
Setiap masakan pasti tidak enak jika tidak disediakan bersama bahan-bahan asas hidangan. Tidak hanya berfungsi sebagai ‘penyedap’ makanan, tetapi setiap satu daripadanya mempunyai manfaat untuk kesihatan tubuh. Ayuh kita lihat kebaikan yang ada.
Halia
- Halia mengandungi air, karbohidrat, serat, kalium, fosforus, kalsium, tenaga, protein, gentian, niasin, asid amino, gingerols, oleoresin, pati minyak, vitamin A, B & C.
- Membantu mengurangkan angin dalam badan, sakit kepala, sistem pencernaan bermasalah, muntah, cirit-birit dan asthma.
- Ia juga dapat membantu jika anda mengalami mabuk kenderaan.
Cili Kering
- Kaya dengan vitamin A, B, B kompleks, C, protein, karbohidrat dan karotin.
- Ia juga membantu melancarkan perjalanan darah, mengatasi masalah sakit kerongkong dan boleh mencegah berlakunya penyakit darah beku.
Kunyit
- Kunyit mengandungi kalori, protein, karbohidrat, lemak, kalsium, fosfor dan zat besi.
- Kunyit bersifat antiseptik dan antibakteria. Kedua-dua sifat ini menjadikan kunyit sangat bermanfaat membantu mengubati luka biasa mahupun luka terbakar.
- Membantu mencegah penyakit Alzheimer.
Bawang Putih
- Bawang putih mengandungi kalori, karbohidrat, gula serat, lemak,protein, beta karotin, folat,vitamin C, kalsium, zat besi, magnesium,fosforus, kalium, natrium dan zink,
- Berfungsi sebagai anti bakteria, bawang putih didapati sangat baik untuk menglakkan serangan jantung, mengurangkan tekanan darah tinggi dan penyakit kanser.
Bawang Merah
- Bawang merah mengandungi vitamin C, potassium, serat dan asid folik. Ia juga mengandungi kalsium, zat besi, dan protein yang tinggi.
- Flavonoid yang terkandung di dalamnya dipercayai membantu mengurangkan risiko penyakit kronik kerana ia mempunyai unsur-unsur anti kanser, anti bakteria, anti viral dan antilergenik.
- Membantu hati membuang toksin daripada badan dan ia mempunyai saponins untuk menghindar dan membunuh sel kanser. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Gejala Sakit Belakang Bukan Tanda ‘Biasa-Biasa’, Boleh Jadi Punca Lumpuh!

Berdiri sakit, duduk pun sakit. Kalau berbaring, puas menukar posisi tidur supaya sakit berkurangan. Tapi ketidakselesaan pinggang tetap menjadi-jadi.
Dalam temu bual Majalah Nona dengan Perunding Pakar Bedah Saraf dari Regency Specialist Hospital, Dr Teo Beng Tiong, walaupun rasa sakit tersebut kelihatan biasa dan tidak membahayakan, tapi ia mungkin berpunca oleh masalah yang serius.
Kadar kekerapan sakit belakang yang kronik adalah setinggi 84%, BERMAKNA hampir setiap individu akan mengalami gejala ini dalam hidup mereka.
Sakit belakang mampu menjadi lebih serius daripada ketegangan otot biasa. Ketidakselesaan pada belakang pinggang adalah disebabkan oleh pelbagai penyakit yang amat memerlukan rawatan serta penjagaan rapi oleh pakar bedah tulang belakang.

Salah satu keadaan adalah disebabkan hernia cakera lumbar ataupun serviks. Hernia cakera boleh berlaku di mana-mana bahagian di sepanjang tulang belakang tetapi kebiasaannya pada bahagian belakang bawah (tulang belakang lumbar).
Ini adalah salah satu penyebab ketidakselesaan belakang bawah yang paling biasa tetapi hanya 10-20% pesakit yang memerlukan pembedahan.
Hernia cakera serviks pula adalah disebabkan postur tubuh yang lemah, manakala hernia cakera lumbar pula disebabkan oleh aktiviti kerja berat atau kecederaan semasa bersukan.
TANDA-TANDA SERIUS
Sangat mudah untuk mengesan sama ada sakit belakang anda serius atau tidak. Cuba tanya diri sendiri, adakah ia menjejaskan kemampuan anda untuk bergerak?
Kemampuan pesakit untuk berfungsi dalam aktiviti seharian mungkin lebih penting daripada menanggung ketidakselesaan pada belakang bawah atau kaki.
Sekiranya anda tidak dapat bekerja, atau melakukan aktiviti harian, anda patut mempertimbangkan untuk berjumpa dengan pakar tulang belakang secepat mungkin.
Kesakitan yang timbul hingga ke lengan dan kaki yang menyebabkan kebas juga merupakan tanda-tanda serius penyakit saraf.

TERLAMBAT MENDAPAT RAWATAN
“Malangnya, doktor dan pakar bedah saraf sering menjadi pilihan terakhir pesakit dan kebanyakan mereka didiagnos lewat.
Pada ketika itu, kami tidak dapat memberikan rawatan pemulihan sepenuhnya untuk pesakit tersebut. Tambahan pula, sesetengah pesakit juga ragu-ragu untuk bertemu pakar bedah saraf disebabkan stigma negatif terhadap pembedahan.” Dr Teo Beng Tiong
Sebenarnya ia masih boleh dirawat tapi berkemungkinan semakin melarat. Tanpa sebarang rawatan, pesakit mungkin akan lumpuh dan memberi kesan yang sangat teruk kepada fungsi dan kualiti hidup.
RAWATAN
Rawatan yang boleh dicuba:
- Senaman untuk mengembangkan, melenturkan, menguatkan otot belakang dan abdomen, serta senaman memperbaiki postur badan anda akan diajar oleh ahli terapi fizikal.
- Rawatan topikal seperti krim, salap, “ointment”, dan produk tampalan akan memberikan penahan sakit melalui kulit anda.
- Tidur malam yang nyenyak juga dapat memberi anda manfaat terapeutik, menjadikan anda berasa segar, bertenaga, dan kurang tekanan.
- Berjumpa pakar tulang belakang.
KEPENTINGAN BERTEMU PAKAR
Sekiranya anda telah melakukan rawatan tanpa pembedahan tetapi masih mengalami gejala selepas tiga bulan, pembedahan mungkin pilihan yang sesuai untuk anda.
Pesakit yang mengalami hernia cakera tulang belakang memerlukan pilihan rawatan serta penjagaan lebih rapi daripada pakar. Prosedur ini merupakan prosedur rawatan luar yang mengambil masa kurang dari satu jam.
Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar sekiranya mengalami kesakitan yang berterusan di bawah pinggang atau kaki, selama beberapa minggu atau bulan.
Sekiranya pesakit mengalami sakit leher dan kebas hingga ke sendi, rasa lemah atau saraf mati, ini merupakan tanda-tanda yang sangat jelas untuk anda merujuk kepada pakar.
Berjumpa pakar bedah saraf dengan segera dapat meningkatkan kadar kejayaan rawatan, sementara bertangguh terlalu lama akan mengakibatkan kerosakan saraf jangka panjang.
Berkemungkinan besar, badan akan gagal menerima tindak balas rawatan tersebut. Cakera belakang mudah terdedah kepada sebarang kecederaan. Risiko kecederaan akan bertambah seiring peningkatan usia.
KAEDAH PEMBEDAHAN
Pilihan terbaik adalah menjalani pembedahan tulang belakang invasif minimum – Minimally Invasive Spine Surgery (MISS) bagi memperbaiki sepenuhnya cakera tulang belakang agar dapat memberikan kelegaan kesakitan jangka panjang.
Pembedahan tulang belakang mungkin kedengaran menakutkan bagi kebanyakan individu. Namun anda tidak perlu bimbang kerana terdapat lebih banyak pilihan pembedahan yang ada pada zaman kini berbanding sebelumnya.
Matlamat MISS adalah untuk menstabilkan tulang vertebra dan sendi tulang belakang disamping mengurangkan tekanan pada saraf tunjang. Penyakit hernia cakera dan stenosis tulang belakang adalah keadaan biasa yang dirawat dengan teknik MISS.
Dalam teknik MISS, pakar bedah saraf menggunakan pelbagai kaedah pembedahan yang memberikan tekanan minimum terhadap tubuh berbanding kaedah tradisional iaitu secara pembedahan terbuka.
Secara amnya, MISS dikaitkan dengan kadar kesakitan yang lebih rendah, kurang tempoh menetap di hospital, kehilangan darah pembedahan yang minimum serta komplikasi yang sedikit. Permintaan untuk menjalankan prosedur ini telah berkembang dengan cepat memandangkan pertimbangan manfaat yang pelbagai seperti kadar ketepatan lebih tinggi serta kesakitan dan jangkitan yang lebih sedikit.
Jenis rawatan ini pastinya lebih murah, tidak berisiko dan memberikan hasil yang lebih baik bagi pesakit.
“Pada tahun 2011, Jabatan Neurosurgeri di Regency Specialist Hospital telah melakukan teknik MISS pertama dibawah pengawasan saya. Sehingga kini, teknik ini telah digunakan untuk merawat lebih dari 1000 kes penyakit lumbar digeneratif di Hospital Pakar Regency.
Saya yakin bahawa pembedahan ini akan memberi pelbagai manfaat kepada pesakit yang mengalami masalah hernia cakera. Keutamaan kami sebagai pakar bedah saraf akan sentiasa membantu para pesakit kami untuk mengembalikan pergerakan dan mobiliti mereka,” akhirinya.
Will Smith Suami Penyayang, Bapa 3 Anak Ini Terima Bayaran USD$40 Juta Satu Watak

Aktor Hollywood ini sememangnya berbakat besar dalam industri lakonan. Berilah apa sahaja watak kepada Will Smith ini daripada komedi hingga filem aksi pasti mampu dibawanya dengan cemerlang.
Namun, di sebalik semua watak lakonan yang dijayakan olehnya, Will Smith merupakan seorang lelaki budiman dan berjiwa penyayang.

Baru-baru ini tular di seluruh dunia apabila lelaki yang berusia 53 tahun ini bertindak menampar pelawak Chris Rock pada Anugerah Akademi ke-94. Insiden ini berlaku kerana pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Oscar 2022 ini ‘naik angin’ apabila keadaan isterinya dijadikan bahan jenaka.

Apabila cinta menguasai diri nyata lelaki yang juga mempunyai nama timangan The Fresh Prince ini tidak mampu mengawal emosi apabila insan yang disayangi tersakiti. Husband material sebegini sudah tidak banyak lagi sekarang. Beruntung Jada Pinkett-Smith mempunyai suami seperti pelakon utama filem Men In Black 3 ini.
Bakat yang ada dalam diri pelakon, produser filem dan rapper ini sememangnya tidak perlu dipertikaikan. Kalau tidak, masakan mendapat bayaran yang tinggi hanya untuk satu watak.


Khabarnya, bagi menjayakan watak “King” Richard Williams iaitu bapa kepada pemain tenis terkemuka dunia, Venus dan Serena Williams, Will Smith telah dibayar sehingga USD$40 juta. Hebat bukan?
Menurut laporan Celebrity Net Worth, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh lelaki yang dilahirkan di Philadelphia, Pennsylvania Amerika Syarikat ini ialah USD$350 juta untuk tahun 2022. Bukan calang-calang kekayaan milik lelaki yang memulakan kerjaya seni sebagai MC Hip Hop.

Lelaki yang berlakon dalam drama sitcom The Fresh Prince of Bel-Air ini bersama isterinya gemar mengumpul kereta mewah dan rumah. Pasangan selebriti ini memiliki kereta mewah seperti Bentley Azure, Mayback 57s, 1965 Ford Mustang, Cadillac Escalade dan Mercedes Benz GL450.

Bakat yang ada dalam diri tiga bapa kepada tiga orang anak ini turut diwarisi oleh anak-anaknya. Anak sulungnya Trey Smith hasil daripada perkahwinan pertamanya Sheree Zampino pada 1992 namun mereka bercerai tiga tahun kemudian. Bersama isterinya Jada Pinkett-Smith, pasangan ini mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Jaden Smith dan Willow Smith. Masing-masing mencipta nama di industri seni.
Baca juga; John Travolta Dulu ‘Celebrity Crush’, Usia 68 Ada Lebih 3 JET Nilai Million Dollar
“Cita-Cita Dia Dalami Ilmu Islam Dari Bercinta Lagi,” SHAFEEQA Kagum Peribadi Suami, ATU ZERO!

Tersentuh dengan kesederhanaan pasangan suami isteri ini. Mana tidaknya, walau suami berstatus pelawak terkenal tanah air namun cukup merendah diri. Malah mereka juga berjiwa prihatin dan ‘sarat’ dengan impian untuk membantu golongan susah. Alhamdulillah!
Lebih lima tahun melayari alam rumah tangga bersama Atu Zero membuatkan Shafeeqa Johari lebih matang sebagai wanita dan isteri. Selamat bernikah dengan selebriti berasal dari Sabah itu pada Februari 2016, Shafeeqa yang merupakan bekas pereka fesyen meluahkan rasa syukur kerana sepanjang berkahwin suami tercinta telah banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan.
Perkara tersebut didedahkan Shafeeqa di Instagram miliknya. Kongsi ibu berusia 34 tahun ini, “Saya kan, suka dengar apa yang suami saya cerita. Setiap apa yang dia ceritakan itu adalah cita-cita dia. Tak pernahlah dia cakap teringin nak pakai kereta mewah itu, baju branded ini, kasut mahal itu ini.
Kadang-kadang apa yang dia pakai mahal tu saya yang belikan dia untuk dia kerja. Tak adalah mahal sampai tak masuk akal tapi reward untuk dia yang penat bekerja.
Cita-cita anak nelayan, arwah bapa dia gaji awal bulan RM150, akhir bulan RM150. Kadang-kadang minta advance dengan bos, beras untuk 7 orang anak. Ikan kadang-kadang Atu pegi jual dari rumah ke rumah. Berbeza sangat hidup dia dan life saya.”
Jelas Shafeeqa lagi, “Bukan mereka tak pandai tapi peluang tu tak ada. Nak sambung belajar kan banyak pakai duit. Dia lepas SPM terus nak bekerja. Berbeza dengan saya, habis SPM ayah suruh ambil kursus perakaunan. Lesen kereta dan motor saya ada sejak umur saya 17 lagi. Atu tak, semua dia usaha sendiri. Kadang-kadang kagum dengan dia.
Dia nak capai tahap tak nak terkesan dengan makhluk tu susah sangat. Tapi macam mana dia boleh sabar, apa orang nak cakap tu cakaplah. Dia akan usaha untuk cita-cita dia.”
Sejak menyertai pertandingan Raja Lawak, latar belakang hidup susah Atu atau nama penuhnya Sharid Kunal Doli Sharif dari kumpulan Zero ini bukan lagi rahsia. Tak pernah malu mengaku status anak kepada nelayan, kegigihan figura ini untuk berjaya memang patut dijadikan teladan.
Sebagai isteri, Shafeeqa yang merupakan usahawan kek lapis dan dessert ini rasa sangat kagum dengan semangat suami yang berusaha mengejar ‘saham’ akhirat saban hari. “Jadi artis bukan cita-cita Atu ya. Dia pun tak terjangka yang rezekinya di pentas seni. Tapi cita-cita dia untuk mendalami ilmu Islam itu memang dari saya bercinta lagi dengan dia. Jadi saya tunjuklah apa yang saya tahu.
Ya!! Sayalah yang ajar dia alif, ba, ta.. sampai satu tahap saya minta dia berguru dengan ustaz yang betul-betul. Sebab saya isteri, nak betulkan suami tentang sebutan tu saya sendiri segan. Baik berguru kan. Kang nanti saya mengajar pegang rotan. Sekarang? Duk pulun ajar Sumayyah pulalah, lagi payah rupanya ajar anak ni.
InshaAllah saya happy jika suami saya happy. Dia bukan orang senang tapi dia berusaha untuk kehidupan. Banyak yang saya belajar dari Atu walaupun dia 5 tahun lebih muda dari saya.”
Hasil perkongsian hidup selama lima tahun, Shafeeqa dan Atu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sumayyah yang lahir pada 9 November 2016 dan Sharif Salahuddin kini berumur dua tahun.
Selain mengusahan bisnes makanan, Shafeeqa dan Atu turut aktif membuat kerja-kerja amal. Sebelum ini kedua-duanya pernah memberi sumbangan kelengkapan PPE kepada petugas barisan hadapan dan terbaharu mereka mengagihkan set kelengkapan jenazah khas buat golongan tidak berkemampuan dan fakir miskin.
Difahamkan misi Atu untuk menyediakan van jenazah juga telah dimakbulkan baru-baru ini. Semoga kebaikan yang ditunjukkan pasangan selebriti ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama melakukan kebaikan.
Kredit foto: Instagram Atu Zero & Shafeeqa Johari