Menjadi Ratu Sehari adalah momen terindah buat setiap wanita. Menjelang hari bahagia anda, bukan masanya untuk stres dan marah-marah. Namun, jika mahu kelihatan cantik berseri, anggun di hadapan kamera, melemparkan senyuman manis, anda perlu bekerja keras untuk mencapainya.

Hari bahagia sudah semakin hampir. Tahniah kerana telah berjaya menempuhi segala dugaan dan cabaran meniti tarikh yang dinanti-nanti oleh setiap pengantin perempuan. Seboleh mungkin pengantin perempuan mahu kelihatan sempurna ketika berarak di hadapan semua tetamu dan tampil anggun duduk di atas pelamin.

IKLAN

‘Save the date’ bukan hanya untuk tetamu yang bakal berkunjung tetapi untuk motivasi diri anda sendiri. Memang bukan untuk kelihatan seperti supermodel ketika hari bahagia tetapi perlu berusaha hingga ke arah itu.

12 BULAN SEBELUM MAJLIS 

(a) Rawat Kulit Secara Profesional

Berbincang dengan pakar kulit tentang rawatan yang terbaik supaya ia kelihatan sihat menjelang hari bersejarah. Ada rawatan yang mengambil masa yang lama dan sebaliknya. Bergantung jenis kulit masing-masing.

(b) Guna Retinol

Walaupun terdapat banyak produk penjagaan kulit, tetapi anda hanya perlukan retinol. Bahan aktif ini terkenal untuk menyingkirkan pori tersumbat, merangsang kolagen dan memudarkan hiperpigmentasi.

Jika anda mempunyai kulit terlalu bermasalah, dapatkan preskripsi ahli dermatologi untuk retinoid yang berkuasa untuk membantu masalah kulit. Selain itu, jenama kecantikan kulit terkenal seperti Elizabeth Arden juga ada mengeluarkan Ceramide Capsules Daily Youth Restoring Capsules, produk retinol yang boleh membantu bakal pengantin.

(c) Kurangkan Bersyampu

Terlalu bersyampu akan membuatkan rambut kering dan berminyak. Sebaik-baiknya bersyampu dengan syampu yang lembut tiga kali seminggu. Kemudian jangan lupa letak perapi rambut selepas bersyampu. Keringkan rambut dengan tuala lembut dan jangan menggunakan pengering rambut. Lebih baik jika menyapu serum atau tonik rambut untuk memelihara kecantikan rambut.

(d) Rawatan Kuku

Biasanya kuku akan diletakkan inai ketika majlis perkahwinan. Sama ada anda menggunakan inai sebenar atau inai sementara, kecantikan dan kesihatan kuku perlu dipelihara.

Jika anda mempunyai masa, boleh melakukan manicure dan semua rawatan boleh dilakukan dalam satu masa. Tetapi jika anda kesuntukan masa, boleh membelai sendiri kuku dengan minyak khusus untuk kuku bagi mengelakkan kuku merekah atau pecah. Sapukan setiap malam sebelum tidur agar ia sihat dan bersinar secara semula jadi.

(e) Tidur Mencukupi

Mendapat tidur yang cukup dan berkualiti adalah kunci kepada kulit yang sihat. Jadi jangan tidur terlalu lewat dan pastikan tidur pada awal waktu. Ketika tidur, tubuh manusia menghasilkan Human Growth Hormone (HGH) yang bertanggungjawab untuk merangsang sel kulit baru pada tisu tubuh seperti kulit, otot dan rambut.

9 BULAN SEBELUM MAJLIS

(a) Jumpa Pakar Estetik

Berjumpa dengan pakar estetik jika anda tidak mampu untuk membelai kulit secara konsisten. Melalui kemajuan teknologi dan kepakaran ahli estetik, mereka mampu menjadikan kulit anda lebih cantik dan segar dengan kadar yang segera. Berbincang terlebih dahulu dengan pakar estetik mengenai masalah anda dan apa yang anda mahu lakukan untuk hari bahagia nanti.

IKLAN

(b) Lakukan Skrub Badan

Belai tubuh dan rangsang pengaliran darah dengan teknik urutan dan skrub. Teknik urutan yang betul boleh melancarkan aliran darah dan urat-urat yang tersumbat.

Skrub pula dilakukan untuk menyingkirkan segala sel kulit yang mati dan digantikan dengan sel kulit yang baru serta menyingkirkan minyak yang berlebihan di bawah kulit. Setiap pengantin perlu melakukan rawatan ini untuk penampilan yang benar-benar bertenaga.

(c) Rawatan Protein Untuk Rambut

Rambut akan sihat dan kuat apabila mendapat bekalan protein yang mencukupi. Apa yang perlu anda lakukan adalah berusaha untuk menyalurkan protein pada setiap helaian rambut sehingga ke akar dan seterusnya kulit kepala. Lemak sihat yang terdapat dalam avokado, kekacang dan multi-mineral seperti sulfur, iodin, dan zink perlu diambil untuk mendapat sumber protein ini.

6 BULAN SEBELUM MAJLIS

(a) Buat Facial

IKLAN

Rawatan facial mampu menaikkan seri wajah sambil anda beristirahat. Kadang-kadang urusan di pejabat dan urusan majlis perkahwinan membuat bakal pengantin tidak mempunyai masa untuk diri sendiri.

(b) Rawat Gigi, Scaling & Polishing

Ketika hari bahagia yang bakal menjelang, anda perlu sentiasa melemparkan senyuman buat semua yang datang. Tapi takutnya mahu tersenyum kerana gigi tidak cantik! Apa yang perlu dilakukan adalah berjumpa dengan doktor gigi untuk mendapat rawatan yang bersesuaian. Kalau tidak ada masalah mungkin boleh membuat rawatan scaling and polishing sahaja.

3 BULAN SEBELUM MAJLIS

Oleskan Losen

Anda salah jika hanya menumpukan pada kecantikan dan keserian kulit wajah semata-mata. Kulit wajah dijaga tetapi apa yang dilakukan untuk kulit tubuh? Tidak mahu menyusahkan diri, cukup hanya menyapu losen yang diperkaya dengan pelembap dan vitamin untuk seluruh tubuh.

10 HARI SEBELUM MAJLIS

Rawatan Mikrodermasi

Kulit wajah sudah cantik tetapi bagaimana pula dengan kulit tubuh? Mungkin kulit tubuh boleh disembunyikan melalui pakaian tetapi memiliki kulit yang sihat dan cantik boleh meningkatkan keyakinan diri lebih-lebih lagi di hari persandingan.

Rawatan mikrodermabrasi ibarat kertas pasir yang membelai kulit menyingkirkan segala yang tidak diperlukan kulit dan menjadikan penampilan anda lebih anggun dan menawan. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI