DILRABA DILMURAT

Aktres popular China, Dilraba Dilmurat sememangnya memiliki raut wajah sempurna. Dia dikurniakan sepasang mata bundar yang cantik, hidung mancung, bibir mungil, kulit putih mulus dan aura mempersona.

IKLAN

Tidak hairanlah Dilraba atau lebih dikenali sebagai Dilireba dalam kalangan peminat sering menjadi buruan jenama mewah antarabangsa termasuk syarikat produksi untuk menjadi duta dan tarikan dalam sesebuah drama mahupun filem.

Menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-29 pada 3 Jun lalu, pelakon, model dan penyanyi yang dilahirkan di Urumqi ini sebenarnya mempunyai darah keturunan etnik Uighur. Mengikut bahasa Uighur, nama Dilraba Dilmurat bermaksud ‘cantik rupawan’.

Memandangkan latar belakangnya sebagai masyarat etnik minoriti Uighur, dia mengakui fasih bertutur bahasa tersebut selain sedang mempelajari bahasa Korea dan Thailand!

Patutlah populariti Dilraba turut menjadi perhatian di negara luar, dah pandai cakap Korea dan Thailand nanti boleh cuba tembusi industri seni di sana pula.

Minat dan darah seni dalam diri Dilraba mula berputik sejak zaman kanak-kanak lagi. Memetik laporan Hotpot TV, ketika berusia lingkungan tujuh tahun dia sudah meminta
ibu bapanya menghantar ke kelas muzik piano, violin, gitar dan kelas menari. Malah, menerusi perkongsian gambar kanak-kanak Dilraba jelas menunjukkan kecantikan asli milik jelitawan ini.

IKLAN

Atas sokongan keluarga terhadap minat Dilraba, dia kini bergelar antara selebriti berjaya di China dan menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang pembabitan bergelar anak seni. Kerjaya Dilraba mula menyerlah sekitar tahun 2015 / 2016 selepas dia membintangi drama bersiri 37 episod ‘Hot Girl’ yang melayakkannya menerima anugerah ‘Outstanding New Actress’ di 2016 ENAwards.

Pada tahun yang sama juga, dia menerima satu lagi anugerah iaitu ‘Best New Actress’ di China Britain Film Festival menerusi watak yang dijayakan dalam Mr Pride vs Miss Prejudice.

Selain itu, dia turut dimahkotakan The Golden Eagle Goddess 2018 iaitu salah satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada pelakon di China. Tahun lalu sahaja, nama Dilraba Dilmurat menduduki tempat ke-16 dalam senarai Forbes China Celebrity 100 List dan popularitinya melonjak sehingga disenaraikan sebagai antara pelakon China yang menerima bayaran paling tinggi untuk sebuah drama!

IKLAN

Kejayaan yang diraih ini bukan bersandarkan kepada rupa paras menawan Dilraba semata-mata. Sebaliknya, dia juga merupakan selebriti yang rajin bekerja dan menerima banyak tawaran. Selepas mencatat percapaian luar biasa menerusi drama siri popular Eternal Love pada tahun 2017, tawaran yang diterima Dilraba datang mencurah-curah.

Di samping sibuk menjalani penggambaran drama dan filem berturut-turut Dilraba turut dilantik sebagai jurucakap produk jenama mewah antarabangsa seperti Mikimoto, Louis Vuitton, Dolce Gabbana dan produk kecantikan dan kosmetik mewah Perancis, Clarins.

 

Sumber: Hotpot TV, That’s Mag Shanghai & CNA Lifestyle