
Mendapat zuriat di tengah-tengah kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini sememangnya memberi rezeki berganda buat Chryseis Tan dan suaminya, SM Faliq Nasimuddin.
Umum sedia maklum, Chryseis Tan selamat melahirkan seorang cahayamata lelaki pada 18 Januari 2023 yang lalu. Bayi seberat 3.5kg itu dilahirkan secara pembedahan C Sec itu merupakan hadiah paling berharga Faliq yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke 38 pada 25 Januari lalu.
Meskipun tidak berkesempatan mengambil gambar sekeluarga di hari pertama sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini memandangkan Chryseis sedang dalam proses berpantang, kesempatan meraikan tradisi Chap Goh Meh membolehkan keluarga ini berkumpul dan mengabadikan memori sekeluarga.
Di samping itu, keluarga bahagia ini buat pertama kalinya memuat naik foto anak lelaki mereka yang diberi nama SM Arman Naza SM Faliq. Dua keping foto si comel turut dimuat naik di laman Instagram milik anak kepada taikun Tan Sri Vincent Tan ini.
Selain itu, pasangan ini turut meraikan sambutan Chap Goh Meh di bersama ibubapa Chryseis Tan iaitu Tan Sri Vincent Tan dan Puan Sri Esther Tan. Ia turut diserikan dengan persembahan tarian singa untuk mendapatkan keberkatan sepanjang tahun ini.
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Februari 2018 dalam majlis perkahwinan gilang gemilang di The Chateau, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Arianna Kayla Tan pada 16 Julai 2020.
Nak Hilangkan MATA SEMBAP Selepas Menangis? Lakukan 6 Cara Ini!

Banyak sebab mengapa mata menjadi sembap. Selalunya melibatkan perkara-perkara yang menyedihkan, kegagalan dan kekecewaan. Selalunya mata akan mudah menjadi sembap kerana seseorang itu menangis dalam tempoh yang lama.
Tak dinafikan menangis boleh memberikan manfaat kerana ia membantu meringankan stres yang dialami. Ketika menangis tubuh melepaskan adrenalin dan kortisol sekaligus mencetuskan rasa kelegaan. Apa pun jangan menangis terlalu lama kerana selain mengganggu emosi, ia juga memberi kesan terhadap fizikal. Salah satunya hidung menjadi merah berair dan mata sembap. 5 cara berikut dapat membentu mengurangkan kesan tersebut.
TARIK NAFAS DALAM-DALAM
Setelah tangisan betul-betul reda, segera duduk tegak kemudian tarik nafas sedalam-dalamnya dengan teratur. Seka sisa air mata di pipi, buang hingus dengan kain atau tisu.
AIR SEJUK
Tuang air setengah mangkuk kemudian masukkan 4-5 ketul ais. Ambil kain atau tisu celupkan ke dalamnya. Bermula dari bahagian dalam mata, tekan ke bawah kulit sehingga sudut luar mata. Urut lembut selama 5 minit. Ulangi cara ini beberapa kali.
Atau, boleh gunakan jari jemari anda, genggam beberapa ketul ais kemudian urut mata sembap dengan cara yang sama. Bagi mengurangkan kemerahan di mata putih, titiskan 1-2 ubat mata.
UNCANG TEH
Membantu menyempitkan pembuluh darah dan mengurangkan bengkak. Celup dua uncang teh ke dalam air bercampur ais selama 10 minit. Tekan ke kulit bawah mata sehingga ke sudut luar mata. Urut lembut selama 5 minit, ulangi cara ini beberapa kali.
HIRISAN TIMUN ATAU KENTANG
Sediakan 2 hirisan timun atau kentang segar, letakkan di atas kedua-dua mata. Biarkan selama 10-15 minit. Rasa sejuk dari timun dan kentang akan merangsang pembuluh darah.
Timun mengandungi antioksidan sementara kentang mengandungi enzim pencerah yang membantu mengurangkan sembap dan gelap bawah mata. Baring dan tinggikan kepala di atas bantal bagi mencegah cairan berlebihan terkumpul di wajah.
SUDU BESI
Masukkan sudu besi bersih ke dalam peti sejuk selama 10-20 minit. Kemudian ambil sudu dan tekan lembut di bawah mata bermula dari mata dalam mengarah ke luar mata. Lakukan bergilir-gilir dengan mata sebelah. Pada masa sama urut lembut batang hidung beberapa minit sambil menutup mata. Lakukan dengan fokus. Ia membantu mengurangkan tekanan sinus yang mengurangkan pembengkakan.
CONCEALER
Anda juga boleh menyembunyikan sembap bawah mata dengan color correcting concealer rona kuning atau hijau. Sapu rata di sekitar sembap. Kemudian sapu bedak tabur atau bedak padat.
Nota: Jangan terus tidur selepas menangis kerana ia boleh mengakibatkan mata sembap menjadi lebih parah akibat pengumpulan cairan di wajah. Keadan ini menyebabkan mata tidak berkedip atau bergerak untuk mengeluarkan air mata. Sebaiknya, dalam posisi terlentang letakkan beberapa bantal di bawah kepala.
DATIN NARENA NASRUDIN Walau Sudah Berusia 40an Tetap Kelihatan Muda Remaja

Keanggunan wanita yang bertubuh tinggi lampai ini tidak perlu disangkal lagi. Pesona yang terpamer dalam dirinya melambangkan wanita yang bercita rasa tinggi dalam kelasnya tersendiri. Memiliki raut wajah yang lembut dan kulit bersih tanpa sebarang cela walaupun sudah mencecah usia 40 tahun pasti ibu kepada empat orang anak ini menyimpan rahsia rejim kecantikan tersendiri.
“Saya memang menitik-beratkan penampilan dan bagi saya setiap wanita perlu menjaga kecantikan untuk kepuasan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Solekan menjadi suatu kemestian bagi saya walaupun hanya dengan berbedak atau bercelak. Setiap wanita patut mengambil inisiatif untuk sentiasa tampil cantik dan bergaya. Tidak semestinya menyarung baju berjenama mewah atau menggalas beg tangan buatan luar negara tetapi setiap wanita perlu tahu memotret dirinya di depan masyarakat.

Wanita moden kita sangat beruntung kerana mempunyai banyak saluran untuk mereka belajar menjaga penampilan diri. Semuanya maklumat hanya di hujung jari sama ada mahu bertindak atau tidak sahaja. Saya percaya dalam hidup ini tidak ada jalan singkat untuk menggapai sesuatu termasuk kecantikan.
Melalui aturan yang betul dengan manfaat yang ditawarkan oleh sesuatu produk adalah penting untuk kita wanita mendapat kulit yang bersih dan cantik seperti yang diidamkan. Saya begitu cerewet dalam pemilihan sesuatu produk terutama berkaitan dengan kulit. Saya akan mencuba dengan teliti dan membaca ulasan sesuatu produk itu. Namun saya akan setia jika sudah berjumpa dengan produk yang menambat hati.
Kunci kepada kecantikan sebenar kulit adalah apabila mempunyai tahap kelembapan yang diperlukan oleh kulit. Rahsia saya sudah semestinya pelembap. Kuasa pelembap sangat menakjubkan kerana membantu menyegarkan kulit dari dalam umpama terjaga daripada lena yang panjang. Serum pula menjadi nadi utama rejim kecantikan saya. Saya tidak pernah tinggalkannya dalam rutin penjagaan kulit setiap hari.
Selain itu mask juga sangat penting dalam rutin penjagaan kulit harian saya. Fungsi mask ini adalah untuk membersihkan wajah jauh ke dasar kulit sambil mengekalkan kelembapan semula jadi. Sudah menjadi kemestian untuk memakai mask dua kali sehari selepas membersihkan wajah. Kemudian diikuti pula dengan menyapu losen serta serum pada waktu siang dan malam.
Bagi mengekalkan kecantikan dalaman pula saya banyak makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta ulam. Saya tidak boleh hidup kalau tidak makan buah dalam sehari,” kongsi Datin Narena tentang rahsia rejim penjagaan kulitnya yang putih dan mulus.
Setiap wanita mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi setiap kelemahan diri. Menangani tugas yang tidak bertepi membuat Datin Narena memilih bercuti sebagai caranya untuk meredakan stres. “Setelah tubuh terlalu penat biasanya saya akan keluar bercuti bersama keluarga. Ketika bercuti saya akan lupakan segala-galanya termasuk urusan kerja. Saya bebas melakukan apa sahaja ketika bercuti.
Cuba bayangkan, ketika saya bercuti di New York dahulu, akibat terlalu penat berjalan, saya boleh duduk bersila atas jalan. Saya benar-benar membebaskan diri dan menikmati percutian yang begitu indah,” ujar wanita yang menggemari rekaan pereka tempatan Rizman Ruzaini ini.
Kehidupan Mewah JINKEE PACQUIAO, Isteri Senator Filipina & Ahli Tinju Berpendapatan USD190 Juta!

Melihat gaya hidup mewah Jinkee Pacquiao hari ini pasti membuatkan ramai yang berasa cemburu. Mana tidaknya, selain dilimpahi dengan kesenangan wang ringgit… isteri kepada salah seorang senator popular di Filipina yang juga atlet tinju terkemuka dunia ini juga cukup bertuah kerana dikurniakan ‘harta’ paling bernilai iaitu lima orang cahaya mata mereka. Yang pasti, Jinkee memiliki apa yang diimpikan setiap wanita. Kebahagiaan berkeluarga, kaya, ternama dan berjaya!
Namun di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Jinkee dan suaminya Manny Pacquiao pernah melalui liku hidup yang sukar. Mereka pernah hidup sengsara kerana selain kerjaya tinju suami yang kurang bersinar, Pacquiao juga dikhabarkan seorang suami yang gemar berfoya-foya, kuat merokok, kaki judi, kaki minum serta suka cari gaduh.
Dek kerana sikap negatif suami, Jinkee pernah terfikir untuk bercerai namun kerana sayangkan ikatan yang telah terbina… dia sanggup bersusah-payah membantu membina semula kerjaya suami sehingga berjaya seperti sekarang. Menurut GMA News, pasangan ini kembali menghangatkan hubungan yang kian retak menanti belah dengan menikmati bulan madu kali kedua mereka.
Dan buat pertama kalinya, Jinkee yang juga penerbit filem dan personaliti media Filipina ini hadir menemani suami tercinta ke pusat latihan tinju di Los Angeles. Dari situlah bermulanya perubahan positif Pacquiao hingga melonjakkan namanya selaku ahli tinju terkemuka dunia yang dikecapi hari ini. Berkat sokongan Jinkee dan usaha keras, Pacquiao atau lebih dikenali dengan gelaran PacMan di gelanggang tinju telah dianugerahkan Fighter of the Decade pada 27 Julai 2009.
Sehingga ke saat ini, Manny Pacquiao tersenarai dalam The 20 Richest Boxers In The World 2019 dan dia menduduki tangga keenam dengan meraih pendapatan setinggi USD190 Juta. Memetik laporan Forbes pula Pacquiao antara 2019 The World’s Highest-Paid Athletes Earnings dengan pendapatan berjumlah sekitar USD26 Juta bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.
Berdasarkan Post Magazine… ahli tinju berkenaan dilaporkan membeli rumah agam di Beverly Hills bernilai USD12 Juta yang dahulunya pernah didiami rapper Sean Combs. Pada 2010 Pacquiao dicalonkan sebagai Philippine House of Representatives dan bergelar Senator pada tahun 2016.
Jinkee yang kini berada di Los Angeles dilihat cukup gembira dengan apa yang dimilikinya hari ini dan meluangkan masa di samping anak-anak dan keluarga dengan mengunjungi taman tema popular, membeli-belah di butik mewah selain beriadah bersama lima anaknya di kediaman elit mereka di sana.
Mengintai Instagram wanita berusia 40 tahun ini, Jinkee turut memperlihatkan gaya hidup mewah dengan berkongsi kediaman mereka yang besar dan eksklusif serta cita rasa fesyennya. Gemar bergaya dengan jenama mahal dari hujung rambut ke hujung kaki… Jinkee turut mempunyai koleksi beg tangan Hermes pelbagai saiz dan jenis.
Bahkan dia juga merupakan penggemar jenama Christian Dior, Chanel, Louis Vuitton dan banyak lagi. Itu belum lagi kira kasut, jam tangan, baju, cermin mata hitam dan bermacam-macam aksesori lain yang ada dalam simpanannya.
Bukan hanya Jinkee bahkan kelima-lima anak mereka turut mengenakan persalinan mewah dan eksklusif dari label terkemuka. Disebabkan status suami sebagai senator dan antara ahli tinju terkaya di dunia… keluarga ini dikawal dengan beberapa pengawal peribadi yang mengiringi percutian mereka tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Sumber: Post Magazine & Forbes / Foto: Instagram Jinkee Pacquiao