, perut makin besar, parut ceaser lama start rasa ngilu bila bersin atau batuk. Tak sakit tapi ngilu.
So saya ni mula imagine time nak teran anak nanti kalau beranak normal, kalau luka lama terkoyak, macam mana. Takkan sakit atas bawah! So, Tilla decide untuk ceaser sebab tak mahu ambik risiko.
Lihat aksi Syatilla ketika sedang bersalin;
Benda pertama Tilla pesan dengan Doktor Fauziah, “Doktor, apa jadi sekalipun, tolong kemaskan jahitan perut saya,”. Dan keputusan yang saya buat memang menyelamatkan nyawa baby!
Sebab time doktor belah perut, Sarima dah terbelit tali pusat dah (2 kali pusing), allahuakhbar. Berdebar Tuhan saja yang tahu.
Baby boleh lemas weii kalau lambat! Plus kali ni punya ceaser lain macam sikit, saya rasa pisau lalu atas kulit weiiii!! Tapi tak sakit laa, cuma terasa memang ada benda lalu dan ditoreh, pisau la apa lagi.
Doktor potong, gunting semua Tilla rasa, cuma tak sakit! Siap ada bau hangit kulit lagi dan alhamdulillah Allah SWT permudahkan semua benda.
Hari ke-2 dah boleh bangun bergerak macam biasa tanpa rasa sakit. Pengalaman ceaser lepas banyak mengajar sebenarnya! Dan 1 ja nak pesan, bersalin ceaser tidak seteruk yang digembar-gemburkan!
Mind set kita nombor 1, kalau fikir sakit, sakit la jadinya. Tilla memang dari awal dah ready mental fizikal walau apapun jadi. Serah semua pada Allah SWT.
Apa-apapun, untuk tak mau bagi nervous, kita touch up la mulut dengan lipmatte,” gurau Tilla.
Foto: Instagram @samtilla
“Suara Dan Bakat Dah Ada” Abeer Widad Bakal Bergelar Qariah Sehebat Ibunya, USTAZAH SHARIFAH KHASIF

Comel sungguh Abeer Widad, satu-satunya anak tunggal Ustazah Sharifah Khasif yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci Al-Quran.
Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 5 tahun sangat rapat dan manja dengan Ustazah Sharifah Khasif. Apa yang paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah yang hebat suatu masa nanti.
Sebagai ibu pastinya menjadi impian Ustazah Sharifah Khasif untuk melihat Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Apatah lagi, besar cabarannya apabila bergelar ibu tunggal. Atas faktor itulah wanita berusia 37 tahun ini mahu memberikan yang terbaik demi Abeer.
KEKAL POSITIF
“Selama bergelar ibu tunggal, alhamdulillah saya sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mungkin Allah SWT tahu yang saya perlu sihat untuk menjaga Abeer dan dan keluarga. Setakat ini masih diberikan kekuatan mental dan fizikal. Saya sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah SWT di samping menjaga pemakanan dan kesihatan.
Kalau nak dikenangkan momen-momen menyentuh hati tu memang banyak. Lebih-lebih lagi bila Abeer tanya “Kenapa kita dua je Ummi? Kenapa ayah tak ada?” Hal-hal macam ni lah saya kena jelaskan betul-betul kepadanya. Paling penting jangan meracuni fikiran anak, itu konsep saya.”
IBU SEBAGAI CONTOH TERBAIK
“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
Kita cari akhirat dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran, Allah SWT akan beri rezeki dan kehebatan yang luar biasa.
Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.”
LAYAN ABEER SEPERTI SAHABAT
“Tahun ini Abeer dah dihantar ke tadika. Untuk meluangkan masa bersamanya saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana selalunya selepas waktu persekolahan saya akan bersama Abeer. Hubungan kami memang sangat rapat dan saya memanggilnya Kakak. Selain manja, Abeer juga seorang anak yang suka bercakap, mudah mesra dan suka senyum.
Saya suka membawa Abeer ke taman. Biasanya kami akan bersenam bersama-sama atau pun ke shopping mall untuk makan-makan sambil bercerita hal-hal sekolah dan juga hal semasa. Saya layan Abeer macam orang dewasa, macam sahabat. Adakalanya kami melawak dan adakalanya serius, tapi bertempatlah.
Saya juga ada mengadakan kelas khas yang saya atur untuk Abeer bersama 10 kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran Al Quran sejak kecil.
Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Namun saya tak terlalu menekan kerana saya menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.
Saya juga suka bercerita dengan Abeer seperti tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.”
IMPIAN
“Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah.. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.
Saya turut bersyukur kerana Akademi of Sharifatuna Quranic Arts(ASQA) milik saya kian mendapat sambutan ramai sejak dibuka tahun lalu di Rampai Business Park Setapak Kuala Lumpur. Akademi ini mencari bakat-bakat baru dalam meneruskan legasi sebagai qari dan qariah masa depan. Satu lagi cawangan ASQA ialah di Damansara Perdana. Kelas diadakan pada setiap jumaat malam.
Impian saya seterusnya ialah ingin membuka ASQA di Melbourne pula. Niat saya untuk approach international market supaya dakwah dapat dikembangkan dengan lebih meluas, insyaAllah. Doakan yang terbaik untuk saya.”
Bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan luar dalam, Ustazah Sharifah Khasif mengamalkan jamu sejak usianya remaja di samping tamar dan air zam-zam yang sentiasa ada di rumahnya.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Khasif
Bermodalkan RM500 Berjaya Raih Keuntungan RM10 JUTA, IQBAL Bukti Berkat Usaha Gigih Pasti Berjaya

Nama lelaki berusia 27 tahun ini kembali hangat diperkatakan ekoran niatnya mahu memperisterikan jutawan kosmetik terkenal, Dato’ Seri Dr. Hajah Vida. Ahmad Iqbal Zulkefli rupanya dalam diam telah mempunyai perniagaan sendiri iaitu produk penjagaan kulit, Iba Skin Care dan minyak wangi di bawah label, Iba Perfumes.

Mesra disapa Iqbal dan pernah menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam penulisan kreatif, lelaki ini baharu saja membina empayar perniagaan selama empat tahun. Dalam masa yang singkat itu, usahawan ini berjaya membuktikan kejayaannya dengan memiliki jam tangan mewah yang dibeli secara tunai.

Lelaki yang berjaya mengetuk pintu hati Dato’ Seri Dr. Hajah Vida ini telah membeli dua buah jam berjenama Hublot di sebuah pusat beli belah di ibu kota berharga mencecah RM550,000 secara tunai.
Salah satu jam dibeli dengan harga RM400,000 dan jam kedua, bernilai RM150,000. Ketika itu premis kedai jam mewah itu ditutup selama tiga jam untuk memberikan laluan kepada staf butik jam melayannya.

Imbas kembali jejak langkah pertama anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini dalam dunia perniagaan tidak semudah yang disangka. Bermodalkan dengan hanya RM500 saja, Iqbal berjaya buktikan semangat dan tekadnya dalam perniagaan.
“Masa teroka perniagaan produk kecantikan kulit, saya buka pra tempahan dengan menjual set berharga RM100. Masa itu saya tak menyangka dalam 1600 orang nak beli dan RM160,000 berjaya dikumpul.

Tahun lalu, saya jual minyak wangi dari Perancis pula dengan harga dua botol RM170. Ia mesra wuduk. Pernah dalam sehari saya mencatat jualan dalam RM300,000 tanpa menggunakan khidmat agen dan stokis.


Saya lebih fokus kepada peruncitan dan mempromosikan produk di kaca TV. Dalam tempoh setahun itu juga, jualan minyak wangi berjaya dijual sekitar anggaran 70,000 botol dengan keuntungan tak kurang RM10 juta. Saya nak sasar RM20 juta atau lebih pula selepas ini,” katanya.
Cipta Tabung Sedekah Subuh Dengan Paip PVC, Ini Pesan USTAZAH ASNI MANSOR “Ajar Tangan Kita Untuk Selalu Memberi”

Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.
Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.

TERCETUSNYA IDEA
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.


Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.
GALAKKAN BERSEDEKAH
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.
Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
DAKWAH MELALUI KAYRA SENI
“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.

Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.
Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.
Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.

Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.
Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.
PENDORONG
Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”


Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.
Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.
Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor